Thursday, September 6, 2012

Memori Semalam: 9


Hujung minggu datang lagi. Semalam seharian dia on call di hospital. Dan kebetulan semalam ramai patient, membuatkan dia agak keletihan. Padahnya, dia tidak ke Darul Iman. Sungguh, terasa habis kudratnya diperah dengan kerenah patient yang agak manja semalam. Hari Ahad begini, dia akan menghabiskan masanya di Darul Iman. Banyak perkara yang perlukan tindakannya bersama Erry, Amri dan abang Fuad.

            Mengenangkan perjalanan hidupnya minggu ini, dia agak stress. Setiap hari dia perlu berdepan dengan pujuk rayu Tuah. Tiga hari berturut-turut dia mengelak daripada lelaki itu. Masuk hari keempat, dia tiada pilihan melainkan terpaksa menurut kehendak lelaki itu untuk berbincang dengannya. Dia pelik, bagaimana Tuah tahu tempat kerjanya sedangkan dia tidak pernah berhubung dengan ahli keluarga lelaki itu sejak kejadian tiga tahun lepas.

            Hatinya berbelah bahagi mengenangkan pengakuan Tuah kepadanya. Lelaki itu menyatakan hasrat mahu menjadikan dia isteri. Tuah turut meluahkan rasa menyesalnya dengan perbuatannya beberapa tahun yang lepas.  Bukan tidak ada rasa kasihnya kepada lelaki itu, namun dia perlu pertahankan maruah dirinya yang dipandang remeh oleh lelaki itu.  Walaupun tiada di antara mereka yang mengungkit kejadian tersebut, namun Fatihah yakin, lambat laun pasti lelaki itu akan memperkatakan mengenainya. 

“Saya masih sayangkan awak, Fatihah. Sama macam mula-mula kita belajar berkasih. Tiada orang lain yang mampu menggantikan tempat awak dalam hati saya.” Kata-kata Tuah itu langsung tidak mengejutkan Fatihah, kerana dia yakin lelaki itu pasti bertemu untuk memujuknya. “Maafkan saya Tuah, saya sudah lama lupakan kisah kita. Awak carilah wanita yang layak untuk awak.” Seboleh-bolehnya Fatihah mahu menjerit di hadapan Tuah, tapi akal sihatnya tidak membenarkan dia berkelakuan sebegitu. “Awak masih ingat kata-kata saya dulu?”  Wajah terkejut Tuah menerbitkan rasa lucu di dalam hatinya. Masakan lelaki itu boleh terfikir yang dia akan melupakan segala-galanya dalam sekelip mata. “Tipulah kalau saya lupa tentang penghinaan awak terhadap saya Tuah,” penuh emosi suaranya kali ini. “Tapi, masa tu saya tak dapat kawal diri.”

            Fatihah memandang tepat ke dalam anak mata Tuah, namun tidak lama. “Kata orang, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Saya berharap, selepas ini, saya tidak akan berjumpa dengan awak lagi Tuah.” Fatihah mengorak langkah ingin berlalu dari situ, namun langkahnya terhenti apabila Tuah memegang tangannya. Segera dia menepis tindakan lelaki itu. Baginya, Tuah memang tidak berubah langsung. “Fatihah, saya tahu dan saya menyesal. Bagilah peluang sekali lagi buat saya.” Tuah merayu, malah berlutut di hadapannya. Fatihah memandang sekeliling. Sungguh dia malu dengan situasi tersebut. Selama ini, dia benar-benar menjaga reputasinya di tempat kerja, seboleh-bolehnya dia tidak mahu membawa masalah peribadi ke tempat kerja. Tapi, tindakan Tuah ternyata membuatkan dia marah dan kebencian terhadap lelaki itu semakin meningkat. 

Segara dia melangkah pergi tanpa menghiraukan Tuah yang melutut di hadapannya. Dia perasan pandangan pelik Shasha dengan wajah yang penuh tanda tanya. Mahu tidak mahu, selepas ini dia akan bercerita dengan Shasha tentang Tuah. Dia tidak mahu Shasha salah faham tentang dirinya seperti mana Shasha salah faham apabila memikirkan Mikhail adalah teman lelakinya.
           
            Langkahnya sekali lagi terhenti apabila Tuah mencengkam kuat kedua belah bahunya. Sungguh dia tidak menyangka tindakan Tuah itu. Sedaya upaya dia cuba meleraikan cengkaman Tuah, namun tenaganya tidak seberapa jika dibandingkan dengan Tuah. Dia serasa mahu menangis apabila tangan Tuah seperti mahu menyentuh mukanya. Seraya ingatannya kembali kepada kejadian hitam tiga tahun yang lalu. Dia meronta lagi sambil memejamkan mata yang semestinya sudah menitiskan airmata itu.

”Hoi!” jeritan kuat itu menyebabkan Tuah melepaskan Fatihah. Fatihah yang masih terkejut terus terduduk di lantai dengan mata yang masih terpejam. Pautan di bahunya menyebabkan dia membuka matanya. Segera dia memeluk Shasha untuk mendapatkan sedikit kekuatan. Dia lihat Tuah telah berlalu bersama dua orang polis bantuan yang mungkin datang sekali dengan Shasha. Hatinya memanjat kesyukuran kerana terselamat kali ini. Dia berterima kasih kepada Shasha kerana tindakannya sebentar tadi.
  

*                                  *                                  *
“Fatihah, macam mana? Ada apa-apa cadangan tak?” Soalan Erry mendapat perhatian Amri dan abang Fuad yang duduk semeja dengan mereka. “Ada. Tapi, tak tahu la boleh berjaya ke tidak.” Agak teragak-agak Fatihah mahu mengutarakan pandangannya. “Tak apa, kita listkan dulu semua cadangan daripada semua orang, kemudian kita pilih yang mana terbaik.” Saranan abang Fuad mendapat anggukan daripada mereka bertiga.

“Saya mulakanlah, bang.” Amri menepuk perlahan bahu abang Fuad. “Saya rasa, buat masa sekarang ni, kita boleh buat kerja-kerja amal seperti cuci kereta, atau jualan bahan-bahan mentah yang masih banyak dalam stor. Dengan cara itu, bolehlah kita kumpul dana sikit untuk perbelanjaan budak-budak ni semua.” Amri tersenyum puas selepas melontarkan idea yang memang sudah lama bersarang dalam otaknya.

“Saya setuju, bang. Di samping tu, kita boleh approach mana-mana badan kerajaan atau NGO untuk dapatkan sumbangan dalam bentuk yang lebih besar.” Erry pula memberi pandangan terhadap permasalahan mereka. “Fatihah pula macam mana?” Soalan abang Fuad dibalas dengan senyuman sebelum dia mengutarakan pandangannya pula. “Kedua-dua idea Amri dan Erry tu saya setuju, bang. Cuma, saya rasa buat masa sekarang kita perlu buat sedikit rombakan.”

“Rombakan? Maksud Fatihah?” Ternyata ketiga-tiga lelaki itu terkejut dan kurang jelas dengan saranan itu. “Begini, sekarang berapa ramai yang betul-betul anak-anak yatim kat Darul Iman?” Soalan Fatihah membuatkan abang Fuad terdiam seketika. “Ada dalam sepuluh orang.” Abang Fuad kelihatan yakin dengan jawapannya. “Okey. Kalau macam tu, lebih kurang separuh adalah anak fakir miskin dan keluarga yang kurang mampu, kan?” Soalan Fatihah mendapat anggukan daripada abang Fuad. “Berapa kos bulanan, termasuk makan, sewa rumah, bil elektrik dan air Darul Iman?” Sekali lagi abang Fuad terdiam sambil melihat catatan di dalam bukunya.

“Sewa rumah RM900, bil elektrik dan air lebih kurang dalam RM400 sebulan. Kalau makan, termasuk duit sekolah budak-budak, kita boleh kira dalam RM6 sehari untuk setiap orang. Macam sekarang, 25 orang, makan minum dalam RM4500 sebulan.” Panjang lebar abang Fuad menyebut angka-angka yang tercatat dalam bukunya.

“Jadi, kalau macam tu, dalam sebulan kita perlukan sekurang-kurangnya RM6000 la kan?” Soalan Fatihah dijawab dengan anggukan kepala oleh abang Fuad.  “15 orang budak-budak yang daripada keluarga kurang mampu tu macam mana, bang? Parents semua tak bekerja ke?” Soalan Erry mendapat perhatian Amri.  Nampaknya mereka terfikirkan persoalan yang sama. “Tak la. Ada yang berkerja, ada yang tidak. Tapi majoriti daripada mereka ada anak-anak yang ramai.” Jawapan abang Fuad tidak mengejutkan Fatihah. Dia sudah sedia maklum perkara tersebut, malah dia pernah bersemuka dengan ibubapa anak-anak di Darul Iman yang tidak bekerja. Bukan sebab tidak mampu untuk berkerja, tapi lebih kepada sikap suka bergantung kepada bantuan daripada pihak kebajikan dan orang ramai. Sudah dinasihati, tetapi dia seolah-olah hanya mencurah air ke daun keladi.
  

