Tuesday, August 28, 2012

Memori Semalam: 8


Fatihah sedang sibuk di depan komputernya, menyelesaikan segala tugasannya hari ini. Begitulah rutin hariannya, setiap penghujung jam bekerja. Semua data pesakit dan tugasan hariannya perlu di masukkan ke dalam sistem yang telah disediakan oleh pihak jabatan.  “Fatihah, dah siap ke?” Teguran Shasha mematikan pergerakkan tangannya yang sedari tadi lincah menekan papan kekunci computer di hadapannya.

“Shasha, awalnya kau settle hari ni. Biasa bukan main lambat lagi?” Kening dijungkitkan menagih jawapan Shasha. “Tu la pasal. Nak naik BMW punya pasal, kenalah cepat. Nanti, tak pasal-pasal aku kena tinggal. Kau tu bukan boleh percaya sangat kadang-kadang.” Shasha menjelirkan lidahnya seraya membuat muka merajuk. Dia pernah kena tinggal di pusat membeli belah suatu masa dulu lantaran terlalu memilih mahu membeli pakaian kerja. Sejak itu, dia tidak lagi berlengah-lengah apabila mahu menumpang Fatihah. “Ha ha. Ye la tu, cik Shasha oi. Tunggu kejap ye, aku tengah settlekan kerja sikit lagi ni.” “Baik bos. Aku pergi toilet jap. Jangan tinggalkan aku tau,” sekali lagi Shasha mengingatkan Fatihah.

Fatihah kembali menyambung semula kerjanya. Baru sahaja dia ingin mematikan komputernya, deringan telefon berbunyi. Ini pasti Mikhail memandangkan jam yang telah pun menganjak ke 5.30 petang. Tanpa melihat nama pemanggil terlebih dahulu, Fatihah segera menyambut panggilan tersebut.  “Assalamualaikum Mikhail. You dah sampai ke?” “Waalaikumsalam, Fatihah. Saya kat depan jabatan awak.”

Berkerut dahi Fatihah mendengar suara itu. Dia masih ingat getaran suara yang dahulunya sering ditunggu-tunggu. Segera talian dimatikan. Segera otaknya memproses kata-kata Tuah sebentar tadi. Satu-satunya jalan keluar dari jabatannya adalah pintu masuk utama yang akan membolehkan dia terus ke tempat Mikhail menghantarnya pagi tadi.  Nada dering menandakan mesej baru mengejutkan lamunan Fatihah. Mikhail sudah sampai dan kini dia perlu melalui Tuah terlebih dahulu. Dia bingung dengan situasi yang dihadapinya kini. Dia tidak mahu kejadian yang tidak diingini berlaku di tempat kerjanya sekaligus memburukkan imejnya di mata rakan-rakan setugas.

“Beb, Mikhail dah sampai ke?” Tepukan di bahu membuatkan Fatihah tersentak. Dia lupa Shasha akan balik bersamanya. Nasib baik dia tidak meninggalkan gadis tersebut sekali lagi. “Dah. Kau dah siap? Jomlah.” Hatinya semakin berdebar-debar tatkala melangkah ke pintu masuk utama jabatan Fisioterapi. Laluan utama yang kosong sedikit melegakan. Mungkin Tuah hanya bergurau, masakan dia tahu tempat kerjanya. Baru sahaja dia mahu melangkah keluar menuju ke anak tangga tempat kereta Mikhail yang sudah sedia menunggunya, dia dikejutkan dengan panggilan namanya. Terkaku sebentar dia mendengar suara yang sudah lama menghilang itu. Sah! Tuah tidak bergurau sebentar tadi. Shasha yang begitu teruja ingin berkenalan dengan Mikhail turut mematikan langkahnya dan berpaling ke arah jejaka tampan di belakang Fatihah.

“Mikhail?” Suara Shasha mematikan kebisuan di antara mereka. Berkerut dahi Tuah mendengar nama lelaki yang meluncur dari mulut rakan sekerja Fatihah itu.  “Shasha, kau tolong pergi ke kereta dulu boleh?” Ujar Fatihah seraya menunjukkan kereta Mikhail kepada Shasha.  “Ish, segan lah aku.” Shasha memegang lengan Fatihah, tanda mahu pergi bersama-sama. Masakan dia mahu menaiki kereta Mikhail sendirian tanpa diperkenalkan terlebih dahulu. “Tak pe. Kau bagitahu dia aku ada hal sikit. Kejap je. Kejap lagi aku datang kat kau.” Fatihah berharap sangat Shasha dapat memahami situasinya ketika itu walaupun dia tahu mustahil, kerana dia tidak pernah bercerita soal Tuah kepada rakannya itu. “Ye la. Jangan lama sangat. Nanti apa kata dia.” “Ya, aku tahu.”

