Wednesday, March 6, 2013

Setulus Cinta Zulaikha: 3

Kelihatan seorang pemuda berumur akhir 20-an duduk termenung di sebuah bangku batu di belakang bangunan hospital. Pakaiannya lusuh dan dia nampak sangat tidak terurus. Sesiapa yang melalui kawasan tersebut pasti akan menutup hidung kerana bau busuk yang terbit daripada badan lelaki tersebut. Pasti akan kedengaran daripada mulut sesiapa sahaja yang lelaki tersebut salah seorang gelandangan di kota metropolitan ini, lelaki yang mendiami lorong-lorong gelap dan juga seorang penagih tegar. Ini ekoran tubuhnya yang kelihatan kurus kering dan amat tidak terurus.

Baru sebentar tadi lelaki tersebut menziarahi rakan karibnya, Pojie yang semakin nazak. Melihatkan keadaan Pojie tadi menjadikan dia seorang yang penakut. Penakut dengan sebuah ketentuan bernama kematian, takut dengan seksaan Allah yang pasti tidak boleh dielak lantaran kesilapan diri. Sudah sebulan Pojie menjadi penghuni hospital itu, dan ini beerti sudah sebulan jugalah dia menjadi peneman sahabatnya itu. Doktor dan jururawat di situ sudah kenal siapa dia dan dia tidak peduli dengan pandangan sinis oleh sesetengah pihak. Baginya, dia sudah cukup malu dengan keadaan dirinya, dan bertindak seperti tiada apa-apa yang berlaku adalah tindakan terbaik buat masa sekarang.

Walaupun kadangkala dia terasa hati dengan sindiran beberapa orang petugas hospital, tapi demi kawan baiknya Pojie, dia pekakkan telinga. Dia sedar dirinya yang digelar sampah masyarakat itu ada kalanya tidak mendapat tempat langsung dalam sesetengah masyarakat di sini. Kalau adapun yang bersimpati dan ingin menolong dia, bilangannya hanya minoriti, malah hampir tiada.

            Kehadiran kedua orang tua Pojie tadi sungguh meruntun jiwanya. Dia teringatkan kedua orang tuanya dan adik-adik yang sangat manja dengannya suatu ketika dahulu. Kini dia sering terkenangkan memori mereka sekeluarga yang sungguh bahagia suatu masa dulu. Terngiang-ngiang di cuping telinganya suara lembut ayahnya memberikan dia nasihat. Masih terasa hangat sentuhan ibunya setiap kali dia menyalami tangan itu jika mahu ke mana-mana. Masih terbayang olehnya rengekan manja adik-adiknya minta dibawakan ke taman-taman rekreasi untuk beriadah. Bukan dia tidak rindukan ahli keluarganya, dia teramat rindukan mereka. Namun, dia sedar kedaifan dirinya kini. Siapalah yang akan berbangga memiliki seorang anak dan abang yang bergelar penagih dadah. Lantaran tidak mahu mengaibkan keluarganya, dia menghilangkan diri. Langsung tidak menghantar khabar berita.

            “Argh!” Dia menjerit kesakitan apabila tidak tertanggung menahan rasa perit itu. Tidak dapat dia gambarkan dengan kata-kata betapa sakitnya dia ketika ini. Airmatanya menghambur keluar. Begitu juga peluh dingin dan air liurnya. Sudah dua minggu dia cuba menahan rasa gian itu. Setiap kali rasa sakit itu datang, dia akan datang ke taman belakang hospital. Di situ tersedia sebuah tandas awam. Di situlah dia berusaha menyejukkan dirinya. Sesudah rasa sedikit tenang, dia akan duduk melamun di kerusi batu tempat duduknya kini.

            Kesakitan yang dia rasakan kinilah antara penyebab mengapa dia terus menerus mengambil dadah. Bukan dia tidak pernah mencuba untuk berhenti menagih, tetapi apabila rasa gian itu datang, dia tidak berupaya menolak. Satu-satunya cara untuk menghilangkan rasa sakit akibat gian itu adalah dengan mendapatkan dos yang seterusnya. Apabila rasa sakit itu sudah hilang, dia akan merasa bertenaga semula. Tetapi, sebaik sahaja kesan dos tadi lenyap, dia akan mengalami kesakitan semula.

            Andai dapat dia undur ke masa lalu, pasti dia akan menjauhi benda-benda najis yang kini semakin hari semakin memakan dirinya. Seolah-olah dadah adalah makanan ruji yang mesti dia telan saban hari. Makanan yang menjadi sumber tenaga dan punca kehidupan dia setiap hari. Kalaulah dia punya kekuatan yang luar biasa, pasti dia akan melawan rasa sakit itu dan hidup seperti manusia biasa, jauh daripada belenggu dadah dan masa depan yang semakin hari semakin kelam.

            Dia masih ingat beberapa bulan yang lepas, semasa Pojie jatuh sakit. Demam yang melarat sehingga memaksa dia membawa Pojie ke rumah sakit. Badan Pojie yang dipenuhi kudis langsung tidak membuatkan dia geli untuk mengendong Pojie sehingga ke pintu utama kecemasan apabila Pojie didapati sukar bernafas pada suatu malam. Walaupun berhadapan dengan pandangan serong oleh ahli perubatan yang bertugas ketika itu, tapi demi menyelamatkan nyawa sahabat baiknya, dia telan semua rasa yang dia rasa pada ketika itu. Baginya, nyawa Pojie adalah segala-galanya pada masa tersebut. Sesungguhnya, dia tidak mahu kehilangan satu-satunya sahabat baiknya itu.

            Menunggu Pojie yang agak lama menerima rawatan menyebabkan dia mengambil keputusan untuk memaklumkan perkara tersebut kepada kedua orang tua Pojie. Malangnya, dia tidak menyimpan nombor telefon mereka. Nasib baik ada jururawat yang bermurah hati untuk menjejaki mereka dengan meminta maklumat daripada pihak berkuasa. Setelah seminggu Pojie dimasukkan ke dalam wad, barulah kedua ibubapanya berjaya dihubungi. Hati siapa yang tidak tersayat dan luluh mendengarkan anak yang disayangi selama ini menghidap AIDS dan tengah nazak di hospital. Semestinya rasa malu dan hiba yang melampau menguasai kedua ibubapa Pojie.  

            Pada mulanya, mereka tidak mahu melawat Pojie di rumah sakit. Bagi ayahnya, Pojie sudah lama meninggal, sejak diketahui menagih dadah lagi. Pojie tidak dibenarkan balik ke kampung dan menjenguk ibu dan adiknya. Namun, kasih sayang seorang ibu amatlah kuat. Saban hari ibu Pojie akan memujuk ayahnya untuk datang menjenguk Pojie. Pujukan demi pujukan akhirnya mampu mencairkan ego seorang ayah.
            Terbayang-bayang di mata Kamil saat dia dan Pojie sama-sama khayal suatu ketika dulu. Betapa nikmat itu sukar dia gambarkan dengan kata-kata. Dia seperti berada dalam dunianya sendiri, dunia yang penuh kenikmatan dan ketenangan. Kini, airmata kesakitan mengalir bersama airmata penyesalan. Benarlah kata pepatah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

*                                  *                                  *

            “Pojie, malam ini ke mana arah tujuan kita?” Kamil bertanya dengan penuh perasaan teruja. Dia tahu, mesti ada sesuatu yang dirancang oleh Pojie untuk keseronokan mereka malam ini. Pojie sememangnya kawan yang sangat menghiburkan. Dia tahu bagaimana membahagiakan kawan-kawan dengan keseronokan duniawi. Setakat ini, dia tidak pernah menyesal berkawan baik dengan Pojie. Baginya, Pojie satu-satunya kawan susah dan senangnya. Dewasa ini, lagi-lagi di kota metropolitan ini, bukan senang mencari seorang sahabat sejati. Baginya, Pojie adalah sahabat dunia akhiratnya.  

“Malam ini ada pertunjukkan di Dataran Merdeka. Live show, without any protection.” “Aik, sejak bila kau layan lumba haram ni?” Kamil pelik dengan kenyataan Pojie sebentar tadi. Setahunya, Pojie tidak berminat dengan adegan-adegan lumba haram yang sering didengarnya dianjurkankan oleh pihak-pihak tertentu di tempat-tempat seperti Dataran Merdeka. Tindakan yang sengaja mencabar pihak berkuasa.

“Siapa kata aku berminat dengan aksi-aksi yang pelik-pelik tu semua? Aku cuma nak rasa kena kejar dengan polis.” Pojie ketawa dengan kenyataannya sendiri. “Kau tak takut kena tangkap?” Kamil cuak dengan kenyataan Pojie sebentar tadi. Dia takut ditangkap oleh pihak berwajib, dan kesudahannya, dia terpaksa memberikan keterangan mengenai ahli keluarganya. Sesungguhnya, dia belum bersedia untuk menemui mereka.

Chill, bro. Malam ni, kita pergi sana sebagai penonton je. Bila polis datang, kita cabut. Ikut jalan-jalan belakang yang sedia ada. Confirm boleh lepas punyalah. Kawan aku dah banyak kali buat. Sekarang ni aku nak juga merasa adrenalin aku terembes laju.” Kata-kata Pojie disambut dengan gelak ketawa oleh rakan-rakan yang lain, kecuali Kamil. Dia masih takut dan was-was dengan cadangan tersebut.

“Kamil, dalam hidup kita tak boleh merasa selesa. Nanti kita tak ke mana. Kita kena ada matlamat yang hendak dicapai dan dikejar. Setakat hisap benda tu di lorong-lorong, itu perkara biasa. Orang biasa hanya lakukan perkara-perkara biasa. Kita harus jadi orang yang luar biasa. Aku nak cabar diri aku, berlumba dengan pihak berkuasa. Kali ini, aku nak tengok, siapa lari lagi laju. Kau atau aku.” Cabaran Pojie disambut dengan anggukan oleh Kamil. Dia sangat mengagumi Pojie, sudah semestinya dia akan menuruti kata-kata Pojie.

Malam itu, seperti yang dirancang, mereka ke Dataran Merdeka pada tepat jam 12 tengah malam. Suasana pada ketika itu masih seperti biasa. Keadaan lalu lintas juga tenang dan terkawal. Sepertinya tiada sebarang acara yang bakal berlangsung. Kamil dan Pojie beserta beberapa lagi rakan yang lain duduk di kaki lima menghadap ke bangunan bersejarah di Dataran Merdeka. Mata meliar melihat pemandangan Kuala Lumpur yang sentiasa tidak pernah sunyi dengan manusia dan kenderaan.

            Jam besar berbunyi sekali, menandakan sudah sejam mereka duduk melepak di Dataran Merdeka. Kelihatan semakin ramai mat rempit yang berkumpul di situ. Rata-rata berpakaian serba hitam. Kamil mula teruja, kerana inilah kali pertama dia bakal menyaksikan pertunjukan yang mungkin mengundang maut di depan matanya. Kelihatan seorang wanita seksi dengan bendera di tangan. Mungkin sebentar lagi perlumbaan di jalan yang lurus itu akan bermula.

            Kamil meliarkan pandangannya, takut-takut ada pihak polis yang telah menghidu acara mereka sejak awal lagi. Namun, semuanya nampak terkawal. Mungkin pihak berkuasa belum tahu mengenai perlumbaan malam ini. Bunyi motor semakin membingitkan suasana yang pada awalnya tenang. Asap berkepul-kepul keluar daripada corong ekzos motosikal masing-masing. Wanita seksi tadi sudah bersedia di bahagian hadapan barisan motor-motor yang sepertinya lebih daripada 30 buah kesemuanya.

            Perlumbaan bermula. Kamil dan Pojie turut menjerit terkinja-kinja tanda teruja dengan aksi-aksi di depan mata mereka. Ada beberapa orang mat rempit yang terjatuh mungkin kerana hilang imbangan semasa memecut laju, mungkin juga akibat perlanggaran sesama sendiri. Mat rempit yang lain meneruskan perlumbaan kerana masing-masing ingin menang. Pasti ganjarannya lumayan. Kalau tidak, masakan mereka berani mencabar pihak berkuasa dengan melakukan aksi sebegitu di tempat awam. Tambahan pula, mereka kelihatan seperti langsung tidak pedulikan keselamatan diri, apatah lain orang lain yang berada di sekitar.

            Hampir 20 minit berlalu, pelbagai aksi dipamerkan oleh mat-mat rempit yang rata-ratanya terdiri daripada golongan remaja dan belia. Laluan yang disediakan untuk perlumbaan malam itu tidaklah begitu jauh, tetapi syarat pertandingan, siapa yang paling laju dan paling bergaya di atas motosikal, dialah yang akan diumumkan sebagai pemenang. Dalam para penonton bersorak menjerit penuh teruja menyaksikan aksi-aksi berbahaya di depan mata, terdengar dari jauh bunyi siren pihak berkuasa. Semua mat-mat rempit terus memecut motosikal masing-masing ke pelbagai arah, mencari jalan keluar dari kawasan Dataran Merdeka. Para penonton yang datang menaiki motosikal juga turut melarikan diri kerana tidak mahu tertangkap dan dibawa ke lokap. Kamil, Pojie dan rakan-rakan yang datang berjalan kaki terus berlari ke arah bangunan DBKL untuk menyelamatkan diri.

            Akibat hilang imbangan, Kamil terjatuh dan hampir tidak mampu berlari lagi. Koyak di jeans lusuhnya bertambah besar dan jelas lututnya berdarah. Pojie yang perasan keadaan Kamil segera berpatah balik dan memaut tangan dan bahu sahabatnya itu. Dia tidak sanggup Kamil di’angkut’ oleh pihak berkuasa kerana jika itu terjadi, pasti Kamil akan dihantar ke pusat pemulihan dan dia tidak akan bertemu Kamil lagi selepas itu. Masanya semakin suntuk, dan dia mahu habiskan hidupnya dengan sahabat paling baik yang dia pernah miliki.

            Derapan kaki anggota beruniform semakin jelas kedengaran di telinga Kamil dan Pojie. Kamil cuba sedaya upaya melupakan rasa sakit di kakinya dan berlari sambil dibantu oleh Pojie. Mereka menyusup di belakang bangunan DBKL dan seterusnya membuat laluan ke arah jalan Tunku Abdul Rahman dan seterusnya bergerak pantas ke lorong Haji Taib. Di sana ‘markas’ mereka dan tempat paling selamat buat mereka. Rakan-rakan yang ada bersama mereka tadi ada di antaranya sudah berjaya dicekup oleh pihak berkuasa, manakala yang lainnya sudah kembali ke ‘markas’ masing-masing.

            Setelah yakin bahawa mereka selamat, Kamil dan Pojie sama-sama ketawa lega dan teruja. Nasib mereka baik kerana tidak mengambil ‘barang’ sebelum ke Dataran Merdeka tadi. Kalau tidak, pasti nasib mereka sama seperti beberapa orang rakan yang tidak berupaya memboloskan diri tadi. Setelah penat ketawa, Pojie mengeluarkan makanan ruji mereka, kali ini dengan jumlah yang lebih banyak beserta jarum baru untuk dirinya dan Kamil. Jika sebelum ini mereka berkongsi jarum, mulai kali ini dia tidak mahu Kamil berkongsi dengannya. Kamil memandang pelik ke arah Pojie tapi malas mahu memikirkan kenapa kerana sekarang dia tengah teruja untuk mengambil ‘nyawa’nya. Dia ingin berada di dalam dunia yang mana dia adalah raja dan segalanya berlaku mengikut kehendaknya.

*                                  *                                  *

            “Allah!” Sungguh lama lidahnya tidak menyebut kalimah itu. Selama beberapa tahun ini dia hidup berpaksikan keseronokan duniawi semata-mata. Tiang agamanya memang sudah roboh, apatah lagi amalan yang lainnya. Satu-satunya perkara yang dia tidak lupakan hanyalah sedekah senyuman kepada rakan-rakan dan sesiapa yang menyapanya. Senyuman yang dia hulurkan bilamana kewarasan masih ada dan dia tidak berada dalam khayalan. Sekarang, barulah dia sedar betapa kerdilnya dia ketika berdepan ketetapan Ilahi. Sahabat baiknya kini menderita akibat AIDS yang dihidapinya sudah berjaya merosakkan fungsi peparunya. Doktor kata, itu adalah peringkat terakhir bagi seseorang penghidap AIDS.

            Dia segera memerhati kulit tangannya. Ada bintik-bintik di belakang tangannya hingga ke siku. Petanda yang kulitnya memang tidak sihat. Bahkan, seluruh anggotanya, luar dalam, zahir dan batin memang tengah sakit teruk. Sakit yang mungkin juga tiada penawarnya. Kamil begitu takut sekiranya dia juga dijangkiti virus yang sama seperti Pojie. Sememangnya dulu mereka suka berkongsi jarum dan dia juga tahu dia berisiko besar untuk dijangkiti. Patutlah dulu Pojie betul-betul nekad tidak mahu berkongsi jarum dengannya. Walaupun didesak dengan alasan membazir, Pojie tidak sesekali memberikan jarumnya kepada Kamil untuk dikongsi. Pojie sanggup mendapatkan jarum baru untuk sahabatnya itu. Mungkin dia sudah tahu yang dirinya seorang penghidap HIV.

            Sebelum ini dia selalu terbaca mengenai HIV, AIDS dan penagih dadah. Padanan yang amat sesuai dan secocok. Namun, tak pernah terlintas olehnya yang virus yang selama ini masih dicari penawarnya kini sedang menyerang sahabat baiknya. Malah, kini sahabatnya itu seolah-olah tengah menunggu masa untuk tewas di tangan virus halus tersebut. Kalau boleh, dia mahu menggantikan tempat Pojie, kerana dia tidak sanggup melihat keadaan kedua orang tua Pojie tatkala melihat anak yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang, diberikan pendidikan yang tertinggi menjadi sampah masyarakat, dan pengakhirannya amat mendukacitakan.

Anak yang selama ini diharapkan akan menguruskan jenazah kedua orang tuanya kini terbaring kaku tanpa mampu berbuat apa-apa. Hati ibu mana yang tidak terluka, hati ayah mana yang tidak terhiris. Tapi, kasih ibu membawa ke syurga, sayang ayah buat selamanya. Mereka masih menerima Pojie seadanya dan selalu membacakan ayat-ayat suci al-Quran untuk pendengaran Pojie. Sungguh, hati Kamil begitu tersentuh melihat sebentar tadi ayah Pojie mengajar anaknya mengucapkan dua kalimah syahadat tiap kali Pojie kelihatan hampir kehilangan nafas.

            Kamil juga menyesal, kerana sebagai seorang sahabat yang paling dekat dengan Pojie, dia tidak tahu masalah yang ditanggung oleh sahabatnya itu. Dia tidak peka dengan tahap kesihatan Pojie yang semakin hari semakin menyusut sejak beberapa bulan yang lepas. Kalau tidak, pasti dia akan memaksa Pojie mendapatkan rawatan yang sepatutnya. Sesungguhnya, dia tidak sanggup kehilangan sahabat sebaik Pojie, sahabat yang sanggup susah bersamanya. Sahabat yang sanggup memenangkan dia tatkala orang lain menyalahkan dirinya. Bukan sekali Pojie bergaduh dengan pengedar dadah gara-gara kesilapan dirinya, bahkan banyak kali sehingga Pojie pernah cedera teruk dibelasah.

            Tangisannya semakin kuat berserta gigilan yang semakin rancak. Rasa sakit dan penyesalan bercampur baur. Sungguh dia takut untuk mati, padahal dia tahu mati itu suatu yang pasti. Terbayang-bayang olehnya wajah kedua orang tua dan wajah dua orang adiknya. Dia takut akan menjadi seperti Pojie. Dia takut virus yang sama berada dalam dirinya, seterusnya membuat serangan dan menjadikan dia mayat hidup, sama seperti Pojie. Dia takut tidak sempat meminta maaf daripada ahli keluarganya.

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk” Terngiang-ngiang kata-kata nasihat ayahnya suatu masa lalu yang merupakan tafsiran ayat ke-45 surah al-Baqarah. Dia bukanlah pemuda yang kurang didikan agama, malahan ayah dan ibunya amat berpegang teguh pada ajaran Islam. Benarlah kata bijak pandai, iman tak boleh diwarisi, juga tidak boleh dijual beli.

Sembahyang! Sudah terlalu lama dia tidak melaksanakan tuntutan agama itu. Baginya, dia sangat sibuk sehingga tiada masa untuk melakukan perintah Allah yang sememangnya tiang agama itu. Matanya merenung jauh ke hadapan sambil menahan gigilan badannya. Dia terkenangkan saat-saat dia menunaikan solat berjemaah bersama ahli keluarganya suatu masa dulu. Antara solat Maghrib dan Isyak, selalunya akan diisi dengan tazkirah. Saat ini, sungguh dia rindukan suasana damai itu.

No comments: