Friday, October 21, 2011

Memori Semalam: Bab 2


Entah kenapa sejak kebelakangan ini, dia sukar melelapkan matanya. Bak kata orang, tidur tak lena, makan tak kenyang, mandi tak basah. Tersuing senyuman di bibir lebamnya tanda kuat merokok tatkala teringat wajah ayu yang ditemuinya di Tasik Titiwangsa minggu lepas. Tak sia-sia dia pergi jumpa Ima. Cahaya mentari yang memancar terik masuk ke kamar tidurnya langsung tidak memberikan kesan kepadanya. Kebiasaanya, hari minggu begini, tengah hari baru dia bangun, bahkan kadangkala petang baru matanya mahu terbuka.

Tapi, kehadiran gadis yang ditemuinya minggu lepas di dalam mimpi-mimpinya menjadikan dia seperti dia yang sekarang. Kalaulah kakaknya tahu dia penasaran begini, mesti kata-kata ini yang akan keluar dari mulut laser kakaknya, “so not you la, Mikh.” Teringatkan kakaknya itu, dia tersenyum.
Deringan nada Fall for you dari telefon bimbitnya membuatkan dia terpaksa melangkah meninggalkan tingkap tempatnya termenung seawal jam 7 pagi tadi. Senyumannya mati melihat nama yang tertera di depan telefonnya. 

“Wah, awalnya putera beradu kita ni bangun hari ni. Ada mimpi buruk ke semalam?”suara nyaring kakaknya membuatkan dia melarikan sedikit telefon bimbitnya ke tepi telinga. Mau pecah rasanya telinganya setiap kali mendengar speaker kakaknya itu.

 “Apa la akak ni, Mikh bangun awal pun salah. Ni akak nak apa call Mikh pepagi buta ni?”

“Pagi buta? Dah pukul 11.30, Mikh. Kejap lagi dah nak masuk masa lunch akak.” Sekali lagi dia melarikan telefonnya ke sisi telinga.

“Ye ke?” Berkerut dahinya, kerana dia bangun tadi jam baru menunjukkan pukul 7 pagi. Lamanya dia mengelamun. Dia segera meraup mukanya sambil menggeleng-gelengkan kepalanya dengan senyuman di bibir.

“Hello, anybody home?” Suara kakaknya di talian mematikan lamunannya. Sekali lagi dia meraup mukanya.

“So, Mikh. Jadi tak?”

 “Apa yang jadinya, kak?”

“Ya Allah, budak ni. Kita bercakap sorang rupanya. Ni perempuan mana yang dah buatkan adik akak ni angau, mengelamun tak tentu pasal?”

“Ish, akak ni. Mana ada perempuan.”

“Apa Mikh ingat akak tak dengar ke Mikh sebut nama Fatihah tadi? Hah, siapa Fatihah tu? Awek baru ke?” 
 Soalan kakaknya itu mengejutkan dia. Takkan la tersebut keluar, padahal dia rasa dia hanya menyebut-nyebut nama Fatihah di dalam hatinya sebentar tadi.

“Erk, tak, tak, takde la kak. Akak salah dengar kot.” Tergagap-gagap dia menghabiskan ayatnya.

“Mikh, sekilas ikan di air, akak tau jantan betinanya.”

“Itu ikan, Mikh ni orang lah kak.” Ketawa terletus di bibirnya bagi menutup perasaan malu akibat serkap jarang kakaknya sebentar tadi.

“Dia ni, memain betul la. Ni ha, mama tanya, jadi tak?”

“Apa yang jadinya, kak?” Sekali lagi dia mengulangi soalan yang sama.

“Ha, tu la. Asyik berangan anak dara orang je. Ni, mama tanya, jadi tak nak ambil dia kat kampung hari ni?”

“Ish, mestilah jadi kak. Mikh nak bersiaplah ni.”

“Ye la tu Mikh. Akak tau Mikh tu tak mandi lagi. Kalau tak, sepatutnya dua jam lepas Mikh dah terpacak depan rumah akak.”

“Erk!” Sungguh tajam kata-kata kakaknya kali ini. Segera Mikh teringat janjinya dengan kakak kesayangan satu-satunya itu semalam. Semalam dia berjanji mahu bergerak seawal jam 9 pagi. Sekarang dia dah terlewat hampir tiga jam.

“Fatihah.” Sekali lagi terkeluar nama itu di bibirnya.

“Mikh, ni akak la. Bukan Fatihah. Dah teruk benar angaunya ni. Ha, ni kau datang rumah akak bawa Fatihah sekali ya. Teringin jugak akak nak tengok rupa wanita terhebat yang buatkan buaga tembaga darat ni tertewas.”

“Ish, akak ni. Ada ke kata adik sendiri macam tu?”

“Dah, dah. Pergi siap cepat. Lagi lama, makin merajuk pulak mama nanti.” Serius kata-kata itu selepas puas dia mentertawakan adiknya sebentar tadi.

Mikh segera melangkah ke bilik air selepas mematikan telefonnya. Sejurus selepas menutup pintu bilik air, segera dia keluar semula. Dia tertinggal tualanya. Sekali lagi dia tersenyum lantas menggelengkan kepalanya.
“Kau dah parah, Mikh,”ujarnya kepada diri sendiri.

*                                             *                                             *
 
Kereta BMW 5 seriesnya megah memasuki garaj rumah semi-D yang terletak di Bukit Antarabangsa, salah satu kawasan orang-orang kaya di Kuala Lumpur.

“Kak, bang!”

“Waalaikumsalam, Mikh.”
Tersenyum dia mendengar sindiran daripada kakaknya itu. “Ish, perangai tak ubah-ubah. Daripada anak dara, sampai nak jadi mak orang pun ganas semacam je.”

“Eleh, nak cover la tu.” Lantas tangannya meluku kepala Mikhail yang agak tinggi daripada dirinya.

“Abang Im, macam mana la abang boleh tahan dengan penangan Cik Puan Nura Elia ni ye?” sengihannya disertakan dengan kenyitan ke arah abang iparnya yang sedari tadi tersengih melihat perangai tak cukup vitamin mereka berdua.

“Dah, dah la tu yang, Mikh. Jemputlah masuk, Mikh. Tadi kak Nura dah masak untuk lunch. Ingat nak breakfast sekali dengan Mikh, nampak gayanya tak kesampaian. Lunch pun jadilah, kan yang?”

“Aik, abang pun nak kenakan Mikh ke?”

“Haruslah, ini kan suami akak.” Terus ciuman dihadiahkan ke pipi suami kesayangannya itu.

“Akak ni, agak-agak la nak bermesra. Depan Mikh pun nak menunjuk.” Bibir dijuihkan ke depan tanda tidak puas hati dengan kakaknya itu. Mentang-mentang dia dah kahwin, desis hati kecilnya.

Sememangnya dia gembira melihat kakaknya itu bahagia dengan abang Imran, namun sengaja dia menunjukkan muka kasihan untuk menarik perhatian kakak dan abang iparnya yang baru dua bulan bergelar suami isteri.

“Alah, kalau nak kahwinlah. Ha, tadi akak dengar asyik sebut-sebut nama Fatihah, mana orangnya?”

“Fatihah? Girlfriend baru ke Mikh?” 
 
 “Abang ni kan, sama je kan kak Nura. Asyik nak kenakan Mikh je. Tau la Mikh ni sentiasa single and available.”

“Ye la tu. Sebab rasa diri sentiasa available tu yang sampai sekarang tak ada serius girlfriend.”

“Ala yang, dia tak jumpa lagi yang betul-betul boleh buat dia gila macam abang gilakan ayang dulu. Tengoklah lepas ni, kalau dia dah jumpa, rasanya rambut dia pun dah tukar colour.”

Segera Mikh memegang rambutnya yang sentiasa diwarnakan blonde sejak putus cinta lima tahun yang lepas. Senyuman hambar diberikan kepada kakak dan abang iparnya.

“Huh, nampaknya abang dah tak gilakan ayang ye, sekarang.”

“Kenapa cakap macam ni?” Segera Imran memegang tangan isterinya yang semakin kuat merajuk sekarang ini.

“Ye la, tadi kata gilakan ayang dulu je?”
Mikh hanya tersengih melihat abang iparnya yang kelihatan mati kutu nak menjawap soalan tak cukup dewasa daripada kakaknya itu.

Langkah kaki kakaknya yang laju diikuti oleh Imran dengan kata-kata pujukan mengundang ketawa kecil daripada Mikhail. Kakinya segera melangkah memasuki rumah kakaknya yang semakin berseri selepas berkahwin.

“Apa teruk punya tuan rumah, la. Tetamu tak dijemput masuk, lepas tu tuan rumah bersenang lenang masuk bilik.” Sedikit kuat suaranya ingin mengusik kakak dan abang iparnya.

“Kau layan dirilah dulu, Mikh. Abang nak kena pujuk akak kau tu. Daripada semalam lagi merajuk tak habis-habis.”

“Sila-silakan bang. Mikh pun nak makan ni.”
Segera kakinya melangkah ke meja yang terletak di atasnya tudung saji. Terliur dia apabila membayangkan masak tempoyak kakaknya yang menyelerakan.

Sedikit terhibur dia melihat kemesraan kakak dan abang iparnya. Namun, segera keluhan dilepaskan apabila mengenangkan kisah percintaannya yang dulu terkubur di tengah jalan. Memori itu datang lagi seolah-olah baru semalam dia ditinggalkan, padahal sudah lima tahun peristiwa tersebut berlaku. Tangannya menyentuh rambut blondenya yang menyimpan makna tersendiri.

*                                             *                                             *
 
Fatihah menyanyi kecil sambil memotong ayam yang hendak dimasak sebentar lagi. Hatinya gembira kerana dapat bersenang lenang melepak di rumah hujung minggu ini. Tambahan pula, tadi dia baru lepas bersembang dengan ibunya. Sejam setengah dia berborak sehingga tak perasan perut yang kosong belum diisi sepanjang pagi.

Biasanya, hujung minggu begini dia sibuk dengan on call ataupun aktiviti-aktiviti luarnya. Kerjaya sebagai seorang physiotherapist menuntut komitmen yang bukan sedikit. Dengan jadual kerja yang agak padat dan ditambah pula dengan komitmennya sebagai sukarelawan di Darul Iman menjadikan dia wanita sukar mencari masa senggang untuk diri sendiri.

Sambil memasak, Fatihah berborak dengan Bobo yang sedang asyik dengan carrotnya. “Bobo, dah lama kita tak macam ni kan? Sorryla ye, Bobo tau je la jadual Fatihah, penuh je selalu. Tapi, hari ini kita dapat dating puas-puas sebab tak de siapa yang kacau.”

“Ish Bobo ni, senyap je die.”
Kaki diayunkan ke sangkar Bobo yang sedari tadi asyik mengunyah carrot. Bobo merupakan seekor arnab hadiah daripada salah seorang pesakit Fatihah beberapa bulan yang lepas. Seminggu sekali, dia akan memberikan Bobo carrot kerana dia takut Bobo cirit-birit kalau selalu diberikan carrot.
Bobo dikeluarkan dari sangkar dan segera dia mengusap penuh kasih badan Bobo yang semakin berisi.

“Dik, kau tak pergi mana-mana ke hari ni?” Pertanyaan kak Mona mematikan tindakannya.
Segera matanya beralih kepada wajah penuh persoalan rakan serumahnya yang lebih tua dua tahun daripadanya itu.

“Aik, ingatkan akak tak ada kat rumah.” Balasnya dengan sengihan.

“Semalam, aku balik lambat. Sorryla, tak dapat teman kau semalam. Member aku buat parti sikit.’

“Tak pe la kak. Semalam pun orang balik lewat dari Darul Iman. Akak dah breakfast? Orang tak sempat masak apa-apa tadi. Ni baru nak masak untuk lunch.”

“Tak pe, aku tunggu kau siap masak baru makan.” Ketawa kak Mona mengundang senyuman di bibirnya.
 “Aku naik atas dulu. Kau dengan Bobo masaklah sedap-sedap ye. Nanti kalau kau nak makan, tolong kejut aku eh? Aku ngantok lagi ni.”

Fatihah hanya membalas dengan anggukan di kepala. Langkah kak Mona diikuti dengan gelengan di kepalanya. “Ya Allah, Kau berikanlah taufik dan hidayah-Mu kepada kak Mona,” doanya di dalam hati.

Dia mengenali kak Mona sebulan yang lepas ketika dia tengah kelam kabut mencari rumah sewa yang baru. Siapa sangka wanita sosial, berambut blonde dan merokok itu dahulunya seorang pelajar sekolah agama dan mampu menghafal hampir separuh al-Quran. Mengenangkan itu, Fatihah segera insaf. Sesungguhnya iman manusia ini terlampau nipis. Minta-mintalah dia tidak terjerumus ke jalan yang salah dan sesat, doanya lagi di dalam hati.

Bobo diletakkan kembali ke dalam sangkar dan tangannya segera lincah memasak memandangkan perutnya yang sudah berkeroncong sedari tadi.

Tuesday, October 18, 2011

Memori Semalam: Bab 1


Kelihatan seorang wanita berusia pertengahan 20-an sedang mengemas kelengkapan yang digunakan sepanjang pagi tadi untuk sukaneka dengan anak-anak yatim Darul Iman. Mukanya yang putih bersih kelihatan sedikit kemerahan dek panas matahari yang terik memancar. 

“Cikgu Fatihah, nanti nak tumpang cikgu, boleh?” 

Fatihah memandang muka penuh pengharapan Ami dengan senyuman tersungging di bibir comelnya. Fatihah mengangguk diikuti dengan jeritan kesukaan Ami dan tiga orang lagi rakan-rakannya.

“Semua dah siap ke? Kalau dah siap, nanti kita boleh gerak cepat. Nanti Ami, Fikri, Lan dan Syafiq boleh rehat awal. Malam nanti ada kelas kan?” ujar Fatihah penuh kelembutan.
“Cikgu, nanti kita gerak cepat, cikgu bawak laju-laju. Kita racing dengan yang lain.”

“Ye la cikgu. Kereta cikgu kan comel macam cikgu, mesti laju.”
Kata-kata Amir dan Lan membuatkan Fatihah tergelak dan seraya menggelengkan kepalanya. “Siapa yang nak berlumba ni? Cikgu bawak perlahan je, kita nikmati pemandangan Kuala Lumpur ni ye,” Fatihah sengaja mengusik kanak-kanak yang sememangnya mendapat tempat di hatinya itu.

Wajah cemberut segera terlayang di wajah keempat-empat kanak-kanak itu. “Alala, kenapa buat muka lima sen ni? Ha, kalo nak racing, kita pergi Sepang la. Kat sana kena bawak laju-laju, tak boleh bawak perlahan.”

“Yeay! Ni yang tambah sayang dekat cikgu Fatihah,” ujar Syafiq dengan diiyakan oleh rakan-rakannya. Dia segera memeluk Fatihah dengan erat. Fatihah mengusap kepala Syafiq dan memberikan senyuman kepada tiga lagi rakannya yang memandang Syafiq dengan pandangan penuh tanda tanya.

Fatihah tau apa yang dirasai oleh Syafiq. Hidup sebatang kara, sudah tentu anak kecil berusia 9 tahun itu ketandusan kasih sayang. Lantas, mereka yang memberikannya perhatian menjadi kesayangannya.

“Ok, ok. Sekarang cikgu dah siap kemas. Cikgu tengok cikgu-cikgu lain pun dah siap. Tu, kawan-kawan awak semua pun dah ready kat kereta masing-masing. Kita ni tak nak gerak lagi ke? Tadi nak cepat sangat.” Fatihah cuba menceriakan suasana yang sedikit sepi lantaran perlakuan Syafiq tadi.

“Jom!”
Bersemangat sungguh kanak-kanak tersebut berlari ke arah kereta Viva putih Fatihah yang parking di tempat letak kereta Tasik Tittiwangsa. Fatihah hanya menggelengkan kepalanya dan tersenyum melihat ulah mereka yang penuh kegembiraan. Lantas tangannya menekan kunci kereta, membiarkan mereka masuk ke dalam keretanya. Begitulah yang dia mahukan, membuatkan mereka yang dia sayangi tersenyum kegembiraan. Hidup seorang diri di pusat bandar yang penuh dugaan ini membuatkan dia mencari sesuatu bagi menghilangkan kerinduan dan kesunyiannya.

Fatihah segera menghampiri cikgu Amri dan cikgu Erry yang tengah berdiri di kereta masing-masing yang terletak bersebelahan dengan keretanya.

“Kenapa tadi tu, Fatihah?” soal Amri ingin tahu.

“Biasalah budak-budak,” balasnya dengan senyuman yang tidak lekang di bibir.

“Ala Am, macam kau tak kenal dengan Fatihah ni. Siapa je yang tak sukakan dia? Semua budak kat sini kalau boleh nak dengan dia je, kita ni siapalah,” Erry mencelah dengan muka sedih yang dibuat-buat.

“Hai, korang berdua ni kenapa? Dah memang budak-budak berempat tu lelaki, memang la orang dapat extra attention,” sahutnya dengan disertakan dengan ketawa kecil. Kata ganti diri orang yang digunakannya kedengaran agak manja.

Amri dan Erry hanya memandang Fatihah sambil tersenyum. Kedua-duanya mengakui Fatihah seorang gadis yang agak lincah, namun tetap ayu dan manja, dengan caranya yang tersendiri.

“Am, Erry, tadi orang dengar berita yang tak best sikit.”