Fatihah hanya menghantar langkah Shasha dengan pandangan matanya. Dia berdoa agar Shasha tidak bercerita apa-apa kepada Mikhail. “Fatihah, apa khabar?” Pertanyaan Tuah membuatkan Fatihah kembali memandang ke arah lelaki di belakangnya.  “Baik. Kalau tak ada apa-apa, saya nak balik dulu. Kawan saya dah tunggu.” Langkah mula di atur ke arah kereta Mikhail. “Siapa Mikhail?” Langkahnya terhenti. Fatihah perasan raut wajah kelat Tuah sebaik sahaja menuturkan nama tersebut.  “Saya balik dulu.” Kaki diatur ke arah anak tangga menuju ke kereta Mikhail yang sudah lama menunggunya.

“Fatihah. Are you okay?” Kehadiran Mikhail di hadapan Fatihah mengejutkannya. Dia tidak perasan bila masanya Mikhail berada di hadapannya.  “Fatihah, siapa ni?” Soalan Tuah itu membuatkan Fatihah terus kaku di tempat dia berdiri.  “Mikhail.” Mikhail menghulurkan tangannya ke arah Tuah.  “Tuah.” Mikhail terkejut mendengar nama lelaki tersebut. Dia teringat cerita Ima padanya sedikit masa dahulu. Ternyata Tuah bukan sebarangan lelaki. Dengan penampilan yang bergaya dengan pakaian daripada jenama ternama, membuatkan Tuah tampil dengan karisma yang tersendiri. Tuah juga mengambil masa tersebut membelek lelaki di hadapannya. Ternyata dia kalah dengan ketampanan dan tubuh sasa Mikhail. Nampak gayanya, dia sudah ada pesaing yang tidak kurang hebatnya.

“Beb, cepatlah! Ada kereta dah tunggu kat belakang.” Laungan Shasha menyelamatkan Fatihah daripada situasi yang benar-benar menyesakkan dadanya itu.  Langkah diaturkan ke arah kereta Mikhail. Dia nampak wajah tidak puas hati seorang pak cik yang terpaksa menunggu di belakang kereta Mikhail. Segera badannya diboloskan ke tempat duduk penumpang hadapan. Mikhail menyertai dia dan Shasha di dalam kereta tidak lama kemudian. Dia nampak wajah bengang Tuah yang telah pun melangkah meninggalkan tempat tersebut. Hatinya tertanya-tanya apa agaknya yang dibualkan dua lelaki itu tadi.

Suara becok Shasha yang bertanya itu ini pada Mikhail langsung tidak menarik perhatian Fatihah. Dia tenggelam dalam dunianya sendiri. Mikhail yang perasan keadaan itu langsung tidak menghiraukan Fatihah walaupun hatinya agak menggelegak mengenangkan kehadiran Tuah sebentar tadi.  “Beb, kita nak makan kat mana ni?” Pertanyaan Shasha itu mengembalikan Fatihah daripada lamunan yang entah sudah sampai ke mana itu.  “Makan?” Terpinga-pinga dia mendengar persoalan Shasha itu. Di ingatannya masa itu hanyalah rumah. Dia mahu sampai cepat, mahu berehat kerana sungguh dia terkejut dengan kehadiran Tuah sebentar tadi. “Ye la. Cik abang kau ni dah lapar. Kesian aku tengok dia, dari tadi tanya nak makan kat mana, kau langsung tak hiraukan dia.”

Fatihah mencari wajah Mikhail dan dia terpegun dengan senyuman yang terukir di wajah tenang lelaki itu. Tadi bukan main masam lagi, sekarang boleh tersenyum-senyum pula. Memang sah, lelaki ni kurang emosi. “Beb, nak aku ulang banyak kali ke soalan tadi?”  Shasha bersuara lagi apabila tiada jawapan daripada Fatihah. “Sorry, sorry. You nak makan apa? Something local or fast food?” Fatihah bertanyakan kepada Mikhail kerana takut tempat pilihannya nanti tidak mengena dengan selera lelaki itu. “Kalau I nak makan masakan you boleh?” Mikhail bertanya seraya menjungkitkan keningnya ke arah Fatihah. “D, kalau you nak tahu, Fatihah ni pandai masak tau.” Makin melebar senyuman Mikhail mendengar komen rakan Fatihah itu.  “Aik, sejak bila kau panggil dia D?” Fatihah terkejut dengan panggilan yang digunakan oleh Shasha kerana setahunya panggilan tersebut turut digunakan oleh kak Ima. “Tu la kau, mengelamun tak tentu pasal sampai tak perasan aku dengan pakwe kau ni berborak.”

