Sunday, November 25, 2012

KAU


Kau
ya, kau yang punya pesona
yang nyata dia kagumi
kau buat dirinya
hilang dalam leka
mainan emosi dan kata-kata

Kau biarkan dia dengan tanda tanya
sehingga timbul banyak bisikan durjana

Jangan pernah akui dirimu pria sejati
andai kata putus pun tak berani kau beri

Thursday, November 22, 2012

Memori Semalam: 17


Where are you, my dear?” SMS yang diterimanya daripada Mikhail membuatkan dia tersenyum sendiri. Ada rasa indah yang mula berputik di dalam hatinya. Apakah benar dia sudah jatuh cinta dengan Mikhail? Kenapa begitu mudah rasa itu muncul, sedangkan dia baru sahaja mengenali lelaki itu. Mikhail bukanlah yang pertama mendekatinya setelah dia putus dengan Tuah tiga tahun yang lalu. Tapi, dalam ramai-ramai lelaki, dia akui ada satu perasaan aneh bila mana dia berhadapan dengan Mikhail. Selalu saja dia tidak menjadi dirinya yang sebenar tatkala berhadapan dengan lelaki kacak itu.

           “Amboi, amboi kakyong. Senyum lebar nampak. Berangan eh?” Teguran Farah mematikan senyuman Fatihah. Tersengih dia ke arah ibu dan mama Mikhail yang turut sama berada di ruangan butik pengantin sahabat baik Puan Sri Hamidah itu. Sengaja mama Mikhail memilih butik sahabatnya, padahal dia sendiri memiliki sebuah butik, Butik Indah di mana dia mula mengenali Fatihah. Baginya, dia mahu merasa perasaan seperti ibu-ibu lain yang ke sana ke mari menyediakan persiapan untuk perkahwinan anak lelaki tunggalnya. Cukuplah Nura dahulu menggunakan pakej butiknya sendiri.

            Belum sempat Fatihah mahu menjawab usikan Farah, Blackberrynya berlagu nyaring. Segera dia meminta izin untuk mengangkat panggilan tersebut. “Where are you, my girl?” “Assalamualaikum.” Terasa mesra gelakan di hujung talian. “Waalaikumsalam, sayang. Pandai nak kenakan I ye, sekarang?” Panas wajahnya dengan panggilan sayang yang dituturkan oleh Mikhail. “Kenapa tak jawab SMS I? U busy ke? You tengah buat apa?” Soalan demi soalan diajukan oleh Mikhail membuatkan Fatihah ketawa kecil. Dapat dia bayangkan wajah mengada-ngada Mikhail.

            “Banyaknya soalan. Yang mana satu I nak jawab dulu?” Agak mesra nada suara Fatihah ketika itu. Mungkin rasa bahagia di dalam hatinya membuatkan dia mahu melayan Mikhail sebaiknya. Terdengar suara garau Mikhail yang tergelak di hujung talian. ”Okey, where are you?” Masuk kali ini, sudah tiga kali Mikhail bertanyakan soalan yang sama. ”I kat butik. Dengan ibu, Farah dan aunty.” ”Mama lah sayang. Bila nak start praktis panggil mama?” Merah wajah Fatihah mendengar kata-kata Mikhail itu. Kalaulah Mikhail di hadapannya kini, pasti lelaki itu semakin galak mengusiknya seperti selalu.

            ”Err, tak biasa lagi. You kat mana?” Sengaja dia bertanyakan soalan itu dengan harapan Mikhail tidak lagi mengusiknya. ”Tukar topik ya? Tak pe, tau la you nanti.” Semakin manja pula suara Mikhail pada pendengarannya. ”Sayang, I laparlah. Jom teman I makan, nak? You kat butik mana? I datang ambil.” Fatihah terdiam tanda tidak tahu mahu bersetuju atau tidak dengan ajakan Mikhail. Nanti apa pula kata ibu dan mama Mikhail. Sudahlah mereka baru saja sampai, album baju dan hantaran pun belum sempat dibeleknya.

            I tanya ibu dan aunty dulu, nanti I text you, okey?” Itu jawapan yang paling selamat baginya. “Okey then. I’m waiting. But please practice to call mama, ya.” Masih sempat Mikhail mengingatkan dia soal panggilan itu. Mekar senyuman di bibirnya tanda bahagia dengan gurauan Mikhail. Mungkin sudah sampai masanya untuk dia memberi peluang kepada dirinya untuk mempercayai lelaki. Mungkin juga sudah tiba masanya untuk dia bergerak meninggalkan memori yang saban hari menghantuinya apabila disebut soal hati dan perasaan. Tidak salah kiranya dia mengambil risiko untuk menyerahkan hatinya kepada Mikhail.

            Langkah diatur ke arah ibu dan mama yang sedari tadi sibuk membelek album pakaian pengantin. Mama? Amboi, sudah pandai hatinya membisikkan paggilan itu. Tersenyum dia mengingatkan kata-kata Mikhail tadi. Matanya terpaku pada satu gambar model berjubah putih yang ditaburi manik-manik merah jambu dan peach. Nampak ringkas namun ada stail yang tersendiri. “Ibu, Fatihah suka tengok baju yang ini.” Tersenyum ibunya dengan pilihan Fatihah. Dia pun baru sahaja ingin mencadangkan persalinan tersebut kepada anaknya.

            “Mama pun setuju kalau Fatihah ambil yang itu. Untuk Mikh pula, kita ambil baju melayu putih dengan sampin yang senada dengan hiasan pada jubah tu. Okey tak?” Panggilan mama yang digunakan oleh Puan Sri Hamidah membuatkan Fatihah tersenyum malu. Anak dengan mamanya sama saja, bisik hati kecilnya. Hanya anggukan yang dia berikan kerana sememangnya dia sukakan persalinan tersebut. Shirley diarahkan oleh Datin Maimun, pemilik butik tersebut untuk mengambil ukuran badan Fatihah.

            “Aunty, tadi Mikhail called. Dia ajak pergi lunch.” Perlahan suara Fatihah menyuarakan perkara tersebut. Selebihnya, dia malu mahu menggunakan panggilan mama kepada Puan Sri Hamidah. Masih terlalu awal baginya untuk memanggil bakal mertuanya dengan panggilan itu. “Mama dah SMS dia tadi, suruh datang sini, untuk ambil ukuran bajunya. Sajalah tu, cari alasan untuk call Fatihah.” Tergelak mama dan ibunya melihat aksi terkejut Fatihah. Faham benar mereka perasaan anak muda yang sememangnya tengah bahagia itu.

            “Akak, tak sangkanya jumpa akak kat sini.” Terkejut Fatihah dengan sapaan itu, lagi-lagi badannya turut dipeluk oleh gadis yang datang secara tiba-tiba. Matanya bulat memandang ke arah wanita sebaya ibunya di sebelah gadis tadi. ”Aunty...” Hampir tidak kedengaran suaranya. Segera pelukan Aliya dirungkainya. Tangan dihulurkan kepada wanita yang hampir mengalir airmatanya itu. Sebaik sahaja dia menyalami tangan itu, badannya dipeluk kejap. Terkaku dia dengan tingkah ibu Tuah itu.

            Menyedari ada tiga lagi wanita di situ, segera Datin Sarah melepaskan pelukannya. Senyuman dihadiahkan kepada mereka yang ada di situ. Tangan segera dihulurkan tanda perkenalan. ”Aliya, aunty, ini ibu Fatihah. Yang ini adik, namanya Farah. Dan yang ini bakal ibu mertua Fatihah, Puan Sri Hamidah.” Fatihah memperkenalkan tiga orang insan penting dalam hidupnya kepada Aliya dan ibunya. ”Panggil saja Hamidah,” ujar mama sebaik bersalaman dengan Datin Sarah. Jelas riak terkejut di muka Aliya dan ibunya apabila diperkenalkan kepada Puan Sri Hamidah.

            ”Lama tak jumpa Fatihah. Tak sangka dah nak kahwin rupanya. Tahniah.” Agak hambar kedengaran kata-kata itu. Datin Sarah memandang sayu ke arah Fatihah. Hancur harapannya mahu bermenantukan Fatihah setelah dia memasang angan-angan tersebut sebaik dikhabarkan oleh Aliya tentang pertemuannya dengan Fatihah tempoh hari. ”Terima kasih. Jemputlah ke majlis kami nanti, Datin.” Huluran kad jemputan oleh Puan Sri Hamidah disambut dengan senyuman tawar.

            ”Oh ya, minggu depan jemputlah ke majlis kesyukuran di rumah kami. Fatihah, bawa sekali ibu dan bakal mertua kamu. Lagi ramai, lagi meriah. Boleh kita berkenalan dengan lebih rapat lagi.” Datin Sarah cuba menyingkirkan rasa kurang senang di hatinya. Dia tidak mahu Fatihah merasa serba salah apabila berhadapan dengannya. Walaupun Fatihah gagal menjadi menantunya, dia tetap sayangkan gadis tersebut. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu gadis lemah lembut itu terus menghilangkan diri seperti tiga tahun yang lepas.

            ”Minta maaf Datin. Kami ke Bandung minggu hadapan. Cadangnya mahu mencari barang-barang untuk majlis perkahwinan Fatihah dan anak lelaki saya.” Terkejut Fatihah mendengar perkhabaran itu. Tak pernah dia terfikir akan ke Bandung hanya untuk persiapan perkahwinannya. Baginya, di Malaysia sendiri sudah ada banyak pilihan. ”Tapi tak mengapa, insyaAllah Fatihah mungkin boleh ke sana nanti.” Fatihah memandang ke arah ibunya dengan wajah penuh tanda tanya. Siapa yang akan pergi ke Bandung? Bakal pengantin tak pergi sekali?

            ”Tak mengapa. Kami faham, Puan Sri. Nanti kak Fatihah datanglah ke rumah. Mesti abang Tuah suka.” Aliya yang menyedari dia terlepas cakap segera menggigit bibirnya. Dia perasan riak kurang senang pada wajah ibu Fatihah dan Farah. Fatihah sendiri sudah tertunduk, mungkin tidak tahu bagaimana mahu bereaksi dengan kata-kata Aliya itu. Bagaimanalah dia boleh terlepas cakap begitu. Mungkin dia masih mengharapkan Fatihah kembali kepangkuan abangnya. Datin Sarah yang menyedari keadaan yang kurang menyenangkan itu segera meminta diri. Takut lagi lama mereka di situ, makin banyak pula yang tersingkap. Selepas bertukar nombor telefon dengan Fatihah, dia dan Aliya terus pergi meninggalkan butik Datin Maimun walaupun belum sempat bersua muka dengan kenalannya itu.

            Fatihah membalas bisikan ibunya dengan anggukan sahaja. Malas dia mahu bercerita soal Tuah lebih-lebih lagi dengan kehadiran mama. Melihatkan wajah ibunya yang tidak beriak, dia gagal menebak apa yang bersarang di dalam hati wanita kesayangannya itu. Dia berdoa agar ibunya tidak beranggapan yang bukan-bukan tentang dirinya dan Tuah.

            Mama dan Farah menyambung membelek album yang disediakan Datin Maimun. Ibunya juga kelihatan teruja melihat album di tangan Farah. Malas mahu bertanya lebih lanjut tentang Tuah, dia juga turut serta dalam perbincangan mama dan Farah. Kali ini mereka riuh bercerita tentang gubahan hantaran yang sememangnya cantik-cantik belaka. Fatihah pula melangkah ke arah Shirley setelah gadis itu menggamitnya. Barangkali masih ada yang perlu dibincangkan soal jubahnya.

            Gelak ketawa yang semakin kuat mengundang tanda tanya kepada Fatihah. Apalah yang seronok sangat sehinggakan dari dalam fitting room dia masih mendengar riuhnya. Dia yang pada asalnya hanya berbincang soal sulaman manik pada jubahnya dipaksa oleh Shirley untuk mencuba jubah yang sedia ada. Katanya untuk memudahkan dia mereka pakaian Fatihah nanti. Setelah butang terakhir di tangan dibutangkan, Fatihah melangkah keluar dengan penuh yakin. Suka pula dia dengan rekaan jubah di badannya kini. Mungkin ada idea yang boleh digunapakai untuk jubahnya nanti.

            Terkejut dia melihat Mikhail yang berjalan menghampirinya. Rasanya baru sekejap sahaja dia masuk ke dalam fitting room tadi, dan baru sahaja dia meletak panggilan telefon Mikhail. Serta-merta perutnya terasa sebu. Muka rasa berbahang, serasa mahu demam rasanya. Terasa sumbang langkahnya menuju ke arah Shirley yang sudah tersengih melihat dia mengenakan jubah merah jambu itu. Semakin dekat, semakin jantungnya berdenyut kuat.

            ”Kan I dah cakap. Jubah ni sesuai sangat dengan you.” Teguran Shirley hanya dijawab dengan senyuman. Entah kenapa dia rasa lain macam bila ada Mikhail di sisi. Dulu tak ada pula dia berperasaan begitu. ”You looked gorgeous, sayang. You pilih baju ni ke untuk wedding kita nanti?” Renungan Mikhail membuatkan Fatihah diam tak terkata. Dalam diam dia cuba menenangkan hatinya yang rasa melantun-lantun tak tentu pasal.

            ”Fatihah pilih warna putih untuk akad nikah kamu nanti. Mikh okey kan?” Soalan mama menyelamatkan Fatihah daripada terus mencari mangsa renungan nakal tunangnya itu. Segera Fatihah senyum ke arah mama, tanda terima kasih. ”Mikh ikut saja permintaan bakal menantu mama.” Meleret senyuman Mikhail memandang mamanya. Sudah lama dia tidak mempamerkan wajah sebegitu di hadapan ahli keluarganya. Jika benar kehadiran Fatihah menghadiahkan kegembiraan buat mereka sekeluarga, dia akan pertahankan hubungan yang baru wujud itu.

*                                  *                                  *

            ”Mikh, minggu depan mama dan ibu nak ke Bandung. Papa dan ayah pun akan ikut sekali. Nanti kamu berdua buat persiapan kat sini ya? Tinggal nak cuba baju pengantin dan confirmkan hotel. Yang lain, mama dan ibu siapkan.” Terhenti suapan Mikhail mendengar kata-kata mamanya itu. Bandung? Bila pula orang tuanya merancang perkara ni. Dijelingnya ke arah Fatihah di sebelah. Gadis itu pun hanya menjungkitkan keningnya tanda tidak faham maksud jelingannya.

            ”Bila mama dan papa decided nak ke Bandung? Habis tu, Mikh dan Fatihah kenapa tak boleh ikut sekali?” Ada nada tidak puas hati di situ. Dia tahu, mesti kak Nura dan abang Imran ikut serta dalam trip kali ini. ”Ye la, kalau Mikh dan Fatihah ikut, siapa nak uruskan hal-hal di sini. Lepas kahwin nanti boleh la pergi mana-mana untuk honeymoon. Kali ini bagi pengantin-pengantin lama bercuti dulu.” Lepas ketawa Mikhail mendengar kata-kata mamanya. Hati melonjak gembira mengenangkan dia akan pergi bercuti berdua dengan Fatihah kelak.

            ”Nanti, bolehlah Fatihah ajak Mikhail ke rumah Datin Sarah. Tak elok hampakan harapan orang.” Tersedak Fatihah di sebelahnya. Segera Mikhail mengangkat tangan mengurut belakang tunangnya walaupun di halang oleh Fatihah. ”Siapa Datin Sarah ma?” Pelik dia melihat wajah serba salah Fatihah sebaik sahaja mamanya mengutarakan perkara tersebut. ”Kawan mama.” Pendek jawapan daripada mamanya. Semakin buat Mikhail pelik apabila ibu dan Farah saling pandang memandang antara satu sama lain. Mesti ada sesuatu, bisik hati kecilnya. 

Sunday, November 18, 2012

Hilang


Luka paling dalam yang kau rasa
Biasanya dihadiahkan oleh dia
Insan yang paling kau sayang
Kerna
Dia sentiasa di atas tahta
Sehinggakan satu saat dia jatuh ke jurang
Paling dalam, dan terus hilang
Hilang terus dari carta
Menghadiahkan kau satu teriakan panjang

Kalau satu saat dia kembali
Menagih tempat di carta hati
Terpulanglah pada diri
Samada mau memaafi

Dan kau yang paling ku sayang
Walupun kembalimu ku sambut tenang
Jangan sangka ingatanku hilang

Pedih luka yang kau hadiahkan
Walaupun sembuh dari pandangan
Takkan pernah mengembalikan
Aku yang pernah kau hilangkan. 

Sunday, October 28, 2012

Duniawi


Sakit
Perit
Dia sudah lali
Hatinya sudah tidak mengenal lagi
Tentang semua rasa tadi

Tak usah bicara tentang cinta
Kalau kau tak bersedia untuk kecewa
Bukan beerti cinta akhirnya derita
Cuma bahagia takkan hadir suka-suka

Tutup lampu
Pejam mata
Kira bintang satu-satu
Lupakan seketika hal dunia.

Friday, October 26, 2012

Memori Semalam: 16


Mona mematikan langkahnya sebaik sahaja melihat Tuah di sebuah restoran. Wajah lelaki itu nampak agak keruh. Barangkali ada permasalahan yang belum selesai. Mona yang pada mulanya ingin ke salun untuk merawat rambut keringnya segera mengubah haluan ke arah Tuah. Dia selalu percaya, peluang tidak akan datang banyak kali. Sedari mula-mula mengenali Tuah dia sudah memasang angan-angan untuk menjadi teman wanita anak Datuk itu. Baginya lelaki itu cukup sempurna dengan paras rupa seperti model dan poket yang sentiasa penuh. Dia percaya, bukan dia seorang yang tertarik dengan lelaki itu, tetapi dia yakin usaha tangga kejayaan. Nah, sekarang pucuk dicita, ulam mendatang. Peluang di depan mata, tak baik dipersia. Segera rambut dibetulkan dan cermin mata hitam yang menutup mata galaknya diletakkan di atas kepala.

Sengaja dia melanggar bucu meja Tuah untuk menarik perhatian lelaki itu. “Ouch!” Sakit memang sakit, tapi dipendamkan saja. Apalah nak dikirakan sangat sakit yang sedikit itu andai dia berjaya mendapatkan nombor telefon Tuah. Selebihnya nanti pandai-pandai la dia menyusun rentaknya. Dia tersenyum dalam diam melihat Tuah bangun dan datang ke arahnya. “Are you okey?” Soalan Tuah umpama rahmat buat Mona. Pasti lelaki tersebut terkejut dengan kehadiran gadis cantik sepertinya. “Ops! Sorry. I tak perasan terlanggar meja you. Sorry sebab dah ganggu you.” Penuh lemah lembut kata-kata itu dituturkannya. Senyuman selebar-lebarnya dihadiahkan kepada Tuah. Selama ini, ramai lelaki yang tewas dengan senyuman dan lirikan matanya. Dia mahu menggunakan aset yang sama dalam menawan hati Tuah.

It’s okey.” Tuah membalas sambil mengambil jaketnya di kerusi, tanda ingin melangkah pergi. “If I’m not mistaken, you Tuah, kan?” Mona masih mencari jalan untuk bersembang lama dengan Tuah. Dia tidak mahu terlepas peluang begitu sahaja. Bukan mudah untuknya bertemu Tuah. Selepas party meraikan kepulangan Tuah tempoh hari, dia langsung tidak menemui lelaki itu di mana-mana party. Dengar khabarnya Tuah sibuk dengan urusan pejabat dan sibuk mencari bekas kekasihnya. “Yes. And you?” Tuah mengerutkan keningnya tanda cuba untuk mengingati nama gadis seksi di hadapannya. Rasanya gadis tersebut bukanlah kawannya kerana dia langsung tidak mengenali gadis tersebut.

Baru sahaja Mona ingin bersuara, telefon bimbit di tangannya berlagu nyaring tanda ada panggilan masuk. “Sorry, sekejap ya Tuah.” Mona menyambut panggilan tersebut dengan hati yang sebal. Kenapalah ada gangguan pada saat dia ‘sibuk’ begini. “Ye Fatihah. Ada apa kau call aku?” Nama yang meniti di mulut gadis di hadapannya menyebabkan Tuah tidak jadi melangkah pergi. Matanya tepat menghala ke arah gadis di hadapannya. Kecil rupanya dunia ini. Dalam keadaan yang tidak disangka-sangka, dia kini memiliki peluang untuk menghampiri Fatihah. Mungkin dia boleh mendapatkan maklumat tentang Fatihah melalui gadis tersebut. Senyuman terukir di bibirnya mendengar setiap butir bicara gadis di hadapannya. Kepala mula merangka rancangan untuk mengundang Mona berbicara mengenai Fatihah.

Housemate you ada masalah ke?” Soalan Tuah mengejutkan Mona. Dia tidak menyangka Tuah mendengar segala butir bicaranya sebentar tadi. “Ya, I kena balik rumah dulu, sebab dia tertinggal kunci. Careless betul, kan?” Mimik mukanya dimaniskan walaupun dalam hati dia mengutuk Fatihah yang sudah menggangu masanya untuk menawan hati Tuah.

It’s okey. Kalau you tak kisah, I boleh ikut sekali. I pun tengah free. Bosan pula melepak sorang-sorang.” Tak cukup dengan ayat pancingnya itu, Tuah menghulurkan senyuman paling manis untuk teman serumah Fatihah itu. Mona kelu tidak terkata. Tidak disangkanya Tuah akan menyerah diri sebegini. Mungkin solekannya hari ini begitu sempurna sehinggakan Tuah terus jatuh cinta padanya. “Sure! By the way, I’m Mona. Kita pernah jumpa di club masa you baru balik Malaysia.” Bersungguh-sungguh Mona cuba mengingatkan Tuah di mana mereka pernah berjumpa sebelum ini.

Oh, really? No wonder I macam familiar saja dengan wajah manis di depan I.” Sengaja dia berkata demikian walaupun hakikat sebenarnya dia langsung tidak mengingati gadis tersebut. Maklum sahajalah, sambutan yang diadakan oleh rakan-rakannya beberapa bulan yang lepas dihadiri oleh ramai gadis-gadis seksi seperti Mona. Dia perasan ramai juga di antara mereka yang menunjukkan minat terhadapnya, namun dia malas mahu melayan gadis-gadis sebegitu.

So, should we? Tak baik biar housemate you tunggu lama, kan?” soal Tuah seraya mendepakan tangan menunjukkan ke arah keretanya yang diparkir di hadapan restoran. Tersenyum manis Mona yang berjalan beriringan dengan Tuah. Dia perasan pandangan gadis-gadis yang ada di dalam restoran tersebut. Siapa tidak bangga berjalan seiringan dengan lelaki tampan berkereta mewah macam Tuah. Dalam diam dia berterima kasih kepada Fatihah yang menelefonnya sehinggakan Tuah sanggup menumpangkan dia menaiki kereta yang sudah semestinya tidak akan mampu dia miliki dengan wang hasil titik peluhnya sendiri.

*                                  *                                  *

Housemate you orang mana?” Soalan Tuah mematikan lamunan Mona yang sedari tadi tercari-cari modal untuk berborak dengan Tuah sementara menunggu lampu isyarat bertukar warna. “Fatihah? Dia orang Melaka. Kenapa tanya pasal dia. You tak nak tanya pasal I?” Naik meremang tengkuk Tuah mendengar suara mendayu-dayu Mona. Bukan dia tidak perasan gelagat Mona yang cuba menggodanya, tapi demi mengetahui soal Fatihah, dia sanggup menghadapi seribu Mona sekalipun.

Mona menunjukkan muka masam apabila Tuah langsung tidak bersuara melainkan bertanyakan arah jalan ke rumahnya. Setibanya di hadapan pagar rumah, kelihatan Fatihah dan adik perempuannya sedang berdiri di luar kereta. Segera Mona menghampiri Fatihah dengan muka bengang sambil menghulurkan kunci pagar dan rumah. Tanpa mengedari kehadiran Tuah, Fatihah segera membuka pagar dan masuk ke dalam rumah. Baginya, lagi cepat dia memulangkan semula kunci kak Mona, makin cepatlah kemarahan wanita tersebut reda.

“Kak Mona, terima kasih. Maaf ya, orang terlupa bawa kunci minggu lepas. Sibuk dengan urusan keluarga. Ni pun, orang tak balik rumah untuk beberapa hari. Kenalkan ini adik orang, Farah.” Farah yang sedari tadi diam memandang wajah penuh warna-warni kak Mona menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan kak Mona. Malas sebenarnya dia mahu bersalaman dengan wanita garang itu, namun melihatkan jelingan kakaknya, pantas sahaja dia menghulurkan tangannya.

“Oh, ya ka. Patutlah tak balik rumah. Akak ingatkan kau dah pergi menikah.” Terkejut Fatihah mendengar sindiran daripada kak Mona. Namun, senyuman tetap dihulurkan tanda malas mahu melanjutkan perkara tersebut. ”By the way, akak datang berteman tadi. Kejap ya, akak panggil boyfriend akak.” Ujar kak Mona penuh keterujaan. Fatihah mengambil kesempatan tersebut meletakkan barang-barang yang diambilnya sebentar tadi ke dalam bonet belakang kereta. Dia menggelengkan kepala mengenangkan kak Mona yang kerap kali bertukar pasangan. Di dalam hatinya berdoa agar wanita tersebut insaf dan kembali ke jalan yang benar.

“Fatihah, kenalkan….” “Hai Fatihah. Lama tak jumpa.” Kata-kata Tuah memeranjatkan kak Mona. Hampir dia terlupa bahawa Tuah adalah senior Fatihah seperti yang pernah gadis itu maklumkan kepadanya dahulu. ”Oh ya, lupa pula I yang you senior Fatihah kan?” Mona tersenyum ke arah Tuah untuk menutup rasa terkejutnya sebentar tadi. “Abang Tuah, lama tak jumpa.” Teguran Farah semakin mengejutkan Mona. Dia tidak menyangka Farah turut mengenali Tuah.

“Macam mana…” Belum sempat Mona menghabiskan kata-katanya, Fatihah terlebih dahulu menyuruh Farah masuk ke dalam kereta. Dia takut lagi lama dia di situ, lagi banyak pula yang kak Mona ketahui. Cukuplah kak Mona mengenali dia sebagai junior Tuah. Dia tidak mahu kisah silamnya diketahui oleh kak Mona mahupun sesiapa yang tiada kaitan dengan dirinya. Cukuplah dia menderita dulu dengan segala tindakan Tuah terhadapnya. Dia tidak mahu mengulangi masa lalu.

“Fatihah, kenapa buat I macam ni?” Semakin bulat mata Mona melihat tangan Tuah yang memegang lengan Fatihah. Sungguh dia tidak menyangka rupanya ada kisah menarik antara Tuah dan Fatihah. Fatihah yang tersentak dengan tindakan Tuah segera memboloskan diri ke tempat duduk pemandu keretanya. Dia tidak menyangka akan bertemu Tuah lagi, lebih-lebih lagi di hadapan rumahnya. Habislah dia selepas ini, pasti Tuah akan lebih kerap mengunjungi rumah sewanya, lagi-lagi Tuah turut mengenali kak Mona yang sememangnya sangat bebas bersosial itu.

Tuah tidak sempat menghalang pemergian Fatihah apabila gadis tersebut terus memecut keretanya tanpa mempedulikan dia dan Mona. Sungguh dia terasa hati dengan perbuatan Fatihah. Dia tidak menyangka Fatihah sanggup memalukan dia sebegitu rupa. Mengenangkan Fatihah yang kini berstatus tunangan orang, hatinya semakin sakit. Tidak sanggup dia membayangkan Fatihah berjalan beriringan dengan Mikhail.

Mona segera menghampiri Tuah yang sudah terduduk di hadapan pagar rumahnya. Muka kusut dan merah Tuah ternyata menarik perhatiannya. Dia mahu tahu apa hubungan Tuah dengan rakan serumahnya itu. Tangannya menepuk bahu Tuah, sebagai tanda Tuah tidak keseorangan di situ. Melihatkan Tuah yang langsung tidak berganjak, Mona turut duduk di hadapan Tuah. Tuah yang terkejut dengan kehadiran Mona secara tiba-tiba di hadapannya pantas berdiri. Malu sungguh dia dilihat dalam keadaan yang tidak terurus sebaik sahaja berjumpa Fatihah tadi. Sangkanya dia dapat berbincang secara baik-baik dengan gadis tersebut, tapi Fatihah langsung tidak mahu memberi ruang dan peluang kepadanya. Sakit sungguh hatinya diperlakukan sebegitu oleh Fatihah.

“Jom, I teman you minum. I tau, mesti you nak tahu pasal Fatihah kan?” Sengaja Mona memancing Tuah dengan berkata demikian. Harapannya, akan ada peluang untuk dia memperoleh keuntungan daripada perkara tersebut. Mulut tersenyum ceria sebagai tanda kegembiraan. Tuah yang pada mulanya ingin beredar meninggalkan Mona memandang tepat ke arah Mona yang asyik tersenyum dan tersengih sedari tadi. Mungkin ada faedahnya jika dia berkawan dengan Mona. Mana tahu Mona boleh menolongnya mendapatkan kembali Fatihah.

Tuah melangkah laju ke arah keretanya sambil dituruti oleh Mona. Fikirannya saat itu hanya mahu mengetahui semuanya tentang Fatihah melalui Mona. Lebih-lebih lagi soal pertunangan Fatihah dan Mikhail. Sungguh dia sakit hati dengan pertemuannya dengan Mikhail beberapa hari lepas yang kesudahannya berpijar rasa mukanya dengan tumbukan padu oleh lelaki bertubuh tegap itu. Namun, lagi sakit hatinya melihat Fatihah berjalan beriringan dengan Mikhail tanpa langsung memandang ke arahnya.



Tuesday, October 23, 2012

Hati Seorang Aku



Dia
Ditentukan jalan hidupnya
Oleh keluarga yang dia cinta

Ada yang kata dia lemah
Asyik mengalah
Tidak punya pendirian
Selalu turuti permintaan
Ayah ibu yang membesarkan
Tapi, bukankah itu yang dituntutkan?

Ada yang kata dia tegar
Kerna Berjaya hadam segala onar
Biar mata dah berpinar
Hati rasa pijar

Andai kau tau
Sebenarnya dia tak perlukan penilaianmu
Apatah lagi kata-kata semangat darimu
Apa yang dia perlu
Sebuah dakapan rindu
Untuk dia lepaskan sendu. 

Sunday, October 21, 2012

Pejalan Kaki

Dari katil putih 
sebelah tingkap
kau kalih 
ada rasa yang ingin kau singkap

Apa rasanya berjalan di rumput nan hijau
apa rasanya berlari hingga hampir hilang nafas

Kalih lagi
pejam mata
cuba singkirkan segala emosi
sukarnya

Tangan meraba
ingin merasa anggota bawah
yang boleh bawa melangkah
malangnya tiada. 

Memori Semalam: 15


Mikhail mematikan langkah apabila melihat seseorang sedang membuka pintu peti sejuk di dapur rumah keluarganya. Dari malap cahaya lampu di beranda luar rumah, dia yakin bayang tersebut adalah Fatihah. Gadis tersebut hanya berseluar sukan dan berbaju-T longgar. Kepalanya pula ditutupi dengan tuala. Mikhail ingin menegur Fatihah, namun suaranya tersekat apabila tuala yang tersangkut di kepala Fatihah terjatuh. Terserlah rambut ikal gadis tersebut yang hampir mencecah pinggangnya. Mikhail segera memegang dada kirinya yang pada masa itu berdegup kencang. Inilah kali pertama dia melihat Fatihah tanpa tudung, dan ternyata gadis tersebut lebih cantik begitu.

Fatihah meletakkan kembali tuala yang terjatuh tadi di kepalanya. Dia berhajat ingin menyambung kembali tidurnya yang terganggu kerana haus sebentar tadi. Namun kakinya kaku melihat Mikhail berdiri di tengah-tengah pintu masuk kawasan dapur itu. Dia berdoa semoga Mikhail tidak nampak apa yang dia sembunyikan selama ini. “Err, Mikhail.” Lain yang diharapkan lain pula yang jadi. Entah kenapa menggoda semacam sahaja nada suaranya kali ini. Segera dia berdehem untuk menghalau rasa yang tidak selesa berhadapan dengan lelaki tersebut dalam keadaan dia hanya menutup kepala dengan tuala.

Mikhail yang terleka melihat Fatihah segera kembali ke alam nyata mendengar deheman gadis itu. Bukan sahaja Fatihah yang kelihatan gugup, dia pun turut sama gugup. Tetapi, mengenangkan dirinya lelaki, segera dia bertindak seperti tiada apa-apa yang janggal. “Kenapa tak tidur lagi? I ingatkan ada pencuri tadi,” akhirnya berjaya juga dia bersuara. “Maaf sebab bising. Tadi I haus. Tu yang turun nak minum. Nak buka lampu, tak tahu suis kat mana,” perlahan Fatihah menerangkan situasi sebenar dirinya. Takut bunyi bising dia tersepak kerusi tadi membangunkan Mikhail yang telah tidur lena.

“Tak mengapa. I pun tak tidur lagi sebenarnya. Hauslah. You boleh tolong buatkan I Nescafe panas?” Soalan Mikhail dijawab dengan anggukan oleh Fatihah. “You duduk dulu. Nanti I buatkan.” Masih kelihatan gugup Fatihah walaupun dia sedaya upaya cuba kelihatan tenang di hadapan Mikhail.

It’s okey my dear. I tunggu you kat hall. Lagipun ada game best malam ni, Arsenal lawan Chelsea.” Senyuman dihadiahkan kepada Fatihah dengan harapan gadis tersebut lebih selesa dengan dirinya. Dia bertindak mendekati Fatihah apabila melihat gadis tersebut kaku di tempatnya. Fatihah yang menyedari pergerakkan Mikhail segera melangkah ke belakang perlahan-lahan. Langkahnya terkunci apabila belakang badannya bersentuhan dengan peti sejuk. Terasa pahit air liurnya melihatkan wajah Mikhail yang hanya beberapa inci dari wajahnya. Dapat dia rasakan hangat nafas lelaki itu.

”Tolong jangan potong rambut you, sebab you dah cukup cantik dengan rambut sebegitu.” Terasa hangat wajahnya mendengarkan kata-kata Mikhail yang diucapkan secara berbisik di tepi telinganya. Segera dia melangkah ke arah tangga sebaik sahaja Mikhail berkalih ke tepinya. Tidak sanggup dia melihat wajah Mikhail selepas mengetahui yang lelaki tersebut telah melihat aurat yang selama ini dia jaga. Menyesal dia tidak memakai tudung, sebaliknya memilih menggunakan tuala untuk menutup rambutnya tadi.

”Pergilah pakai tudung. I tunggu you kat depan. Lagipun ada perkara yang I nak bincangkan dengan you.” Agak serius kata-kata Mikhail kali ini dipendengaran Fatihah. Hatinya berdebar-debar memikirkan apakah agaknya perkara yang ingin Mikhail bincangkan dengannya. Laju kakinya melangkah meniti anak tangga untuk ke bilik sementaranya di atas.

*                                  *                                  *

Bunyi suara lelaki berborak menyedarkan Fatihah yang Mikhail tidak berseorangan di depan televisyen. Laju tangannya membancuh air nescafe permintaan Mikhail tadi dalam sebuah teko. Dua biji cawan di letakkan di dalam dulang yang sama dengan teko tadi. Perlahan, langkahnya disusun ke arah Mikhail dan abang Imran yang sedang berborak mengenai perlawanan bola yang sedang mereka saksikan.

”Eh, Fatihah. Susah-susah aja buatkan air. Terima kasih. Tak nak join sekali ke? Ni pasukan kegemaran Mikhail, Arsenal.“ Kata-kata abang Imran disambut dengan senyuman Fatihah. Dia mengerling ke arah Mikhail yang nampak serius, tidak seperti tadi semasa di dapur. Hatinya mendesak ingin bertanya apa yang ingin dibincangkan, tetapi akalnya menyatakan masanya tidak sesuai, lagi-lagi dengan kehadiran abang Imran di antara mereka.

”Tak mengapalah bang. Dah lewat sangat ni, saya naik tidur dulu,“ sopan Fatihah meminta diri. ”Good night, then.“ Terkejut Fatihah dengan sapaan Mikhail. Sangkanya Mikhail marahkan dia sehingga langsung tidak memandang ke arahnya sebentar tadi.

            ”Night, assalamualaikum,“ Fatihah mengorak langkah selepas Mikhail dan abang Imran menjawab salamnya. Dia berfikir untuk terus menyambung tidur kerana badannya sudah terasa sangat penat. Hatinya juga sudah penat kerana sedari tadi berdegup kencang dengan pandangan dan perlakuan Mikhail. Andai kata dia diminta untuk terus bersama mereka, dia takut dia pengsan lantaran tidak mampu menahan debaran saat berada dekat dengan Mikhail, lagi-lagi selepas insiden di dapur tadi.

            Mikhail menghantar pemergian Fatihah dengan senyuman yang menghiasi bibirnya. Segera tangannya mencapai iPhonenya dan menaip sesuatu untuk tunangnya itu. Tingkahlakunya diperhatikan oleh abang Imran dengan senyuman. Sungguh dia rasa gembira melihat kegembiraan Mikhail sekarang. Selama ini, dia selalu berdoa agar Mikhail memperolehi kebahagiaannya selepas mengetahui sejarah hidup Mikhail melalui isterinya, Nura.

            ”Mikh, abang tengok Fatihah tu gadis yang baik. Abang harap Mikh dengan dia akan berkekalan jodohnya. Abang harap sangat Mikh akan jaga dia baik-baik. Jangan sia-siakan gadis yang baik macam Fatihah tu,” kata-kata abang Imran ternyata mengejutkan Mikhail. Dia tidak menyangka abang Imran akan mengeluarkan kata-kata sebegitu. Air nescafe dihirupnya perlahan. Air bancuhan tunangnya itu memang kena dengan tekaknya. Tidak terlalu manis.

            Mikh menghadiahkan senyuman kepada abang Imran. Teringat pesanan ringkas yang dihantarnya kepada Fatihah sebentar tadi. Dia dapat bayangkan wajah manis Fatihah yang pasti memerah membaca pesanan yang dikirimnya sebentar tadi. ”Dream of me, dear. As I always did.” 

            ”Mikh, jauh melamun. Ni tengok bola ke teringatkan yang di atas?” tersungging senyuman di wajah abang Imran melihat Mikhail yang mengelabah dengan tegurannya. Dia tahu, fokus Mikhail sekarang bukanlah pada perlawanan bola di hadapannya. Bukan dia tidak nampak Mikhail yang asyik melihat ke arah iPhonenya seolah-olah menunggu balasan SMS daripada seseorang.

            ”Abang Im, Mikh tanya sikit boleh?” Soalan Mikhail dijawab dengan anggukan oleh abang Imran. ”Masa abang buat keputusan untuk berkahwin dengan kak Nura, abang tahu tak tentang kehidupan dia sebelum berjumpa abang?” Mikhail memfokuskan pandangannya ke arah abang Imran. Bola sudah tidak mampu menarik perhatiannya seperti kebiasaannya.

            ”Mikh risau Fatihah ada buah hati sebelum ini?” soalan abang Imran membuatkan Mikhail tersentak. Dia tidak menyangka abang Imran mengetahui apa yang dia rasakan kini. ”Mikh pernah berjumpa dengan bekas kekasih Fatihah yang sehingga kini masih mahukan Fatihah kembali kepadanya.” Agak payah sebenarnya untuk dia menuturkan kata-kata tersebut, tapi mengenangkan fikirannya yang tidak tenteram dengan cerita-cerita Ima, dia membuat keputusan untuk meminta pandangan abang iparnya itu.

            ”Mikh ada bertanyakan sendiri kepada Fatihah?” Mikhail hanya menggelengkan kepalanya untuk menjawab soalan abang Imran. ”Tuah Datuk Mursyid, anak pemilik Maju Holdings. Dia bekas kekasih Fatihah. Mereka putus setelah Tuah mengetahui Fatihah hanya ingin mempermainkan dia dan mengikis harta miliknya.” Mikhail meluahkan kembali cerita yang Ima kisahkan kepadanya.

            ”Mikh yakin dengan cerita yang Mikh dengar?” Soalan abang Imran hanya dijawab dengan gelengan kepala Mikhail. Dia sendiri sebenarnya tidak mahu mempercayai cerita yang disampaikan oleh Ima kepadanya. ”Kenapa Mikh tak cari semula Mona?” Tersentak Mikh mendengarkan soalan yang keluar daripada mulut abang Imran. Hatinya sedikit terusik mendengarkan nama yang meniti daripada bibir lelaki di hadapannya.

            ”Maaf Mikh. Abang cuma nak tahu. Kenapa Mikh tak cari semula Mona dan berbaik dengan dia? Abang yakin, dia mesti mahu berbaik semula dengan Mikhail kerana bukan senang nak dapat lelaki yang sanggup melabur apa sahaja untuk wanita kesayangannya.” Kata-kata abang Imran membuatkan Mikhail diam tanpa sebarang kata.

            ”Mikh, abang tahu Mikh rasa sangat sakit hati dengan tindakan Mona bukan? Disebabkan kecewa dengan Mona, mama, papa dan kak Nura pernah hampir kehilangan Mikh. Kerana Mona juga, Mikh berubah menjadi Mikh yang kini digilai hampir semua staf di pejabat, kan?” Mikhail tersenyum mendengarkan kata-kata abang Imran yang sedikit lucu di hujung katanya. Dia masih diam, mahu mendengar apa kata-kata selanjutnya yang akan dituturkan oleh abang Imran.

            ”Mikh, kita sama-sama lelaki. Abang yakin, Mikh tentu faham perasaan seorang lelaki yang ditinggalkan oleh kekasihnya yang curang. Setelah Mikh curahkan segala-galanya untuk dia, dia sewenang-wenangnya memilih untuk bersama lelaki lain. Apa Mikh boleh maafkan saja semua kesalahan dia selepas bertahun-tahun Mikh menderita cuba hapuskan kenangan bersama dia? Abang tahu Mikh ada jawapannya, sebab kalau benar cerita yang Mikh dengar tentang Fatihah, sebenarnya Mikh dan Tuah berada dalam situasi yang sama.” Tersentak Mikhail mendengar kata-kata abang Imran.

            ”Mikh, abang pernah melakukan kesalahan terhadap kak Nura. Abang pernah putuskan hubungan kami yang bermula sejak di bangku sekolah lagi. Abang tuduh dia yang macam-macam. Setelah mengetahui perkara sebenar, itupun selepas beberapa tahun, abang cari dia semula. Jenuh juga abang memujuk dia untuk kembali ke pangkuan abang. Alhamdulillah, jodoh kami kuat sampai sekarang.” Mikhail dapat lihat mata abang Imran yang bergenang.

            ”Rupa-rupanya, abanglah lelaki yang setiap hari menghantar bunga dan coklat untuk akak ya? Dan, abang jugalah lelaki yang selalu Mikh jawab panggilannya bila kak Nura tak nak layan panggilan yang setiap satu jam tu.” Ketawa besar Mikhail mengenangkan betapa kalutnya kak Nura meminta dia menyamar menjadi kekasih kakaknya ketika itu. Dia masih ingat bagaimana dia bergaduh dengan lelaki yang asyik menelefon kakaknya hatta semasa tengah malam. Sanggup kakaknya mengejutkan dia daripada tidur untuk bercakap dengan lelaki itu di telefon.

            Ketawa Mikhail bergabung dengan ketawa abang Imran. Masing-masing geli hati mengenangkan peristiwa lampau itu. ”Mikh, abang rasa Tuah berada dalam situasi yang sama macam yang pernah abang lalui dulu. Pasal Ima, abang tidak tahu kenapa dia perlu burukkan Fatihah di hadapan Mikh. Secara logiknya, tadi Fatihah mengatakan Ima sahabatnya, dan sebagai seorang sahabat sudah pasti kita akan menjaga aib sahabat kita. Mikh, abang yakin Mikh seorang lelaki yang matang, boleh membezakan sesuatu yang baik dan buruk. Berbincanglah dari hati ke hati kerana salah sangka hanya akan merugikan diri sendiri, Mikh.” Panjang lebar pesanan yang diberikan oleh abang Imran kepadanya.

            ”Abang doakan yang terbaik untuk Mikh. Beruntung Mikh dapat gadis seperti Fatihah.” Kata-kata dan tepukan di bahunya menyedarkan Mikhail yang abang Imran mahu beredar naik. Mungkin sudah mengantuk barangkali. Perlawanan bola pun sudah habis, namun dia tidak tahu siapa pemenangnya. Segera televisyen dimatikan dan dia membawa teko dan cawan-cawan tadi ke dapur. Dia melangkah menuju ke biliknya dan sebaik sahaja berada di depan pintu biliknya, dia merenung ke arah pintu yang bertentangan. Mengenangkan Fatihah yang mungkin sudah tidur di dalam bilik tersebut, bibirnya menguntumkan senyuman. Mungkin benar apa yang dikatakan oleh abang Imran sebentar tadi. Malam ini, pasti tidurnya lena.


Tuesday, October 9, 2012

Setulus Cinta Zulaikha: 3


Kelihatan seorang pemuda berumur akhir 20-an duduk termenung di sebuah bangku batu di belakang bangunan hospital. Pakaiannya lusuh dan dia nampak sangat tidak terurus. Sesiapa yang melalui kawasan tersebut pasti akan menutup hidung kerana bau busuk yang terbit daripada badan lelaki tersebut. Pasti akan kedengaran daripada mulut sesiapa sahaja yang lelaki tersebut salah seorang gelandangan di kota metropolitan ini, lelaki yang mendiami lorong-lorong gelap dan juga seorang penagih tegar. Ini ekoran tubuhnya yang kelihatan kurus kering dan amat tidak terurus.
Baru sebentar tadi lelaki tersebut menziarahi rakan karibnya, Pojie yang semakin nazak. Melihatkan keadaan Pojie tadi menjadikan dia seorang yang penakut. Penakut dengan sebuah ketentuan bernama kematian, takut dengan seksaan Allah yang pasti tidak boleh dielak lantaran kesilapan diri. Sudah sebulan Pojie menjadi penghuni hospital itu, dan ini beerti sudah sebulan jugalah dia menjadi peneman sahabatnya itu. Doktor dan jururawat di situ sudah kenal siapa dia dan dia tidak peduli dengan pandangan sinis oleh sesetengah pihak. Baginya, dia sudah cukup malu dengan keadaan dirinya, dan bertindak seperti tiada apa-apa yang berlaku adalah tindakan terbaik buat masa sekarang.
Walaupun kadangkala dia terasa hati dengan sindiran beberapa orang petugas hospital, tapi demi kawan baiknya Pojie, dia pekakkan telinga. Dia sedar dirinya yang digelar sampah masyarakat itu ada kalanya tidak mendapat tempat langsung dalam sesetengah masyarakat di sini. Kalau adapun yang bersimpati dan ingin menolong dia, bilangannya hanya minoriti, malah hampir tiada.
            Kehadiran kedua orang tua Pojie tadi sungguh meruntun jiwanya. Dia teringatkan kedua orang tuanya dan adik-adik yang sangat manja dengannya suatu ketika dahulu. Kini dia sering terkenangkan memori mereka sekeluarga yang sungguh bahagia suatu masa dulu. Terngiang-ngiang di cuping telinganya suara lembut ayahnya memberikan dia nasihat. Masih terasa hangat sentuhan ibunya setiap kali dia menyalami tangan itu jika mahu ke mana-mana. Masih terbayang olehnya rengekan manja adik-adiknya minta dibawakan ke taman-taman rekreasi untuk beriadah. Bukan dia tidak rindukan ahli keluarganya, dia teramat rindukan mereka. Namun, dia sedar kedaifan dirinya kini. Siapalah yang akan berbangga memiliki seorang anak dan abang yang bergelar penagih dadah. Lantaran tidak mahu mengaibkan keluarganya, dia menghilangkan diri. Langsung tidak menghantar khabar berita.
            “Argh!” Dia menjerit kesakitan apabila tidak tertanggung menahan rasa perit itu. Tidak dapat dia gambarkan dengan kata-kata betapa sakitnya dia ketika ini. Airmatanya menghambur keluar. Begitu juga peluh dingin dan air liurnya. Sudah dua minggu dia cuba menahan rasa gian itu. Setiap kali rasa sakit itu datang, dia akan datang ke taman belakang hospital. Di situ tersedia sebuah tandas awam. Di situlah dia berusaha menyejukkan dirinya. Sesudah rasa sedikit tenang, dia akan duduk melamun di kerusi batu tempat duduknya kini.
            Kesakitan yang dia rasakan kinilah antara penyebab mengapa dia terus menerus mengambil dadah. Bukan dia tidak pernah mencuba untuk berhenti menagih, tetapi apabila rasa gian itu datang, dia tidak berupaya menolak. Satu-satunya cara untuk menghilangkan rasa sakit akibat gian itu adalah dengan mendapatkan dos yang seterusnya. Apabila rasa sakit itu sudah hilang, dia akan merasa bertenaga semula. Tetapi, sebaik sahaja kesan dos tadi lenyap, dia akan mengalami kesakitan semula.
            Andai dapat dia undur ke masa lalu, pasti dia akan menjauhi benda-benda najis yang kini semakin hari semakin memakan dirinya. Seolah-olah dadah adalah makanan ruji yang mesti dia telan saban hari. Makanan yang menjadi sumber tenaga dan punca kehidupan dia setiap hari. Kalaulah dia punya kekuatan yang luar biasa, pasti dia akan melawan rasa sakit itu dan hidup seperti manusia biasa, jauh daripada belenggu dadah dan masa depan yang semakin hari semakin kelam.
            Dia masih ingat beberapa bulan yang lepas, semasa Pojie jatuh sakit. Demam yang melarat sehingga memaksa dia membawa Pojie ke rumah sakit. Badan Pojie yang dipenuhi kudis langsung tidak membuatkan dia geli untuk mengendong Pojie sehingga ke pintu utama kecemasan apabila Pojie didapati sukar bernafas pada suatu malam. Walaupun berhadapan dengan pandangan serong oleh ahli perubatan yang bertugas ketika itu, tapi demi menyelamatkan nyawa sahabat baiknya, dia telan semua rasa yang dia rasa pada ketika itu. Baginya, nyawa Pojie adalah segala-galanya pada masa tersebut. Sesungguhnya, dia tidak mahu kehilangan satu-satunya sahabat baiknya itu.
            Menunggu Pojie yang agak lama menerima rawatan menyebabkan dia mengambil keputusan untuk memaklumkan perkara tersebut kepada kedua orang tua Pojie. Malangnya, dia tidak menyimpan nombor telefon mereka. Nasib baik ada jururawat yang bermurah hati untuk menjejaki mereka dengan meminta maklumat daripada pihak berkuasa. Setelah seminggu Pojie dimasukkan ke dalam wad, barulah kedua ibubapanya berjaya dihubungi. Hati siapa yang tidak tersayat dan luluh mendengarkan anak yang disayangi selama ini menghidap AIDS dan tengah nazak di hospital. Semestinya rasa malu dan hiba yang melampau menguasai kedua ibubapa Pojie.  
            Pada mulanya, mereka tidak mahu melawat Pojie di rumah sakit. Bagi ayahnya, Pojie sudah lama meninggal, sejak diketahui menagih dadah lagi. Pojie tidak dibenarkan balik ke kampung dan menjenguk ibu dan adiknya. Namun, kasih sayang seorang ibu amatlah kuat. Saban hari ibu Pojie akan memujuk ayahnya untuk datang menjenguk Pojie. Pujukan demi pujukan akhirnya mampu mencairkan ego seorang ayah.
            Terbayang-bayang di mata Kamil saat dia dan Pojie sama-sama khayal suatu ketika dulu. Betapa nikmat itu sukar dia gambarkan dengan kata-kata. Dia seperti berada dalam dunianya sendiri, dunia yang penuh kenikmatan dan ketenangan. Kini, airmata kesakitan mengalir bersama airmata penyesalan. Benarlah kata pepatah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.
*                                  *                                  *
            “Pojie, malam ini ke mana arah tujuan kita?” Kamil bertanya dengan penuh perasaan teruja. Dia tahu, mesti ada sesuatu yang dirancang oleh Pojie untuk keseronokan mereka malam ini. Pojie sememangnya kawan yang sangat menghiburkan. Dia tahu bagaimana membahagiakan kawan-kawan dengan keseronokan duniawi. Setakat ini, dia tidak pernah menyesal berkawan baik dengan Pojie. Baginya, Pojie satu-satunya kawan susah dan senangnya. Dewasa ini, lagi-lagi di kota metropolitan ini, bukan senang mencari seorang sahabat sejati. Baginya, Pojie adalah sahabat dunia akhiratnya.  
“Malam ini ada pertunjukkan di Dataran Merdeka. Live show, without any protection.” “Aik, sejak bila kau layan lumba haram ni?” Kamil pelik dengan kenyataan Pojie sebentar tadi. Setahunya, Pojie tidak berminat dengan adegan-adegan lumba haram yang sering didengarnya dianjurkankan oleh pihak-pihak tertentu di tempat-tempat seperti Dataran Merdeka. Tindakan yang sengaja mencabar pihak berkuasa.
“Siapa kata aku berminat dengan aksi-aksi yang pelik-pelik tu semua? Aku cuma nak rasa kena kejar dengan polis.” Pojie ketawa dengan kenyataannya sendiri. “Kau tak takut kena tangkap?” Kamil cuak dengan kenyataan Pojie sebentar tadi. Dia takut ditangkap oleh pihak berwajib, dan kesudahannya, dia terpaksa memberikan keterangan mengenai ahli keluarganya. Sesungguhnya, dia belum bersedia untuk menemui mereka.
Chill, bro. Malam ni, kita pergi sana sebagai penonton je. Bila polis datang, kita cabut. Ikut jalan-jalan belakang yang sedia ada. Confirm boleh lepas punyalah. Kawan aku dah banyak kali buat. Sekarang ni aku nak juga merasa adrenalin aku terembes laju.” Kata-kata Pojie disambut dengan gelak ketawa oleh rakan-rakan yang lain, kecuali Kamil. Dia masih takut dan was-was dengan cadangan tersebut.
“Kamil, dalam hidup kita tak boleh merasa selesa. Nanti kita tak ke mana. Kita kena ada matlamat yang hendak dicapai dan dikejar. Setakat hisap benda tu di lorong-lorong, itu perkara biasa. Orang biasa hanya lakukan perkara-perkara biasa. Kita harus jadi orang yang luar biasa. Aku nak cabar diri aku, berlumba dengan pihak berkuasa. Kali ini, aku nak tengok, siapa lari lagi laju. Kau atau aku.” Cabaran Pojie disambut dengan anggukan oleh Kamil. Dia sangat mengagumi Pojie, sudah semestinya dia akan menuruti kata-kata Pojie.
Malam itu, seperti yang dirancang, mereka ke Dataran Merdeka pada tepat jam 12 tengah malam. Suasana pada ketika itu masih seperti biasa. Keadaan lalu lintas juga tenang dan terkawal. Sepertinya tiada sebarang acara yang bakal berlangsung. Kamil dan Pojie beserta beberapa lagi rakan yang lain duduk di kaki lima menghadap ke bangunan bersejarah di Dataran Merdeka. Mata meliar melihat pemandangan Kuala Lumpur yang sentiasa tidak pernah sunyi dengan manusia dan kenderaan.
            Jam besar berbunyi sekali, menandakan sudah sejam mereka duduk melepak di Dataran Merdeka. Kelihatan semakin ramai mat rempit yang berkumpul di situ. Rata-rata berpakaian serba hitam. Kamil mula teruja, kerana inilah kali pertama dia bakal menyaksikan pertunjukan yang mungkin mengundang maut di depan matanya. Kelihatan seorang wanita seksi dengan bendera di tangan. Mungkin sebentar lagi perlumbaan di jalan yang lurus itu akan bermula.
            Kamil meliarkan pandangannya, takut-takut ada pihak polis yang telah menghidu acara mereka sejak awal lagi. Namun, semuanya nampak terkawal. Mungkin pihak berkuasa belum tahu mengenai perlumbaan malam ini. Bunyi motor semakin membingitkan suasana yang pada awalnya tenang. Asap berkepul-kepul keluar daripada corong ekzos motosikal masing-masing. Wanita seksi tadi sudah bersedia di bahagian hadapan barisan motor-motor yang sepertinya lebih daripada 30 buah kesemuanya.
            Perlumbaan bermula. Kamil dan Pojie turut menjerit terkinja-kinja tanda teruja dengan aksi-aksi di depan mata mereka. Ada beberapa orang mat rempit yang terjatuh mungkin kerana hilang imbangan semasa memecut laju, mungkin juga akibat perlanggaran sesama sendiri. Mat rempit yang lain meneruskan perlumbaan kerana masing-masing ingin menang. Pasti ganjarannya lumayan. Kalau tidak, masakan mereka berani mencabar pihak berkuasa dengan melakukan aksi sebegitu di tempat awam. Tambahan pula, mereka kelihatan seperti langsung tidak pedulikan keselamatan diri, apatah lain orang lain yang berada di sekitar.
            Hampir 20 minit berlalu, pelbagai aksi dipamerkan oleh mat-mat rempit yang rata-ratanya terdiri daripada golongan remaja dan belia. Laluan yang disediakan untuk perlumbaan malam itu tidaklah begitu jauh, tetapi syarat pertandingan, siapa yang paling laju dan paling bergaya di atas motosikal, dialah yang akan diumumkan sebagai pemenang. Dalam para penonton bersorak menjerit penuh teruja menyaksikan aksi-aksi berbahaya di depan mata, terdengar dari jauh bunyi siren pihak berkuasa. Semua mat-mat rempit terus memecut motosikal masing-masing ke pelbagai arah, mencari jalan keluar dari kawasan Dataran Merdeka. Para penonton yang datang menaiki motosikal juga turut melarikan diri kerana tidak mahu tertangkap dan dibawa ke lokap. Kamil, Pojie dan rakan-rakan yang datang berjalan kaki terus berlari ke arah bangunan DBKL untuk menyelamatkan diri.
            Akibat hilang imbangan, Kamil terjatuh dan hampir tidak mampu berlari lagi. Koyak di jeans lusuhnya bertambah besar dan jelas lututnya berdarah. Pojie yang perasan keadaan Kamil segera berpatah balik dan memaut tangan dan bahu sahabatnya itu. Dia tidak sanggup Kamil di’angkut’ oleh pihak berkuasa kerana jika itu terjadi, pasti Kamil akan dihantar ke pusat pemulihan dan dia tidak akan bertemu Kamil lagi selepas itu. Masanya semakin suntuk, dan dia mahu habiskan hidupnya dengan sahabat paling baik yang dia pernah miliki.
            Derapan kaki anggota beruniform semakin jelas kedengaran di telinga Kamil dan Pojie. Kamil cuba sedaya upaya melupakan rasa sakit di kakinya dan berlari sambil dibantu oleh Pojie. Mereka menyusup di belakang bangunan DBKL dan seterusnya membuat laluan ke arah jalan Tunku Abdul Rahman dan seterusnya bergerak pantas ke lorong Haji Taib. Di sana ‘markas’ mereka dan tempat paling selamat buat mereka. Rakan-rakan yang ada bersama mereka tadi ada di antaranya sudah berjaya dicekup oleh pihak berkuasa, manakala yang lainnya sudah kembali ke ‘markas’ masing-masing.
            Setelah yakin bahawa mereka selamat, Kamil dan Pojie sama-sama ketawa lega dan teruja. Nasib mereka baik kerana tidak mengambil ‘barang’ sebelum ke Dataran Merdeka tadi. Kalau tidak, pasti nasib mereka sama seperti beberapa orang rakan yang tidak berupaya memboloskan diri tadi. Setelah penat ketawa, Pojie mengeluarkan makanan ruji mereka, kali ini dengan jumlah yang lebih banyak beserta jarum baru untuk dirinya dan Kamil. Jika sebelum ini mereka berkongsi jarum, mulai kali ini dia tidak mahu Kamil berkongsi dengannya. Kamil memandang pelik ke arah Pojie tapi malas mahu memikirkan kenapa kerana sekarang dia tengah teruja untuk mengambil ‘nyawa’nya. Dia ingin berada di dalam dunia yang mana dia adalah raja dan segalanya berlaku mengikut kehendaknya.
*                                  *                                  *
            “Allah!” Sungguh lama lidahnya tidak menyebut kalimah itu. Selama beberapa tahun ini dia hidup berpaksikan keseronokan duniawi semata-mata. Tiang agamanya memang sudah roboh, apatah lagi amalan yang lainnya. Satu-satunya perkara yang dia tidak lupakan hanyalah sedekah senyuman kepada rakan-rakan dan sesiapa yang menyapanya. Senyuman yang dia hulurkan bilamana kewarasan masih ada dan dia tidak berada dalam khayalan. Sekarang, barulah dia sedar betapa kerdilnya dia ketika berdepan ketetapan Ilahi. Sahabat baiknya kini menderita akibat AIDS yang dihidapinya sudah berjaya merosakkan fungsi peparunya. Doktor kata, itu adalah peringkat terakhir bagi seseorang penghidap AIDS.
            Dia segera memerhati kulit tangannya. Ada bintik-bintik di belakang tangannya hingga ke siku. Petanda yang kulitnya memang tidak sihat. Bahkan, seluruh anggotanya, luar dalam, zahir dan batin memang tengah sakit teruk. Sakit yang mungkin juga tiada penawarnya. Kamil begitu takut sekiranya dia juga dijangkiti virus yang sama seperti Pojie. Sememangnya dulu mereka suka berkongsi jarum dan dia juga tahu dia berisiko besar untuk dijangkiti. Patutlah dulu Pojie betul-betul nekad tidak mahu berkongsi jarum dengannya. Walaupun didesak dengan alasan membazir, Pojie tidak sesekali memberikan jarumnya kepada Kamil untuk dikongsi. Pojie sanggup mendapatkan jarum baru untuk sahabatnya itu. Mungkin dia sudah tahu yang dirinya seorang penghidap HIV.
            Sebelum ini dia selalu terbaca mengenai HIV, AIDS dan penagih dadah. Padanan yang amat sesuai dan secocok. Namun, tak pernah terlintas olehnya yang virus yang selama ini masih dicari penawarnya kini sedang menyerang sahabat baiknya. Malah, kini sahabatnya itu seolah-olah tengah menunggu masa untuk tewas di tangan virus halus tersebut. Kalau boleh, dia mahu menggantikan tempat Pojie, kerana dia tidak sanggup melihat keadaan kedua orang tua Pojie tatkala melihat anak yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang, diberikan pendidikan yang tertinggi menjadi sampah masyarakat, dan pengakhirannya amat mendukacitakan.
Anak yang selama ini diharapkan akan menguruskan jenazah kedua orang tuanya kini terbaring kaku tanpa mampu berbuat apa-apa. Hati ibu mana yang tidak terluka, hati ayah mana yang tidak terhiris. Tapi, kasih ibu membawa ke syurga, sayang ayah buat selamanya. Mereka masih menerima Pojie seadanya dan selalu membacakan ayat-ayat suci al-Quran untuk pendengaran Pojie. Sungguh, hati Kamil begitu tersentuh melihat sebentar tadi ayah Pojie mengajar anaknya mengucapkan dua kalimah syahadat tiap kali Pojie kelihatan hampir kehilangan nafas.
            Kamil juga menyesal, kerana sebagai seorang sahabat yang paling dekat dengan Pojie, dia tidak tahu masalah yang ditanggung oleh sahabatnya itu. Dia tidak peka dengan tahap kesihatan Pojie yang semakin hari semakin menyusut sejak beberapa bulan yang lepas. Kalau tidak, pasti dia akan memaksa Pojie mendapatkan rawatan yang sepatutnya. Sesungguhnya, dia tidak sanggup kehilangan sahabat sebaik Pojie, sahabat yang sanggup susah bersamanya. Sahabat yang sanggup memenangkan dia tatkala orang lain menyalahkan dirinya. Bukan sekali Pojie bergaduh dengan pengedar dadah gara-gara kesilapan dirinya, bahkan banyak kali sehingga Pojie pernah cedera teruk dibelasah.
            Tangisannya semakin kuat berserta gigilan yang semakin rancak. Rasa sakit dan penyesalan bercampur baur. Sungguh dia takut untuk mati, padahal dia tahu mati itu suatu yang pasti. Terbayang-bayang olehnya wajah kedua orang tua dan wajah dua orang adiknya. Dia takut akan menjadi seperti Pojie. Dia takut virus yang sama berada dalam dirinya, seterusnya membuat serangan dan menjadikan dia mayat hidup, sama seperti Pojie. Dia takut tidak sempat meminta maaf daripada ahli keluarganya.
“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk” Terngiang-ngiang kata-kata nasihat ayahnya suatu masa lalu yang merupakan tafsiran ayat ke-45 surah al-Baqarah. Dia bukanlah pemuda yang kurang didikan agama, malahan ayah dan ibunya amat berpegang teguh pada ajaran Islam. Benarlah kata bijak pandai, iman tak boleh diwarisi, juga tidak boleh dijual beli.
Sembahyang! Sudah terlalu lama dia tidak melaksanakan tuntutan agama itu. Baginya, dia sangat sibuk sehingga tiada masa untuk melakukan perintah Allah yang sememangnya tiang agama itu. Matanya merenung jauh ke hadapan sambil menahan gigilan badannya. Dia terkenangkan saat-saat dia menunaikan solat berjemaah bersama ahli keluarganya suatu masa dulu. Antara solat Maghrib dan Isyak, selalunya akan diisi dengan tazkirah. Saat ini, sungguh dia rindukan suasana damai itu.