“Pasal apa, Fatihah?”soal Erry penuh minat. Apa sahaja yang gadis itu katakan selalu menjadi perhatiannya. Dia sudah lama sukakan Fatihah, semenjak mengenali gadis tersebut dua tahun yang lepas. Namun, sehingga hari ini, dia masih belum mempunyai kekuatan untuk berterus-terang mengenai perasaannya.

“Am rasa, Am tau apa maksud Fatihah. Pasal budak-budak ni, kan?” Soalan Amri itu dijawap dengan anggukan kepala Fatihah.

“Oh, pasal masalah dengan pihak pengurusan ke? Ala Fatihah, jangan risaulah. Nanti kita carik jalan penyelesaiannya, ok?” Saranan Erry itu disambut dengan senyuman hambar oleh Fatihah.

“Orang bukan apa, Am, Erry. Cuma tak sanggup tengok budak-budak tu sedih lagi. Dieorang baru je seronok-seronok hari ni. Tup, tup esok lusa, dieorang kan berpisah.”

“Erry yakin kita mampu selesaikan masalah ni, sama-sama,”ujarnya penuh semangat.

“Ye la Fatihah, kita masih ada banyak masa lagi untuk cari jalan penyelesaiannya. Jom lah kita gerak, dah lama agaknya budak-budak tu tunggu dalam kereta. Lagipun van abang Fuad dah gerak dah.” Kata-kata Amri itu hanya disambut dengan anggukan oleh Fatihah dan Erry.

Lantas kaki digerakkan ke arah keretanya yang dah dinaiki oleh empat kanak-kanak nakal yang dia sayangi. Kelihatan Fikri di bahagian penumpang hadapan kerana dia yang paling berusia di antara keempatnya.
Belum sempat Fatihah membuka pintu keretanya, laungan memanggil namanya mematikan tingkahnya. Kepala segera dipusingkan ke arah suara tersebut.

“Kak Ima!” jeritnya kegembiraan. Lantas tangan dihulur bersalaman dengan kakak seniornya suatu masa dulu. “Sorry kak, tak dapat nak peluk cium, peluh ni, melekit,”ujarnya dengan sengihan di bibirnya.

“Ala, tak pe. Bukannya busuk pun,”balas Ima terus menarik Fatihah ke dalam pelukannya.
Fatihah hanya tertawa kecil lantas turut memeluk kakak seniornya itu. Baru dia hendak merungkaikan pelukan, matanya tertancap pada seorang lelaki yang memandangnya tanpa kelip. Terasa darah tersimbah ke mukanya memikirkan perangainya yang sedikit keanak-anakan melihat kak Ima tadi.

“Ni Mikhail,” kata-kata kak Ima membuatkan dia sedikit terkejut. Macam mana la dia tak perasan ada orang lain dengan kak Ima tadi. Ish. Lelaki tersebut hanya tersenyum ke arahnya, dan dia membalas seadanya. Perhatiannya kembali kepada kak Ima.

“Ni boyfriend kak Ima ke?”soalnya agak nakal. Senyuman yang terukir di wajah ceria kak Ima membuatkan dia faham jawapan kepada soalannya sebentar tadi.

“Fatihah buat apa kat sini?”

“Fatihah bawak anak-anak beriadah.” Fatihah perasan perubahan muka boyfriend kak Ima mendengar kata-katanya itu.

“Wah, Fatihah kahwin tak jemput akak pun?” Segara kak Ima tayangkan muka marah dan tak puas hati mendengar jawapan Fatihah.
Fatihah hanya tergelak kecil dan menggelengkan kepalanya. “Fatihah tak kahwin lagi la, kak. Sebenarnya, Fatihah…”

“Cikgu, lambat lagi ke? Cikgu Amri dan cikgu Erry dah lama gerak. Kita je yang tinggal sekarang ni.” Kata-kata Fikri yang tiba-tiba muncul di sebelahnya mematikan kata-katanya.

“Oh, cikgu sekolah ke?” terpacul soalan dari bibir lelaki yang sedari tadi senyap di sebelah kak Ima. Fatihah hanya membalas soalan tersebut dengan senyuman manis.

“Ok lah, kak. Orang dah lambat ni. Nanti kita jumpa lagi, ye. Nombor akak berapa ye?” Fatihah malas mahu menerangkan yang sebenarnya kerana nanti dia akan lebih lambat menghantar anak-anaknya itu. Bukan dia tak tau perangai kak Ima yang seringkali bertanya seperti machine-gun itu. Pasti jenuh dia nak menjawap satu-satu soalan yang bakal terlontar kerana dia perasan muka kak Ima yang penuh tanda tanya itu.

“Ok, nanti kita jumpa lagi ye, banyak akak nak borakkan dengan Fatihah. Setahun dah kita tak jumpa.”

“Insyaallah kak.”

Setelah bertukar nombor telefon, Fatihah segera melangkah ke arah keretanya diikuti oleh Fikri. Dia menekan minyak dan mula bergerak dari kawasan tersebut. Tangan dilambaikan ke arah kak Ima dan boyfriendnya yang sedari tadi merenung ke arahnya. Tersenyum dia melihat kak Ima yang menyiku boyfriendnya dari cermin pandang belakang keretanya.

Fatihah terus memandu dengan kelajuan sederhana, kerana dia mahu mereka semua selamat sampai ke Darul Iman. Hanya kedengaran celoteh daripada DJ radio kerana kesemuanya sudah terlelap di dalam keretanya. Mungkin kepenatan membuatkan semuanya terlena, lebih-lebih lagi dengan semuanya tadi kekenyangan dengan juadah makan tengah hari yang disediakan sebelum mereka berkemas untuk balik.

Setelah sampai di Darul Iman, segera dia mengejutkan Fikri dan meminta Fikri mengejutkan yang lain. Dia mengorak langkah ke bangunan pejabat Darul Iman dengan beberapa plastik di tangannya. Setibanya semula di kereta, kelihatan Fikri masih terlelap. “Ni mesti kes tidur balik,”desis hatinya.