Berkerut dahi Fatihah mendengar kenyataan tak berlapik dari mulut becok Shasha itu.  “Kau jangan nak memandai ye. Aku dengan Mikhail ni kawan je, ok?” Segera Fatihah membetulkan tanggapan Shasha itu. “Ye la tu. Aku tau, mesti mamat handsome kat depan department tadi pakwe kau kan?” Soalan itu membuatkan Fatihah terasa sesak nafas. Segera dia menjeling ke arah Mikhail dan dia perasan perubahan wajah itu, nampak tegang dan dia terasa aura yang tidak baik kini. Kalau kini Mikhail boleh tersenyum manis, kini wajah itu masam dan kelat. Menyesal pula dia setuju menumpangkan Shasha tadi. Dia ingatkan kehadiran Shasha boleh mengurangkan rasa janggal berdua-duaan dengan Mikhail, namun lain pula yang jadi. Dia mengeluh dalam diam.

“Beb, macam mana kau kenal mamat-mamat handsome ni semua?” Soalan Shasha ternyata memang tidak kena pada tempatnya. Mahu sahaja dia menutup mulut gadis itu daripada terus menerus bertanyakan itu ini. “Shasha, kita makan kat kedai biasa dekat Kampong Baru tu ok tak?” “Kau ni, aku tanya lain, kau jawab lain. Yela makcik. Kau tu memang kedekut, bukannya nak berkongsi dengan member.” Shasha kecewa kerana Fatihah tidak mahu bercerita tentang dua lelaki tampan yang baru dia kenali hari ini. Dia tidak menyangka rakan sekerjanya itu mempunyai citarasa yang hebat tentang lelaki. “Nak kongsi apanya?” Geram pula dia dengan pertanyaan demi pertanyaan Shasha yang jelas tidak kena pada masanya itu.

“Kedai mana nak pergi ni?” Soalan Mikhail itu mematikan perbalahan kecil antara Fatihah dan Shasha.  Segera Fatihah menunjukkan arah kepada Mikhail yang sedang memandu. Wajah tegang Mikhail menarik perhatiannya. Dalam sekelip mata, banyak reaksi wajah yang dipamerkan oleh lelaki tersebut padanya. Ternyata, dia gagal menebak hati lelaki. Mungkin sebab itulah dia ditinggalkan suatu masa dulu.

*                                  *                                  *


Badan direbahkan ke atas katil empuknya. Masih terbayang-bayang kejadian petang tadi, antara dia, Fatihah dan Tuah. Sungguh dia rasa tidak senang dengan situasinya sekarang. Nampak gayanya, dia sudah ada pesaing yang ternyata hebat di matanya. Apatah lagi, Tuah bekas teman lelaki Fatihah. Dia yakin, masih ada yang belum selesai antara keduanya. Kalau tidak, masakan mereka bereaksi seperti tadi.  
”Tuah Datuk Mursyid, Maju Holdings Sdn Bhd?” Mikhail bersuara memecah kebisuan antara mereka. Pada masa yang sama, Fatihah melangkah meninggalkan mereka. “Ya, Mikhail?” soal Tuah dengan dahi yang berkerut.  “Mikhail Ismail, Isham Holdings. I’ve heard a lot about you. Maybe we can talk later on. My girl is waiting.” Sengaja dia menekan perkataan my girl kerana mahu Tuah tahu bahawa Fatihah bukan lagi miliknya. Kalaulah Fatihah mendengar kata-katanya tadi, pasti gadis itu marah dengannya. Mengingatkan wajah cemberut gadis tersebut apabila dia tidak berpuas hati, menyirnakan senyuman di bibirnya.

Ternyata Tuah bukanlah calang-calang lawan baginya. Sengaja dia menyebut nama syarikat milik papanya kerana dia mahu Tuah tahu, pilihan Fatihah juga tidak kurang hebatnya. Rasanya semua ahli perniagaan kenal akan papanya yang pernah mendapat anugerah ahli perniagaan bumiputera paling berjaya selama beberapa tahun berturut-turut lantaran kecemerlangan syarikat pimpinannya. Dia pasti selepas ini pasti Tuah akan menyiasat latar belakang dirinya. Dia tidak peduli kerana dia yakin Tuah tidak akan mengetahui tentang rahsia yang dia simpan selama ini.

Segera dia mendail nombor Ima. Dia perlu berjumpa wanita itu. Banyak perkara yang ingin dia tanyakan tentang Fatihah dan Tuah. Dia mahu tahu, apakah benar Fatihah sengaja menjerat Tuah dan mengikis harta lelaki tersebut, kerana mengikut gerak hatinya selepas peristiwa petang tadi, seolah-olah Tuah yang menimbulkan masalah dalam hubungan mereka dulu. Bibirnya mengukir senyum apabila Ima bersetuju untuk berjumpanya di sebuah restoran. Tidak sabar rasanya dia mahu mendengar cerita tentang Fatihah.



No comments: