“Mikh, bila lagi
kamu nak bawa balik calon menantu untuk mama? Dah lama mama tunggu.” Hampir
tersedak Mikhail mendengar soalan cepu emas mamanya itu. Segera dia meletakkan
kembali cawannya ke atas meja. Dia menjeling kakaknya yang sedari tadi tersengih
melihat dia yang terpaksa menjawab soalan demi soalan yang dikemukakan oleh
mamanya. Puncanya adalah kakak kesayangannya itu juga, yang beria-ia
memberitahu kononnya Mikhail sudah punya teman istimewa. Entah siapa yang
dimaksudkan Mikhail sendiri pun tidak tahu.
“Siapa
yang cakap Mikh ada calon untuk mama? Dengar sangatlah cakap anak manja mama
yang perangai tak ubah-ubah walaupun nak jadi emak orang dah.” Tergelak Mikhail melihat wajah cemberut kakaknya
mendengar kata-kata itu. Segera abang Imran menggosok belakang kak Nura untuk
menyabarkan hati isterinya. Kalau tidak ditegah mahu mereka bergaduh di taman
di hadapan rumah keluarga yang hanya dihuni oleh Tan Sri Ismail dan Puan Sri
Hamidah itu lantaran anak-anak ingin berdikari sendiri.
“Mikh, yang lepas tu biarlah lepas. Tiada
gunanya hidup dalam kenangan yang lalu. Walaupun Mikh cuba untuk nampak
gembira, tapi mama nampak kesedihan dalam mata Mikh.” Kata-kata mamanya itu
menerbitkan genangan airmata di kelopak mata kak Nura. Mereka sekeluarga tahu apa
yang Mikhail lalui sejak beberapa tahun ini. Dia akui bukan senang untuk
adiknya menjadi Mikhail yang ada di depan matanya kini. Mikhail yang dulu
dengan Mikhail kini sangat jauh bezanya.
“Mama, Mikh okey la. Mama je
yang risau sangat. Nanti dah jumpa yang betul-betul boleh jaga Mikh, Mikh
kahwin la.” Mikhail tergelak sendiri mendengar jawapan yang acapkali dia
hadiahkan buat mamanya. Dia sengaja mahu menghidupkan suasana yang sedikit
suram tadi apabila kisah silamnya cuba dibangkitkan. Dia sedar, kejadian yang
menimpa dirinya beberapa tahun yang lepas sememangnya begitu banyak
mempengaruhi hidupnya kini. Andai kata tiada sokongan jitu daripada ahli
keluarganya, dia sendiri tidak pasti di mana dia akan berada sekarang.
”Mikh, memilih seorang wanita untuk
menjadi seorang suri dalam rumah tangga bukannya mudah. Mama tidak mahu Mikh tersilap pilih dengan gaya
hidup Mikh sekarang. Mama faham perasaan kecewa Mikh belum sepenuhnya terubat.
Mama harap sangat suatu hari nanti, Mikh akan berjaya mengubati kekecewaan itu.
Sudah lima tahun berlalu, Mikh. Mikh pun bukannya muda lagi. Sudah tiba masanya
Mikh bagi peluang kepada diri Mikh untuk berasa bahagia. Bahkan, mama rasa
sudah terlalu lama Mikh menangguhkan kebahagiaan Mikh sendiri.” Panjang lebar
nasihat Puan Sri Hamidah kepada anaknya itu.
Mikhail segera memeluk bahu mamanya.
Pandangannya jatuh kepada kak Nura yang mengesat airmata. Dia tahu, kedua-dua
wanita yang berada di sisinya saat ini sangat menyayanginya, dan sangat ingin
mellihat dia bahagia. ”Ma, Mikh tahu mama sayangkan Mikh. Begitu juga kak Nura.
Kalau mama nak tahu, Mikh bahagia dengan kehidupan Mikh sekarang ini. Ada mama
dan punya kakak yang sangat cantik lagi menawan.” Ciuman kasih dihadiahkan di
pipi mamanya.
“Mama sebenarnya ada permintaan yang mama
nak sangat Mikh tunaikan untuk mama.” Ternyata kata-kata mamanya itu mematikan senyuman di wajah Mikhail. Dia tahu mamanya serius dan tidak
main-main dengan kata-katanya. “Sebenarnya permintaan papa juga.” Suara garau
papanya membuatkan mereka terkejut. “Abang, kenapa balik tak bagitahu Idah
dulu?” Segera Puan Sri Hamidah mendekati suaminya dan menyalami tangan kasar
milik suaminya itu. Sebuah kucupan kasih dihadiahkan kepada isteri
kesayangannya itu. Jelas kemesraan kedua ibubapanya walaupun mereka sudah
berkahwin lebih 30 tahun lamanya.
“Saja abang nak bagi kejutan buat Idah.
Kebetulan kerja abang di Sabah siap awal, awallah balik sini. Mikh, lagi dua
minggu giliran Mikh pula untuk ke sana. Mereka di sana memerlukan bantuan Mikh
untuk menyiapkan projek chalet tu.” Pandangan dilontarkan ke arah satu-satunya
anak lelaki yang akan mewarisi perniagaannya kelak. “Insyaallah, papa.” Tan Sri
Ismail tersenyum senang mendengar jawapan Mikhail.
“Bosanlah papa dengan Mikh ni. Ada pula
bercerita pasal kerja masa santai begini. Ini masa untuk hal-hal keluarga saja,
hal pejabat jangan bawa balik rumah.” Wajah cemberut kak Nura mengundang ketawa
semua yang ada. Suasana yang muram tadi berubah rentak. Mikhail memerhatikan
wajah-wajah ceria ahli keluarganya. Tiba-tiba bayangan Fatihah terlintas di
hadapan matanya. Sungguh dia rindukan gadis tersebut, tetapi egonya lebih
menguasai diri. Dia percaya apa yang diperkatakan oleh Ima kepadanya sedikit
sebanyak ada betulnya. Lebih-lebih lagi beberapa hari lepas dia melihat Tuah
menunggu Fatihah di tempat kerjanya. Sakit sungguh hatinya masa itu melihat
kelibat Fatihah yang muncul tidak lama kemudian. Tanpa menunggu lebih lama, dia
segera berlalu walaupun niat asalnya ingin mengajak gadis tersebut minum
petang.
“Mama, papa, tengoklah anak bujang mama
ni. Dah angau agaknya. Daripada tadi asyik termenung saja.” Sindiran kak Nura
menyedarkan Mikhail yang dia bukan berseorangan sekarang sehingga boleh
berangan tentang Fatihah. Segera sengihan di hadiahkan kepada semua ahli
keluarganya. “Tadi mama dan papa kata ada permintaan untuk Mikhail, apa dia ma,
pa?” Soalan abang Imran membuatkan kak Nura menganggukkan kepalanya tanda ingin
tahu. Dia juga tertanya-tanya apa agaknya permintaan mama dan papanya kali ini.
“Sebelum tu, boleh tak Mikh janji yang
Mikh akan tunaikan permintaan mama dan papa ni?” Puan Sri Hamidah memegang
tangan Mikhail yang duduk di sebelahnya. “Mama kenalah bagitahu dulu, mana
boleh bagi persetujuan tanpa Mikh tahu apa yang mama dan papa inginkan daripada
Mikh.” Mikhail agak berdebar-debar melihat muka mengharap mama dan papanya.
“Abang nak cakap ke nak Idah yang cakapkan?” Puan Sri Hamidah memandang
suaminya, menunggu kata putus daripada ketua keluarga itu. Sudah beberapa hari
mereka berdua berbincang mengenai perkara tersebut dan sudah tiba masanya
Mikhail merealisasikan impian mereka.
“Begini, mama dan papa dah aturkan
perkahwinan Mikhail pada pertengahan bulan Ogos yang akan datang.” Kenyataan
Tan Sri Ismail mematikan senyuman di bibir Mikhail. “What?! Are you serius?” Ternyata pernyataan tersebut mengundang
rasa terkejut yang amat sangat. Bukan kepada Mikhail seorang, malah kak Nura
dan abang Imran juga turut sama terkejut. “Siapa ma?” Soalan kak Nura turut
mendapat perhatian Mikhail. Siapalah agaknya gadis malang yang ingin dijodohkan
dengannya. Dia gelarkan malang sebab dia tahu, tiada seorang gadis pun yang
sanggup berhubungan lama dengannya lantaran sikapnya yang tidak pernah serius
dengan mana-mana wanita.
“Tapi mama, kenapa sangat mengejut? Tinggal lagi dua bulan saja.
Lagipun, Mikh tak kenal siapa dia.” Memang Mikhail sangat tidak berpuashati
dengan permintaan mama dan papanya kali ini. Sungguh tidak munasabah baginya,
masih ada rupanya orang tua zaman sekarang menentukan jodoh anak-anak. Bukan
sekadar untuk bertunang, tapi untuk berkahwin. Sungguh dia tidak menyangka mama
dan papanya mengambil langkah sedrastik ini. Tapi, ibubapa mana yang sanggup
melihat anaknya menghukum diri sendiri atas kesalahan insan lain. Sebab itulah
mereka nekad menjalankan misi mereka, mencari seorang isteri yang mampu
mengembalikan semula sinar dalam hidup Mikhail.
“Mama yakin, Mikh mesti suka dia.
Baik orangnya, kan bang?” Puan Sri Hamidah memandang wajah suaminya dengan
senyuman yang tidak lekang di bibir. Jelas kelihatan dia begitu gembira ingin
menjodohkan anak bujangnya dengan gadis pilihannya. Bagi dia gadis tersebut
sangat istimewa. Sejak pertama kali bersua dengan gadis tersebut, dia sudah
jatuh hati dengan kelembutan dan kesopanan yang jarang-jarang ada pada gadis
muda zaman sekarang. Kelembutan dan kesopanan yang tidak dibuat-buat. Malah,
kali pertama melihat wajah gadis tersebut, hatinya sudah terpaut kasih.
“Tapi ma, pa, kesian Mikh. Dah la langsung tak ada sesi
perkenalan. Tau-tau nak kahwin dan. Jangan cakap yang mama dan papa dah pergi
meminang gadis tersebut untuk Mikh?” Jelas Mikhail cuak mendengar soalan
daripada kak Nura itu. Hatinya berdoa semoga mama dan papanya belum
melaksanakan misi mereka itu. Jika tidak, mahu tidak mahu terpaksalah dia
mengikut kehendak kedua orang tuanya dalam keterpaksaan. Senyuman di wajah
kedua orang tuanya nyata mengundang debar yang amat dahsyat dalam hati Mikhail.
* * *
“Fatihah,
macam mana perjumpaan dengan wakil daripada Butik Indah semalam? Ini kali
kelima kan, Fatihah berjumpa mereka?” Soalan abang Fuad membuatkan Fatihah
kembali ke alam realiti selepas jauh fikirannya menerawang sebentar tadi.
“Alhamdulillah bang, mereka setuju untuk bantu kita. Setakat ini, ada lagi tiga
buah syarikat lain yang ada hubungan perniagaan dengan Butik Indah yang turut
bersetuju untuk bantu kita. Ini semua jasa baik pemilik Butik Indah itu
sendiri.” Senyuman terukir di bibir abang Fuad tanda dia amat gembira dengan
perkhabaran yang dinyatakan oleh Fatihah.
“Tak sia-sia usaha kita selama ini kan,
Fatihah? Abang amat berterima kasih kepada kamu sebab telah banyak membantu kami di sini.” Sedikit sayu suara
abang Fuad pada pendengaran Fatihah. “Tak jadi masalah buat saya, bang. Selagi
saya mampu, saya akan bantu sehabis daya. Anak-anak ini pun dah jadi macam
darah daging saya sendiri. Lagipun, abang Fuad kena ingat, Erry dan Amri pun
ada bersama-sama kita.” Pandangannya dihelakan ke arah Amri dan Erry yang
sedang bermain badminton dengan Syafiq dan anak-anak yang lain.
“Ya Fatihah, abang tak tahu macam mana nak
berterima kasih kepada kamu bertiga. Terlalu banyak yang telah kamu usahakan.” Kedengaran
sayu suara itu pada pendengaran Fatihah. “Insyaallah bang, niat yang baik akan
selalu mendapat pertolongan daripada Allah.” Senyuman dihulurkan kepada abang
Fuad, tanda sokongan penuh ikhlas daripadanya. “Insyaallah.” Masing-masing
memusatkan pandangan ke arah anak-anak yang tampak gembira bermain badminton
bersama Erry dan Amri. Senyuman tidak lekang daripada bibir Fatihah melihat
wajah ceria anak-anak tersebut.
No comments:
Post a Comment