“Fikri, bangun Fikri. Kita dah sampai ni.” Dia menggoncangkan sedikit bahu anak muda 13 tahun itu. Kelihatan Fikri membukakan matanya perlahan-lahan.

“Maaf cikgu, saya tertidur balik.”

“Tak pe. Cepat bangun, balik ke dorm, mandi lepas tu solat zohor.”

“Ami, Syafiq, Lan, bangun. Kita dah sampai.” Agak kuat suara Fikri mengejutkan kawan-kawannya yang kelihatan tidur pulas. Goncangan yang kuat daripada Fikri menyebabkan kanak-kanak bertiga itu mengeluh dalam tidur. Perlahan-lahan mata dibukakan. Masing-masing mengeliat dan secara menapak perlahan-lahan ke arah dorm. Fatihah hanya menghantar mereka dengan pandangan dan senyuman di bibirnya.

“Terima kasih cikgu!” jeritan kanak-kanak tersebut membuatkan dia rasa dihargai. Tiba-tiba Syafiq meluru ke arahnya dan memeluknya seperti di Tasik Titiwangsa tadi. Airmata yang terbit daripada mata Syafiq membuatkan dia kehairanan. Fatihah merendahkan badannya menyamai ketinggian Syafiq sambil mengesat airmata yang mengundang walang di hatinya.

“Kenapa ni, Syafiq?” soalnya penuh prihatin.

“Dah lama Syafiq tak rasa seronok macam ni. Syafiq ingat, dulu sebelum duduk sini, Syafiq selalu main dengan abang dekat taman permainan.” Kata-kata Syafiq itu mengundang senyuman hambar di bibirnya.

“Syafiq kena kuat. Lelaki mana boleh menangis macam ni? Cikgu tau Syafiq kuat, sebab tu Syafiq masih diberi peluang untuk berjuang dalam hidup ni,”tuturnya perlahan, penuh keibuan. Kepala Syafiq dibelainya persis seorang ibu yang betul-betul penyayang. Bergenang airmata di penjuru matanya. Seketika dia terkenangkan keluarganya.

Pergerakan Syafiq merungkai pelukannya mematikan lamunannya. “Syafiq nak jadi macam cikgu. Syafiq tau, cikgu pun sorang-sorang kat sini, tapi Syafiq tak pernah nampak cikgu nangis. Apela Syafiq ni kan, lelaki je lelaki tapi nangis depan cikgu perempuan.”

“Tau pun,” sakat Fatihah lagi mengundang sengihan di bibir Syafiq.

“Nanti, kalau Syafiq dah besar, Syafiq nak carik girlfriend macam cikgu.”

Kenyitan di mata Syafiq mengundang ketawa besar mereka berdua. Syafiq segera mencium pipinya dan berlari ke arah dorm dengan laungan terima kasih cikgu yang begitu kuat kedengaran.

Fatihah tersenyum sambil menghalakan kakinya ke arah pejabat Darul Iman. Cikgu-cikgu lain mesti telah lama menunggunya.

Wednesday, October 12, 2011

Memori Semalam~ Prolog


PROLOG

Perlahan-lahan dia cuba mencelikkan matanya. Rasa sudah terlalu lama dia tidur dan tidak pernah seumur hidupnya dia tidur senyenyak itu serta bermimpi indah begitu. Semakin dia cuba untuk bangun, semakin sakit kepalanya. Segera tangan kanan menekan-nekan pelipisnya. Tangan kiri cuba mengalihkan selimut tebal yang melindungi keseluruhan tubuhnya hingga ke leher. Tidak pernah dia tidur berselimut penuh sehingga tiada langsung anggota badan yang terdedah.
Sebaik sahaja selimut diselak melepasi bahunya, dia terasa sejuk yang teramat sangat. Dengan segala kudrat yang ada, dia cuba bangun dan mencelikkan matanya. Sakit di kepala semakin menjadi-jadi sebaik sahaja dia berjaya duduk. Dia kebingungan. Wajah yang sudah sedia pucat bertambah pucat.
Sungguh dia terkejut! Bilik ini, bukan kamar beradunya. Katil, tilam, bantal dan selimut ini bukan miliknya. Dia tidak mampu untuk memiliki barangan mewah sebegitu, apatah lagi menginap di kamar yang sungguh eksklusif itu. Dan, apa yang paling mengejutkannya ialah tiada seurat benang pun di tubuh rampingnya itu.
Kesejukkan yang semakin menggigit hingga ke tulangnya membuatkan dia menutup seluruh tubuhnya dengan gebar yang tebal berkali-kali ganda dibandingkan dengan toto miliknya di rumah. Perlahan-lahan airmata mengalir keluar dari mata bundarnya. Kini, matanya tertancap pada longgokan baju dan seluarnya yang terdampar di sofa di hadapan katilnya. Dia tahu siapa punya angkara.
Sungguh dia tidak menyangka, lelaki yang selama ini cukup dihormatinya tidak menghormati dirinya. Lelaki yang diberi sepenuh kasih sayang ternyata membalas kasih sayangnya dengan perlakuan yang jelas menunjukkan sikap buas lelaki itu.
Dia cuba mengingati peristiwa semalam. Sehingga semalam, dia dengan lelaki yang sudah hampir setahun menjadi kekasihnya itu masih berhubungan dengan baik. Cuma, beberapa bulan kebelakangan ini, lelaki itu seperti sentiasa mencurigai dirinya. Bukan sekali dua lelaki itu bermalam di dalam kereta di luar rumahnya, malah dalam seminggu yang lepas hampir setiap malam begitu. Dia tidak tahu apa salahnya sehingga lelaki itu begitu mengawal setiap gerak-gerinya. Perubahan sikap lelaki itu dia rasakan bermula semenjak dia berpindah ke rumah sewanya yang baru sebulan yang lepas.
Dan semalam, ternyata dia telah menjadi mangsa sikap tidak bertanggungjawab seorang lelaki anak Datuk itu. Semalam, dia bersetuju menemani lelaki itu untuk makan malam di sebuah hotel terkemuka tanah air kerana ingin meraikan kejayaan syarikat milik Datuk yang dikendalikan oleh lelaki itu. Dia yakin, di situlah segalanya bermula. Kepalanya mula berpusing sebaik sahaja menghabiskan dessert kegemarannya, iaitu ice cream vanila. Dia cuba mengelak daripada dipeluk dan dipapah lelaki itu, namun kudratnya tidak mampu menghalang tenaga lelaki tersebut. Benda terakhir yang dilihatnya adalah katil, sebelum dia terus tidak sedarkan diri.
Airmata semakin deras mengalir dan tangan kirinya semakin kuat mencengkam cadar tilam sementara tangan kanannya memeluk kedua belah lututnya. Dia berasa sangat kotor ketika ini. Apa yang akan dikhabarkan kepada ibu dan ayahnya tentang maruah diri yang selama ini begitu dia jaga.
Tidak mahu terus hanyut dengan perasaan, dia terus bangun dengan berselimut dan kaki diarahkan ke bilik air. Pili paip dipulas dan air dibiarkan mengalir ke atas tubuhnya yang masih berselimut. Dia mengharapkan agar kotoran yang melekat pada dirinya hilang dibawa bersama aliran air yang mengalir dari tubuhnya.
Dia tidak pasti apa perasaan sebenarnya ketika ini. Apa yang pasti, dia tidak akan membenarkan sesiapa pun selepas ini untuk menyentuh dirinya, apatah lagi menyentuh hatinya. Dia akan kunci seketat-ketatnya perasaannya untuk insan yang bergelar lelaki.

