Tuesday, October 2, 2012

Memori Semalam: 14


Mikhail bersalaman dengan kedua-dua orang tua tunangnya. Namun, sedari tadi dia tidak melihat kelibat tunangnya. Hatinya semakin meronta-ronta ingin mengenali gadis tersebut walaupun dia tidak tahu apakah dia akan menyukai tunangnya itu. Melihat senyuman lebar papa dan mamanya, dia semakin takut akan mengecewakan mereka sekiranya hubungan tersebut tidak berjaya hingga ke jinjang pelamin. “Kak Yong tunggu abang kat luar,” bisikan adik tunangnya membuatkan Mikhail tertanya-tanya apakah permainan yang ingin dimainkan oleh tunangnya itu. Mikhail segera meninggalkan bakal mertua dan adik-adik iparnya sambil melangkah ke pintu utama untuk mendapatkan tunangnya.

            Mikhail menghampiri gadis berbaju kebaya kuning yang duduk sendirian di taman di hadapan rumahnya. Dia yakin itu tunangnya kerana dia pun berpakaian baju melayu kuning, hadiah daripada mamanya sempena pertunangannya. Dia ragu-ragu mahu menegur kerana tidak tahu perkataan yang harus dia keluarkan. Tapi, melihatkan gadis tersebut yang bertudung sedondon dengan bajunya, dia menghulurkan salam.

            Gadis tersebut bangun dan menoleh ke arahnya. “Waalaikumsalam.” “Fatihah?” Terkejut Mikhail melihat gadis yang berdiri di hadapannya adalah gadis yang selama ini menghiasi mimpi-mimpinya saban malam. Fatihah juga terkedu sehingga tidak mampu mengeluarkan barang sepatah perkataan pun. Dia sama sekali tidak menyangka Mikhail merupakan tunangnya. Dia tidak tahu apakah perasaannya saat ini. Serta merta dia teringatkan kak Ima yang selama ini asyik bercerita soal Mikhail, dan kak Ima pernah menyatakan bahawa Mikhail akan menghantar rombongan untuk menamatkan kisah cinta mereka dengan ikatan yang sah. Kini, dia bingung melihatkan Mikhail yang berdiri segak di hadapannya.

            “Amboi, pasangan dua sejoli ni, tak habis-habis lagi nak berbalas pandang?” teguran kak Nura mengejutkan kedua-duanya daripada terus hanyut dengan perasaan masing-masing yang bercampur baur. “Fatihah, kenalkan ini kakak I, kak Nura, super gorgeous mother to-be.” Kata-kata Mikhail dibalas dengan cubitan di perutnya oleh kak Nura. “Maaflah Fatihah, Mikh ni suka bergurau.” Fatihah segera menghulurkan tangan bersalaman dengan kak Nura, namun terus dia ditarik ke dalam pelukan kak Nura. “Betullah, kak Nura cantik betul. Mesti baby akak ni pun comel macam mamanya nanti,” lembut tutur Fatihah sambil menyentuh perut kak Nura yang belum kelihatan bentuknya. “Anak Mikh dengan Fatihah nanti mesti cantik juga, macam Fatihah. Tapi, jangan macam Mikh, tak handsome langsung.” Mikhail yang pada mulanya ingin marah mendengar kenyataan kak Nura itu akhirnya tersenyum melihat wajah manis Fatihah yang tergelak mesra bersama kak Nura.

            Dia rasa tenang apabila mengetahui Fatihah adalah tunangnya yang akan menjadi isterinya dalam masa dua bulan lagi. Dia langsung terlupa kata-kata kak Ima tentang Fatihah tempoh hari. Apa yang pasti, kini perasaannya berbunga-bunga, sungguh bahagia rasanya dan tak sabar rasanya dia untuk melafazkan akad di hadapan tok kadi. Akibat terlalu asyik melihat Fatihah, dia tidak sedar bahunya dicuit seseorang. Dia perasan kehadiran seseorang di sisinya apabila terasa lengannya di peluk seseorang. “Ima?” Dia terkejut melihat kehadiran Ima di sisinya. Segera dia merungkaikan pegangan tangan Ima terhadapnya apabila dia perasan pandangan mata kak Nura terhadapnya. Ima segera menghampiri kak Nura dan memeluk wanita yang kini berbadan dua itu. Dia terkejut melihat kehadiran Fatihah di sisi kak Nura, tetapi dia menunggu kak Nura memperkenalkan Fatihah kepadanya. Fatihah pula kelihatan serba salah dengan kehadiran kak Ima di situ.

            Belum sempat kak Nura memperkenalkan Fatihah kepada Ima, Imran terlebih dahulu mengajak mereka ke khemah utama tempat kedua-dua keluarga Tan Sri Ismail dan pak Daud berkumpul meraikan tetamu yang datang. Setibanya di khemah tersebut, kelihatan Tan Sri Ismail berdiri di atas pentas kecil bersama-sama Puan Sri Hamidah. Di hadapan mereka, kelihatan sebiji kek yang terukir nombor 35, sebagai tanda 35 tahun mereka telah bergelar suami isteri. Setelah doa dibacakan, Tan Sri Ismail dan Puan Sri Hamidah sama-sama memotong kek sebagai simbolik acara mereka malam itu.

            Mikhail, kak Nura dan Imran sama-sama naik ke atas pentas menyertai kedua ibubapa mereka untuk sama-sama meraikan detik-detik istimewa tersebut. Semua hadirin bertepuk tangan menyaksikan kemesraan keluarga tersebut. Fatihah yang terharu melihat keakraban Mikhail dengan kedua orang tuanya turut memeluk kedua-dua ibubapanya. Dia berharap suatu hari nanti dia mampu meraikan kedua orang tuanya dalam majlis sebegini, kerana selama ini tidak pernah dia mampu meraikan ulangtahun perkahwinan kedua orang tuanya melainkan membawa mereka ke restoran-restoran yang agak istimewa di kampungnya.

            Pengacara majlis membuat pengumuman untuk meminta para hadirin diam sebentar kerana Tan Sri Ismail ingin membuat satu pengumuman penting. “Terima kasih kepada semua hadirin yang hadir meraikan majlis kami pada malam ini. Sempena malam yang penuh gilang gemilang ini, saya ada satu pengumuman penting yang mungkin mengejutkan ramai pihak. Seperti semua sudah sedia maklum, satu-satunya anak perempuan saya akan melahirkan cucu sulung dalam keluarga ini insyaallah dalam beberapa bulan lagi.” Kata-kata Tan Sri Ismail itu mendapat tepukan gemuruh daripada para hadirin. Semua ternyata teruja mendengarkan pengumuman tersebut.

            “Dan seperti semua sedia maklum juga, saya masih ada seorang anak lelaki yang masih bujang.” Kata-kata tersebut disambut dengan gelak ketawa para hadirin melihat telatah manja Mikhail yang memeluk mamanya sebaik sahaja papanya bersuara. “Dengan ini, saya ingin menjemput hadirin semua untuk menghadiri majlis perkahwinan anak saya, Mikhail dua bulan daripada sekarang. Jangan risau, kad-kad jemputan akan menyusul kemudian.” Ternyata pengumuman tersebut mengejutkan semua yang hadir. Hampir semua di situ tahu anak bujang Tan Sri Ismail merupakan seorang lelaki yang sering bertukar-tukar pasangan terutama semasa menghadiri majlis-majlis syarikat.

            Berlainan dengan respon kak Ima yang ternyata tersenyum lebar kerana yakin tindakannya ‘membeli’ hati Puan Sri selama ini telah menampakkan hasilnya. Dia yakin dia merupakan pilihan Mikhail kerana pada saat ini, Mikhail tengah melangkah ke arahnya. Sebaik sahaja Mikhail menghulurkan tangannya kepada Fatihah yang berdiri bersebelahannya, hatinya menjadi sangat sakit. Peristiwa beberapa tahun lalu seakan terjadi sekali lagi, di saat Tuah memilih Fatihah berbanding dirinya yang telah lama memendam rasa terhadap lelaki tersebut. Semakin sakit hatinya melihat Fatihah berjalan bergandingan dengan Mikhail ke arah pentas utama.

Terasa sumbang setiap langkah Fatihah apabila hampir kesemua mata memandang ke arahnya yang tengah melangkah ke pentas utama bersama Mikhail. Tadi dia sempat menangkap perubahan ketara muka kak Ima apabila Mikhail menjemputnya naik ke atas pentas. Tubuhnya semakin sejuk apabila Puan Sri Hamidah yang banyak membantu memberi dana kepada Darul Iman bakal menjadi ibu mertuanya dalam sedikit masa lagi. Sungguh dia tidak menyangka wanita pemilik Butik Indah yang begitu dikaguminya selama ini merupakan ibu Mikhail dan tidak lama lagi akan menjadi ibu mertuanya. Mikhail pula tersenyum bangga melihat kemesraan mamanya dan Fatihah. Memang ternyata benar kata-kata mamanya sebelum ini, dia tahu ‘selera’ anak bujangnya. Tak rugi rasanya dia bersetuju mengikut gerak hatinya untuk menuruti permintaan mama dan papanya kali ini. Di saat dia bersedia untuk menamatkan gerhana dalam hidupnya dengan menerima kehadiran seorang wanita sebagai pendampingnya, Fatihah ternyata gadis yang tepat kerana dia telah mula menyukai gadis tersebut.

*                                  *                                  *

“Nanti abang Daud sekeluarga bermalam saja di sini. Esok boleh kita sama-sama bersarapan dan berbincang apa yang patut bagi majlis anak-anak kita.” Tan Sri Ismail memulakan bicara selepas masing-masing mengambil tempat duduk di meja bulat yang dikhususkan untuk mereka selaku tuan rumah dan tetamu khas. Sudah puas dia menerima ucapan tahniah daripada para tetamu yang hadir. Kini dia ingin mengisi perutnya yang sedari tadi sudah menejrit minta diisi.

“Tak mengapalah Tan Sri. Tak sedap pula rasanya kami menumpang bermalam di sini. Nanti apa pula kata orang. Lagipun rumah tumpangan yang Tan Sri sewakan tu pun tak jauh dari sini. Esok Fatihah bawa ibu dan ayah ke sini.” Kata-kata Fatihah disambut oleh anggukan oleh kedua ibubapanya. Mereka juga sebenarnya segan dengan kebaikan keluarga Tan Sri Ismail. Mereka langsung tidak menghiraukan status sosial yang sememangnya jauh berbeza. Tidak ramai orang kenamaan yang bersikap merendah diri seperti keluarga Tan Sri Ismail ini.

“Apa pula yang perlu disegankan Fatihah? Lagipun tak lama lagi kita akan jadi satu keluarga. Mulai sekarang tak perlu panggil Tan Sri atau Puan Sri lagi, biasakan diri panggil mama dan papa, lebih manis begitu” Kata-kata Puan Sri Hamidah di sambut dengan anggukan oleh semua ahli keluarga tidak terkecuali Mikhail yang sedari tadi tersengih melihat Fatihah yang ternyata agak kekok apabila berhadapan dengannya. Sengihan Mikhail mati sebaik sahaja disiku oleh kakaknya yang duduk di sebelah. ”Behave, Mikh.” Kata-kata pesanan daripada kakaknya menyedarkan Mikhail yang bukan hanya dia dan Fatihah berada di situ. 

“Kak, kita tidur sini la malam ni, ya. Abang Yong kata nak ajak adik main game lawan-lawan.” Rengekan Fauzi mengundang gelak ketawa mereka yang berada di meja tersebut. Fatihah hanya menggeleng-gelengkan kepala lebih-lebih lagi melihat senyuman Mikhail yang semakin lebar. Dia tahu dia sudah tidak boleh berdalih lagi daripada bermalam di rumah bakal mertuanya, apatah lagi ayahnya sudah memberi persetujuan kepada Tan Sri Ismail. Perutnya terasa sebu apabila mengenangkan perkataan mertua itu. sungguh dia tidak menyangka yang dia akan berkahwin dengan Mikhail sedikit masa lagi.

Fatihah mengalihkan pandangan ke tepi apabila matanya tertangkap lirikan mata Mikhail yang memandangnya penuh minat. Sungguh dia gugup untuk melihat wajah Mikhail saat itu. Pandangan matanya bersabung dengan renungan tajam kak Ima terhadapnya. Senyuman hambar dihadiahkan kepada kak Ima kerana dia tahu pasti kak Ima sangat marah padanya. Dalam diam dia mengeluh mengenangkan apakah yang akan terjadi kepada persahabatannya dengan kak Ima yang telah terjalin sejak sekian lama. Dahulunya, semasa dia berpisah dengan Tuah, kak Ima lah yang banyak membantunya. Jauh dia termenung sehingga bahunya dicuit Farah yang menunjukkan ke arah pinggannya yang langsung tidak terusik. Perlahan-lahan dia memasukkan spaggeti ke dalam mulutnya.


*                                  *                                  *

Pergaduhannya dengan Ima sebaik sahaja majlis selesai menyebabkan dia kembali teringatkan semua cerita-cerita Ima mengenai Fatihah. Hatinya kini berbelah bahagi mahu mempercayai Ima ataupun tidak. Apabila merenung ke dalam mata Fatihah tadi, dia dapat rasakan ada sesuatu yang gadis tersebut sembunyikan daripada orang di sekelilingnya. Walaupun dia bergelak ketawa dengan ahli keluarganya, Mikhail perasan ada kepedihan yang dipendamnya dalam diam. Matanya teralih melihat Fauzi yang sudah nyenyak tidur di katilnya selepas puas mereka ‘berlawan’ tadi. Senyuman terukir di bibirnya melihat wajah polos Fauzi yang ternyata jauh berbeza dengan Fatihah.

Enggan melayan perasaannya, dia segera melangkah keluar bilik untuk mengambil angin di koridornya. Dia akui yang dia sememangnya sudah jatuh cinta dengan Fatihah, namun suatu sisi dalam dirinya seolah-olah masih meragui keputusannya menerima Fatihah sebagai seorang isteri. Dalam dia melayan perasaannya, dia dikejutkan dengan bunyi bising dari bawah rumahnya. Suasana yang sunyi sepi menyebabkan bunyi tersebut jelas pada pendengarannya. Segera dia melangkah keluar bilik untuk memeriksa bunyi tersebut. 

No comments: