“Dr Mikhail, kita ada situasi di katil bernombor 25.” Suara cemas
daripada salah seorang jururawat yang bertugas malam itu segera mendapat
perhatian daripada Dr Mikhail. Dia segera menghayunkan langkah laju mengekor
belakang jururawat tadi yang hanya dipanggil kak Siti. Dia tahu katil siapa
yang dimaksudkan. Pak Karim, seorang pesakit kencing manis yang baru sahaja
menjalani amputasi kaki memang seorang pesakit yang agak popular di kalangan
petugas kesihatan di situ. Bukan kerana dia seorang kenamaan atau orang
popular, tetapi kerana perangai keanak-anakan yang ditunjukkan walaupun sudah
berumur hampir 70-an.
“Apa yang terjadi kak
Siti? Tadi semasa saya tinggalkan dia, dia masih lena setelah suntikan
insulin.” Ternyata dia tidak dapat memikirkan sebarang kemungkinan situasi apa
yang dimaksudkan oleh kak Siti kepadanya sebentar tadi. “Pak Karim jatuh, Dr.”
Agak kalut kak Siti memberitahu perkhabaran tersebut kepada Dr Mikhail. Dia
tahu, insiden jatuh bukanlah sesuatu yang boleh dianggap kecil bagi seorang
pesakit yang berada di mana-mana wad sekalipun. Insiden ini akan melibatkan
hampir kesemua jururawat dan doktor yang terlibat. Malah akan disampaikan
kepada ketua jabatan untuk tindakan selanjutnya.
“Ya Allah, macam mana
boleh jadi begitu kak Siti?” Dr Mikhail segera melajukan hayunan langkahnya ke
arah katil Pak Karim. Daripada jauh lagi dia mendengar suara jeritan Pak Karim
yang memarahi jururawat lelaki yang ingin membantunya. Segera Dr Mikhail
beristighfar mengenangkan sikap kurang sabar Pak Karim. Kini, jelas di hadapan
matanya, Pak Karim terbaring di lantai di sisi katilnya. Diperhatikan juga, ada
tumpahan air di lantai tempat jatuhnya Pak Karim. Kemungkinan besar Pak Karim
terjatuh ketika ingin mengambil air di meja tinggi di sisi katilnya.
Dr Mikhail memberikan
isyarat kepada jururawat lelaki tadi untuk memberi laluan kepadanya menghampiri
Pak Karim. “Pak Karim, saya tolong Pak Karim ya?” Penuh kelembutan Dr Mikhail
menyentuh tangan Pak Karim yang sedang tepat memandang wajahnya. “Mana pergi kaki
saya, Dr? Apa yang Dr dah lakukan pada kaki saya? Saya nak kaki saya balik.
Cepat pulangkan kaki saya!” Pak Karim yang penuh emosi terus-terusan menjerit
dan meraung sambil tangannya memukul-mukul Dr Mikhail.
“Sabar, Pak Karim. Ingat Allah
banyak-banyak.” Dr Mikhail masih cuba berlembut dengan Pak Karim, namun tidak
mendatangkan sebarang hasil. Malahan, Pak Karim semakin kuat menjerit dan
meraung. Dr Mikhail memberi isyarat kepada kak Siti untuk menyediakan suntikan
penenang untuk mengawal Pak Karim. Setelah lebih kurang sepuluh minit Pak Karim
diberikan suntikan penenang, dia akhirnya tewas juga dengan kesan ubat
tersebut. Dia menjadi lebih lemah dan mendengar kata. Dr Mikhail segera
memeriksa Pak Karim, takut berlaku sebarang kecederaan akibat jatuh sebentar
tadi.
Setelah berpuas hati dengan keadaan Pak Karim,
dia dan jururawat lelaki tadi mengangkat kembali Pak Karim ke atas katilnya.
Dia boleh mengagak perasaan Pak Karim yang terkejut dan sedih apabila menyedari
kakinya telah dipotong sebaik sahaja bangun daripada tidur sebentar tadi. Dia
tidak menyalahkan Pak Karim kerana begitulah selalunya respon para pesakit
diabetes selepas menjalani amputasi. Suatu perasaan yang sukar digambarkan
apabila ada anggota badan yang tiba-tiba tiada di tempatnya. Apatah lagi Pak
Karim yang sudah hidup selama 64 tahun dengan kaki yang banyak berjasa
membawanya ke mana-mana.
