Wednesday, September 12, 2012

Memori Semalam: 11


“Kak, lamanya tak jumpa. Rindu sangat-sangat kat akak tau. Kenapa langsung tak contact Aliya?” Bertalu-talu pertanyaan keluar daripada mulut gadis comel di sebelah Tuah itu. Terus Fatihah dipeluknya sekuat hati. Fatihah hanya tersenyum sambil berbalas pandang dengan Tuah. Sungguh dia tidak suka perasaan yang dia rasa sekarang. Kehadiran Aliya dan abangnya Tuah ke Darul Iman sememangnya menyebabkan Fatihah kembali berasa dekat dengan keluarga tersebut. Dia tahu, mungkin ini antara salah satu langkah Tuah untuk menyambung kembali kisah mereka yang terputus beberapa tahun lalu. Namun, bagi Fatihah apa yang berlalu biarlah jadi sejarah. Tidak sanggup dia mengulangi kisah kasih sayang mereka selepas dirinya diperlakukan dengan tidak sewajarnya oleh Tuah, lelaki yang sangat dia sayangi suatu masa lalu.

“Wah, akak makin cantik sekarang. Patutlah abang Tuah langsung tak cari perempuan lain. Beria-ia abang ajak Aliya datang sini tau. Aliya bagi macam-macam alasan, langsung dia tak nak dengar.” Kata-kata Aliya itu disambut dengan senyuman hambar oleh Fatihah. “Aliya pun apa kurangnya, makin manis akak tengok. Ramailah pemuda-pemuda di luar sana yang berebutkan cik Syarifah kita ni.” Sengaja Fatihah mengusik Aliya bagi mengelak Aliya terus-terusan mengaitkan dirinya dengan Tuah. Dia tidak menyangka sampai ke Darul Iman Tuah mencarinya. Dia tahu Tuah sengaja membawa Aliya supaya dia tidak dapat melarikan diri seperti selalunya.

“Abang Fuad, kenalkan ini Syed Tuah dan ini Syarifah Aliya. Mereka datang sebab nak membantu kita di sini.” Segera Fatihah memperkenalkan mereka dengan abang Fuad yang baru sahaja keluar dari pejabat Darul Iman. “Oh, Syed dan Syarifah ini la yang Fatihah cerita nak tolong kita buat lawatan sambil belajar ke Langkawi tu ya?” Segera abang Fuad menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Tuah.

“Tak payahlah nak ber’syed’ ‘syarifah’ dengan kami, bang. Panggil Tuah dengan Aliya saja cukuplah.” Ternyata sifat rendah diri Tuah masih menebal seperti mana Fatihah mula-mula mengenali jejaka tersebut. “Ye la bang Fuad. Panggil Aliya je, lebih mesra gitu.” Kenyitan mata Aliya mengundang gelak ketawa mereka berempat. Bagi Fatihah, Aliya masih seperti dulu, cepat mesra dengan sesiapa saja. “Marilah kita berbincang dalam pejabat, lebih selesa di dalam.” Segera mereka mengekori langkah abang Fuad yang terlebih dahulu melangkah ke arah pejabatnya.

Lagu kumpulan Dadali yang tiba-tiba mencelah menyebabkan Fatihah melangkah menjauhi abang Fuad dan yang lain-lain sambil menunjukkan isyarat yang dia akan menyusul kemudian. Nama ibunya yang tertera di skrin blackberrynya menyebabkan dia sedikit risau, takut sebarang perkara buruk terjadi di kampung. Jarang sekali ibunya akan menghubunginya melainkan terdapat perkara-perkara kecemasan kerana dia yang selalunya menelefon ibu bertanyakan khabar di kampung.

“Assalamualaikum, bu. Ada apa-apa ke kat kampung?” Nada cemas nyata disambut dengan gelak kecil ibunya. Sedikit berkerut dahi Fatihah mendengar suara gembira ibunya. “Waalaikumsalam. Kamu ni Fatihah, cemas sangat. Tak ada apa-apa yang tak baik kat sini. Semuanya baik-baik saja. Kamu sibuk ke? Ibu ada perkara yang nak dibincangkan dengan kamu.” Sedikit lega Fatihah mendengar suara ceria ibunya.