*                                             *                                             *

Matanya disajikan dengan pemandangan yang begitu menjengkelkan. Tidak disangka, kekasih hati yang nampak lemah lembut dan sentiasa manja dengannya rupa-rupanya seorang perempuan murahan. Mual rasanya melihat kekasih sendiri bermesraan dengan lelaki yang juga merangkap teman baiknya. Tidak disangka, harapkan pagar, pagar makan padi! Begitulah yang dia rasakan kini.
Wanita itu satu-satunya wanita yang sanggup menerima dirinya seadanya. Biarpun dia anak orang kaya dan ternama, bentuk badan yang gempal menjadikan dia kurang digemari oleh mereka yang ada di sekelilingnya. Mereka katakan dia busuk dan lembik. Cuma, wanita itu yang sanggup menerimanya dan mengakui bahawa dia adalah kekasihnya.
Wanita itu, wanita rebutan anak-anak muda di kota raya ini. Siapa yang tidak kenal dengan model yang semakin meningkat naik namanya. Melihat wajahnya yang ayu, dia tidak sangka tersembunyi hati yang begitu busuk. Kata-kata yang didengarinya daripada mulut wanita pujaannya itu, ternyata berjaya menghancur lumatkan seluruh perasaannya.
Dia tidak menyangka, selama ini dia menjadi barang pertaruhan wanita itu dan teman baiknya. Dia sedar kini, tiada siapa yang ikhlas mendekatinya kerana rupa parasnya. Semua yang berbuat baik dengannya hanyalah kerana harta yang ada padanya.
Kakinya digagahkan untuk berdiri di hadapan dua orang insan yang cukup bijak bersandiwara selama ini. Nampak jelas mereka terkejut dengan kehadiran insan yang mereka gelar giant itu. Mereka yakin lelaki tersebut telah mengetahui rahsia yang cukup rapi disimpan selama ini. Mulut terkunci demi melihat senyuman yang bergayut di bibir lelaki gempal itu.
“Terima kasih”. Kedua-duanya berpandangan demi melihat ayunan langkah lelaki itu yang semakin menjauh. Wanita tersebut cuba mengejar dan menarik tangannya. Kononnya, ingin menjelaskan segala yang telah berlaku. Namun, semua itu sudah terlambat. Hatinya sudah cedera parah, masakan mungkin mampu dirawat dengan sekelip mata.
Langkah semakin laju diatur tanpa menghiraukan pujuk rayu wanita tersebut. Dia tahu, dirinya dirayu sebegitu kerana pasti wanita itu tidak mahu kehilangan elaun bulanan daripadanya yang ternyata lumayan. Kasih sayang yang mendalam terhadap wanita itu membuatkan dia buta. Dia buta dalam membuat pertimbangan yang adil. Dia buta dalam menilai erti kasih sayang yang sebenar. Nasihat daripada ahli keluarganya dipandang sepi kerana wanita itu. Dan kini, sungguh dia mengharap agar masa boleh diputarkan kembali, dan dia berjanji akan menngikuti segala nasihat yang diberikan kepadanya.
Tubuh gempalnya dihenyakkan ke tempat duduk pemandu BMW Z4 yang baru dibeli beberapa bulan yang lepas atas pujukan wanita itu. Enjin dihidupkan dan keretanya meluncur laju membelah jalan raya yang agak lengang pada ketika itu. Dia ingin pergi jauh, dengan harapan kejauhan itu boleh menghilangkan rasa sakit yang ada di dalam hatinya pada saat dan ketika ini. Dia yakin, suatu hari nanti mereka yang terlibat akan dapat balasannya. Dia bukan giant yang bodoh! Dia punya segalanya dan dia akan buktikan suatu hari nanti, mereka yang telah banyak menyakiti hatinya akan melutut meminta maaf daripadanya.

Hati yang kau sakiti~

Bagaimana hati yang begitu kecil bisa menampung pelbagai rasa?
Rasa gembira, sedih, marah, kecewa, bahagia, derita,  semuanya terhimpun dalam satu ruang.

Tak ada kaitan pun tajuk entry kali ini dengan apa yang ingin aku perkatakan.. (saja nak wat tajuk gempak =p)

Cerita kali ini tentang seorang insan kecil berumur 12 tahun.
Pertama kali mengenali dirinya, aku terus jatuh suka. Bukan sebab paras rupa seakan-akan chinese-look yang bisa membuatkan aku terus rindu pada adik di kampung. Namun, ada sesuatu dalam dirinya yang buat aku teruja untuk mengenali dia. Cukuplah kalau aku kenalkan dia sebagai Z.

