Wednesday, September 12, 2012

Memori Semalam: 11


“Kak, lamanya tak jumpa. Rindu sangat-sangat kat akak tau. Kenapa langsung tak contact Aliya?” Bertalu-talu pertanyaan keluar daripada mulut gadis comel di sebelah Tuah itu. Terus Fatihah dipeluknya sekuat hati. Fatihah hanya tersenyum sambil berbalas pandang dengan Tuah. Sungguh dia tidak suka perasaan yang dia rasa sekarang. Kehadiran Aliya dan abangnya Tuah ke Darul Iman sememangnya menyebabkan Fatihah kembali berasa dekat dengan keluarga tersebut. Dia tahu, mungkin ini antara salah satu langkah Tuah untuk menyambung kembali kisah mereka yang terputus beberapa tahun lalu. Namun, bagi Fatihah apa yang berlalu biarlah jadi sejarah. Tidak sanggup dia mengulangi kisah kasih sayang mereka selepas dirinya diperlakukan dengan tidak sewajarnya oleh Tuah, lelaki yang sangat dia sayangi suatu masa lalu.

“Wah, akak makin cantik sekarang. Patutlah abang Tuah langsung tak cari perempuan lain. Beria-ia abang ajak Aliya datang sini tau. Aliya bagi macam-macam alasan, langsung dia tak nak dengar.” Kata-kata Aliya itu disambut dengan senyuman hambar oleh Fatihah. “Aliya pun apa kurangnya, makin manis akak tengok. Ramailah pemuda-pemuda di luar sana yang berebutkan cik Syarifah kita ni.” Sengaja Fatihah mengusik Aliya bagi mengelak Aliya terus-terusan mengaitkan dirinya dengan Tuah. Dia tidak menyangka sampai ke Darul Iman Tuah mencarinya. Dia tahu Tuah sengaja membawa Aliya supaya dia tidak dapat melarikan diri seperti selalunya.

“Abang Fuad, kenalkan ini Syed Tuah dan ini Syarifah Aliya. Mereka datang sebab nak membantu kita di sini.” Segera Fatihah memperkenalkan mereka dengan abang Fuad yang baru sahaja keluar dari pejabat Darul Iman. “Oh, Syed dan Syarifah ini la yang Fatihah cerita nak tolong kita buat lawatan sambil belajar ke Langkawi tu ya?” Segera abang Fuad menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Tuah.

“Tak payahlah nak ber’syed’ ‘syarifah’ dengan kami, bang. Panggil Tuah dengan Aliya saja cukuplah.” Ternyata sifat rendah diri Tuah masih menebal seperti mana Fatihah mula-mula mengenali jejaka tersebut. “Ye la bang Fuad. Panggil Aliya je, lebih mesra gitu.” Kenyitan mata Aliya mengundang gelak ketawa mereka berempat. Bagi Fatihah, Aliya masih seperti dulu, cepat mesra dengan sesiapa saja. “Marilah kita berbincang dalam pejabat, lebih selesa di dalam.” Segera mereka mengekori langkah abang Fuad yang terlebih dahulu melangkah ke arah pejabatnya.

Lagu kumpulan Dadali yang tiba-tiba mencelah menyebabkan Fatihah melangkah menjauhi abang Fuad dan yang lain-lain sambil menunjukkan isyarat yang dia akan menyusul kemudian. Nama ibunya yang tertera di skrin blackberrynya menyebabkan dia sedikit risau, takut sebarang perkara buruk terjadi di kampung. Jarang sekali ibunya akan menghubunginya melainkan terdapat perkara-perkara kecemasan kerana dia yang selalunya menelefon ibu bertanyakan khabar di kampung.

“Assalamualaikum, bu. Ada apa-apa ke kat kampung?” Nada cemas nyata disambut dengan gelak kecil ibunya. Sedikit berkerut dahi Fatihah mendengar suara gembira ibunya. “Waalaikumsalam. Kamu ni Fatihah, cemas sangat. Tak ada apa-apa yang tak baik kat sini. Semuanya baik-baik saja. Kamu sibuk ke? Ibu ada perkara yang nak dibincangkan dengan kamu.” Sedikit lega Fatihah mendengar suara ceria ibunya.

“Fatihah ada kat Darul Iman, bu. Apa yang ibu nak bincangkan? Ibu nak pakai duit ke, atau adik-adik nak beli buku ke?” Tiada apa yang terlintas di fikiran Fatihah saat ini melainkan keperluan keluarganya. “Tak la. Ini berkenaan kamu.” Terdiam Fatihah sebentar mendengar kata-kata ibunya itu. “Kenapa bu? Ada apa-apa cerita yang tak elok ke yang ibu dengar?” Berdebar dia mendengar kata-kata ibunya tadi. Dia takut ada pihak yang tidak senang dengan dirinya menyebarkan cerita yang bukan-bukan tentang dirinya, lantas menyusahkan orang tuanya di kampung.

“Begini, ada orang masuk meminang kamu. Ibu dah bincang dengan ayah dan kami setuju untuk terima pinangan pihak lelaki.” Sungguh kata-kata tersebut seperti membuatkan dunianya terhenti sebentar. Ternyata ibunya tidak main-main dengan kata-katanya suatu masa dulu apabila Fatihah menyerahkan segala urusan perkahwinannya kepada kedua orang tuanya setelah dia putus dengan Tuah. Dia ingatkan ibubapanya tidak akan membuat keputusan sendiri tanpa terlebih dahulu berbincang dengan dirinya sendiri.

“Ibu, kenapa tak bincang dengan Fatihah dulu?” Dia rasa seperti nak menangis mendengar perkhabaran tersebut. “Bukan ke kamu pernah kata nak serahkan semuanya kepada ibu dan ayah? Lagipun, sudah dua pinangan kamu tolak sebelum ni, Fatihah. Ibu tak nak disebabkan kami tolak lagi kali ni, orang kampung akan terus-terusan mengata pasal kamu.” Agak sayu hatinya mendengarkan kata-kata tersebut. Pandangannya bertembung dengan pandangan Tuah yang memandangnya tajam dari dalam pejabat abang Fuad.

Perasaannya bercampur baur ketika ini. Apa yang pasti, kenangan bersama Tuah suatu masa dulu kadang-kadang menjentik perasaannya. “Tak apa la bu. Kalau itu yang ibu rasakan terbaik untuk Fatihah, Fatihah ikut saja. Tapi, handsome tak calon menantu ibu tu?” Sengaja Fatihah menceriakan suaranya, dia tidak mahu ibunya merasa serba salah sebab dia tahu keputusan yang dinyatakan ibunya tadi adalah kata putus ayahnya yang memang selalu mengingatkan dia untuk membina keluarga sendiri.

Handsome sangat. Ibu tengok gambar pun ibu dah jatuh hati.” Ketawa Fatihah mendengar suara ceria ibunya. “Aik, ibu tak pernah jumpa dia ke?” Pelik Fatihah mendengar jawapan ibunya itu. Dia ingatkan orang kampung yang sememangnya mereka kenal yang masuk meminangnya. “Tak la, mak ayah dia saja yang datang dari Kuala Lumpur. Mereka kata mereka sukakan Fatihah dan nak jadikan Fatihah menantu mereka.” Penerangan ibunya itu membuatkan Fatihah kembali memandang Tuah yang masih memandang ke arahnya. Hatinya berdegup kencang memikirkan kemungkinan yang orang tua Tuah meminangnya. Tapi segera dia menggelengkan kepala kerana masakan ibu akan cakap tak pernah jumpa lelaki tersebut sebab dahulu Tuah pernah mengikutnya balik ke kampung.
“Macam ni, Fatihah. Minggu depan, majlis ulang tahun perkahwinan bakal mertua kamu. Mereka jemput kita semua ke majlis tersebut. Katanya nak buat majlis pertunangan sekali untuk kamu berdua.” Terasa kelat air liurnya demi mendengar kata-kata tersebut. “Ibu nak Fatihah ambil ibu kat kampung ke atau nak Fatihah sewa teksi dari sini?” Walaupun dia seakan-akan sukar menerima berita tersebut, namun digagahkan juga bertanyakan soalan tersebut kepada ibunya.

“Tak perlu susah-susah. Besan ibu kata dia akan sediakan semuanya.” Gelak ketawa ibunya membuatkan Fatihah tersenyum hambar. “Baiklah bu, nanti malam sikit Fatihah call ibu balik. Fatihah ada meeting sikit di Darul Iman ni.” Segera Fatihah mematikan telefon bimbitnya setelah ibunya menjawab salam yang dia hulurkan tanda menamatkan perbualan sebentar tadi. Segera dia beristighfar untuk menenangkan hatinya yang sedikit berkecamuk ketika ini. Dia mengorak langkah ke arah pejabat abang Fuad sambil berusaha melupakan sekejap perkhabaran yang disampaikan ibunya sebentar tadi.

*                                  *                                  *

“Kak, kenapa daripada meeting tadi akak nampak macam stress saja? Akak takut rancangan kita tak menjadi ke?” Soalan Aliya itu turut mendapat perhatian Tuah yang sedang menyuap mi goreng ke mulutnya. “Tak lah. Akak okey saja. Perasaan Aliya je kot.” Segera senyuman dihadiahkan kepada Aliya untuk menunjukkan yang dia memang tiada apa-apa masalah. “Baguslah macam tu. Kalau akak susah hati, nanti ada orang lagi susah hati. Sampaikan Aliya nak tidur malam pun susah sebab kena layan orang angau.” Jelingan Aliya dihadiahkan Tuah dengan cubitan di pipi gebu adiknya itu. Tuah takut Fatihah akan menjauhkan diri daripadanya setelah bersusah payah dia mendapatkan mencari ruang untuk mendekati kembali gadis tersebut.

“Kalau akak nak tahu, abang kata abang nak masuk meminang akak tak lama lagi. Kan abang, kan? Aliya pun dah bagitau kat mummy and daddy. Mereka pun nampaknya macam gembira saja.” Tersedak Fatihah mendengar kenyataan Aliya itu. Segera matanya mencari wajah Tuah yang ternyata pucat mendengar kata-kata adiknya itu. Perasaan Fatihah kembali bercampur baur. Marah, sedih, kecewa semuanya ada. Dia benar-benar tidak mahu menyambung kembali kisah kasih sayang mereka selepas apa yang dia lalui bersama Tuah dulu. Kini, hatinya semakin sakit kerana Tuah menggunakan adiknya pula untuk mendekati dirinnya. Memang dulu dia agak rapat dengan Aliya dan mummy Tuah. Namun, yang berlalu biarlah berlalu. Dia tidak mahu mengulang kembali perkara yang telah pun menjadi sejarah hidupnya.

Dia tahu selama ini Tuah mengekorinya, sehinggakan Tuah mengetahui mengenai Darul Iman. Dia terkejut apabila abang Fuad memberitahu bahawa dia menerima panggilan telefon daripada Tuah yang ingin mengadakan program bersama mereka. Ingin menyuruh abang Fuad menolak perlawaan Tuah itu dia tidak sanggup, kerana dia bukanlah seorang yang mementingkan diri sendiri. Dia tidak mahu kerana masalah peribadinya, kebajikan anak-anak di Darul Iman terjejas. Dia juga tidak mahu kerana dirinya, niat baik Tuah ingin beramal tidak kesampaian.

“Aliya, akak minta maaf. Akak kena pergi sekarang, masih banyak lagi urusan akan di Darul Iman. Tak sedap pula tinggalkan abang Fuad seorang sebab dua lagi sukarelawan tak dapat datang hari ini.” Sengaja Fatihah membuat alasan untuk segera beredar daripada situ. Segera dia bangun bersalaman dan memeluk erat Aliya. Dia tahu niat Aliya baik, tapi tak mungkin dia akan mengingkari janji yang dia buat kepada dirinya sendiri. Dia memandang tajam ke arah Tuah yang hanya tunduk, tidak berani memandang ke arahnya.

No comments: