“Seperti yang telah saya katakan pada awal kuliah
tadi, penyelidikan adalah sesuatu yang sangat menyeronokan, di mana kamu akan
mendapat pelbagai jawapan kepada persoalan kajian yang telah kamu tentukan pada
awal penyelidikan. Kadangkala, jawapannya tidak seperti yang kita kehendaki,
tetapi itulah faktanya. Jadi, saya harap kamu semua dapat membuat tugasan yang
telah saya berikan dengan seronok dan sehabis baik,” Zulaikha menamatkan
kuliahnya dengan memberikan tugasan ringkas kepada para pelajarnya.
“Ok guys, now I want
all group leaders to come forward and please write down the title of your group’s
study in the provided column. And, the rest, any question?” Kuliah hari ini adalah mengenai
langkah-langkah asas dalam membuat sesuatu penyelidikan yang menjadi asas
kepada segala kerja-kerja penyelidikan yang akan dilakukan oleh para pelajarnya
sepanjang semestar ini nanti. Tugasan yang diberikan adalah sebagai latihan
buat pelajarnya mengaplikasikan ilmu yang baru sahaja mereka pelajari. Dia
tidak mahu pelajarnya hanya menghafal nota untuk menjawab peperiksaan nanti.
Sebaik-baik pembelajaran adalah secara praktikal, di mana aplikasi daripada
ilmu menjadikan kita lebih memahami sesuatu ilmu itu sendiri.
“Miss Zulaikha, program kita hujung bulan ini
macam mana? Setakat ini hanya ada lima orang yang berminat mahu ikut serta.
Selebihnya langsung tidak memberi sebarang jawapan. Apa perlu kita buka
penyertaan kepada pelajar-pelajar kelas lain?” soalan daripada Johan, salah
seorang pelajar yang aktif di dalam kelas mendapat perhatian beberapa orang
pelajar yang lain. Namun, tidak bagi sesetengah yang lain. Muka yang agak bosan
ditayangkan tanda mereka kurang menyenangi soalan tersebut.
“InsyaAllah, semuanya akan berjalan lancar. Semalam saya
sempat melawat Raudhatul Jannah dan kesemua adik-adik di sana nampaknya sudah
tidak sabar-sabar mahu menerima kehadiran kakak-kakak dan abang-abang kelas
saya ni. Bagaimana persiapan yang Johan dan yang lain-lain? Perlukan sebarang
bantuan daripada saya?” Soalan Zulaikha mendapat perhatian Johan yang segera
membuka buku catatannya.
“Alhamdulillah semua berjalan lancar, miss. Cuma
tinggal persiapan untuk kuiz dan games yang belum siap sepenuhnya.
InsyaAllah nanti kami akan buat perbincangan lagi untuk mencari yang terbaik.”
Penerangan Johan mengundang senyuman di wajah Zulaikha. Ternyata tidak silap
dia menyerahkan tugasan selaku Pengarah Program kepada Johan.
“Terima kasih, Johan. Jadi, siapa yang akan ikut serta untuk program ‘Rumahku
Syurgaku’ nanti?” soalan Zulaikha itu mengundang pelbagai reaksi daripada
pelajarnya. Ada yang menayangkan muka teruja dengan anak mata yang makin membesar.
Ada yang menekan-nekan telefon pintar masing-masing tanda malas mahu masuk
campur dalam perbincangan yang tengah diadakan.
“Bosanlah program
macam ini, miss. Apa yang kita dapat kalau buat program-program
kebajikan sebegini? Baik kita buat aktiviti main bowling ke, pergi makan
angin ke. Boleh la juga melawat tempat-tempat best. Bak kata orang, jauh
perjalanan, luas pemandangan.” Kenyataan daripada salah seorang pelajarnya
membuatkan Zulaikha beristighfar dalam hati. Sesungguhnya dia bersimpati kepada
pelajar tersebut. “Ya Allah, Kau lembutkanlah pintu hatinya untuk lebih bertanggungjawab
dalam menjalankan amanahnya dalam kehidupan ini,” doa itu dia titipkan di dalam
hatinya penuh keinsafan.
“Saya setuju, miss.
Tak seronoklah program sebegini. Apa
faedahnya buat program dengan anak-anak yatim? Bukannya boleh menjana sebarang
pendapatan, apatah lagi keuntungan.” Tersungging senyuman di bibir Zulaikha tanda
menutup rasa ralat di dalam hati. Cepat-cepat dia beristighfar di dalam hati.
Dia tidak berkecil hati dengan soalan-soalan sebegini kerana dia tahu para pelajarnya
masih keanak-anakan dan dalam proses belajar tentang makna sebuah kehidupan.
“Tapi, saya rasa tak salah kalau kita hiburkan
hati mereka yang kurang bernasib baik. Betulkan, miss?” Pertanyaan Johan itu mengundang ketawa beberapa orang
pelajar. Johan memberikan mimik muka tidak puas hati kepada rakan-rakannya yang
seakan-akan mengejek dirinya. Saiful yang duduk di sebelah Johan sempat
menepuk-nepuk lembut bahu Johan tanda sokongan kepada Johan yang nampak begitu
bersemangat dengan program tersebut.
“Guys, saya tidak
pernah memaksa sesiapa untuk menyertai saya dalam program hujung bulan ini.
Terpulang kepada sesiapa yang mempunyai kelapangan dan kesudian untuk berkongsi
sedikit masa dan kasih sayang bersama mereka yang kurang bernasib baik.”
Zulaikha meliarkan matanya melihat wajah para pelajarnya yang khusyuk menanti
butir bicara selanjutnya daripadanya.
Di sebalik pintu kuliah yang separuh tertutup,
terpacak tegak Dr Mikhail. Kebetulan dia baru sahaja selesai menyampaikan
kuliah di kelas sebelah. Memang dia begitu mengagumi kesabaran Zulaikha dalam
mendidik pelajarnya. Tidak pernah selama ini ada pensyarah yang menyelitkan
unsur-unsur kemanusiaan dalam setiap kuliah seperti Zulaikha. Dia sendiri tidak
mampu berbuat demikian kerana kurang gemar melayan ragam pelajar yang pelbagai.
Lagipula, bidang pendidikan ini bukanlah bidang pilihannya. Masih
terbayang-bayang di matanya bagaimana kejadian membuatkan dia yang begitu
cintakan dunia kedoktoran mengambil keputusan nekad melangkah ke dunia
pendidikan selepas lima tahun berkhidmat di salah sebuah hospital kerajaan di
utara tanah air.
Kejadian yang mengubah kehidupan keluarganya,
yang menjadikan dia Dr Mikhail yang sekarang. Seorang doktor yang
seboleh-bolehnya tidak mahu menjejakkan kaki ke mana-mana hospital untuk
memberi khidmat sebagai seorang doktor. Sebab itulah dia memilih untuk menjadi
pendidik, sesuatu yang sebelum ini memang tiada langsung dalam senarai kerjaya
yang dia inginkan. Tapi, takdir Allah tiada siapa yang dapat menyangkal. Kini,
dia mula mencintai dunia pendidikan sedikit demi sedikit. Apatah lagi, setelah
mengenali gadis seperti Zulaikha, seboleh-bolehnya dia mahu membuktikan bahawa
dia seorang pendidik yang baik dan berdedikasi.
Suara Zulaikha mematikan lamunan Dr Mikhail. “Aishah,
kamu milik siapa?” Zulaikha bertanyakan soalan mudah itu kepada salah seorang
pelajarnya. “Mak ayah saya, miss.” Penuh yakin Aishah menjawab soalan
tersebut. Zulaikha tersenyum.
“Dengarlah kelentong
Aishah itu, miss. Sebenarnya dia nak jawab milik kekasih dia.” Kenyataan
Khairul itu menggamatkan kelas yang dihadiri seramai 25 orang pelajar itu. ternyata
kenyataan itu begitu mengujakan hati anak-anak muda itu. Walaupun masa kuliah
telah pun tamat, namun semua masih belum mahu berganjak dari dalam kelas
tersebut. Masing-masing ingin tahu jawapan kepada persoalan yang dilontarkan
Zulaikha.
“Siapa yang jawapannya
sama dengan Aishah?” Soalan Zulaikha mendapat jawapan dengan hampir kesemua pelajar
mengangkat tangan ke atas. Sekali lagi Zulaikha tersenyum ke arah pelajarnya. Begitulah
dia suatu masa dahulu, sentiasa bersemangat di dalam kelas apabila ada sahaja
soalan yang terkeluar daripada skop pembelajaran daripada pensyarah kesayangannya,
Dr Sharifah. Bukan kerana bosan dengan isi kuliah yang disampaikan, tapi
sebagai tindak balas kepada provokasi pensyarah yang mahu menghilangkan kantuk
para pelajar. Dia sendiri kini terikut-ikut gaya pensyarahnya itu.
“Ok, kalau begitu
siapa pemilik ibu dan ayah kamu semua?” Kelihatan para pelajar berbisik sesama
sendiri. Mereka seperti kurang yakin dengan jawapan masing-masing. Situasi ini
mengingatkan Zulaikha kepada situasi di dalam kelas agama yang dihadirinya di
Raudhatul Jannah semasa dia masih di sekolah menengah lagi. Dia sendiri tidak
tahu jawapan kepada soalan tersebut kerana kedua ibubapanya telah meninggalkan
dia seorang diri di dunia yang fana ini. Untuk bertanya kepada siapapun
mengenai kedua orang tuanya dia tidak tahu kerana dia sendiri sememangnya tidak
mengetahui samada masih mempunyai saudara mara ataupun tidak.
“Guys,
sebenarnya saya, kamu semua, ibu bapa saya, dan ibu bapa kamu semuanya milik
Allah S.W.T. Kamu hanya pinjaman oleh Allah kepada kedua orang tua kamu, begitu
juga orang tua kita adalah pinjaman daripada Allah kepada kita semua. Jadi,
kenapa kita mahu membeza-bezakan sesama kita? Perrnah atau tidak kamu semua
terfikir kemungkinan, suatu masa nanti kamu akan kehilangan mereka yang sangat
kamu sayang? Lagipula, tadi telah saya katakan bahawa kesemua yang ada di muka
bumi ini hanyalah pinjaman semata-mata. Setiap yang dipinjam, harus dipulangkan
kepada pemiliknya. Apa kamu tidak malu meminjam sesuatu barang tanpa
mengembalikannya kepada tuannya?” Zulaikha terhenti seketika saat menuturkan
kata-kata itu.
Sungguh hatinya merasa pilu. Terkenang nasib
diri yang dilahirkan tanpa mengenali kedua orang tuanya. Bukan mudah untuk dia
menerima hakikat diri yang tidak sesempurna insan lain. Pernah terlintas di
fikirannya betapa malangnya dia dilahirkan tanpa merasai sebuah keluarga yang
lengkap. Namun, dia sedar setiap kejadian itu pasti ada hikmahnya. Teringatkan
Rasulullah S.A.W yang dilahirkan sebagai anak yatim ternyata mezahirkan
keinsafan buatnya. Segera dia berdoa kesejahteraan kedua ibubapanya di dalam
hati.
“Apa kaitan program
kita hujung bulan ni dengan semua yang miss katakan tadi?” Soalan Amri
disambut dengan anggukan oleh beberapa orang pelajar lain. Masing-masing
menantikan jawapan daripada Zulaikha. Zulaikha menatap wajah-wajah yang penuh
tanda tanya di hadapannya. Sebuah senyuman dihadiahkan kepada pelajarnya.
“Barang siapa yang
meringankan satu beban kehidupan orang muslim lainnya, Allah akan menghilangkan
satu bebannya di akhirat. Barang siapa yang memudahkan satu urusan orang yang
sedang kesusahan, Allah akan memudahkan urusannya baik di dunia maupun akhirat.
Allah akan menolong hamba-Nya, selagi dia menolong temannya.” Zulaikha
menyampai sebuah hadith yang sering ummi bacakan padanya.
“Bukankah amalan mulia
sekiranya kita saling berkongsi kasih sayang, tolong menolong sesama insan? Tak
kiralah siapa pun dia. Saling berkongsi segala pinjaman yang Allah berikan
kepada kita, kerana kasih sayang itu juga satu pinjaman yang sangat besar
maknanya. Sangat besar ganjarannya
bagi mereka yang menghiburkan hati mereka yang telah pun kehilangan ibu atau
bapa atau kedua-duanya. Jangan sampai saat kita kehilangan baru kita merasa manisnya
sebuah kemesraan.” Jawapan panjang lebar itu mendapat respon yang baik daripada
para pelajarnya. Ada yang tersenyum, dan tidak kurang juga yang berkaca
matanya. Masing-masing ada jalan cerita kehidupan yang tidak mungkin sama
antara satu sama lain. Bagi Zulaikha, kata-katanya sebentar tadi adalah peringatan buat
dirinya juga.
”Saya percaya, semua di sini
mempunyai sekeping hati yang suci. Pasti tidak sanggup melihat ahli keluarganya
dalam kesedihan mahupun kesusahan. Pernah dengar pasal hukum karma? What you
give, you get back? Kamu percaya, kalau saya katakan apabila kamu berbuat
suatu kebaikan kepada seseorang, kamu akan mendapat balik kebaikan yang kamu
berikan tadi?” Sengaja Zulaikha mengemukan perkara tersebut untuk melihat
tindakbalas para pelajarnya.
“Tapi miss, ada
saja yang berhati baik dan selalu melakukan kebaikan. Tapi, selalu dibuli dan
mendapat layanan yang buruk daripada orang yang dia berbuat baik,” jawapan
Khairul mendapat sokongan daripada beberapa orang pelajar yang lain. Mungkin ada
yang mempunyai pengalaman sebegitu barangkali.
“Ya, saya faham apa yang
kamu maksudkan. Tapi pernah atau tidak kamu melakukan sesuatu kebaikan tanpa
mengharapkan sebarang pujian mahupun balasan? Berbuat sesuatu kebaikan, biarlah
ikhlas dan bukan dengan tujuan menunjuk-nunjuk bahawa kita orang baik. Apabila
kita ikhlas melakukan kebaikan, pasti akan ada perkara baik yang datang kepada
kita. Sekiranya orang yang kita berbuat baik melakukan yang sebaliknya kepada
kita, insyaAllah akan datang kebaikan daripada orang lain sebagai gantinya.
Kadangkala, daripada seseorang yang langsung tidak pernah kita duga,” Zulaikha
berhenti seketika untuk melihat reaksi para pelajarnya.
“Sekiranya kejahatan
dibalas dengn kejahatan, itu perkara biasa. Seandainya kebaikan dibalas dengan
kejahatan, itu juga perkara biasa. Andai kata kebaikan dibalas dengan kebaikan, itu
juga adalah perkara biasa. Tetapi, sekiranya kejahatan dibalas dengan kebaikan,
maka itu luar biasa. Dan mereka yang berjaya dalam apa jua bidang yang dia ceburi
adalah mereka yang bertindak luar biasa dalam menghasilkan keputusan yang juga
luar biasa,” sengaja Zulaikha menyelitkan sedikit unsur motivasi untuk
menaikkan semangat pelajarnya untuk turut serta dalam aktiviti yang telah dia
bincangkan bersama dekan kolej sebelum ini.
“Ok miss, kami semua
akan ikut serta dalam program itu nanti.” Kata-kata penuh semangat daripada
Khairul itu mendapat persetujuan daripada rakan-rakannya. “InsyaAllah.” Ringkas keluar
daripada mulut Zulaikha, kerana dia tahu semuanya masih dalam perancangan. Seteliti
mana pun sesuatu perancangan itu, semuanya akan terlaksana atas izin-Nya jua.
“Okey, guys. Saya rasa sampai di sini
sahaja pembelajaran kita hari ini. See you tomorrow. Assalamualaikum,”
kata-kata yang acap kali Zulaikha gunakan tanda sudah tiba masa untuk bersurai.
Para pelajar beransur-ansur keluar,
menuju ke destinasi masing-masing. Barangkali mencari kedai makan paling sedap,
kerana pasti masing-masing kelaparan setelah sepanjang pagi duduk di dewan
kuliah. Zulaikha mengemaskan buku-buku dan laptop yang digunakan untuk
mengajar sebentar tadi. Para pelajar beransur meninggalkan bilik kuliah sambil
mengucapkan terima kasih kepada Zulaikha.
Zulaikha yang baru sahaja ingin meninggalkan kelas terhenti mendengar
seseorang memanggil namanya. Dia tersenyum kepada Dr Mikhail, salah seorang
pensyarah perubatan di kolejnya. Sebagai tenaga pengajar, mereka selalu
bekerjasama dalam menjalankan tugas sebagai pendidik anak bangsa.
“Tadi saya dengar ada program hujung bulan ini.
Program apa sebenarnya, Zulaikha?” Ternyata Dr Mikhail berminat untuk
mengetahui perkara tersebut selepas mendengar soal jawab Zulaikha bersama
pelajarnya sebentar tadi. Barangkali ada bantuan yang boleh dia hulurkan bagi
menjayakan program tersebut.
“Program Rumahku Syurgaku bersama anak-anak
yatim di Raudhatul Jannah.” Ringkas jawapan Zulaikha bersama senyuman yang
sentiasa mekar di bibirnya.
“Aktif Zulaikha dengan
rumah kebajikan itu.” Kagum Dr Mikhail mendengar jawapan Zulaikha. Itu bukan
pertama kali dia mendengar program yang seumpamanya dianjurkan oleh Zulaikha
semenjak dia bergelar pensyarah di kolej tersebut. Malah, dia mula mengenali
gadis itu pun melalui sebuah program konsert amal anjuran kolejnya di Raudhatul
Jannah. Masih dia ingat lagi bagaimana Zulaikha bekerja keras bagi
merealisasikan program yang ternyata menuntut banyak tenaga dan usaha bagi
menjayakannya.
“Rumah itu atas usaha
keras ummi dan abi. Jadi, sudah menjadi tugas saya untuk membantu sehabis daya
mengembangkan apa yang telah mereka usahakan.” Abinya, Dato’ Roslan merupakan
seorang usahawan Melayu yang berjaya. Namun, tidak ramai yang mengetahui di
sebalik kejayaannya itu, dia memiliki sebuah rumah kebajikan yang kini
menempatkan 50 orang anak-anak yatim. Ini kerana abinya seorang yang sangat
merendah diri dan tidak suka menceritakan kebaikan diri sendiri. Sikap inilah
yang menjadi ikutan Zulaikha semenjak kecil lagi.
“Saya ikut serta
boleh?” Muka penuh pengharapan Dr Mikhail dipandangnya seketika cuma. Dia
begitu kagum dengan kesanggupan Dr Mikhail yang selalu membantunya dalam hampir
setiap program yang dilaksanakan. Bukan dia tidak tahu situasi Dr Mikhail yang
sentiasa sibuk dengan kuliah dan latihan praktikal para pelajarnya di setiap
hujung minggu.
“InsyaAllah, tidak
menjadi masalah, malah saya sangat berbesar hati sekiranya Dr boleh turut serta.”
Jawapan Zulaikha mengundang senyuman Dr Mikhail. Baru dia hendak membuka mulut
mengajak Zulaikha makan tengah hari, Aishah datang menghampiri mereka. Aishah
antara pelajar yang gemar bertanya soal akademik kepada para pensyarahnya.
Maka, tidak hairanlah jika dia sering mendapat keputusan yang baik dalam
pelajarannya.
“Baiklah Dr Mikhail.
Saya kena beransur dulu, ada perkara yang ingin kami bincangkan. Mengenai
tentatif program itu nanti saya emelkan kepada Dr. Assalamualaikum.” Zulaikha
melangkah bersama Aishah meninggalkan Dr Mikhail.
“Ada apa, Aishah?”
Soalan Zulaikha setelah melihat Aishah yang teragak-agak mahu bertanya. Di
hatinya, dia risau sekiranya ada berita yang kurang enak akan disampaikan oleh
gadis manis itu.
“Sebenarnya miss,
saya tidak dapat ikut serta dalam program hujung bulan ini.” Zulaikha
memegang bahu Aishah yang kelihatan sedih itu. Setahunya, Aishah merupakan
salah seorang pelajar yang aktif dalam setiap program-program sukarela anjuran
kolejnya. Dia yakin, mesti ada sesuatu yang sangat penting sehinggakan Aishah
membuat keputusan sebegitu.
“Kenapa, Aishah? Kamu
ada masalah?” Anggukan Aishah menerbitkan kerisauan di hati Zulaikha. “Saya
sangat berbesar hati kalau Aishah sudi berkongsi, mana tahu dengan cara itu
Aishah akan lebih lega?”
“Saya sekarang bekerja part time, miss.
Kebetulan, bulan ini ramai pekerja yang bercuti, jadi saya kena bekerja setiap
hujung minggu. Jadi, saya rasa saya tidak akan dapat kelepasan daripada boss
untuk turut serta dalam program kali ini.” Perlahan sahaja Aishah
memberitahu situasi dirinya.
“Apa yang membuatkan
kamu bekerja secara sambilan? Bukankah kamu sudah ada biasiswa?” Zulaikha
sedikit pelik kerana setahunya Aishah pelajar cemerlang yang mendapat tajaan
untuk pengajiannya.
“Memang saya mendapat
biasiswa, tetapi tidak mencukupi miss. Adik beradik saya ramai, ayah
nelayan, mak pula mengambil upah menjahit. Sekarang musim tengkujuh, jadi ayah
jarang ke laut. Adik-adik pula perlukan duit untuk bayar yuran sekolah. Saya
tiada pilihan lain selain bekerja sambilan sebab sebahagian besar duit biasiswa
saya serahkan kepada ayah.” Bergenang mata Aishah menceritakan perihal dirinya.
Segera Zulaikha
beristighfar dan memuji kebesaran Allah. Sungguh, dia Maha Kaya. Dia
mendatangkan segala macam situasi buat hamba-Nya. “Kamu anak yang baik, Aishah.
Berbakti kepada orang tua adalah perkara yang sangat dituntut oleh agama kita.
Beruntung kedua ibu bapa Aishah memiliki anak yang solehah. InsyaAllah, anak
yang sentiasa diredhai ibubapanya akan mendapat kemudahan dalam hidupnya.”
Kata-kata itu berjaya menghadiahkan senyuman di wajah Aishah.
Zulaikha menyambung, “Aishah,
saya tidak pernah mewajibkan kamu semua untuk ikut serta dalam mana-mana
program yang saya anjurkan. Semuanya terpulang kepada kelapangan masing-masing.
Kalau Aishah ada perkara yang lebih penting, utamakan perkerjaan itu.”
“Tapi miss,
saya teringin sangat menggembirakan anak-anak yatim tu. Saya rasa ini saja yang
mampu saya lakukan sebab kalau nak menderma wang ringgit memang saya tak mampu,
miss.” Muka kecewa Aishah mengundang senyuman Zulaikha. Sungguh dia
gembira melihat kesungguhan anak muda itu dalam melakukan sesuatu kebajikan.
“Aishah, bukan dengan
datang pada hari kejadian sahaja Aishah boleh membuat mereka gembira. Juga
bukan hanya dengan wang ringgit saja kita dikatakan membantu mereka.” “Maksud miss,
ada cara lain lagi yang boleh saya lakukan?” Sungguh anak muda itu begitu
semangat ingin tahu, sehingga belum habis Zulaikha berkata-kata dia sudah
bertanya.
“Bukankah ada banyak
persiapan yang kawan-kawan awak akan lakukan sebelum program tersebut? Aishah
boleh menyumbangkan segala kepakaran yang Aishah ada untuk membantu mereka.
Saya dengar mereka tengah merangka banyak games dan kuiz untuk anak-anak
itu nanti. Aishah tolonglah apa yang Aishah termampu. Itu pun sudah dikira
usaha dalam mengembirakan hati mereka, tau?” Hampir tergelak Zulaikha melihat
wajah ceria Aishah. Sungguh berbeza dengan wajah suramnya beberapa minit yang
lalu.
“InsyaAllah, miss.
Nanti saya tanyakan kepada Johan apa boleh saya lakukan untuk membantu mereka. Saya
minta diri dulu. Assalamualaikum.” “Waalaikumsalam w.b.t.” Aishah meninggalkan
Zulaikha sendirian menapak menuju ke pejabatnya.
Zulaikha melangkah laju ke arah pejabat yang
tinggal beberapa meter dari tempatnya berpisah dengan Aishah tadi. Sungguh
kepalanya terasa berpusing ketika itu. Mungkin angin sudah sampai ke kepalanya.
Pagi tadi dia hanya sempat menjamah sekeping roti bakar yang disediakan oleh umminya.
Ini kerana dia bergegas mahu sampai awal kerana perlu menaiki teksi yang
sememangnya sukar diperolehi awal-awal pagi lantaran keretanya yang sudah tiga
hari masuk bengkel.
“Ya Allah, kuatkanlah hamba-Mu ini untuk
menjalankan segala tanggungjawab yang telah diamanahkan. Dan, Kau
permudahkanlah segala urusanku.” Dia berdoa di dalam hati sambil terus
melangkah. Masih banyak tugasan
menantinya hari ini.
No comments:
Post a Comment