Mona
mematikan langkahnya sebaik sahaja melihat Tuah di sebuah restoran. Wajah
lelaki itu nampak agak keruh. Barangkali ada permasalahan yang belum selesai.
Mona yang pada mulanya ingin ke salun untuk merawat rambut keringnya segera
mengubah haluan ke arah Tuah. Dia selalu percaya, peluang tidak akan datang
banyak kali. Sedari mula-mula mengenali Tuah dia sudah memasang angan-angan
untuk menjadi teman wanita anak Datuk itu. Baginya lelaki itu cukup sempurna
dengan paras rupa seperti model dan poket yang sentiasa penuh. Dia percaya, bukan
dia seorang yang tertarik dengan lelaki itu, tetapi dia yakin usaha tangga
kejayaan. Nah, sekarang pucuk dicita, ulam mendatang. Peluang di depan mata,
tak baik dipersia. Segera rambut dibetulkan dan cermin mata hitam yang menutup
mata galaknya diletakkan di atas kepala.
Sengaja dia melanggar bucu meja Tuah untuk menarik
perhatian lelaki itu. “Ouch!” Sakit memang sakit, tapi dipendamkan saja. Apalah
nak dikirakan sangat sakit yang sedikit itu andai dia berjaya mendapatkan
nombor telefon Tuah. Selebihnya nanti pandai-pandai la dia menyusun rentaknya. Dia
tersenyum dalam diam melihat Tuah bangun dan datang ke arahnya. “Are you okey?” Soalan Tuah umpama rahmat
buat Mona. Pasti lelaki tersebut terkejut dengan kehadiran gadis cantik
sepertinya. “Ops! Sorry. I tak
perasan terlanggar meja you. Sorry sebab
dah ganggu you.” Penuh lemah lembut
kata-kata itu dituturkannya. Senyuman selebar-lebarnya dihadiahkan kepada Tuah.
Selama ini, ramai lelaki yang tewas dengan senyuman dan lirikan matanya. Dia
mahu menggunakan aset yang sama dalam menawan hati Tuah.
“It’s okey.”
Tuah membalas sambil mengambil jaketnya di kerusi, tanda ingin melangkah pergi.
“If I’m not mistaken, you Tuah, kan?”
Mona masih mencari jalan untuk bersembang lama dengan Tuah. Dia tidak mahu
terlepas peluang begitu sahaja. Bukan mudah untuknya bertemu Tuah. Selepas party meraikan kepulangan Tuah tempoh
hari, dia langsung tidak menemui lelaki itu di mana-mana party. Dengar khabarnya Tuah sibuk dengan urusan pejabat dan sibuk
mencari bekas kekasihnya. “Yes. And you?”
Tuah mengerutkan keningnya tanda cuba untuk mengingati nama gadis seksi di
hadapannya. Rasanya gadis tersebut bukanlah kawannya kerana dia langsung tidak
mengenali gadis tersebut.
Baru sahaja Mona ingin bersuara, telefon bimbit di
tangannya berlagu nyaring tanda ada panggilan masuk. “Sorry, sekejap ya Tuah.” Mona menyambut panggilan tersebut dengan
hati yang sebal. Kenapalah ada gangguan pada saat dia ‘sibuk’ begini. “Ye
Fatihah. Ada apa kau call aku?” Nama
yang meniti di mulut gadis di hadapannya menyebabkan Tuah tidak jadi melangkah
pergi. Matanya tepat menghala ke arah gadis di hadapannya. Kecil rupanya dunia
ini. Dalam keadaan yang tidak disangka-sangka, dia kini memiliki peluang untuk
menghampiri Fatihah. Mungkin dia boleh mendapatkan maklumat tentang Fatihah
melalui gadis tersebut. Senyuman terukir di bibirnya mendengar setiap butir
bicara gadis di hadapannya. Kepala mula merangka rancangan untuk mengundang
Mona berbicara mengenai Fatihah.
“Housemate you
ada masalah ke?” Soalan Tuah mengejutkan Mona. Dia tidak menyangka Tuah
mendengar segala butir bicaranya sebentar tadi. “Ya, I kena
balik rumah dulu, sebab dia tertinggal kunci. Careless betul, kan?” Mimik mukanya dimaniskan walaupun dalam hati
dia mengutuk Fatihah yang sudah menggangu masanya untuk menawan hati Tuah.
“It’s okey. Kalau you tak kisah, I boleh
ikut sekali. I pun tengah free. Bosan pula melepak sorang-sorang.”
Tak cukup dengan ayat pancingnya itu, Tuah menghulurkan senyuman paling manis
untuk teman serumah Fatihah itu. Mona kelu tidak terkata. Tidak disangkanya
Tuah akan menyerah diri sebegini. Mungkin solekannya hari ini begitu sempurna
sehinggakan Tuah terus jatuh cinta padanya. “Sure! By the way, I’m Mona. Kita pernah jumpa di club masa you baru balik Malaysia.” Bersungguh-sungguh Mona
cuba mengingatkan Tuah di mana mereka pernah berjumpa sebelum ini.
“Oh, really? No
wonder I macam familiar
saja dengan wajah manis di depan I.” Sengaja
dia berkata demikian walaupun hakikat sebenarnya dia langsung tidak mengingati
gadis tersebut. Maklum sahajalah, sambutan yang diadakan oleh rakan-rakannya
beberapa bulan yang lepas dihadiri oleh ramai gadis-gadis seksi seperti Mona. Dia
perasan ramai juga di antara mereka yang menunjukkan minat terhadapnya, namun
dia malas mahu melayan gadis-gadis sebegitu.
“So, should
we? Tak baik biar housemate you
tunggu lama, kan?” soal Tuah seraya mendepakan tangan menunjukkan ke arah
keretanya yang diparkir di hadapan restoran. Tersenyum manis Mona yang berjalan
beriringan dengan Tuah. Dia perasan pandangan gadis-gadis yang ada di dalam
restoran tersebut. Siapa tidak
bangga berjalan seiringan dengan lelaki tampan berkereta mewah macam Tuah.
Dalam diam dia berterima kasih kepada Fatihah yang menelefonnya sehinggakan
Tuah sanggup menumpangkan dia menaiki kereta yang sudah semestinya tidak akan
mampu dia miliki dengan wang hasil titik peluhnya sendiri.
* * *
“Housemate you orang mana?” Soalan Tuah
mematikan lamunan Mona yang sedari tadi tercari-cari modal untuk berborak
dengan Tuah sementara menunggu lampu isyarat bertukar warna. “Fatihah? Dia
orang Melaka. Kenapa tanya pasal dia. You
tak nak tanya pasal I?” Naik
meremang tengkuk Tuah mendengar suara mendayu-dayu Mona. Bukan dia tidak
perasan gelagat Mona yang cuba menggodanya, tapi demi mengetahui soal Fatihah,
dia sanggup menghadapi seribu Mona sekalipun.
Mona menunjukkan
muka masam apabila Tuah langsung tidak bersuara melainkan bertanyakan arah
jalan ke rumahnya. Setibanya di hadapan pagar rumah, kelihatan Fatihah dan adik
perempuannya sedang berdiri di luar kereta. Segera Mona menghampiri Fatihah
dengan muka bengang sambil menghulurkan kunci pagar dan rumah. Tanpa mengedari
kehadiran Tuah, Fatihah segera membuka pagar dan masuk ke dalam rumah. Baginya,
lagi cepat dia memulangkan semula kunci kak Mona, makin cepatlah kemarahan
wanita tersebut reda.
“Kak Mona, terima
kasih. Maaf ya, orang terlupa bawa kunci minggu lepas. Sibuk dengan urusan
keluarga. Ni pun, orang tak balik rumah untuk beberapa hari. Kenalkan ini adik
orang, Farah.” Farah yang sedari tadi diam memandang wajah penuh warna-warni
kak Mona menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan kak Mona. Malas sebenarnya
dia mahu bersalaman dengan wanita garang itu, namun melihatkan jelingan
kakaknya, pantas sahaja dia menghulurkan tangannya.
“Oh, ya ka.
Patutlah tak balik rumah. Akak ingatkan kau dah pergi menikah.” Terkejut
Fatihah mendengar sindiran daripada kak Mona. Namun, senyuman tetap dihulurkan
tanda malas mahu melanjutkan perkara tersebut. ”By the way, akak datang berteman tadi. Kejap ya, akak panggil
boyfriend akak.” Ujar kak Mona penuh
keterujaan. Fatihah mengambil kesempatan tersebut meletakkan barang-barang yang
diambilnya sebentar tadi ke dalam bonet belakang kereta. Dia menggelengkan
kepala mengenangkan kak Mona yang kerap kali bertukar pasangan. Di dalam
hatinya berdoa agar wanita tersebut insaf dan kembali ke jalan yang benar.
“Fatihah, kenalkan….” “Hai Fatihah. Lama tak jumpa.”
Kata-kata Tuah memeranjatkan kak Mona. Hampir dia terlupa
bahawa Tuah adalah senior Fatihah
seperti yang pernah gadis itu maklumkan kepadanya dahulu. ”Oh ya, lupa pula I yang you senior Fatihah kan?” Mona tersenyum ke arah Tuah untuk menutup
rasa terkejutnya sebentar tadi. “Abang Tuah, lama tak jumpa.” Teguran Farah semakin
mengejutkan Mona. Dia tidak menyangka Farah turut mengenali Tuah.
“Macam mana…” Belum
sempat Mona menghabiskan kata-katanya, Fatihah terlebih dahulu menyuruh Farah
masuk ke dalam kereta. Dia takut lagi lama dia di situ, lagi banyak pula yang
kak Mona ketahui. Cukuplah kak Mona mengenali dia sebagai junior Tuah. Dia tidak mahu kisah silamnya diketahui oleh kak Mona
mahupun sesiapa yang tiada kaitan dengan dirinya. Cukuplah dia menderita dulu
dengan segala tindakan Tuah terhadapnya. Dia tidak mahu mengulangi masa lalu.
“Fatihah, kenapa
buat I macam ni?” Semakin bulat mata Mona
melihat tangan Tuah yang memegang lengan Fatihah. Sungguh dia tidak menyangka
rupanya ada kisah menarik antara Tuah dan Fatihah. Fatihah yang tersentak
dengan tindakan Tuah segera memboloskan diri ke tempat duduk pemandu keretanya.
Dia tidak menyangka akan bertemu Tuah lagi, lebih-lebih lagi di hadapan
rumahnya. Habislah dia selepas ini, pasti Tuah akan lebih kerap mengunjungi
rumah sewanya, lagi-lagi Tuah turut mengenali kak Mona yang sememangnya sangat
bebas bersosial itu.
Tuah tidak sempat
menghalang pemergian Fatihah apabila gadis tersebut terus memecut keretanya
tanpa mempedulikan dia dan Mona. Sungguh dia terasa hati dengan perbuatan
Fatihah. Dia tidak menyangka Fatihah sanggup memalukan dia sebegitu rupa.
Mengenangkan Fatihah yang kini berstatus tunangan orang, hatinya semakin sakit.
Tidak sanggup dia membayangkan Fatihah berjalan beriringan dengan Mikhail.
Mona segera
menghampiri Tuah yang sudah terduduk di hadapan pagar rumahnya. Muka kusut dan
merah Tuah ternyata menarik perhatiannya. Dia mahu tahu apa hubungan Tuah
dengan rakan serumahnya itu. Tangannya menepuk bahu Tuah, sebagai tanda Tuah
tidak keseorangan di situ. Melihatkan Tuah yang langsung tidak berganjak, Mona
turut duduk di hadapan Tuah. Tuah yang terkejut dengan kehadiran Mona secara
tiba-tiba di hadapannya pantas berdiri. Malu sungguh dia dilihat dalam keadaan
yang tidak terurus sebaik sahaja berjumpa Fatihah tadi. Sangkanya dia dapat
berbincang secara baik-baik dengan gadis tersebut, tapi Fatihah langsung tidak
mahu memberi ruang dan peluang kepadanya. Sakit sungguh hatinya diperlakukan
sebegitu oleh Fatihah.
“Jom, I teman you minum. I tau, mesti you nak tahu pasal Fatihah kan?” Sengaja
Mona memancing Tuah dengan berkata demikian. Harapannya, akan ada peluang untuk
dia memperoleh keuntungan daripada perkara tersebut. Mulut tersenyum ceria
sebagai tanda kegembiraan. Tuah yang pada mulanya ingin beredar meninggalkan
Mona memandang tepat ke arah Mona yang asyik tersenyum dan tersengih sedari
tadi. Mungkin ada faedahnya jika dia berkawan dengan Mona. Mana tahu Mona boleh
menolongnya mendapatkan kembali Fatihah.
Tuah melangkah laju
ke arah keretanya sambil dituruti oleh Mona. Fikirannya saat itu hanya mahu
mengetahui semuanya tentang Fatihah melalui Mona. Lebih-lebih lagi soal
pertunangan Fatihah dan Mikhail. Sungguh dia sakit hati dengan pertemuannya
dengan Mikhail beberapa hari lepas yang kesudahannya berpijar rasa mukanya
dengan tumbukan padu oleh lelaki bertubuh tegap itu. Namun, lagi sakit hatinya
melihat Fatihah berjalan beriringan dengan Mikhail tanpa langsung memandang ke
arahnya.
No comments:
Post a Comment