“Fatihah ada kat Darul Iman, bu. Apa yang ibu nak bincangkan? Ibu nak pakai duit ke, atau adik-adik nak beli buku ke?” Tiada apa yang terlintas di fikiran Fatihah saat ini melainkan keperluan keluarganya. “Tak la. Ini berkenaan kamu.” Terdiam Fatihah sebentar mendengar kata-kata ibunya itu. “Kenapa bu? Ada apa-apa cerita yang tak elok ke yang ibu dengar?” Berdebar dia mendengar kata-kata ibunya tadi. Dia takut ada pihak yang tidak senang dengan dirinya menyebarkan cerita yang bukan-bukan tentang dirinya, lantas menyusahkan orang tuanya di kampung.

“Begini, ada orang masuk meminang kamu. Ibu dah bincang dengan ayah dan kami setuju untuk terima pinangan pihak lelaki.” Sungguh kata-kata tersebut seperti membuatkan dunianya terhenti sebentar. Ternyata ibunya tidak main-main dengan kata-katanya suatu masa dulu apabila Fatihah menyerahkan segala urusan perkahwinannya kepada kedua orang tuanya setelah dia putus dengan Tuah. Dia ingatkan ibubapanya tidak akan membuat keputusan sendiri tanpa terlebih dahulu berbincang dengan dirinya sendiri.

“Ibu, kenapa tak bincang dengan Fatihah dulu?” Dia rasa seperti nak menangis mendengar perkhabaran tersebut. “Bukan ke kamu pernah kata nak serahkan semuanya kepada ibu dan ayah? Lagipun, sudah dua pinangan kamu tolak sebelum ni, Fatihah. Ibu tak nak disebabkan kami tolak lagi kali ni, orang kampung akan terus-terusan mengata pasal kamu.” Agak sayu hatinya mendengarkan kata-kata tersebut. Pandangannya bertembung dengan pandangan Tuah yang memandangnya tajam dari dalam pejabat abang Fuad.

Perasaannya bercampur baur ketika ini. Apa yang pasti, kenangan bersama Tuah suatu masa dulu kadang-kadang menjentik perasaannya. “Tak apa la bu. Kalau itu yang ibu rasakan terbaik untuk Fatihah, Fatihah ikut saja. Tapi, handsome tak calon menantu ibu tu?” Sengaja Fatihah menceriakan suaranya, dia tidak mahu ibunya merasa serba salah sebab dia tahu keputusan yang dinyatakan ibunya tadi adalah kata putus ayahnya yang memang selalu mengingatkan dia untuk membina keluarga sendiri.

Handsome sangat. Ibu tengok gambar pun ibu dah jatuh hati.” Ketawa Fatihah mendengar suara ceria ibunya. “Aik, ibu tak pernah jumpa dia ke?” Pelik Fatihah mendengar jawapan ibunya itu. Dia ingatkan orang kampung yang sememangnya mereka kenal yang masuk meminangnya. “Tak la, mak ayah dia saja yang datang dari Kuala Lumpur. Mereka kata mereka sukakan Fatihah dan nak jadikan Fatihah menantu mereka.” Penerangan ibunya itu membuatkan Fatihah kembali memandang Tuah yang masih memandang ke arahnya. Hatinya berdegup kencang memikirkan kemungkinan yang orang tua Tuah meminangnya. Tapi segera dia menggelengkan kepala kerana masakan ibu akan cakap tak pernah jumpa lelaki tersebut sebab dahulu Tuah pernah mengikutnya balik ke kampung.
“Macam ni, Fatihah. Minggu depan, majlis ulang tahun perkahwinan bakal mertua kamu. Mereka jemput kita semua ke majlis tersebut. Katanya nak buat majlis pertunangan sekali untuk kamu berdua.” Terasa kelat air liurnya demi mendengar kata-kata tersebut. “Ibu nak Fatihah ambil ibu kat kampung ke atau nak Fatihah sewa teksi dari sini?” Walaupun dia seakan-akan sukar menerima berita tersebut, namun digagahkan juga bertanyakan soalan tersebut kepada ibunya.

“Tak perlu susah-susah. Besan ibu kata dia akan sediakan semuanya.” Gelak ketawa ibunya membuatkan Fatihah tersenyum hambar. “Baiklah bu, nanti malam sikit Fatihah call ibu balik. Fatihah ada meeting sikit di Darul Iman ni.” Segera Fatihah mematikan telefon bimbitnya setelah ibunya menjawab salam yang dia hulurkan tanda menamatkan perbualan sebentar tadi. Segera dia beristighfar untuk menenangkan hatinya yang sedikit berkecamuk ketika ini. Dia mengorak langkah ke arah pejabat abang Fuad sambil berusaha melupakan sekejap perkhabaran yang disampaikan ibunya sebentar tadi.

*                                  *                                  *

“Kak, kenapa daripada meeting tadi akak nampak macam stress saja? Akak takut rancangan kita tak menjadi ke?” Soalan Aliya itu turut mendapat perhatian Tuah yang sedang menyuap mi goreng ke mulutnya. “Tak lah. Akak okey saja. Perasaan Aliya je kot.” Segera senyuman dihadiahkan kepada Aliya untuk menunjukkan yang dia memang tiada apa-apa masalah. “Baguslah macam tu. Kalau akak susah hati, nanti ada orang lagi susah hati. Sampaikan Aliya nak tidur malam pun susah sebab kena layan orang angau.” Jelingan Aliya dihadiahkan Tuah dengan cubitan di pipi gebu adiknya itu. Tuah takut Fatihah akan menjauhkan diri daripadanya setelah bersusah payah dia mendapatkan mencari ruang untuk mendekati kembali gadis tersebut.

“Kalau akak nak tahu, abang kata abang nak masuk meminang akak tak lama lagi. Kan abang, kan? Aliya pun dah bagitau kat mummy and daddy. Mereka pun nampaknya macam gembira saja.” Tersedak Fatihah mendengar kenyataan Aliya itu. Segera matanya mencari wajah Tuah yang ternyata pucat mendengar kata-kata adiknya itu. Perasaan Fatihah kembali bercampur baur. Marah, sedih, kecewa semuanya ada. Dia benar-benar tidak mahu menyambung kembali kisah kasih sayang mereka selepas apa yang dia lalui bersama Tuah dulu. Kini, hatinya semakin sakit kerana Tuah menggunakan adiknya pula untuk mendekati dirinnya. Memang dulu dia agak rapat dengan Aliya dan mummy Tuah. Namun, yang berlalu biarlah berlalu. Dia tidak mahu mengulang kembali perkara yang telah pun menjadi sejarah hidupnya.

Dia tahu selama ini Tuah mengekorinya, sehinggakan Tuah mengetahui mengenai Darul Iman. Dia terkejut apabila abang Fuad memberitahu bahawa dia menerima panggilan telefon daripada Tuah yang ingin mengadakan program bersama mereka. Ingin menyuruh abang Fuad menolak perlawaan Tuah itu dia tidak sanggup, kerana dia bukanlah seorang yang mementingkan diri sendiri. Dia tidak mahu kerana masalah peribadinya, kebajikan anak-anak di Darul Iman terjejas. Dia juga tidak mahu kerana dirinya, niat baik Tuah ingin beramal tidak kesampaian.

“Aliya, akak minta maaf. Akak kena pergi sekarang, masih banyak lagi urusan akan di Darul Iman. Tak sedap pula tinggalkan abang Fuad seorang sebab dua lagi sukarelawan tak dapat datang hari ini.” Sengaja Fatihah membuat alasan untuk segera beredar daripada situ. Segera dia bangun bersalaman dan memeluk erat Aliya. Dia tahu niat Aliya baik, tapi tak mungkin dia akan mengingkari janji yang dia buat kepada dirinya sendiri. Dia memandang tajam ke arah Tuah yang hanya tunduk, tidak berani memandang ke arahnya.

Friday, September 7, 2012

Memori Semalam: 10



“Mikh, bila lagi kamu nak bawa balik calon menantu untuk mama? Dah lama mama tunggu.” Hampir tersedak Mikhail mendengar soalan cepu emas mamanya itu. Segera dia meletakkan kembali cawannya ke atas meja. Dia menjeling kakaknya yang sedari tadi tersengih melihat dia yang terpaksa menjawab soalan demi soalan yang dikemukakan oleh mamanya. Puncanya adalah kakak kesayangannya itu juga, yang beria-ia memberitahu kononnya Mikhail sudah punya teman istimewa. Entah siapa yang dimaksudkan Mikhail sendiri pun tidak tahu.

“Siapa yang cakap Mikh ada calon untuk mama? Dengar sangatlah cakap anak manja mama yang perangai tak ubah-ubah walaupun nak jadi emak orang dah.” Tergelak Mikhail melihat wajah cemberut kakaknya mendengar kata-kata itu. Segera abang Imran menggosok belakang kak Nura untuk menyabarkan hati isterinya. Kalau tidak ditegah mahu mereka bergaduh di taman di hadapan rumah keluarga yang hanya dihuni oleh Tan Sri Ismail dan Puan Sri Hamidah itu lantaran anak-anak ingin berdikari sendiri.

“Mikh, yang lepas tu biarlah lepas. Tiada gunanya hidup dalam kenangan yang lalu. Walaupun Mikh cuba untuk nampak gembira, tapi mama nampak kesedihan dalam mata Mikh.” Kata-kata mamanya itu menerbitkan genangan airmata di kelopak mata kak Nura. Mereka sekeluarga tahu apa yang Mikhail lalui sejak beberapa tahun ini. Dia akui bukan senang untuk adiknya menjadi Mikhail yang ada di depan matanya kini. Mikhail yang dulu dengan Mikhail kini sangat jauh bezanya. 


“Mama, Mikh okey la. Mama je yang risau sangat. Nanti dah jumpa yang betul-betul boleh jaga Mikh, Mikh kahwin la.” Mikhail tergelak sendiri mendengar jawapan yang acapkali dia hadiahkan buat mamanya. Dia sengaja mahu menghidupkan suasana yang sedikit suram tadi apabila kisah silamnya cuba dibangkitkan. Dia sedar, kejadian yang menimpa dirinya beberapa tahun yang lepas sememangnya begitu banyak mempengaruhi hidupnya kini. Andai kata tiada sokongan jitu daripada ahli keluarganya, dia sendiri tidak pasti di mana dia akan berada sekarang.

”Mikh, memilih seorang wanita untuk menjadi seorang suri dalam rumah tangga bukannya mudah. Mama tidak mahu Mikh tersilap pilih dengan gaya hidup Mikh sekarang. Mama faham perasaan kecewa Mikh belum sepenuhnya terubat. Mama harap sangat suatu hari nanti, Mikh akan berjaya mengubati kekecewaan itu. Sudah lima tahun berlalu, Mikh. Mikh pun bukannya muda lagi. Sudah tiba masanya Mikh bagi peluang kepada diri Mikh untuk berasa bahagia. Bahkan, mama rasa sudah terlalu lama Mikh menangguhkan kebahagiaan Mikh sendiri.” Panjang lebar nasihat Puan Sri Hamidah kepada anaknya itu.

Mikhail segera memeluk bahu mamanya. Pandangannya jatuh kepada kak Nura yang mengesat airmata. Dia tahu, kedua-dua wanita yang berada di sisinya saat ini sangat menyayanginya, dan sangat ingin mellihat dia bahagia. ”Ma, Mikh tahu mama sayangkan Mikh. Begitu juga kak Nura. Kalau mama nak tahu, Mikh bahagia dengan kehidupan Mikh sekarang ini. Ada mama dan punya kakak yang sangat cantik lagi menawan.” Ciuman kasih dihadiahkan di pipi mamanya.

 
“Mama sebenarnya ada permintaan yang mama nak sangat Mikh tunaikan untuk mama.” Ternyata kata-kata mamanya itu mematikan senyuman di wajah Mikhail. Dia tahu mamanya serius dan tidak main-main dengan kata-katanya. “Sebenarnya permintaan papa juga.” Suara garau papanya membuatkan mereka terkejut. “Abang, kenapa balik tak bagitahu Idah dulu?” Segera Puan Sri Hamidah mendekati suaminya dan menyalami tangan kasar milik suaminya itu. Sebuah kucupan kasih dihadiahkan kepada isteri kesayangannya itu. Jelas kemesraan kedua ibubapanya walaupun mereka sudah berkahwin lebih 30 tahun lamanya.

“Saja abang nak bagi kejutan buat Idah. Kebetulan kerja abang di Sabah siap awal, awallah balik sini. Mikh, lagi dua minggu giliran Mikh pula untuk ke sana. Mereka di sana memerlukan bantuan Mikh untuk menyiapkan projek chalet tu.” Pandangan dilontarkan ke arah satu-satunya anak lelaki yang akan mewarisi perniagaannya kelak. “Insyaallah, papa.” Tan Sri Ismail tersenyum senang mendengar jawapan Mikhail.

“Bosanlah papa dengan Mikh ni. Ada pula bercerita pasal kerja masa santai begini. Ini masa untuk hal-hal keluarga saja, hal pejabat jangan bawa balik rumah.” Wajah cemberut kak Nura mengundang ketawa semua yang ada. Suasana yang muram tadi berubah rentak. Mikhail memerhatikan wajah-wajah ceria ahli keluarganya. Tiba-tiba bayangan Fatihah terlintas di hadapan matanya. Sungguh dia rindukan gadis tersebut, tetapi egonya lebih menguasai diri. Dia percaya apa yang diperkatakan oleh Ima kepadanya sedikit sebanyak ada betulnya. Lebih-lebih lagi beberapa hari lepas dia melihat Tuah menunggu Fatihah di tempat kerjanya. Sakit sungguh hatinya masa itu melihat kelibat Fatihah yang muncul tidak lama kemudian. Tanpa menunggu lebih lama, dia segera berlalu walaupun niat asalnya ingin mengajak gadis tersebut minum petang.


“Mama, papa, tengoklah anak bujang mama ni. Dah angau agaknya. Daripada tadi asyik termenung saja.” Sindiran kak Nura menyedarkan Mikhail yang dia bukan berseorangan sekarang sehingga boleh berangan tentang Fatihah. Segera sengihan di hadiahkan kepada semua ahli keluarganya. “Tadi mama dan papa kata ada permintaan untuk Mikhail, apa dia ma, pa?” Soalan abang Imran membuatkan kak Nura menganggukkan kepalanya tanda ingin tahu. Dia juga tertanya-tanya apa agaknya permintaan mama dan papanya kali ini.

“Sebelum tu, boleh tak Mikh janji yang Mikh akan tunaikan permintaan mama dan papa ni?” Puan Sri Hamidah memegang tangan Mikhail yang duduk di sebelahnya. “Mama kenalah bagitahu dulu, mana boleh bagi persetujuan tanpa Mikh tahu apa yang mama dan papa inginkan daripada Mikh.” Mikhail agak berdebar-debar melihat muka mengharap mama dan papanya. “Abang nak cakap ke nak Idah yang cakapkan?” Puan Sri Hamidah memandang suaminya, menunggu kata putus daripada ketua keluarga itu. Sudah beberapa hari mereka berdua berbincang mengenai perkara tersebut dan sudah tiba masanya Mikhail merealisasikan impian mereka.

“Begini, mama dan papa dah aturkan perkahwinan Mikhail pada pertengahan bulan Ogos yang akan datang.” Kenyataan Tan Sri Ismail mematikan senyuman di bibir Mikhail. “What?! Are you serius?” Ternyata pernyataan tersebut mengundang rasa terkejut yang amat sangat. Bukan kepada Mikhail seorang, malah kak Nura dan abang Imran juga turut sama terkejut. “Siapa ma?” Soalan kak Nura turut mendapat perhatian Mikhail. Siapalah agaknya gadis malang yang ingin dijodohkan dengannya. Dia gelarkan malang sebab dia tahu, tiada seorang gadis pun yang sanggup berhubungan lama dengannya lantaran sikapnya yang tidak pernah serius dengan mana-mana wanita.
 

“Tapi mama, kenapa sangat mengejut? Tinggal lagi dua bulan saja. Lagipun, Mikh tak kenal siapa dia.” Memang Mikhail sangat tidak berpuashati dengan permintaan mama dan papanya kali ini. Sungguh tidak munasabah baginya, masih ada rupanya orang tua zaman sekarang menentukan jodoh anak-anak. Bukan sekadar untuk bertunang, tapi untuk berkahwin. Sungguh dia tidak menyangka mama dan papanya mengambil langkah sedrastik ini. Tapi, ibubapa mana yang sanggup melihat anaknya menghukum diri sendiri atas kesalahan insan lain. Sebab itulah mereka nekad menjalankan misi mereka, mencari seorang isteri yang mampu mengembalikan semula sinar dalam hidup Mikhail.

“Mama yakin, Mikh mesti suka dia. Baik orangnya, kan bang?” Puan Sri Hamidah memandang wajah suaminya dengan senyuman yang tidak lekang di bibir. Jelas kelihatan dia begitu gembira ingin menjodohkan anak bujangnya dengan gadis pilihannya. Bagi dia gadis tersebut sangat istimewa. Sejak pertama kali bersua dengan gadis tersebut, dia sudah jatuh hati dengan kelembutan dan kesopanan yang jarang-jarang ada pada gadis muda zaman sekarang. Kelembutan dan kesopanan yang tidak dibuat-buat. Malah, kali pertama melihat wajah gadis tersebut, hatinya sudah terpaut kasih.

“Tapi ma, pa, kesian Mikh. Dah la langsung tak ada sesi perkenalan. Tau-tau nak kahwin dan. Jangan cakap yang mama dan papa dah pergi meminang gadis tersebut untuk Mikh?” Jelas Mikhail cuak mendengar soalan daripada kak Nura itu. Hatinya berdoa semoga mama dan papanya belum melaksanakan misi mereka itu. Jika tidak, mahu tidak mahu terpaksalah dia mengikut kehendak kedua orang tuanya dalam keterpaksaan. Senyuman di wajah kedua orang tuanya nyata mengundang debar yang amat dahsyat dalam hati Mikhail.

*                                  *                                  *


“Fatihah, macam mana perjumpaan dengan wakil daripada Butik Indah semalam? Ini kali kelima kan, Fatihah berjumpa mereka?” Soalan abang Fuad membuatkan Fatihah kembali ke alam realiti selepas jauh fikirannya menerawang sebentar tadi. “Alhamdulillah bang, mereka setuju untuk bantu kita. Setakat ini, ada lagi tiga buah syarikat lain yang ada hubungan perniagaan dengan Butik Indah yang turut bersetuju untuk bantu kita. Ini semua jasa baik pemilik Butik Indah itu sendiri.” Senyuman terukir di bibir abang Fuad tanda dia amat gembira dengan perkhabaran yang dinyatakan oleh Fatihah.

“Tak sia-sia usaha kita selama ini kan, Fatihah? Abang amat berterima kasih kepada kamu sebab telah banyak membantu kami di sini.” Sedikit sayu suara abang Fuad pada pendengaran Fatihah. “Tak jadi masalah buat saya, bang. Selagi saya mampu, saya akan bantu sehabis daya. Anak-anak ini pun dah jadi macam darah daging saya sendiri. Lagipun, abang Fuad kena ingat, Erry dan Amri pun ada bersama-sama kita.” Pandangannya dihelakan ke arah Amri dan Erry yang sedang bermain badminton dengan Syafiq dan anak-anak yang lain. 

“Ya Fatihah, abang tak tahu macam mana nak berterima kasih kepada kamu bertiga. Terlalu banyak yang telah kamu usahakan.” Kedengaran sayu suara itu pada pendengaran Fatihah. “Insyaallah bang, niat yang baik akan selalu mendapat pertolongan daripada Allah.” Senyuman dihulurkan kepada abang Fuad, tanda sokongan penuh ikhlas daripadanya. “Insyaallah.” Masing-masing memusatkan pandangan ke arah anak-anak yang tampak gembira bermain badminton bersama Erry dan Amri. Senyuman tidak lekang daripada bibir Fatihah melihat wajah ceria anak-anak tersebut.