Z pada pandangan aku seorang yang punya peribadi sendiri.
Sepatutnya dia berada dalam darjah 6 dan mengambil UPSR di negara kita dalam umur yang sebegitu. Namun, dia antara insan yang kurang bernasib baik. Tidak pernah bersekolah, tidak tahu membaca dan mengira. Apa yang dia tahu, empat huruf yang membentuk namanya: _Z_ _

Pernah tak kita terfikir bagaimana agaknya perasaan kita bila melihat kanak-kanak lain berseragam sekolah, bersukan di sekolah, sedangkan kita hanya mampu melihat dari jauh.
Bagaimana agaknya perasaan kita bila rakan-rakan sebaya memandang serong ini. Kecil-kecil lagi sudah dicemuh, sudah dilabelkan macam-macam!
Bagaimana agaknya perasaan kita bilamana melihat sesuatu iklan di jalan raya, namun kita tidak  memahami langsung tulisan itu? Dan, bagaimana pula kita hendak mengira harga barang makanan yang kita boleh beli bilamana di tangan hanya ada beberapa keping duit RM1?

Sunnguh aku bersyukur kerna aku dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sederhana dan lengkap dari segi kasih sayang. Bersyukur punya ayah dan bonda yang sanggup berkorban apa sahaja untuk menjadikan aku dan adik-adik insan terpelajar.

Aku tidak salahkan Z kalau dia berkelakuan tidak senonoh. Aku tidak salahkan dia bila dia sewenang-wenangnya memukul mereka yang lain. Dan aku tidak salahkan dia kalau dia berbohong.
Kerna,
Aku tahu yang dia masih tidak dapat membezakan yang mana betul, yang mana salah. Dia masih tidak mampu memberi perbezaan yang mana tingkahlaku baik, dan yang mana jahat. Dia masih kurang jelas yang mana pahala yang mana dosa.

Jadi, adalah tugas kita sebagai mereka yang lebih tahu untuk memberi tahu kepadanya.Tugas kita yang sudah jelas tentang yang hak dan yang batil untuk memperjelaskan kepadanya.

Aku berdoa, suatu hari nanti Z akan temui peribadi yang tersembunyi di dalam dirinya. Aku yakin, dia punya potensi yang besar untuk menjadi orang besar suatu hari nanti.

Z, doa akak sentiasa mengiringi setiap langkah Z.
Masih terngiang-ngiang di cuping ini suara Z, "Terima kasih kak, terima kasih banyak-banyak."
Z, akak sayang Z!

Monday, October 10, 2011

Excited!!!

Bagaimana perasaan anda semasa zaman kanak2, apabila mendapat mainan yang diidam2kan?
Teruja? Terharu? Terlompat2?

Mungkin rasa ini sama seperti itu, mungkin juga tidak. Apa yang aku tahu, aku tengah EXCITED!!!
Sebab, apa yg aku impikan terlaksana walaupun baru di peringkat permulaan.
Setiap perjalanan yang tak kesah berapa jauh sekalipun memerlukan langkah yang pertama.
Dan, aku kini telah memulakan langkah itu.
Semoga semuanya baik2 saja dan dipermudahkan oleh Allah. InsyaAllah.

Aku tidak punya capital yang besar untuk disumbangkan kepada mereka yang amat2 memerlukan. Apa yang aku termampu kini hanyalah menyumbang kudrat yang ada.
Tapi, aku percaya kini, dengan bantuan kamu, kamu dan kamu, impian itu boleh menjadi realiti.
Amin....

Monday, October 3, 2011

Adam vs Hawa 1

Kita akui lelaki dan wanita itu memang berbeza. Namun, tak semua yang mengakui perbezaan itu mampu menerima perbezaan itu.
Aku bukan pakar cinta, bukan juga pakar motivasi, tapi aku ingin berkongsi ilmu yang aku cari dan gali untuk tatapan semua, juga buat peringatan kepada diriku yang seringkali lupa dan alpa.
John Gary kata, "problem are inevitable". Begitu juga dalam sesebuah perhubungan, tak kan lari daripada masalah. Nak tak nak, kena hadapi!

Dalam satu-satu perhubungan, jangan pernah ada paksaan, terpaksa, memaksa mahupun dipaksa. Tak ada siapa pun yang suka dipaksa dan berada dalam keadaan terpaksa.

Cuba buka hati seluas-luasnya, insyaAllah kita akan belajar lebih banyak. Belajar memaafkan itu salah satu kebaikan bilamana kita buka hati kita. Dengan memaafkan, kita akan lebih menghargai dan dihargai, akan lebih menyokong dan disokong serta akan lebih memahami dan difahami.
Cukup dengan memahami, kita akan rasa lebih bermotivasi untuk menjalani sebuah kehidupan dan menjalin suatu perhubungan. Tak kisahlah hubungan dengan mak ayah, adik beradik, suami isteri mahupun kawan-kawan.
Berbalik pada tajuk, "Adam VS Hawa", aku nak berkongsi beberapa tips yang mungkin nampak mudah, tapi sebenarnya banyak manfaatnya dalam kehidupan seharian. Tips yang semua orang tahu, tapi selalu lupa! Tips tentang menjadi Adam dan Hawa dalam menjayakan sesebuah perhubungan.



*R.E.S.P.E.C.T dan A.C.C.E.P.T*

 
Adam vs Hawa 1: adalah mengenai “BANTUAN”

 
 Adam ~ Mereka sangat jarang bercerita tentang masalah, kerana ia adalah salah satu tanda KELEMAHAN mereka.

 Hawa ~ Mereka suka bercerita tentang masalah kerana mereka sangat percaya kepada, "SHARING IS CARING".
 

Adam ~ Bila Hawa bercerita tentang masalahnya, Adam fikir Hawa meminta JALAN PENYELESAIAN daripadanya. Adam akan mula memberi macam-macam nasihat, sebab itu cara Adam menunjukkan kasih sayang dan kesungguhannya untuk membantu. Adam tak tahu, dengan hanya mendengar penuh empati dan perhatian sepenuhnya, Hawa akan rasa Adam betul-betul memahami Hawa.

Hawa ~ Bila Adam tidak bercerita tentang masalahnya, terasa Adam tidak menghargainya sebagai pasangan. Jadi, bila Adam senyap, Hawa akan bertanya macam-macam, dan bila Adam mula bercerita masalahnya, Hawa akan menawarkan PERTOLONGAN DAN BANTUAN tanpa diminta. Hawa akan cuba membantu memperbaiki diri Adam. Sebab, bagi Hawa, menerima bantuan bukanlah tanda kelemahan sang Adam. Hawa tak tahu, dengan berbuat demikian, Adam akan rasa Hawa tak percayakan Adam dalam menyelesaikan masalahnya sendiri.


 
Adam ~ Bila Hawa tak terima penyelesaian yang Adam bagi, Adam akan rasa tak kompeten, dirinya tak boleh dipercayai, rasa tak dihargai dan ini akan menyebabkan Adam mula berhenti untuk mengambil berat soal Hawa.

Hawa ~ Bila Adam tak terima cadangan-cadangan daripadanya, Hawa akan rasa Adam dah tak pedulikan Hawa, Hawa pun akan rasa yang perasaan dan kehadirannya tidak dihargai oleh Adam. Hawa akan rasa Adam tak menyokongnya, dan ini akan membuatkan Hawa berhenti untuk mempercayai Adam.


 
SEHARUSNYA,

Adam ~ Mendengar segala masalah Hawa dengan penuh perhatian dan rasa empati. Dengan ini, Hawa akan rasa mendapat sokongan. BERHENTI bagi JALAN PENYELESAIAN kepada Hawa sebab Hawa hanya ingin bercerita dan bercerita tentang masalahnya.

Hawa ~  PENERIMAAN daripada Hawa lebih Adam hargai berbanding nasihat dan cadangan-cadangan untuk memperbaiki diri Adam. Bila Adam rasa Hawa tidak berusaha untuk memperbaiki Adam dengan cadangan-cadangannya, Adam akan lebih selesa meminta maklumbalas dan nasihat daripada Hawa. 

Ingatlah, jangan hanya mencari persamaan dan cuba mengelakkan perbezaan. Kerna, Adam dan Hawa tak kan pernah sama. Adam dan Hawa dilahirkan dengan penuh perbezaan. Belajarlah memahami Adam jika kamu adalah Hawa dan belajarlah memahami Hawa jika kamu adalah Adam. Belajar menerima perbezaan kerna dengan itu sahaja kita bisa memahami apa itu makna persamaan. =)

Jatuh Cinta~ lalalala

Review Ketika Cinta Bertasbih (KCB)
Aku suka satu sajak dalam filem ini:

                                                (Credit to Mr. Google)

Pada mulanya, aku ingatkan cerita ni sama macam Ayat-ayat Cinta, almaklumlah, penulisnya orang yang sama, iaitu Habiburrahman. Tapi, sangkaan aku jauh meleset, aku rasa dah sampai ke planet Pluto dah lesetan itu...

Apa perbedaannya ialah:
1. Watak perempuan yang bertudung, warak sama juga dengan watak lelaki yang warak langsung tidak mencemarkan ajaran Islam. Tiada sentuh-menyentuh dan lain-lain perkara yang boleh mendatangkan syak.

2. Pemilihan pelakon yang memang melalui audition yang sangat rumit. Semua pelakon utamanya, watak mereka kat luar pun lebih kurang macam dalam movie mahupun drama ini. (berkaca-kaca dah mata aku tengok slot audition diaorang..uhu)

3. Pengajaran tentang perjalanan kehidupan seharian yang banyak pancaroba. Even benda kecil pun diaorang persembahkan, tu yang buat cerita ini memang nampak real. Banyak sangat pengajaran tentang erti kekeluargaan, persahabatan dan percintaan dalam cerita ini.


Banyak lagi la, tapi aku macam malas nak ulas. Korang kena tengok sendiri bagi yang tak pernah tengok lagi. Tapi, kalau dah tengok, tapi tak dapat apa yang aku dah senaraikan kat atas, sila tengok berulang kali, OK =)
 
Antara pengajaran baru (baru bagi aku, maybe tidak bagi yang lain; almaklumlah, saya budak baru belajar mengenal hidup..uhu)


~Jangan pernah mendahulukan orang lain dalam membuat kebaikan/ kebajikan. Contoh dalam movie ni, kawan si Azzam membiarkan kekasih hatinya berkahwin dengan lelaki yang pada firasatnya jauh lebih baik daripada dirinya. Bukankah perkahwinan ini ibadah, lantas mengapa dibiarkan orang lain melakukan ibadah itu?? (Mak, ada tak orang masuk meminang anakmu ini?? Nak buat ibadah juga!)
    
~Dahulukan orang tua dalam membuat sebarang keputusan. Contoh daam drama ini, ustaz Ilyas meminang Husna (adik Azzam) tanpa berbincang dengan ahli keluarganya terlebih dahulu. Padahal pada masa yang sama, ibunya ustaz Ilyas hendakkan Fina menjadi menantunya. Terpaksalah Husna makan hati sebab pertunangan diputuskan. (Mak, anakmu ini ikut saja sesiapa pilihanmu)

~ Sentiasa bermunajat dan bermusyawarah. Sangat insaf bila tengok dalam cerita ini, tiap kali ada masalah atau kekeliruan, mesti pertama sekali mereka akan mengadu pada yang Maha Esa, then akan cari orang yang betul untuk berbincang masalah dan cari jalan keluar untuk sesuatu masalah. (Kenapa la aku selalu cari 'orang' dulu untuk share masalah?? uhu)
  
Ada banyak lagi, tapi korang review la sendiri dengan menonton cerita tu. Pasti sangat PUAS HATI. InsyaAllah~ =)