Belum sempat dia duduk mahu menyediakan laporan
mengenai insiden Pak Karim sebentar tadi, dia dikejutkan dengan panggilan
telefon daripada ayahnya. Mesti ada sesuatu yang penting ingin disampaikan
kepadanya, kerana tidak pernah ayahnya menelefon dia semasa dia bertugas.
“Mikhail, Yati kemalangan. Sekarang ibu dan ayah dalam perjalanan ke hospital.”
Ya Allah, terasa tersentap jantungnya mendengar perkhabaran tersebut. Masih
jelas kedengaran suara tangisan ibunya sebentar tadi walaupun ayahnya sudah
menamatkan panggilan tersebut.
Yati merupakan adik yang sangat manja dengannya,
apatah lagi mereka hanya dua beradik sahaja. Kini, adiknya terlibat dalam kemalangan.
Sungguh berita tersebut menggugat segala ketenangan yang selama ini membantu
dia dalam melaksanakan tugasnya sebagai seorang doktor. Dia tergesa-gesa
menyediakan laporan mengenai Pak Karim dan menitipkan pesanan kepada kak Siti
untuk tindakan selanjutnya. Dia juga meminta dipanggilkan seorang doktor ganti
untuk menggantikan dia yang sepatutnya bertugas sehingga keesokkan paginya.
Kakinya dihayunkan laju ke arah zon kecemasan yang terletak di pagar hadapan
hospital.
Dari kejauhan dia dapat melihat ayahnya yang
sedang menenangkan ibunya yang ternyata begitu emosi di hadapan pintu
pembedahan kecemasan. Demi melihat sahaja Dr Mikhail, ibunya segera memeluk
satu-satunya anak lelakinya itu. “Mikhail, tolong adik nak. Adik ada dekat
dalam, tolong adik, nak.” Rayuan ibunya itu mengundang pilu di hati Mikhail.
Kalau diturutkan hati, mahu sahaja dia masuk ke dalam bilik pembedahan
kecemasan tersebut. Namun, dia tahu tindakan tersebut hanyalah satu tindakan
yang melanggar etika.
“Sabar, bu. insyaAllah adik akan selamat. Ibu
duduk dulu, Mikhail cuba dapatkan maklumat tentang adik.” Terasa betapa
susahnya dia mahu kelihatan tenang di hadapan kedua orang tuanya. Baru kini dia
faham perasaan ahli keluarga yang terlibat dengan segala jenis kemalangan yang
sering dia tenangkan di wadnya. Dan ternyata lebih sukar menenangkan diri
sendiri apabila ahil keluarga sendiri yang kini sedang bertarung di sebalik
pintu yang tertera perkataan kecemasan itu. Sentuhan ayahnya di bahunya
ternyata menambahkan pilu di hatinya. Dapat dia rasakan ayahnya ingin
menyalurkan semangat buatnya untuk terus bertenang dan kuat.
Dr Mikhail segera menghampiri seorang petugas di
kaunter pendaftaran untuk bertanyakan secara lebih terperinci keadaan adiknya
yang sedang dirawat sekarang. Perkhabaran yang diterimanya membuatkan dia
hampir terduduk. Sungguh, hampir dia meraung setelah mendengar kata-kata
pembantu perubatan sebentar tadi. Nasib baik dia cepat-cepat beristighfar dan
melihat ibunya yang seperti hampir kehabisan tenaga akibat menangis dengan
begitu kuat sekali. Sungguh berat ujian yang Allah berikan kepadanya kali ini.
“Kereta yang adik Dr pandu merempuh sebuah
treler dari arah yang bertentangan.” Sebaris sahaja kata-kata yang lahir
daripada mulut pembantu perubatan itu ternyata mampu meragut segala kekuatan
dan ketenangan yang cuba dikumpulnya sedari tadi. Kata-kata yang selebihnya
sudah tidak kedengaran lagi. Tidak dapat dia bayangkan bagaimana keadaan
adiknya yang kini sedang bertarung dengan maut. “Innalilahi wainna
ilaihirajiun. Ya Allah ya Tuhanku, Kau selamatkanlah adikku. Berilah kesempatan
buatnya untuk terus menghirup udara-Mu ya Allah.” Segera dia berdoa di dalam
hati. Terasa lemah hayunan kakinya ke arah kedua orang tuanya yang jelas masih
terperanjat dengan insiden yang terjadi.
“Mikhail, tolonglah buat sesuatu untuk adik. Ibu tak sanggup untuk
kehilangan adik buat masa sekarang. Tolong nak, tolong lakukan apa sahaja untuk
pastikan adik selamat dan kembali normal macam biasa.” Rayuan ibunya hanya dibalas
dengan usapan di belakang badan ibunya. Dia sendiri masih cuba untuk
menenangkan diri, oleh itu dia biarkan sahaja ibunya menangis di dalam
dakapannya. Ayahnya pula kelihatan terkumat-kamit mulutnya, mungkin membaca
kalimah-kalimah suci dan memohon keselamatan adiknya, Yati. Bunyi pintu yang
terbuka membuatkan ketiga-tiga mereka segera bangun dan menghampiri doktor yang
baru sahaja keluar dari bilik pembedahan.
“Kami telah mencuba sehabis baik. Keadaan pesakit
sangat kritikal semasa dia dihantar ke mari. Terdapat darah beku pada sebelah
kanan otaknya. Alhamdulillah darah beku itu sudah berjaya kami keluarkan.
Sekarang, terpulang kepada kekuatan pesakit sendiri dalam menghadapi tempoh
kritikalnya. Sekiranya dia berjaya, insyaAllah peluang untukknya sembuh lebih
cerah.” Penerangan panjang lebar daripada doktor yang memakai tag nama Zainal
itu melegakan ibu Dr Mikhail. “Boleh saya jumpa anak saya, Dr?”
“Minta maaf, puan. Kami tidak boleh membenarkan
sesiapa pun masuk melawat kerana ini akan memberi kesan yang tidak baik kepada
pesakit. Kita tunggu 24 jam daripada sekarang, selepas habis masa kritikalnya.
Lagipula, pesakit masih tidak sedarkan diri, dan kami pun tidak tahu bila dia
akan sedar daripada komanya.” Kata-kata Dr Zainal itu menyebabkan ibu Mikhail
menangis kembali. Dia sungguh sedih apabila mengenangkan anak yang selama ini
begitu manja dengannya akan koma, tidak sedarkan diri.
“Ibu, ibu baliklah dulu. Mikhail ada di sini
untuk tengok-tengokkan adik. Ibu balik berehat dulu, esok ayah dengan ibu
datang lagi. InsyaAllah, nanti segala perkembangan adik Mikhail akan khabarkan
kepada ibu dan ayah.” Dr Mikhail cuba untuk memujuk ibunya yang jelas kelihatan
sangat tidak bermaya itu. Selebihnya, dia mahu berbincang lebih lanjut dengan
Dr Zainal untuk mengetahui status sebenar adiknya. Dia yakin, masih ada yang
disembunyikan oleh Dr Zainal daripada pengetahuan mereka semua.
Setelah puas dipujuk, akhirnya ibu Dr Mikhail
dibawa pulang oleh ayahnya. Kesempatan itu digunakan oleh Dr Mikhail untuk
berbincang dengan Dr Zainal perihal Yati. Seperti yang dijangka, keadaan Yati
sebenarnya lebih teruk daripada yang digambarkan sebentar tadi. Walaupun darah
beku di otaknya telah berjaya di keluarkan, risiko untuk Yati mengalami
kegagalan sesetengah anggota badannya untuk berfungsi secara normal ternyata
tinggi. Tambahan pula, tulang rusuknya patah, dan kemungkinan berlaku
kecederaan pada organ-organ dalaman yang lain.
Di sebalik cermin kaca, Dr Mikhail memerhatikan
adiknya yang bergantung kepada mesin pernafasan untuk bernafas. Wayar-wayar yang
berselirat di badan adiknya menyesakkan lagi dada Dr Mikhail. Sungguh dia tidak
sanggup melihat adiknya terseksa sebegitu rupa. Mahu sahaja dia menggantikan
adiknya itu, biar dia sahaja yang menanggung seksa sakitnya itu. Setitis air
mata terbit juga dari matanya yang sedari tadi merah menahan tangis. Dia
teringat sebuah hadith yang selalu dijadikan panduan olehnya selama
ini,”Tidaklah seorang mukmin tertimpa musibah tertusuk duri atau lebih dari
itu, kecuali dengannya Allah menghapuskan sebahagian dosanya.”
Tepukan di bahunya membuatkan dia segera
mengesat airmata yang mengalir tadi. “Saya faham perasaan doktor kerana saya
pernah melalui situasi yang hampir serupa lima tahun yang lepas.” Kata-kata Dr
Zainal itu membuatkan Dr Mikhail terperanjat. Ternyata di sebalik ketenangan
yang sering tergambar di wajah Dr Zainal, tersembunyi sebuah cerita duka yang
mungkin tidak ramai yang mengetahuinya. Terdetik perasaan kagum di hati Dr
Mikhail terhadap doktor yang berdiri di sisinya kini. Dia menunggu kata-kata yang
seterusnya daripada Dr Zainal.
“Saya mungkin tidak memahami perasaan doktor
apabila melihat adik doktor terbaring kaku di dalam sana. Tapi, saya tahu
bagaimana perasaannya melihat isteri, seseorang yang sangat dekat dengan saya
terbaring kaku tanpa saya mampu berbuat apa-apa untuk membantu mengurangkan
kesakitannya.” Tersentak Dr Mikhail mendengar cerita Dr Zainal. Seorang isteri
tentunya orang yang paling dekat dengan dirinya, dan kemungkinan besar perasaan
yang ditanggung oleh seorang suami akan lebih hebat daripadanya kini. Segera Dr
Mikhail memegang bahu Dr Zainal, sebagai tanda sokongan.
“Dr Mikhail, ini ujian buat kamu dan keluarga
kamu. Ini juga satu sunnatullah atau satu peraturan Allah buat kamu. Tiada
siapa dapat menghindarinya kerana hidup ini sendiri hakikatnya satu ujian.
Bilamana kita sanggup untuk meneruskan kehidupan, maka kita wajib sanggup untuk
diuji.” Kata-kata Dr Zainal itu diakui kebenarannya oleh Dr Mikhail, namun
rasanya ujian ini begitu berat untuk dirinya yang lemah itu. “Saya tidak kuat
untuk ujian ini, doktor.”
“Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui. Dia tahu Dr
Mikhail seorang yang kuat, begitu juga ibu dan ayah doktor. Ujian ini hadir
kerana Allah ingin doktor dan keluarga doktor menyerlahkan nilai diri di
sisi-Nya. Perbanyakkan istighfar, kerana barangsiapa yang memperbanyakkan
istighfar, maka Allah akan membebasknnya dari kesedihan dan memberi jalan
keluar daripada kesempitannya. Saya perhatikan daripada dari doktor berdiri di
sini. Ada baiknya kita ke surau, kerana sudah hampir masuk waktu Maghrib. Dr
Mikhail segera mengikut langkah Dr Zainal ke surau yang berhampiran. Sedar tak
sedar, hampir dua jam dia berdiri memerhatikan adiknya tadi. Alangkah ruginya
dia, masa tersebut tidak dia gunakan untuk berdoa kepada Allah demi keselamatan
adiknya.
“Maka janganlah ucapan mereka menyedihkan kamu.
Sesungguhnya Kami mengetahui apa yang mereka rahsiakan dan apa yang mereka
nyatakan. Pertolongan hanya daripada Allah Ta’ala, dan makhluk itu tak berdaya,
tak memiliki kemampuan apa-apa. Jangan sampai kegelapan makhluk menjadikan
ancaman bagi kesedihan, karena kegelapan makhluk adalah kehinaan itu sendiri.”
Maksud ayat ke-76 dalam surah Yasin itu begitu bermakna bagi Dr Mikhail.
Sungguh dia terleka kala ujian datang tanpa diduga. Dia lupa untuk berserah
kepada-Nya selepas berikhtiar sehabis mungkin. Mungkin itu juga sebenarnya apa
yang Dr Zainal cuba sampaikan kepadanya sebentar tadi.
Usai membacakan surah Yasin, Dr Mikhail bangkit
kembali untuk menunaikan solat sunat hajat, memohon kepada Allah apa yang
terbaik buat adik kesayangannya itu. Dia berdoa,
“Ya Allah ya Tuhanku,
Yang memiliki setiap isi dalam segenap pelosok kehidupan ini,
Kepada-Mu aku berserah,
Kepada-Mu aku memohon,
Kau berikanlah apa yang terbaik buat diri kami.
Ya Rahman ya Rahim,
Seandainya penghidupan itu yang terbaik buat adikku,
Kau panjangkanlah umurnya,
Agar dapat dia menghirup kembali udara yang Kau beri,
Agar dapat dia rasai kembali panasnya mentari yang kau hadirkan di
siang hari,
Agar dapat dia nikmati keindahan bulan-Mu di malam hari.
Ya Rabbul Izzati,
Seandainya kembalinya dia kepada-Mu itu yang terbaik,
Janganlah Kau seksa dia dengan seberat-berat seksaan di dunia ini,
Berilah dia kekuatan dalam melawan rasa kesakitan itu,
Berilah dia kesabaran dalam menahan segala rasa yang menghimpit itu,
Kau tenangkanlah hati-hati kami untuk menerima ketentuan-Mu itu.
Janganlah Engkau beratkan hati kami untuk melepaskan dia kembali
kepada-Mu,
Kerana sesungguhnya kepada-Mulah tempat kami akan kembali.”
“Sesungguhnya perintah-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah
berkata kepadanya: “Jadilah!” maka terjadilah ia. KehendakNya pada sesuatu,
akan terjadi tanpa jarak rentang waktu maupun ruang. Maka Maha Suci (Allah)
yang di tangan-Nya kekuasaan atas segala sesuatu dan kepada-Nyalah kamu
dikembalikan.” Maksud dua ayat terakhir dalam surah Yasin itu begitu membekas
dalam hatinya.
Kini, hatinya berasa lebih tenang dan lapang. Ternyata Dia adalah
sebaik-baik tempat untuk mengadu. Dia berharap ibu dan ayahnya juga berdoa yang
terbaik untuk adiknya. Melihatkan jam yang hampir menginjak ke angka 10, dia
segera bangun menuju ke kamar yang menempatkan adiknya. Masih ada hampir 18 jam
lagi untuk mengetahui samada adiknya mampu melepasi masa kritikal yang
dikatakan oleh Dr Zainal petang tadi.
Suasana yang agak kelam kabut di dalam bilik
yang dihuni adiknya beberapa jam yang lalu nyata mencemaskan dirinya. Segera
dia masuk menghampiri Dr Zainal. Walaupun jururawat cuba memintanya keluar
daripada bilik tersebut, namun Dr Zainal bertindak sebaliknya. Dia yakin Dr
Mikhail cukup kuat untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang akan terjadi
kepada adiknya. Dia dengar doa yang Dr Mikhail titipkan selepas solat tadi. Doa
yang hampir sama yang pernah dia titipkan suatu masa dulu semasa isterinya
tengah bertarung untuk meneruskan kehidupan.
“Dr Mikhail, kami minta maaf. Secara tiba-tiba
mesin pernafasan tidak berfungsi secara normal. Setelah diteliti, ternyata
paru-parunya rosak teruk akibat tekanan oleh tulang rusuk pesakit yang patah.
Kami minta maaf, ternyata Allah mahukan dia kembali ke sisi-Nya.” Dia
menepuk-nepuk bahu Dr Mikhail tanda memberi semangat kepada doktor muda itu.
Benar telahannya, Dr Mikhail punyai jiwa yang besar. Dia mampu menerimanya
dengan tenang walaupun pada mulanya kelihatan agak goyah.
Peristiwa lima tahun lepas rasanya bagaikan baru
terjadi semalam. Dr Mikhail masih ingat lagi penerimaan ibunya yang jelas masih
dibelenggu emosi yang tidak stabil. Memakan masa berbulan-bulan dia dan ayahnya
berusaha mengembalikan semangat ibunya. Ibunya menjadi seorang yang murung dan suka
menyendiri. Daripada seorang isteri dan ibu yang periang dan selalu
menyenangkan, ibunya menjadi seorang yang tidak menghiraukan keadaan
sekeliling.
Setelah berbincang panjang
lebar dengan ayahnya, mereka membawa ibunya berjumpa pakar psikiatri untuk mendapatkan
khidmat nasihat dan rawatan yang sepatutnya. Pada mulanya ibu Dr Mikhail
menolak dan membangkang untuk dibawa ke hospital kerana baginya dia bukan sakit
dan tidak juga gila. Namun, setelah dipujuk selama seminggu, Dr Mikhail berjaya
membawa ibunya ke rumah sakit.
Dalam tempoh itu juga, dia berusaha sehabis kuat
untuk bertahan berkerja di hospital, yang telah menjadi saksi pemergian insan
yang bergelar adik kepadanya. Dalam sabar dia merintih memohon jalan yang terbaik
buat dirinya dan kedua orang tuanya. Setelah berbincang panjang lebar dengan
ayahnya, dia mengambil keputusan untuk meletak jawatan dan berhijrah ke bidang
pekerjaan yang lain. Ada beberapa orang doktor senior yang memujuknya untuk
meneruskan kerjaya sebagai seorang doktor perubatan dan meneruskan pengajian ke
peringkat yang lebih tinggi, namun dia tetap dengan keputusannya.
Bukan mudah dia membuat keputusan untuk
menghentikan segala usaha ke arah mencapai cita-citanya selama ini, menjadi
seorang pakar bedah. Namun, demi mengembalikan semula semangat ibunya,
satu-satunya wanita yang paling dia sayang, dia gagahkan diri membuat keputusan
yang menjadikan dia Dr Mikhail yang sekarang ini merupakan seorang pensyarah
medikal di kolej tempatnya menabur bakti kini.
Menjadi seorang pensyarah juga bukanlah sesuatu
yang mudah, terutamanya bagi dia yang sememangnya kurang menggemari kerjaya
tersebut. Dia kurang gemar melayan kerenah para pelajar yang ada masanya
sungguh mencabar kesabarannya. Mungkin itulah juga yang para gurunya rasakan
kerana dulu di sekolah dia merupakan seorang pelajar yang nakal dan suka
menimbulkan masalah dengan rakan sebaya. Benarlah kata Zulaikha
tempoh hari, what you give you get back.
Mengenangkan Zulaikha,
hatinya terusik rindu. Sungguh dia begitu tertarik dengan gadis lemah lembut
tapi tegas itu. Masih dia ingat detik pertama perkenalan dia dengan Zulaikha. Masa itu
dia baru sahaja mendaftar sebagai tenaga pengajar di kolejnya. Insan pertama
yang menunjukkan dia arah ke arah pejabat pengarah kolej adalah Zulaikha, yang
ditemui di koridor bangunan pentadbiran. Walaupun tiada langsung kata-kata
perkenalan pada ketika itu, hatinya kuat mengatakan yang dia akan mengenali
juga wanita tersebut.
Ternyata benar telahannya,
bahawa Zulaikha merupakan seorang pensyarah di situ, mengajar fakulti yang sama
dengannya. Pertemuan seterusnya antara mereka adalah di pejabat dekan fakulti. Seterusnya,
hubungan mereka semakin mesra apabila selalu ditugaskan bersama dalam menjayakan
aktiviti-aktiviti sosial dan kemasyarakatan anjuran kolej. Namun, untuk
menyatakan hasrat hatinya secara berterus terang, dia masih belum berani. Dia takut Zulaikha menolaknya
dan hubungan persahabatan mereka akan rengang.
Sehingga sekarang dia masih tidak mengetahui status
sebenar Zulaikha. Walaupun daripada teman-teman pensyarah yang lain dia
mengetahui Zulaikha belum mempunyai teman leaki mahupun tunang, dia takut
sekiranya Zulaikha sengaja merahsiakan perkara tersebut daripada rakan-rakan
sekerja. Bukan dia tidak kenal perangai Zulaikha, seorang yang seboleh-bolehnya
tidak akan mencampur adukkan perihal peribadi dengan perihal kerja.
Perlahan Dr Mikhail melangkah menuju ke bilik
air untuk mengambil wudhuk. Dia mahu menunaikan solat istikharah. Dia mahu
memohon ditunjukkan jalan dalam memilih pasangan hidupnya. Memang hatinya kuat
untuk menjadikan Zulaikha sebagai suri hidupnya namun dia tahu, Allah lebih
mengetahui. Dia tidak mahu mambuat keputusan berdasarkan hawa nafsu semata-mata
kerana baginya perkahwinan itu adalah satu proses sepanjang hayat. Dia mahu
memiliki sebuah keluarga yang mampu membawa dia ke jalan yang diredhaiNya. Dia
mahukan seorang isteri yang mampu mendidik anak-anaknya menjadi anak-anak yang
soleh dan solehah.
No comments:
Post a Comment