Setelah
menghantar bakal keluarga barunya ke sebuah homestay
di tengah-tengah ibukota, Mikhail memandu balik ke rumahnya. Otaknya ligat
berfikir bagaimana agaknya rupa bakal isterinya. Tadi, bakal adik iparnya yang
bongsu mengatakan kak yongnya agak berbeza rupa parasnya dengan mereka adik
beradik yang lain. Apa yang Mikhail perasan semua mereka adik beradik putih
melepak kecuali ayah yang sedikit gelap. Adakah mungkin bakal isterinya gelap
seperti ayahnya? Segera dia menilik tangannya yang agak cerah berbanding bakal
ayah mertuanya tadi. Menjadi idamannya selama ini adalah gadis yang berkulit
cerah, lebih cerah berbanding dirinya.
“Mikh, terima kasih kerana sudi
menjemput pakcik sekeluarga dari kampung. Minta maaflah, sebab anak gadis
pakcik bekerja hari ini. Tak dapat nak perkenalkan kamu berdua.” Kata-kata yang
terlafaz daripada mulut bakal mertuanya disambut dengan anggukan oleh Mikhail.
Dia senang hati dengan peribadi kedua bakal mertuanya itu. Dia berharap
tunangnya juga memiliki peribadi sebegitu.
“Sudah menjadi tanggungjawab saya
pakcik. Pakcik, makcik,
Farah dan Pojie berehatlah. Malam nanti kita jumpa di majlis mama dan papa.”
Itu sahaja yang mampu diluahkan biarpun sebenarnya dia ingin bertanyakan
perihal tunangnya. Namun, mengenangkan yang mereka akan berkenalan malam nanti,
dia mengajar hatinya supaya bersabar. Takkan lari gunung dikejar.
Dia
teringatkan kejadian beberapa hari lepas, di mana dia mengatakan dia adalah
masa kini dan masa depan Fatihah di hadapan Tuah. Dia benar-benar berharap
perkara tersebut menjadi kenyataan kerana dia sudah benar-benar jatuh cinta
dengan gadis tersebut. Tidak pernah dia senekad itu mempertahankan seorang
gadis yang tiada kaitan dengan dirinya. Dan, tidak pernah juga dia merasa sakit
hati yang teramat sangat apabila melihat ada lelaki lain bersama Fatihah.
Bunyi ketukan pada cermin keretanya membuatkan
Mikhail tersentak dan segera diturunkan cermin kereta BMWnya itu. “Mikh, kenapa
mama tengok daripada tadi dah lebih lima minit Mikh sampai, kenapa tak turun
lagi?” Mikhail hanya tersengih memandang ke arah mamanya. “Sorry ma, Mikh terleka kejap. Banyak benda Mikh fikirkan nak jayakan majlis mama dan
papa malam esok.” Puan Sri Hamidah hanya tersenyum ke arah anak lelakinya yang
sedari dulu tidak pernah menghampakan dia dan suaminya. “Bukan majlis mama dan
papa saja, majlis Mikh sendiri.” Mikhail segera keluar dari keretanya dan
memaut bahu mamanya sambil berjalan ke arah taman di hadapan rumah mereka.
“Ma, Mikh peliklah.
Kenapa majlis bertunang kat rumah pihak lelaki? Bukankah selalunya kita buat di
rumah pihak perempuan?” Mikhail memang pelik memikirnya idea mama dan papanya
yang satu itu. “Bukankah Mikh dah memang bertunang dengan tunang Mikh tu? Tak
ingat mama dan papa pergi beberapa minggu lepas, yang Mikh kononnya banyak
kerja tak dapat nak ikut?” Mikhail menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal
itu. Terkena dengan kata-kata ibunya yang sememangnya terbukti betul. “Jadi,
majlis malam esok hanya nak perkenalkan dia dengan ahli keluarga kita. Mikh pun
belum kenal dia kan?” Mikhail hanya menganggukkan kepala mengiakan kata-kata
mamanya.
“Insyaallah, mama
tahu pilihan anak mama. Trust
me, Mikhail.
She’s the one that suit you very well.”
Mikhail hanya tersenyum sambil memeluk bahu mamanya. Sambil memejamkan matanya,
terbayang wajah comel Fatihah beberapa hari yang lepas. Debaran yang dirasakan
semenjak dia melihat wajah gadis itu dari jarak yang begitu dekat masih
dirasakan sehingga ke hari ini. “Mama, hanya Fatihah yang Mikh inginkan menjadi
isteri Mikh.” Kata-kata tersebut hanya mampu diucapkannya di dalam hatinya.
* * *
Fatihah bersalaman sambil mencium pipi kedua orang
tuanya. Sungguh dia begitu gembira melihat kegembiraan yang jelas terpancar di
wajah kedua orang tuanya itu. Kalaulah dengan menurut pilihan mereka dia mampu
melihat senyuman lebar kedua orangtuanya, dia sanggup untuk berkahwin dengan
lelaki yang langsung dia tidak kenali. Adiknya Farah dan Fauzi juga jelas
kelihatan gembira dapat menjejakkan kaki ke kotaraya Kuala Lumpur yang sememangnya
menjadi impian mereka berdua. Sejak dari dulu lagi, kedua-dua orang adiknya
menyuarakan hasrat untuk tinggal bersamanya di Kuala Lumpur. Tapi, mengenangkan
diri yang kurang berkemampuan, dia tidak dapat merealisasikan impian mereka.
Lantas, kehadiran mereka kali ini akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk membawa
mereka meronda sekitar Kuala Lumpur.
“Kak Yong, bila
kita nak pergi jalan-jalan ni?” Soalan Fauzi mencetuskan gelak Fatihah. Dia
faham keterujaan adiknya untuk melihat kecanggihan kota metropolitan itu. “Poji
nak pergi mana hari ni?” Fatihah menggosok-gosok kepala adiknya yang sedari
tadi tersengih memandangnya. “Poji nak pergi mana?” Sekali lagi dia mengulangi
soalannya apabila melihat adiknya agak serba salah untuk bersuara. “Poji nak
pergi KLCC, nak pergi akuaria.” Terkejut Fatihah mendengar permintaan adiknya
itu. Memang jelas adiknya membuat kajian
sebelum pergi ke sini. Kalau tidak, masakan dia tahu akuaria di dalam
KLCC. Fauzi dan Farah melompat kegembiraan menlihat anggukan Fatihah. Kedua-duanya
berlari menuju ke arah bilik masing-masing setelah diarahkan bersiap oleh ayah
mereka.
“Ibu, baiknya bakal
besan ibu. Siap sediakan rumah sebesar ini untuk kita.” Fatihah memeluk bahu
ibunya. Betapa dia rindu untuk bermanja sebegitu rupa dengan ibunya.
“Insyaallah, bakal suami Fatihah pun baik.” Senyuman penuh makna kedua
ibubapanya mengundang rasa curiga Fatihah. Dia pelik melihat kedua orang tuanya
sangat gembira dengan senyuman masing-masing yang tak lekang daripada bibir
sedari dia sampai tadi. Masakan Tuah yang meminang dia, sebab sebelum ini, ibunya tak pernah segembira ini apabila ada
perkara-perkara yang melibatkan Tuah.
Dulu dia
pernah membawa Tuah balik ke kampung untuk diperkenalkan kepada kedua orang
tuanya. Layanan ibu dan ayahnya terhadap Tuah memang baik, tapi riak keduanya
seperti tidak merestui hubungan keduanya. Mungkin benar kata orang, firasat ibu
selalunya betul. Tidak lama selepas dia membawa Tuah balik ke kampung, terjadi
peristiwa yang sebolehnya mahu dia lupuskan daripada kotak ingatan.
“Hai Fatihah,
melamun bayangkan wajah bakal menantu ibu ke?” usikan ibunya membuatkan Fatihah
tergelak kecil. Hatinya berdebar sejak semalam lagi, dan tinggal tidak sampai
24 jam lagi dia akan berkenalan dengan tunangannya. Ibunya ingin menunjukkan
gambar tunangnya yang dikatakan adiknya sangat handsome itu, tetapi dia berkeras tidak mahu melihat gambar
tersebut. Biarlah segala-galanya terjawab malam esoknya. Sekarang, dia punya
misi membawa ahli keluarganya berjalan-jalan sekitar Kuala Lumpur.
* * *
Akhirnya, masa yang ditunggu tiba juga. Mikhail kaku memandang figuranya sendiri di hadapan
cermin di biliknya. Dia tidak yakin, apakah keputusannya menurut segala
permintaan mamanya ini keputusan terbaik untuknya. Dia masih fobia untuk menjalinkan hubungan serius dengan
insan bergelar wanita. Namun, apabila terkenangkan insiden beberapa hari lepas
di tasik Titiwangsa, dia amat berharap Fatihah betul-betul tunangnya seperti
yang dia nyatakan pada Tuah. Serta-merta
senyuman terukir apabila nama Fatihah meniti di bibirnya.
“Amboi, bahagia nampak?” sergahan kak Nuha mematikan
senyuman Mikhail. Kakaknya itu, tidak lain tidak bukan hanya mahu mengusiknya
mengenai tunangan yang langsung dia tak ambil peduli. “Wah, cantik akak Mikh
malam ni. Perut tu nampak buncit je.” Mikhail tergelak melihat kakaknya mencuka
mendengar komen bersahaja daripadanya. “Mikh ni kan, saja je. Tau la akak kene
buatan abang Imran kau. Tak payah la nak sebut-sebut buncit tu.” Mikhail
mengaduh apabila telinganya dipiat kak Nuha.
Suara gelak di pintu bilik Mikhail menyedarkan Mikhail
dan kakaknya yang bergaduh sedari tadi. “Handsomenya anak mama malam ni.”
Kata-kata mamanya disambut dengan senyuman tawar Mikhail. Dia sendiri tidak
faham gelojak hatinya yang ingin tampil sempurna di mata tunangnya, walaupun
dia tidak yakin dia mampu meneruskan perhubungan mereka nanti. “Nuha kenapa tak
tolong Imran melayan tetamu kat bawah? Mikh, kejap lagi Pak Leman datang dengan
keluarga baru kita. Mikh dah ready
belum?” Soalan tersebut menambahkan debaran di hati Mikhail. Dia tidak boleh
bayangkan bagaimanakah gadis pilihan kedua orang tuanya. Kalaulah
kawan-kawannya tau yang dia dijodohkan dengan pilihan orang tuanya, pasti dia
menjadi mangsa ejekan mereka.
“Mama, tetamu istimewa mama dah sampai.” Puan Sri
Hamidah dan anak-anaknya Mikhail dan Nura masing-masing menoleh ke arah Imran
yang sedang tersenyum lebar. Debaran di hati Mikhail semakin terasa. Nura
segera mendekati suaminya setelah mencubit pipi adiknya, yang nyata kelihatan pucat.
Baru sahaja Nura ingin bersuara memerli adiknya, mamanya terlebih dahulu
meletakkan jari di mulut sebagai isyarat supaya tidak berkata apa-apa. Imran
pula menarik isterinya untuk turun bersamanya melayan tetamu yang tiba sedari
jam 8 malam tadi. Dia tahu ibu mertuanya mahukan ruang bersama Mikhail sebelum
Mikhail dipertemukan dengan tunangnya.
2 comments:
please nak lagi buat suspen org aje....
sabar.... ehe
Post a Comment