Fatihah
sedang sibuk di depan komputernya, menyelesaikan segala tugasannya hari ini.
Begitulah rutin hariannya, setiap penghujung jam bekerja. Semua data pesakit
dan tugasan hariannya perlu di masukkan ke dalam sistem yang telah disediakan
oleh pihak jabatan. “Fatihah, dah siap
ke?” Teguran Shasha mematikan pergerakkan tangannya yang sedari tadi lincah
menekan papan kekunci computer di hadapannya.
“Shasha,
awalnya kau settle hari ni. Biasa
bukan main lambat lagi?” Kening dijungkitkan menagih jawapan Shasha. “Tu la
pasal. Nak naik BMW punya pasal, kenalah cepat. Nanti, tak pasal-pasal aku kena
tinggal. Kau tu bukan boleh percaya sangat kadang-kadang.” Shasha menjelirkan lidahnya seraya membuat muka merajuk.
Dia pernah kena tinggal di pusat membeli belah suatu masa dulu lantaran terlalu
memilih mahu membeli pakaian kerja. Sejak itu, dia tidak lagi berlengah-lengah
apabila mahu menumpang Fatihah. “Ha ha. Ye la tu, cik Shasha
oi. Tunggu kejap ye, aku tengah settlekan
kerja sikit lagi ni.” “Baik bos. Aku pergi toilet
jap. Jangan tinggalkan aku tau,” sekali lagi Shasha mengingatkan Fatihah.
Fatihah
kembali menyambung semula kerjanya. Baru sahaja dia ingin mematikan
komputernya, deringan telefon berbunyi. Ini pasti Mikhail memandangkan jam yang
telah pun menganjak ke 5.30 petang. Tanpa melihat nama pemanggil terlebih
dahulu, Fatihah segera menyambut panggilan tersebut. “Assalamualaikum Mikhail. You dah sampai ke?” “Waalaikumsalam, Fatihah. Saya kat depan
jabatan awak.”
Berkerut
dahi Fatihah mendengar suara itu. Dia masih ingat getaran suara yang dahulunya
sering ditunggu-tunggu. Segera
talian dimatikan. Segera otaknya memproses kata-kata Tuah sebentar tadi.
Satu-satunya jalan keluar dari jabatannya adalah pintu masuk utama yang akan
membolehkan dia terus ke tempat Mikhail menghantarnya pagi tadi. Nada dering menandakan mesej baru mengejutkan
lamunan Fatihah. Mikhail sudah sampai dan kini dia perlu melalui Tuah terlebih
dahulu. Dia bingung dengan situasi yang dihadapinya kini. Dia tidak mahu
kejadian yang tidak diingini berlaku di tempat kerjanya sekaligus memburukkan
imejnya di mata rakan-rakan setugas.
“Beb, Mikhail dah sampai ke?” Tepukan di bahu membuatkan
Fatihah tersentak. Dia lupa Shasha akan balik bersamanya. Nasib baik dia tidak
meninggalkan gadis tersebut sekali lagi. “Dah. Kau dah siap? Jomlah.” Hatinya
semakin berdebar-debar tatkala melangkah ke pintu masuk utama jabatan
Fisioterapi. Laluan utama yang kosong sedikit melegakan. Mungkin Tuah hanya
bergurau, masakan dia tahu tempat kerjanya. Baru sahaja dia mahu melangkah
keluar menuju ke anak tangga tempat kereta Mikhail yang sudah sedia
menunggunya, dia dikejutkan dengan panggilan namanya. Terkaku sebentar dia
mendengar suara yang sudah lama menghilang itu. Sah! Tuah tidak bergurau
sebentar tadi. Shasha yang begitu teruja ingin berkenalan dengan Mikhail turut
mematikan langkahnya dan berpaling ke arah jejaka tampan di belakang Fatihah.
“Mikhail?” Suara Shasha mematikan kebisuan di antara
mereka. Berkerut dahi Tuah mendengar nama lelaki yang meluncur dari mulut rakan
sekerja Fatihah itu. “Shasha, kau tolong
pergi ke kereta dulu boleh?” Ujar Fatihah seraya menunjukkan kereta Mikhail
kepada Shasha. “Ish, segan lah aku.” Shasha memegang lengan Fatihah, tanda mahu pergi
bersama-sama. Masakan dia mahu menaiki kereta Mikhail sendirian tanpa
diperkenalkan terlebih dahulu. “Tak pe. Kau bagitahu dia aku ada hal sikit. Kejap je. Kejap lagi aku datang kat kau.” Fatihah berharap sangat Shasha
dapat memahami situasinya ketika itu walaupun dia tahu mustahil, kerana dia
tidak pernah bercerita soal Tuah kepada rakannya itu. “Ye la. Jangan lama
sangat. Nanti apa kata dia.” “Ya, aku tahu.”
Fatihah hanya menghantar langkah Shasha dengan pandangan
matanya. Dia berdoa agar
Shasha tidak bercerita apa-apa kepada Mikhail. “Fatihah, apa khabar?”
Pertanyaan Tuah membuatkan Fatihah kembali memandang ke arah lelaki di
belakangnya. “Baik. Kalau tak ada apa-apa, saya nak balik dulu. Kawan
saya dah tunggu.” Langkah mula di atur ke arah kereta Mikhail. “Siapa Mikhail?”
Langkahnya terhenti. Fatihah perasan raut wajah kelat Tuah sebaik sahaja
menuturkan nama tersebut. “Saya balik
dulu.” Kaki diatur ke arah anak tangga menuju ke kereta Mikhail yang sudah lama
menunggunya.
“Fatihah. Are you
okay?” Kehadiran Mikhail di hadapan Fatihah mengejutkannya. Dia tidak
perasan bila masanya Mikhail berada di hadapannya. “Fatihah, siapa ni?” Soalan Tuah itu
membuatkan Fatihah terus kaku di tempat dia berdiri. “Mikhail.” Mikhail menghulurkan tangannya ke arah
Tuah. “Tuah.” Mikhail terkejut mendengar
nama lelaki tersebut. Dia teringat cerita Ima padanya sedikit masa dahulu.
Ternyata Tuah bukan sebarangan lelaki. Dengan penampilan yang bergaya dengan
pakaian daripada jenama ternama, membuatkan Tuah tampil dengan karisma yang
tersendiri. Tuah juga mengambil masa tersebut membelek lelaki di hadapannya.
Ternyata dia kalah dengan ketampanan dan tubuh sasa Mikhail. Nampak gayanya,
dia sudah ada pesaing yang tidak kurang hebatnya.
“Beb, cepatlah! Ada kereta dah tunggu kat belakang.”
Laungan Shasha menyelamatkan Fatihah daripada situasi yang benar-benar
menyesakkan dadanya itu. Langkah
diaturkan ke arah kereta Mikhail. Dia nampak wajah tidak puas hati seorang pak
cik yang terpaksa menunggu di belakang kereta Mikhail. Segera badannya
diboloskan ke tempat duduk penumpang hadapan. Mikhail menyertai dia dan Shasha
di dalam kereta tidak lama kemudian. Dia nampak wajah bengang Tuah yang telah
pun melangkah meninggalkan tempat tersebut. Hatinya tertanya-tanya apa agaknya
yang dibualkan dua lelaki itu tadi.
Suara becok Shasha yang bertanya itu ini pada Mikhail
langsung tidak menarik perhatian Fatihah. Dia tenggelam dalam dunianya sendiri.
Mikhail yang perasan keadaan itu langsung tidak menghiraukan Fatihah walaupun
hatinya agak menggelegak mengenangkan kehadiran Tuah sebentar tadi. “Beb, kita nak makan kat mana ni?” Pertanyaan
Shasha itu mengembalikan Fatihah daripada lamunan yang entah sudah sampai ke
mana itu. “Makan?” Terpinga-pinga dia
mendengar persoalan Shasha itu. Di ingatannya masa itu hanyalah rumah. Dia mahu
sampai cepat, mahu berehat kerana sungguh dia terkejut dengan kehadiran Tuah
sebentar tadi. “Ye la. Cik abang kau ni dah lapar. Kesian aku tengok dia, dari
tadi tanya nak makan kat mana, kau langsung tak hiraukan dia.”
Fatihah mencari wajah Mikhail dan dia terpegun dengan
senyuman yang terukir di wajah tenang lelaki itu. Tadi bukan main masam lagi,
sekarang boleh tersenyum-senyum pula. Memang sah, lelaki ni kurang emosi. “Beb,
nak aku ulang banyak kali ke soalan tadi?” Shasha bersuara lagi apabila tiada jawapan
daripada Fatihah. “Sorry, sorry. You nak makan apa? Something local or fast food?” Fatihah bertanyakan kepada Mikhail
kerana takut tempat pilihannya nanti tidak mengena dengan selera lelaki itu. “Kalau
I nak makan masakan you boleh?” Mikhail bertanya seraya
menjungkitkan keningnya ke arah Fatihah. “D, kalau you nak tahu, Fatihah ni pandai masak tau.” Makin melebar senyuman
Mikhail mendengar komen rakan Fatihah itu. “Aik, sejak bila kau panggil dia D?” Fatihah
terkejut dengan panggilan yang digunakan oleh Shasha kerana setahunya panggilan
tersebut turut digunakan oleh kak Ima. “Tu la kau, mengelamun tak tentu pasal
sampai tak perasan aku dengan pakwe kau ni berborak.”
Berkerut
dahi Fatihah mendengar kenyataan tak berlapik dari mulut becok Shasha itu. “Kau jangan nak memandai ye. Aku dengan
Mikhail ni kawan je, ok?” Segera Fatihah membetulkan tanggapan Shasha itu. “Ye
la tu. Aku tau, mesti mamat handsome kat
depan department tadi pakwe kau kan?”
Soalan itu membuatkan Fatihah terasa sesak nafas. Segera dia menjeling ke arah
Mikhail dan dia perasan perubahan wajah itu, nampak tegang dan dia terasa aura
yang tidak baik kini. Kalau kini Mikhail boleh tersenyum manis, kini wajah itu
masam dan kelat. Menyesal pula dia setuju menumpangkan Shasha tadi. Dia
ingatkan kehadiran Shasha boleh mengurangkan rasa janggal berdua-duaan dengan
Mikhail, namun lain pula yang jadi. Dia mengeluh dalam diam.
“Beb, macam mana kau kenal mamat-mamat handsome ni semua?” Soalan Shasha
ternyata memang tidak kena pada tempatnya. Mahu sahaja dia menutup mulut gadis
itu daripada terus menerus bertanyakan itu ini. “Shasha, kita makan kat kedai biasa
dekat Kampong Baru tu ok tak?” “Kau ni, aku tanya lain, kau jawab lain. Yela
makcik. Kau tu memang kedekut, bukannya nak berkongsi dengan member.” Shasha kecewa kerana Fatihah
tidak mahu bercerita tentang dua lelaki tampan yang baru dia kenali hari ini.
Dia tidak menyangka rakan sekerjanya itu mempunyai citarasa yang hebat tentang
lelaki. “Nak kongsi apanya?” Geram pula dia dengan pertanyaan demi pertanyaan
Shasha yang jelas tidak kena pada masanya itu.
“Kedai mana nak pergi ni?” Soalan Mikhail itu mematikan
perbalahan kecil antara Fatihah dan Shasha. Segera Fatihah menunjukkan arah kepada Mikhail
yang sedang memandu. Wajah tegang Mikhail menarik perhatiannya. Dalam sekelip
mata, banyak reaksi wajah yang dipamerkan oleh lelaki tersebut padanya.
Ternyata, dia gagal menebak hati lelaki. Mungkin sebab itulah dia ditinggalkan
suatu masa dulu.
* * *
Badan direbahkan ke atas katil empuknya. Masih
terbayang-bayang kejadian petang tadi, antara dia, Fatihah dan Tuah. Sungguh
dia rasa tidak senang dengan situasinya sekarang. Nampak gayanya, dia sudah ada
pesaing yang ternyata hebat di matanya. Apatah lagi, Tuah bekas teman lelaki
Fatihah. Dia yakin, masih ada yang belum selesai antara keduanya. Kalau tidak,
masakan mereka bereaksi seperti tadi.
”Tuah Datuk Mursyid, Maju
Holdings Sdn Bhd?” Mikhail bersuara memecah kebisuan antara mereka. Pada masa
yang sama, Fatihah melangkah meninggalkan mereka. “Ya, Mikhail?” soal Tuah
dengan dahi yang berkerut. “Mikhail
Ismail, Isham Holdings. I’ve heard a lot
about you. Maybe we can talk later on. My
girl is waiting.” Sengaja dia menekan perkataan my girl kerana mahu Tuah tahu bahawa Fatihah bukan lagi miliknya. Kalaulah Fatihah mendengar kata-katanya tadi, pasti gadis
itu marah dengannya. Mengingatkan wajah cemberut gadis tersebut apabila dia
tidak berpuas hati, menyirnakan senyuman di bibirnya.
Ternyata Tuah bukanlah calang-calang lawan baginya.
Sengaja dia menyebut nama syarikat milik papanya kerana dia mahu Tuah tahu,
pilihan Fatihah juga tidak kurang hebatnya. Rasanya semua ahli perniagaan kenal
akan papanya yang pernah mendapat anugerah ahli perniagaan bumiputera paling
berjaya selama beberapa tahun berturut-turut lantaran kecemerlangan syarikat
pimpinannya. Dia pasti selepas ini pasti Tuah akan menyiasat latar belakang
dirinya. Dia tidak peduli kerana dia yakin Tuah tidak akan mengetahui tentang
rahsia yang dia simpan selama ini.
Segera dia mendail nombor
Ima. Dia perlu
berjumpa wanita itu. Banyak perkara yang ingin dia tanyakan tentang Fatihah dan
Tuah. Dia mahu tahu, apakah
benar Fatihah sengaja menjerat Tuah dan mengikis harta lelaki tersebut, kerana
mengikut gerak hatinya selepas peristiwa petang tadi, seolah-olah Tuah yang
menimbulkan masalah dalam hubungan mereka dulu. Bibirnya mengukir senyum
apabila Ima bersetuju untuk berjumpanya di sebuah restoran. Tidak sabar rasanya
dia mahu mendengar cerita tentang Fatihah.