“Macam inilah bang Fuad, saya rasa ada eloknya kalau kita hantar balik budak-budak yang masih ada ibu bapa. Yang betul-betul anak-anak yatim kita kekalkan di sini. Untuk yang masih ada ibu bapa, saya rasa kita boleh tolong daripada segi ekonomi sahaja. Apa pendapat abang?” Fatihah memandang abang Fuad, menunggu jawapan lelaki itu.  “Abang memang pernah terfikir soal itu. Tapi masalahnya tak tahu macam mana nak laksanakan. Tau-tau ajalah mak bapak budak-budak tu, susah nak cakaplah.” Keluhan yang disuarakan abang Fuad menunjukkan dia kecewa dengan sikap segelintir ibu bapa yang kurang kesedaran dalam membela nasib anak-anak sendiri.

“Tu la, bang. Saya pun kadang-kadang geram juga dengan tindakan mereka. Senang-senang je nak hantar anak-anak kat rumah kebajikan, sedangkan masih ada tulang empat kerat yang boleh dibanting.” Penuh emosi Fatihah melepaskan kata-kata itu. Dia simpati pada nasib anak-anak yang ternyata kurang perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa sendiri.

“Bang, saya rasa ada betulnya cadangan Fatihah tadi. Banyak yang kita boleh jimatkan dari segi perbelanjaan harian. Kalau ada sepuluh orang anak-anak kat sini, kita perlukan dalam lebih kurang tiga ke empat ribu sebulan. Itupun bil elektrik dan air rasanya masih boleh dijimatkan lagi.” Kata-kata Erry disambut dengan anggukan daripada Amri dan Fatihah.

“Betul tu bang. Saya cadangkan, kita pergi Jabatan Kebajikan Masyarakat juga untuk bagitahu situasi kita sekarang. Saya rasa abang Johari dengan puan Nur tu perlu diambil tindakan undang-undang.” Saranan Amri itu turut mendapat persetujuan Erry dan Fatihah.

“Baiklah, kalau macam tu, insyaallah besok abang akan ke JKM untuk buat laporan dan minta nasihat daripada pihak mereka. Abang rasa dalam minggu ni juga akan panggil mak bapak budak-budak ni untuk duduk berbincang dan kemukakan saranan kita.” Penuh semangat abang Fuad melontarkan kata-kata itu.

“Setuju!” Serentak Fatihah, Amri dan Erry menjerit sedikit kebudak-budakan. Berpuas hati kerana perbincangan mereka ada hasilnya.  “Kalau macam tu, yang cadangan saya dan Amri tadi macam mana bang?” Soalan Erry disambut dengan senyuman abang Fuad. “Yang tu pun kita jalankan juga. Pasal kertas kerja mohon sumbangan dan aktiviti abang minta kamu bertiga tolong uruskan, boleh? Faham-faham aja la, orang tua macam abang ni kurang sikit bab-bab kertas kerja ni.” Sengihan abang Fuad mengundang ketawa mereka bertiga.

“Insyaallah bang, yang tu jangan risau.” Kata-kata Fatihah itu disambut dengan anggukan Amri dan Erry. Setelah kata sepakat dicapai, mereka bergerak ke asrama anak-anak di Darul Iman untuk membantu mereka mengemas bilik dan melakukan kerja-kerja sekolah yang masih belum selesai.  Di hati masing-masing sudah terencana tindakan yang akan mereka lakukan. Masing-masing ingin memberikan yang terbaik buat anak-anak di Darul Iman ini. Sebolehnya, mereka akan pertahankan Darul Iman dan lakukan segala penambahbaikan untuk anak-anak di situ.

            Fatihah segera meminta diri setelah habis berbincang. Kepalanya terasa berat. Dia perlukan rehat yang secukupnya sebelum mula bekerja keesokkan harinya. Ajakan Amri dan Erry untuk minum di warung pak Ali juga ditolaknya lantaran kepala yang semakin berdenyut-denyut. Harap-harap dia masih boleh memandu balik dengan selamatnya.
 


No comments: