Showing posts with label Setulus Cinta Zulaikha. Show all posts
Showing posts with label Setulus Cinta Zulaikha. Show all posts

Wednesday, March 6, 2013

Setulus Cinta Zulaikha: 3

Kelihatan seorang pemuda berumur akhir 20-an duduk termenung di sebuah bangku batu di belakang bangunan hospital. Pakaiannya lusuh dan dia nampak sangat tidak terurus. Sesiapa yang melalui kawasan tersebut pasti akan menutup hidung kerana bau busuk yang terbit daripada badan lelaki tersebut. Pasti akan kedengaran daripada mulut sesiapa sahaja yang lelaki tersebut salah seorang gelandangan di kota metropolitan ini, lelaki yang mendiami lorong-lorong gelap dan juga seorang penagih tegar. Ini ekoran tubuhnya yang kelihatan kurus kering dan amat tidak terurus.

Baru sebentar tadi lelaki tersebut menziarahi rakan karibnya, Pojie yang semakin nazak. Melihatkan keadaan Pojie tadi menjadikan dia seorang yang penakut. Penakut dengan sebuah ketentuan bernama kematian, takut dengan seksaan Allah yang pasti tidak boleh dielak lantaran kesilapan diri. Sudah sebulan Pojie menjadi penghuni hospital itu, dan ini beerti sudah sebulan jugalah dia menjadi peneman sahabatnya itu. Doktor dan jururawat di situ sudah kenal siapa dia dan dia tidak peduli dengan pandangan sinis oleh sesetengah pihak. Baginya, dia sudah cukup malu dengan keadaan dirinya, dan bertindak seperti tiada apa-apa yang berlaku adalah tindakan terbaik buat masa sekarang.

Walaupun kadangkala dia terasa hati dengan sindiran beberapa orang petugas hospital, tapi demi kawan baiknya Pojie, dia pekakkan telinga. Dia sedar dirinya yang digelar sampah masyarakat itu ada kalanya tidak mendapat tempat langsung dalam sesetengah masyarakat di sini. Kalau adapun yang bersimpati dan ingin menolong dia, bilangannya hanya minoriti, malah hampir tiada.

            Kehadiran kedua orang tua Pojie tadi sungguh meruntun jiwanya. Dia teringatkan kedua orang tuanya dan adik-adik yang sangat manja dengannya suatu ketika dahulu. Kini dia sering terkenangkan memori mereka sekeluarga yang sungguh bahagia suatu masa dulu. Terngiang-ngiang di cuping telinganya suara lembut ayahnya memberikan dia nasihat. Masih terasa hangat sentuhan ibunya setiap kali dia menyalami tangan itu jika mahu ke mana-mana. Masih terbayang olehnya rengekan manja adik-adiknya minta dibawakan ke taman-taman rekreasi untuk beriadah. Bukan dia tidak rindukan ahli keluarganya, dia teramat rindukan mereka. Namun, dia sedar kedaifan dirinya kini. Siapalah yang akan berbangga memiliki seorang anak dan abang yang bergelar penagih dadah. Lantaran tidak mahu mengaibkan keluarganya, dia menghilangkan diri. Langsung tidak menghantar khabar berita.

            “Argh!” Dia menjerit kesakitan apabila tidak tertanggung menahan rasa perit itu. Tidak dapat dia gambarkan dengan kata-kata betapa sakitnya dia ketika ini. Airmatanya menghambur keluar. Begitu juga peluh dingin dan air liurnya. Sudah dua minggu dia cuba menahan rasa gian itu. Setiap kali rasa sakit itu datang, dia akan datang ke taman belakang hospital. Di situ tersedia sebuah tandas awam. Di situlah dia berusaha menyejukkan dirinya. Sesudah rasa sedikit tenang, dia akan duduk melamun di kerusi batu tempat duduknya kini.

            Kesakitan yang dia rasakan kinilah antara penyebab mengapa dia terus menerus mengambil dadah. Bukan dia tidak pernah mencuba untuk berhenti menagih, tetapi apabila rasa gian itu datang, dia tidak berupaya menolak. Satu-satunya cara untuk menghilangkan rasa sakit akibat gian itu adalah dengan mendapatkan dos yang seterusnya. Apabila rasa sakit itu sudah hilang, dia akan merasa bertenaga semula. Tetapi, sebaik sahaja kesan dos tadi lenyap, dia akan mengalami kesakitan semula.

            Andai dapat dia undur ke masa lalu, pasti dia akan menjauhi benda-benda najis yang kini semakin hari semakin memakan dirinya. Seolah-olah dadah adalah makanan ruji yang mesti dia telan saban hari. Makanan yang menjadi sumber tenaga dan punca kehidupan dia setiap hari. Kalaulah dia punya kekuatan yang luar biasa, pasti dia akan melawan rasa sakit itu dan hidup seperti manusia biasa, jauh daripada belenggu dadah dan masa depan yang semakin hari semakin kelam.

            Dia masih ingat beberapa bulan yang lepas, semasa Pojie jatuh sakit. Demam yang melarat sehingga memaksa dia membawa Pojie ke rumah sakit. Badan Pojie yang dipenuhi kudis langsung tidak membuatkan dia geli untuk mengendong Pojie sehingga ke pintu utama kecemasan apabila Pojie didapati sukar bernafas pada suatu malam. Walaupun berhadapan dengan pandangan serong oleh ahli perubatan yang bertugas ketika itu, tapi demi menyelamatkan nyawa sahabat baiknya, dia telan semua rasa yang dia rasa pada ketika itu. Baginya, nyawa Pojie adalah segala-galanya pada masa tersebut. Sesungguhnya, dia tidak mahu kehilangan satu-satunya sahabat baiknya itu.

            Menunggu Pojie yang agak lama menerima rawatan menyebabkan dia mengambil keputusan untuk memaklumkan perkara tersebut kepada kedua orang tua Pojie. Malangnya, dia tidak menyimpan nombor telefon mereka. Nasib baik ada jururawat yang bermurah hati untuk menjejaki mereka dengan meminta maklumat daripada pihak berkuasa. Setelah seminggu Pojie dimasukkan ke dalam wad, barulah kedua ibubapanya berjaya dihubungi. Hati siapa yang tidak tersayat dan luluh mendengarkan anak yang disayangi selama ini menghidap AIDS dan tengah nazak di hospital. Semestinya rasa malu dan hiba yang melampau menguasai kedua ibubapa Pojie.  

            Pada mulanya, mereka tidak mahu melawat Pojie di rumah sakit. Bagi ayahnya, Pojie sudah lama meninggal, sejak diketahui menagih dadah lagi. Pojie tidak dibenarkan balik ke kampung dan menjenguk ibu dan adiknya. Namun, kasih sayang seorang ibu amatlah kuat. Saban hari ibu Pojie akan memujuk ayahnya untuk datang menjenguk Pojie. Pujukan demi pujukan akhirnya mampu mencairkan ego seorang ayah.
            Terbayang-bayang di mata Kamil saat dia dan Pojie sama-sama khayal suatu ketika dulu. Betapa nikmat itu sukar dia gambarkan dengan kata-kata. Dia seperti berada dalam dunianya sendiri, dunia yang penuh kenikmatan dan ketenangan. Kini, airmata kesakitan mengalir bersama airmata penyesalan. Benarlah kata pepatah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

*                                  *                                  *

            “Pojie, malam ini ke mana arah tujuan kita?” Kamil bertanya dengan penuh perasaan teruja. Dia tahu, mesti ada sesuatu yang dirancang oleh Pojie untuk keseronokan mereka malam ini. Pojie sememangnya kawan yang sangat menghiburkan. Dia tahu bagaimana membahagiakan kawan-kawan dengan keseronokan duniawi. Setakat ini, dia tidak pernah menyesal berkawan baik dengan Pojie. Baginya, Pojie satu-satunya kawan susah dan senangnya. Dewasa ini, lagi-lagi di kota metropolitan ini, bukan senang mencari seorang sahabat sejati. Baginya, Pojie adalah sahabat dunia akhiratnya.  

“Malam ini ada pertunjukkan di Dataran Merdeka. Live show, without any protection.” “Aik, sejak bila kau layan lumba haram ni?” Kamil pelik dengan kenyataan Pojie sebentar tadi. Setahunya, Pojie tidak berminat dengan adegan-adegan lumba haram yang sering didengarnya dianjurkankan oleh pihak-pihak tertentu di tempat-tempat seperti Dataran Merdeka. Tindakan yang sengaja mencabar pihak berkuasa.

“Siapa kata aku berminat dengan aksi-aksi yang pelik-pelik tu semua? Aku cuma nak rasa kena kejar dengan polis.” Pojie ketawa dengan kenyataannya sendiri. “Kau tak takut kena tangkap?” Kamil cuak dengan kenyataan Pojie sebentar tadi. Dia takut ditangkap oleh pihak berwajib, dan kesudahannya, dia terpaksa memberikan keterangan mengenai ahli keluarganya. Sesungguhnya, dia belum bersedia untuk menemui mereka.

Chill, bro. Malam ni, kita pergi sana sebagai penonton je. Bila polis datang, kita cabut. Ikut jalan-jalan belakang yang sedia ada. Confirm boleh lepas punyalah. Kawan aku dah banyak kali buat. Sekarang ni aku nak juga merasa adrenalin aku terembes laju.” Kata-kata Pojie disambut dengan gelak ketawa oleh rakan-rakan yang lain, kecuali Kamil. Dia masih takut dan was-was dengan cadangan tersebut.

“Kamil, dalam hidup kita tak boleh merasa selesa. Nanti kita tak ke mana. Kita kena ada matlamat yang hendak dicapai dan dikejar. Setakat hisap benda tu di lorong-lorong, itu perkara biasa. Orang biasa hanya lakukan perkara-perkara biasa. Kita harus jadi orang yang luar biasa. Aku nak cabar diri aku, berlumba dengan pihak berkuasa. Kali ini, aku nak tengok, siapa lari lagi laju. Kau atau aku.” Cabaran Pojie disambut dengan anggukan oleh Kamil. Dia sangat mengagumi Pojie, sudah semestinya dia akan menuruti kata-kata Pojie.

Malam itu, seperti yang dirancang, mereka ke Dataran Merdeka pada tepat jam 12 tengah malam. Suasana pada ketika itu masih seperti biasa. Keadaan lalu lintas juga tenang dan terkawal. Sepertinya tiada sebarang acara yang bakal berlangsung. Kamil dan Pojie beserta beberapa lagi rakan yang lain duduk di kaki lima menghadap ke bangunan bersejarah di Dataran Merdeka. Mata meliar melihat pemandangan Kuala Lumpur yang sentiasa tidak pernah sunyi dengan manusia dan kenderaan.

            Jam besar berbunyi sekali, menandakan sudah sejam mereka duduk melepak di Dataran Merdeka. Kelihatan semakin ramai mat rempit yang berkumpul di situ. Rata-rata berpakaian serba hitam. Kamil mula teruja, kerana inilah kali pertama dia bakal menyaksikan pertunjukan yang mungkin mengundang maut di depan matanya. Kelihatan seorang wanita seksi dengan bendera di tangan. Mungkin sebentar lagi perlumbaan di jalan yang lurus itu akan bermula.

            Kamil meliarkan pandangannya, takut-takut ada pihak polis yang telah menghidu acara mereka sejak awal lagi. Namun, semuanya nampak terkawal. Mungkin pihak berkuasa belum tahu mengenai perlumbaan malam ini. Bunyi motor semakin membingitkan suasana yang pada awalnya tenang. Asap berkepul-kepul keluar daripada corong ekzos motosikal masing-masing. Wanita seksi tadi sudah bersedia di bahagian hadapan barisan motor-motor yang sepertinya lebih daripada 30 buah kesemuanya.

            Perlumbaan bermula. Kamil dan Pojie turut menjerit terkinja-kinja tanda teruja dengan aksi-aksi di depan mata mereka. Ada beberapa orang mat rempit yang terjatuh mungkin kerana hilang imbangan semasa memecut laju, mungkin juga akibat perlanggaran sesama sendiri. Mat rempit yang lain meneruskan perlumbaan kerana masing-masing ingin menang. Pasti ganjarannya lumayan. Kalau tidak, masakan mereka berani mencabar pihak berkuasa dengan melakukan aksi sebegitu di tempat awam. Tambahan pula, mereka kelihatan seperti langsung tidak pedulikan keselamatan diri, apatah lain orang lain yang berada di sekitar.

            Hampir 20 minit berlalu, pelbagai aksi dipamerkan oleh mat-mat rempit yang rata-ratanya terdiri daripada golongan remaja dan belia. Laluan yang disediakan untuk perlumbaan malam itu tidaklah begitu jauh, tetapi syarat pertandingan, siapa yang paling laju dan paling bergaya di atas motosikal, dialah yang akan diumumkan sebagai pemenang. Dalam para penonton bersorak menjerit penuh teruja menyaksikan aksi-aksi berbahaya di depan mata, terdengar dari jauh bunyi siren pihak berkuasa. Semua mat-mat rempit terus memecut motosikal masing-masing ke pelbagai arah, mencari jalan keluar dari kawasan Dataran Merdeka. Para penonton yang datang menaiki motosikal juga turut melarikan diri kerana tidak mahu tertangkap dan dibawa ke lokap. Kamil, Pojie dan rakan-rakan yang datang berjalan kaki terus berlari ke arah bangunan DBKL untuk menyelamatkan diri.

            Akibat hilang imbangan, Kamil terjatuh dan hampir tidak mampu berlari lagi. Koyak di jeans lusuhnya bertambah besar dan jelas lututnya berdarah. Pojie yang perasan keadaan Kamil segera berpatah balik dan memaut tangan dan bahu sahabatnya itu. Dia tidak sanggup Kamil di’angkut’ oleh pihak berkuasa kerana jika itu terjadi, pasti Kamil akan dihantar ke pusat pemulihan dan dia tidak akan bertemu Kamil lagi selepas itu. Masanya semakin suntuk, dan dia mahu habiskan hidupnya dengan sahabat paling baik yang dia pernah miliki.

            Derapan kaki anggota beruniform semakin jelas kedengaran di telinga Kamil dan Pojie. Kamil cuba sedaya upaya melupakan rasa sakit di kakinya dan berlari sambil dibantu oleh Pojie. Mereka menyusup di belakang bangunan DBKL dan seterusnya membuat laluan ke arah jalan Tunku Abdul Rahman dan seterusnya bergerak pantas ke lorong Haji Taib. Di sana ‘markas’ mereka dan tempat paling selamat buat mereka. Rakan-rakan yang ada bersama mereka tadi ada di antaranya sudah berjaya dicekup oleh pihak berkuasa, manakala yang lainnya sudah kembali ke ‘markas’ masing-masing.

            Setelah yakin bahawa mereka selamat, Kamil dan Pojie sama-sama ketawa lega dan teruja. Nasib mereka baik kerana tidak mengambil ‘barang’ sebelum ke Dataran Merdeka tadi. Kalau tidak, pasti nasib mereka sama seperti beberapa orang rakan yang tidak berupaya memboloskan diri tadi. Setelah penat ketawa, Pojie mengeluarkan makanan ruji mereka, kali ini dengan jumlah yang lebih banyak beserta jarum baru untuk dirinya dan Kamil. Jika sebelum ini mereka berkongsi jarum, mulai kali ini dia tidak mahu Kamil berkongsi dengannya. Kamil memandang pelik ke arah Pojie tapi malas mahu memikirkan kenapa kerana sekarang dia tengah teruja untuk mengambil ‘nyawa’nya. Dia ingin berada di dalam dunia yang mana dia adalah raja dan segalanya berlaku mengikut kehendaknya.

*                                  *                                  *

            “Allah!” Sungguh lama lidahnya tidak menyebut kalimah itu. Selama beberapa tahun ini dia hidup berpaksikan keseronokan duniawi semata-mata. Tiang agamanya memang sudah roboh, apatah lagi amalan yang lainnya. Satu-satunya perkara yang dia tidak lupakan hanyalah sedekah senyuman kepada rakan-rakan dan sesiapa yang menyapanya. Senyuman yang dia hulurkan bilamana kewarasan masih ada dan dia tidak berada dalam khayalan. Sekarang, barulah dia sedar betapa kerdilnya dia ketika berdepan ketetapan Ilahi. Sahabat baiknya kini menderita akibat AIDS yang dihidapinya sudah berjaya merosakkan fungsi peparunya. Doktor kata, itu adalah peringkat terakhir bagi seseorang penghidap AIDS.

            Dia segera memerhati kulit tangannya. Ada bintik-bintik di belakang tangannya hingga ke siku. Petanda yang kulitnya memang tidak sihat. Bahkan, seluruh anggotanya, luar dalam, zahir dan batin memang tengah sakit teruk. Sakit yang mungkin juga tiada penawarnya. Kamil begitu takut sekiranya dia juga dijangkiti virus yang sama seperti Pojie. Sememangnya dulu mereka suka berkongsi jarum dan dia juga tahu dia berisiko besar untuk dijangkiti. Patutlah dulu Pojie betul-betul nekad tidak mahu berkongsi jarum dengannya. Walaupun didesak dengan alasan membazir, Pojie tidak sesekali memberikan jarumnya kepada Kamil untuk dikongsi. Pojie sanggup mendapatkan jarum baru untuk sahabatnya itu. Mungkin dia sudah tahu yang dirinya seorang penghidap HIV.

            Sebelum ini dia selalu terbaca mengenai HIV, AIDS dan penagih dadah. Padanan yang amat sesuai dan secocok. Namun, tak pernah terlintas olehnya yang virus yang selama ini masih dicari penawarnya kini sedang menyerang sahabat baiknya. Malah, kini sahabatnya itu seolah-olah tengah menunggu masa untuk tewas di tangan virus halus tersebut. Kalau boleh, dia mahu menggantikan tempat Pojie, kerana dia tidak sanggup melihat keadaan kedua orang tua Pojie tatkala melihat anak yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang, diberikan pendidikan yang tertinggi menjadi sampah masyarakat, dan pengakhirannya amat mendukacitakan.

Anak yang selama ini diharapkan akan menguruskan jenazah kedua orang tuanya kini terbaring kaku tanpa mampu berbuat apa-apa. Hati ibu mana yang tidak terluka, hati ayah mana yang tidak terhiris. Tapi, kasih ibu membawa ke syurga, sayang ayah buat selamanya. Mereka masih menerima Pojie seadanya dan selalu membacakan ayat-ayat suci al-Quran untuk pendengaran Pojie. Sungguh, hati Kamil begitu tersentuh melihat sebentar tadi ayah Pojie mengajar anaknya mengucapkan dua kalimah syahadat tiap kali Pojie kelihatan hampir kehilangan nafas.

            Kamil juga menyesal, kerana sebagai seorang sahabat yang paling dekat dengan Pojie, dia tidak tahu masalah yang ditanggung oleh sahabatnya itu. Dia tidak peka dengan tahap kesihatan Pojie yang semakin hari semakin menyusut sejak beberapa bulan yang lepas. Kalau tidak, pasti dia akan memaksa Pojie mendapatkan rawatan yang sepatutnya. Sesungguhnya, dia tidak sanggup kehilangan sahabat sebaik Pojie, sahabat yang sanggup susah bersamanya. Sahabat yang sanggup memenangkan dia tatkala orang lain menyalahkan dirinya. Bukan sekali Pojie bergaduh dengan pengedar dadah gara-gara kesilapan dirinya, bahkan banyak kali sehingga Pojie pernah cedera teruk dibelasah.

            Tangisannya semakin kuat berserta gigilan yang semakin rancak. Rasa sakit dan penyesalan bercampur baur. Sungguh dia takut untuk mati, padahal dia tahu mati itu suatu yang pasti. Terbayang-bayang olehnya wajah kedua orang tua dan wajah dua orang adiknya. Dia takut akan menjadi seperti Pojie. Dia takut virus yang sama berada dalam dirinya, seterusnya membuat serangan dan menjadikan dia mayat hidup, sama seperti Pojie. Dia takut tidak sempat meminta maaf daripada ahli keluarganya.

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk” Terngiang-ngiang kata-kata nasihat ayahnya suatu masa lalu yang merupakan tafsiran ayat ke-45 surah al-Baqarah. Dia bukanlah pemuda yang kurang didikan agama, malahan ayah dan ibunya amat berpegang teguh pada ajaran Islam. Benarlah kata bijak pandai, iman tak boleh diwarisi, juga tidak boleh dijual beli.

Sembahyang! Sudah terlalu lama dia tidak melaksanakan tuntutan agama itu. Baginya, dia sangat sibuk sehingga tiada masa untuk melakukan perintah Allah yang sememangnya tiang agama itu. Matanya merenung jauh ke hadapan sambil menahan gigilan badannya. Dia terkenangkan saat-saat dia menunaikan solat berjemaah bersama ahli keluarganya suatu masa dulu. Antara solat Maghrib dan Isyak, selalunya akan diisi dengan tazkirah. Saat ini, sungguh dia rindukan suasana damai itu.

Tuesday, October 2, 2012

Setulus Cinta Zulaikha: 2


“Dr Mikhail, kita ada situasi di katil bernombor 25.” Suara cemas daripada salah seorang jururawat yang bertugas malam itu segera mendapat perhatian daripada Dr Mikhail. Dia segera menghayunkan langkah laju mengekor belakang jururawat tadi yang hanya dipanggil kak Siti. Dia tahu katil siapa yang dimaksudkan. Pak Karim, seorang pesakit kencing manis yang baru sahaja menjalani amputasi kaki memang seorang pesakit yang agak popular di kalangan petugas kesihatan di situ. Bukan kerana dia seorang kenamaan atau orang popular, tetapi kerana perangai keanak-anakan yang ditunjukkan walaupun sudah berumur hampir 70-an.
            “Apa yang terjadi kak Siti? Tadi semasa saya tinggalkan dia, dia masih lena setelah suntikan insulin.” Ternyata dia tidak dapat memikirkan sebarang kemungkinan situasi apa yang dimaksudkan oleh kak Siti kepadanya sebentar tadi. “Pak Karim jatuh, Dr.” Agak kalut kak Siti memberitahu perkhabaran tersebut kepada Dr Mikhail. Dia tahu, insiden jatuh bukanlah sesuatu yang boleh dianggap kecil bagi seorang pesakit yang berada di mana-mana wad sekalipun. Insiden ini akan melibatkan hampir kesemua jururawat dan doktor yang terlibat. Malah akan disampaikan kepada ketua jabatan untuk tindakan selanjutnya.
            “Ya Allah, macam mana boleh jadi begitu kak Siti?” Dr Mikhail segera melajukan hayunan langkahnya ke arah katil Pak Karim. Daripada jauh lagi dia mendengar suara jeritan Pak Karim yang memarahi jururawat lelaki yang ingin membantunya. Segera Dr Mikhail beristighfar mengenangkan sikap kurang sabar Pak Karim. Kini, jelas di hadapan matanya, Pak Karim terbaring di lantai di sisi katilnya. Diperhatikan juga, ada tumpahan air di lantai tempat jatuhnya Pak Karim. Kemungkinan besar Pak Karim terjatuh ketika ingin mengambil air di meja tinggi di sisi katilnya.
            Dr Mikhail memberikan isyarat kepada jururawat lelaki tadi untuk memberi laluan kepadanya menghampiri Pak Karim. “Pak Karim, saya tolong Pak Karim ya?” Penuh kelembutan Dr Mikhail menyentuh tangan Pak Karim yang sedang tepat memandang wajahnya. “Mana pergi kaki saya, Dr? Apa yang Dr dah lakukan pada kaki saya? Saya nak kaki saya balik. Cepat pulangkan kaki saya!” Pak Karim yang penuh emosi terus-terusan menjerit dan meraung sambil tangannya memukul-mukul Dr Mikhail.
            “Sabar, Pak Karim. Ingat Allah banyak-banyak.” Dr Mikhail masih cuba berlembut dengan Pak Karim, namun tidak mendatangkan sebarang hasil. Malahan, Pak Karim semakin kuat menjerit dan meraung. Dr Mikhail memberi isyarat kepada kak Siti untuk menyediakan suntikan penenang untuk mengawal Pak Karim. Setelah lebih kurang sepuluh minit Pak Karim diberikan suntikan penenang, dia akhirnya tewas juga dengan kesan ubat tersebut. Dia menjadi lebih lemah dan mendengar kata. Dr Mikhail segera memeriksa Pak Karim, takut berlaku sebarang kecederaan akibat jatuh sebentar tadi.
Setelah berpuas hati dengan keadaan Pak Karim, dia dan jururawat lelaki tadi mengangkat kembali Pak Karim ke atas katilnya. Dia boleh mengagak perasaan Pak Karim yang terkejut dan sedih apabila menyedari kakinya telah dipotong sebaik sahaja bangun daripada tidur sebentar tadi. Dia tidak menyalahkan Pak Karim kerana begitulah selalunya respon para pesakit diabetes selepas menjalani amputasi. Suatu perasaan yang sukar digambarkan apabila ada anggota badan yang tiba-tiba tiada di tempatnya. Apatah lagi Pak Karim yang sudah hidup selama 64 tahun dengan kaki yang banyak berjasa membawanya ke mana-mana.
Belum sempat dia duduk mahu menyediakan laporan mengenai insiden Pak Karim sebentar tadi, dia dikejutkan dengan panggilan telefon daripada ayahnya. Mesti ada sesuatu yang penting ingin disampaikan kepadanya, kerana tidak pernah ayahnya menelefon dia semasa dia bertugas. “Mikhail, Yati kemalangan. Sekarang ibu dan ayah dalam perjalanan ke hospital.” Ya Allah, terasa tersentap jantungnya mendengar perkhabaran tersebut. Masih jelas kedengaran suara tangisan ibunya sebentar tadi walaupun ayahnya sudah menamatkan panggilan tersebut.
Yati merupakan adik yang sangat manja dengannya, apatah lagi mereka hanya dua beradik sahaja. Kini, adiknya terlibat dalam kemalangan. Sungguh berita tersebut menggugat segala ketenangan yang selama ini membantu dia dalam melaksanakan tugasnya sebagai seorang doktor. Dia tergesa-gesa menyediakan laporan mengenai Pak Karim dan menitipkan pesanan kepada kak Siti untuk tindakan selanjutnya. Dia juga meminta dipanggilkan seorang doktor ganti untuk menggantikan dia yang sepatutnya bertugas sehingga keesokkan paginya. Kakinya dihayunkan laju ke arah zon kecemasan yang terletak di pagar hadapan hospital.
Dari kejauhan dia dapat melihat ayahnya yang sedang menenangkan ibunya yang ternyata begitu emosi di hadapan pintu pembedahan kecemasan. Demi melihat sahaja Dr Mikhail, ibunya segera memeluk satu-satunya anak lelakinya itu. “Mikhail, tolong adik nak. Adik ada dekat dalam, tolong adik, nak.” Rayuan ibunya itu mengundang pilu di hati Mikhail. Kalau diturutkan hati, mahu sahaja dia masuk ke dalam bilik pembedahan kecemasan tersebut. Namun, dia tahu tindakan tersebut hanyalah satu tindakan yang melanggar etika.
“Sabar, bu. insyaAllah adik akan selamat. Ibu duduk dulu, Mikhail cuba dapatkan maklumat tentang adik.” Terasa betapa susahnya dia mahu kelihatan tenang di hadapan kedua orang tuanya. Baru kini dia faham perasaan ahli keluarga yang terlibat dengan segala jenis kemalangan yang sering dia tenangkan di wadnya. Dan ternyata lebih sukar menenangkan diri sendiri apabila ahil keluarga sendiri yang kini sedang bertarung di sebalik pintu yang tertera perkataan kecemasan itu. Sentuhan ayahnya di bahunya ternyata menambahkan pilu di hatinya. Dapat dia rasakan ayahnya ingin menyalurkan semangat buatnya untuk terus bertenang dan kuat.
Dr Mikhail segera menghampiri seorang petugas di kaunter pendaftaran untuk bertanyakan secara lebih terperinci keadaan adiknya yang sedang dirawat sekarang. Perkhabaran yang diterimanya membuatkan dia hampir terduduk. Sungguh, hampir dia meraung setelah mendengar kata-kata pembantu perubatan sebentar tadi. Nasib baik dia cepat-cepat beristighfar dan melihat ibunya yang seperti hampir kehabisan tenaga akibat menangis dengan begitu kuat sekali. Sungguh berat ujian yang Allah berikan kepadanya kali ini.
“Kereta yang adik Dr pandu merempuh sebuah treler dari arah yang bertentangan.” Sebaris sahaja kata-kata yang lahir daripada mulut pembantu perubatan itu ternyata mampu meragut segala kekuatan dan ketenangan yang cuba dikumpulnya sedari tadi. Kata-kata yang selebihnya sudah tidak kedengaran lagi. Tidak dapat dia bayangkan bagaimana keadaan adiknya yang kini sedang bertarung dengan maut. “Innalilahi wainna ilaihirajiun. Ya Allah ya Tuhanku, Kau selamatkanlah adikku. Berilah kesempatan buatnya untuk terus menghirup udara-Mu ya Allah.” Segera dia berdoa di dalam hati. Terasa lemah hayunan kakinya ke arah kedua orang tuanya yang jelas masih terperanjat dengan insiden yang terjadi.
“Mikhail, tolonglah buat sesuatu untuk adik. Ibu tak sanggup untuk kehilangan adik buat masa sekarang. Tolong nak, tolong lakukan apa sahaja untuk pastikan adik selamat dan kembali normal macam biasa.” Rayuan ibunya hanya dibalas dengan usapan di belakang badan ibunya. Dia sendiri masih cuba untuk menenangkan diri, oleh itu dia biarkan sahaja ibunya menangis di dalam dakapannya. Ayahnya pula kelihatan terkumat-kamit mulutnya, mungkin membaca kalimah-kalimah suci dan memohon keselamatan adiknya, Yati. Bunyi pintu yang terbuka membuatkan ketiga-tiga mereka segera bangun dan menghampiri doktor yang baru sahaja keluar dari bilik pembedahan.
“Kami telah mencuba sehabis baik. Keadaan pesakit sangat kritikal semasa dia dihantar ke mari. Terdapat darah beku pada sebelah kanan otaknya. Alhamdulillah darah beku itu sudah berjaya kami keluarkan. Sekarang, terpulang kepada kekuatan pesakit sendiri dalam menghadapi tempoh kritikalnya. Sekiranya dia berjaya, insyaAllah peluang untukknya sembuh lebih cerah.” Penerangan panjang lebar daripada doktor yang memakai tag nama Zainal itu melegakan ibu Dr Mikhail. “Boleh saya jumpa anak saya, Dr?”
“Minta maaf, puan. Kami tidak boleh membenarkan sesiapa pun masuk melawat kerana ini akan memberi kesan yang tidak baik kepada pesakit. Kita tunggu 24 jam daripada sekarang, selepas habis masa kritikalnya. Lagipula, pesakit masih tidak sedarkan diri, dan kami pun tidak tahu bila dia akan sedar daripada komanya.” Kata-kata Dr Zainal itu menyebabkan ibu Mikhail menangis kembali. Dia sungguh sedih apabila mengenangkan anak yang selama ini begitu manja dengannya akan koma, tidak sedarkan diri.
“Ibu, ibu baliklah dulu. Mikhail ada di sini untuk tengok-tengokkan adik. Ibu balik berehat dulu, esok ayah dengan ibu datang lagi. InsyaAllah, nanti segala perkembangan adik Mikhail akan khabarkan kepada ibu dan ayah.” Dr Mikhail cuba untuk memujuk ibunya yang jelas kelihatan sangat tidak bermaya itu. Selebihnya, dia mahu berbincang lebih lanjut dengan Dr Zainal untuk mengetahui status sebenar adiknya. Dia yakin, masih ada yang disembunyikan oleh Dr Zainal daripada pengetahuan mereka semua.
Setelah puas dipujuk, akhirnya ibu Dr Mikhail dibawa pulang oleh ayahnya. Kesempatan itu digunakan oleh Dr Mikhail untuk berbincang dengan Dr Zainal perihal Yati. Seperti yang dijangka, keadaan Yati sebenarnya lebih teruk daripada yang digambarkan sebentar tadi. Walaupun darah beku di otaknya telah berjaya di keluarkan, risiko untuk Yati mengalami kegagalan sesetengah anggota badannya untuk berfungsi secara normal ternyata tinggi. Tambahan pula, tulang rusuknya patah, dan kemungkinan berlaku kecederaan pada organ-organ dalaman yang lain.
Di sebalik cermin kaca, Dr Mikhail memerhatikan adiknya yang bergantung kepada mesin pernafasan untuk bernafas. Wayar-wayar yang berselirat di badan adiknya menyesakkan lagi dada Dr Mikhail. Sungguh dia tidak sanggup melihat adiknya terseksa sebegitu rupa. Mahu sahaja dia menggantikan adiknya itu, biar dia sahaja yang menanggung seksa sakitnya itu. Setitis air mata terbit juga dari matanya yang sedari tadi merah menahan tangis. Dia teringat sebuah hadith yang selalu dijadikan panduan olehnya selama ini,”Tidaklah seorang mukmin tertimpa musibah tertusuk duri atau lebih dari itu, kecuali dengannya Allah menghapuskan sebahagian dosanya.”
Tepukan di bahunya membuatkan dia segera mengesat airmata yang mengalir tadi. “Saya faham perasaan doktor kerana saya pernah melalui situasi yang hampir serupa lima tahun yang lepas.” Kata-kata Dr Zainal itu membuatkan Dr Mikhail terperanjat. Ternyata di sebalik ketenangan yang sering tergambar di wajah Dr Zainal, tersembunyi sebuah cerita duka yang mungkin tidak ramai yang mengetahuinya. Terdetik perasaan kagum di hati Dr Mikhail terhadap doktor yang berdiri di sisinya kini. Dia menunggu kata-kata yang seterusnya daripada Dr Zainal.
“Saya mungkin tidak memahami perasaan doktor apabila melihat adik doktor terbaring kaku di dalam sana. Tapi, saya tahu bagaimana perasaannya melihat isteri, seseorang yang sangat dekat dengan saya terbaring kaku tanpa saya mampu berbuat apa-apa untuk membantu mengurangkan kesakitannya.” Tersentak Dr Mikhail mendengar cerita Dr Zainal. Seorang isteri tentunya orang yang paling dekat dengan dirinya, dan kemungkinan besar perasaan yang ditanggung oleh seorang suami akan lebih hebat daripadanya kini. Segera Dr Mikhail memegang bahu Dr Zainal, sebagai tanda sokongan.
“Dr Mikhail, ini ujian buat kamu dan keluarga kamu. Ini juga satu sunnatullah atau satu peraturan Allah buat kamu. Tiada siapa dapat menghindarinya kerana hidup ini sendiri hakikatnya satu ujian. Bilamana kita sanggup untuk meneruskan kehidupan, maka kita wajib sanggup untuk diuji.” Kata-kata Dr Zainal itu diakui kebenarannya oleh Dr Mikhail, namun rasanya ujian ini begitu berat untuk dirinya yang lemah itu. “Saya tidak kuat untuk ujian ini, doktor.”
“Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui. Dia tahu Dr Mikhail seorang yang kuat, begitu juga ibu dan ayah doktor. Ujian ini hadir kerana Allah ingin doktor dan keluarga doktor menyerlahkan nilai diri di sisi-Nya. Perbanyakkan istighfar, kerana barangsiapa yang memperbanyakkan istighfar, maka Allah akan membebasknnya dari kesedihan dan memberi jalan keluar daripada kesempitannya. Saya perhatikan daripada dari doktor berdiri di sini. Ada baiknya kita ke surau, kerana sudah hampir masuk waktu Maghrib. Dr Mikhail segera mengikut langkah Dr Zainal ke surau yang berhampiran. Sedar tak sedar, hampir dua jam dia berdiri memerhatikan adiknya tadi. Alangkah ruginya dia, masa tersebut tidak dia gunakan untuk berdoa kepada Allah demi keselamatan adiknya.
“Maka janganlah ucapan mereka menyedihkan kamu. Sesungguhnya Kami mengetahui apa yang mereka rahsiakan dan apa yang mereka nyatakan. Pertolongan hanya daripada Allah Ta’ala, dan makhluk itu tak berdaya, tak memiliki kemampuan apa-apa. Jangan sampai kegelapan makhluk menjadikan ancaman bagi kesedihan, karena kegelapan makhluk adalah kehinaan itu sendiri.” Maksud ayat ke-76 dalam surah Yasin itu begitu bermakna bagi Dr Mikhail. Sungguh dia terleka kala ujian datang tanpa diduga. Dia lupa untuk berserah kepada-Nya selepas berikhtiar sehabis mungkin. Mungkin itu juga sebenarnya apa yang Dr Zainal cuba sampaikan kepadanya sebentar tadi.
Usai membacakan surah Yasin, Dr Mikhail bangkit kembali untuk menunaikan solat sunat hajat, memohon kepada Allah apa yang terbaik buat adik kesayangannya itu. Dia berdoa,
“Ya Allah ya Tuhanku,
Yang memiliki setiap isi dalam segenap pelosok kehidupan ini,
Kepada-Mu aku berserah,
Kepada-Mu aku memohon,
Kau berikanlah apa yang terbaik buat diri kami.
Ya Rahman ya Rahim,
Seandainya penghidupan itu yang terbaik buat adikku,
Kau panjangkanlah umurnya,
Agar dapat dia menghirup kembali udara yang Kau beri,
Agar dapat dia rasai kembali panasnya mentari yang kau hadirkan di siang hari,
Agar dapat dia nikmati keindahan bulan-Mu di malam hari.
Ya Rabbul Izzati,
Seandainya kembalinya dia kepada-Mu itu yang terbaik,
Janganlah Kau seksa dia dengan seberat-berat seksaan di dunia ini,
Berilah dia kekuatan dalam melawan rasa kesakitan itu,
Berilah dia kesabaran dalam menahan segala rasa yang menghimpit itu,
Kau tenangkanlah hati-hati kami untuk menerima ketentuan-Mu itu.
Janganlah Engkau beratkan hati kami untuk melepaskan dia kembali kepada-Mu,
Kerana sesungguhnya kepada-Mulah tempat kami akan kembali.”

“Sesungguhnya perintah-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya: “Jadilah!” maka terjadilah ia. KehendakNya pada sesuatu, akan terjadi tanpa jarak rentang waktu maupun ruang. Maka Maha Suci (Allah) yang di tangan-Nya kekuasaan atas segala sesuatu dan kepada-Nyalah kamu dikembalikan.” Maksud dua ayat terakhir dalam surah Yasin itu begitu membekas dalam hatinya.
Kini, hatinya berasa lebih tenang dan lapang. Ternyata Dia adalah sebaik-baik tempat untuk mengadu. Dia berharap ibu dan ayahnya juga berdoa yang terbaik untuk adiknya. Melihatkan jam yang hampir menginjak ke angka 10, dia segera bangun menuju ke kamar yang menempatkan adiknya. Masih ada hampir 18 jam lagi untuk mengetahui samada adiknya mampu melepasi masa kritikal yang dikatakan oleh Dr Zainal petang tadi.
Suasana yang agak kelam kabut di dalam bilik yang dihuni adiknya beberapa jam yang lalu nyata mencemaskan dirinya. Segera dia masuk menghampiri Dr Zainal. Walaupun jururawat cuba memintanya keluar daripada bilik tersebut, namun Dr Zainal bertindak sebaliknya. Dia yakin Dr Mikhail cukup kuat untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang akan terjadi kepada adiknya. Dia dengar doa yang Dr Mikhail titipkan selepas solat tadi. Doa yang hampir sama yang pernah dia titipkan suatu masa dulu semasa isterinya tengah bertarung untuk meneruskan kehidupan.
“Dr Mikhail, kami minta maaf. Secara tiba-tiba mesin pernafasan tidak berfungsi secara normal. Setelah diteliti, ternyata paru-parunya rosak teruk akibat tekanan oleh tulang rusuk pesakit yang patah. Kami minta maaf, ternyata Allah mahukan dia kembali ke sisi-Nya.” Dia menepuk-nepuk bahu Dr Mikhail tanda memberi semangat kepada doktor muda itu. Benar telahannya, Dr Mikhail punyai jiwa yang besar. Dia mampu menerimanya dengan tenang walaupun pada mulanya kelihatan agak goyah.
Peristiwa lima tahun lepas rasanya bagaikan baru terjadi semalam. Dr Mikhail masih ingat lagi penerimaan ibunya yang jelas masih dibelenggu emosi yang tidak stabil. Memakan masa berbulan-bulan dia dan ayahnya berusaha mengembalikan semangat ibunya. Ibunya menjadi seorang yang murung dan suka menyendiri. Daripada seorang isteri dan ibu yang periang dan selalu menyenangkan, ibunya menjadi seorang yang tidak menghiraukan keadaan sekeliling.
            Setelah berbincang panjang lebar dengan ayahnya, mereka membawa ibunya berjumpa pakar psikiatri untuk mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan yang sepatutnya. Pada mulanya ibu Dr Mikhail menolak dan membangkang untuk dibawa ke hospital kerana baginya dia bukan sakit dan tidak juga gila. Namun, setelah dipujuk selama seminggu, Dr Mikhail berjaya membawa ibunya ke rumah sakit.
Dalam tempoh itu juga, dia berusaha sehabis kuat untuk bertahan berkerja di hospital, yang telah menjadi saksi pemergian insan yang bergelar adik kepadanya. Dalam sabar dia merintih memohon jalan yang terbaik buat dirinya dan kedua orang tuanya. Setelah berbincang panjang lebar dengan ayahnya, dia mengambil keputusan untuk meletak jawatan dan berhijrah ke bidang pekerjaan yang lain. Ada beberapa orang doktor senior yang memujuknya untuk meneruskan kerjaya sebagai seorang doktor perubatan dan meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, namun dia tetap dengan keputusannya.
Bukan mudah dia membuat keputusan untuk menghentikan segala usaha ke arah mencapai cita-citanya selama ini, menjadi seorang pakar bedah. Namun, demi mengembalikan semula semangat ibunya, satu-satunya wanita yang paling dia sayang, dia gagahkan diri membuat keputusan yang menjadikan dia Dr Mikhail yang sekarang ini merupakan seorang pensyarah medikal di kolej tempatnya menabur bakti kini.
Menjadi seorang pensyarah juga bukanlah sesuatu yang mudah, terutamanya bagi dia yang sememangnya kurang menggemari kerjaya tersebut. Dia kurang gemar melayan kerenah para pelajar yang ada masanya sungguh mencabar kesabarannya. Mungkin itulah juga yang para gurunya rasakan kerana dulu di sekolah dia merupakan seorang pelajar yang nakal dan suka menimbulkan masalah dengan rakan sebaya. Benarlah kata Zulaikha tempoh hari, what you give you get back.
Mengenangkan Zulaikha, hatinya terusik rindu. Sungguh dia begitu tertarik dengan gadis lemah lembut tapi tegas itu. Masih dia ingat detik pertama perkenalan dia dengan Zulaikha. Masa itu dia baru sahaja mendaftar sebagai tenaga pengajar di kolejnya. Insan pertama yang menunjukkan dia arah ke arah pejabat pengarah kolej adalah Zulaikha, yang ditemui di koridor bangunan pentadbiran. Walaupun tiada langsung kata-kata perkenalan pada ketika itu, hatinya kuat mengatakan yang dia akan mengenali juga wanita tersebut.
Ternyata benar telahannya, bahawa Zulaikha merupakan seorang pensyarah di situ, mengajar fakulti yang sama dengannya. Pertemuan seterusnya antara mereka adalah di pejabat dekan fakulti. Seterusnya, hubungan mereka semakin mesra apabila selalu ditugaskan bersama dalam menjayakan aktiviti-aktiviti sosial dan kemasyarakatan anjuran kolej. Namun, untuk menyatakan hasrat hatinya secara berterus terang, dia masih belum berani. Dia takut Zulaikha menolaknya dan hubungan persahabatan mereka akan rengang.
Sehingga sekarang dia masih tidak mengetahui status sebenar Zulaikha. Walaupun daripada teman-teman pensyarah yang lain dia mengetahui Zulaikha belum mempunyai teman leaki mahupun tunang, dia takut sekiranya Zulaikha sengaja merahsiakan perkara tersebut daripada rakan-rakan sekerja. Bukan dia tidak kenal perangai Zulaikha, seorang yang seboleh-bolehnya tidak akan mencampur adukkan perihal peribadi dengan perihal kerja.
Perlahan Dr Mikhail melangkah menuju ke bilik air untuk mengambil wudhuk. Dia mahu menunaikan solat istikharah. Dia mahu memohon ditunjukkan jalan dalam memilih pasangan hidupnya. Memang hatinya kuat untuk menjadikan Zulaikha sebagai suri hidupnya namun dia tahu, Allah lebih mengetahui. Dia tidak mahu mambuat keputusan berdasarkan hawa nafsu semata-mata kerana baginya perkahwinan itu adalah satu proses sepanjang hayat. Dia mahu memiliki sebuah keluarga yang mampu membawa dia ke jalan yang diredhaiNya. Dia mahukan seorang isteri yang mampu mendidik anak-anaknya menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.



Saturday, September 22, 2012

Setulus Cinta Zulaikha: 1


“Seperti yang telah saya katakan pada awal kuliah tadi, penyelidikan adalah sesuatu yang sangat menyeronokan, di mana kamu akan mendapat pelbagai jawapan kepada persoalan kajian yang telah kamu tentukan pada awal penyelidikan. Kadangkala, jawapannya tidak seperti yang kita kehendaki, tetapi itulah faktanya. Jadi, saya harap kamu semua dapat membuat tugasan yang telah saya berikan dengan seronok dan sehabis baik,” Zulaikha menamatkan kuliahnya dengan memberikan tugasan ringkas kepada para pelajarnya. 
Ok guys, now I want all group leaders to come forward and please write down the title of your group’s study in the provided column. And, the rest, any question?” Kuliah hari ini adalah mengenai langkah-langkah asas dalam membuat sesuatu penyelidikan yang menjadi asas kepada segala kerja-kerja penyelidikan yang akan dilakukan oleh para pelajarnya sepanjang semestar ini nanti. Tugasan yang diberikan adalah sebagai latihan buat pelajarnya mengaplikasikan ilmu yang baru sahaja mereka pelajari. Dia tidak mahu pelajarnya hanya menghafal nota untuk menjawab peperiksaan nanti. Sebaik-baik pembelajaran adalah secara praktikal, di mana aplikasi daripada ilmu menjadikan kita lebih memahami sesuatu ilmu itu sendiri.
            Miss Zulaikha, program kita hujung bulan ini macam mana? Setakat ini hanya ada lima orang yang berminat mahu ikut serta. Selebihnya langsung tidak memberi sebarang jawapan. Apa perlu kita buka penyertaan kepada pelajar-pelajar kelas lain?” soalan daripada Johan, salah seorang pelajar yang aktif di dalam kelas mendapat perhatian beberapa orang pelajar yang lain. Namun, tidak bagi sesetengah yang lain. Muka yang agak bosan ditayangkan tanda mereka kurang menyenangi soalan tersebut.
            “InsyaAllah, semuanya akan berjalan lancar. Semalam saya sempat melawat Raudhatul Jannah dan kesemua adik-adik di sana nampaknya sudah tidak sabar-sabar mahu menerima kehadiran kakak-kakak dan abang-abang kelas saya ni. Bagaimana persiapan yang Johan dan yang lain-lain? Perlukan sebarang bantuan daripada saya?” Soalan Zulaikha mendapat perhatian Johan yang segera membuka buku catatannya.
            “Alhamdulillah semua berjalan lancar, miss. Cuma tinggal persiapan untuk kuiz dan games yang belum siap sepenuhnya. InsyaAllah nanti kami akan buat perbincangan lagi untuk mencari yang terbaik.” Penerangan Johan mengundang senyuman di wajah Zulaikha. Ternyata tidak silap dia menyerahkan tugasan selaku Pengarah Program kepada Johan.  
“Terima kasih, Johan. Jadi, siapa yang akan ikut serta untuk program ‘Rumahku Syurgaku’ nanti?” soalan Zulaikha itu mengundang pelbagai reaksi daripada pelajarnya. Ada yang menayangkan muka teruja dengan anak mata yang makin membesar. Ada yang menekan-nekan telefon pintar masing-masing tanda malas mahu masuk campur dalam perbincangan yang tengah diadakan.
            “Bosanlah program macam ini, miss. Apa yang kita dapat kalau buat program-program kebajikan sebegini? Baik kita buat aktiviti main bowling ke, pergi makan angin ke. Boleh la juga melawat tempat-tempat best. Bak kata orang, jauh perjalanan, luas pemandangan.” Kenyataan daripada salah seorang pelajarnya membuatkan Zulaikha beristighfar dalam hati. Sesungguhnya dia bersimpati kepada pelajar tersebut. “Ya Allah, Kau lembutkanlah pintu hatinya untuk lebih bertanggungjawab dalam menjalankan amanahnya dalam kehidupan ini,” doa itu dia titipkan di dalam hatinya penuh keinsafan.
            “Saya setuju, miss. Tak seronoklah program sebegini.  Apa faedahnya buat program dengan anak-anak yatim? Bukannya boleh menjana sebarang pendapatan, apatah lagi keuntungan.” Tersungging senyuman di bibir Zulaikha tanda menutup rasa ralat di dalam hati. Cepat-cepat dia beristighfar di dalam hati. Dia tidak berkecil hati dengan soalan-soalan sebegini kerana dia tahu para pelajarnya masih keanak-anakan dan dalam proses belajar tentang makna sebuah kehidupan.     
“Tapi, saya rasa tak salah kalau kita hiburkan hati mereka yang kurang bernasib baik. Betulkan, miss?” Pertanyaan  Johan itu mengundang ketawa beberapa orang pelajar. Johan memberikan mimik muka tidak puas hati kepada rakan-rakannya yang seakan-akan mengejek dirinya. Saiful yang duduk di sebelah Johan sempat menepuk-nepuk lembut bahu Johan tanda sokongan kepada Johan yang nampak begitu bersemangat dengan program tersebut.
            Guys, saya tidak pernah memaksa sesiapa untuk menyertai saya dalam program hujung bulan ini. Terpulang kepada sesiapa yang mempunyai kelapangan dan kesudian untuk berkongsi sedikit masa dan kasih sayang bersama mereka yang kurang bernasib baik.” Zulaikha meliarkan matanya melihat wajah para pelajarnya yang khusyuk menanti butir bicara selanjutnya daripadanya.
Di sebalik pintu kuliah yang separuh tertutup, terpacak tegak Dr Mikhail. Kebetulan dia baru sahaja selesai menyampaikan kuliah di kelas sebelah. Memang dia begitu mengagumi kesabaran Zulaikha dalam mendidik pelajarnya. Tidak pernah selama ini ada pensyarah yang menyelitkan unsur-unsur kemanusiaan dalam setiap kuliah seperti Zulaikha. Dia sendiri tidak mampu berbuat demikian kerana kurang gemar melayan ragam pelajar yang pelbagai. Lagipula, bidang pendidikan ini bukanlah bidang pilihannya. Masih terbayang-bayang di matanya bagaimana kejadian membuatkan dia yang begitu cintakan dunia kedoktoran mengambil keputusan nekad melangkah ke dunia pendidikan selepas lima tahun berkhidmat di salah sebuah hospital kerajaan di utara tanah air.
Kejadian yang mengubah kehidupan keluarganya, yang menjadikan dia Dr Mikhail yang sekarang. Seorang doktor yang seboleh-bolehnya tidak mahu menjejakkan kaki ke mana-mana hospital untuk memberi khidmat sebagai seorang doktor. Sebab itulah dia memilih untuk menjadi pendidik, sesuatu yang sebelum ini memang tiada langsung dalam senarai kerjaya yang dia inginkan. Tapi, takdir Allah tiada siapa yang dapat menyangkal. Kini, dia mula mencintai dunia pendidikan sedikit demi sedikit. Apatah lagi, setelah mengenali gadis seperti Zulaikha, seboleh-bolehnya dia mahu membuktikan bahawa dia seorang pendidik yang baik dan berdedikasi.
Suara Zulaikha mematikan lamunan Dr Mikhail. “Aishah, kamu milik siapa?” Zulaikha bertanyakan soalan mudah itu kepada salah seorang pelajarnya. “Mak ayah saya, miss.” Penuh yakin Aishah menjawab soalan tersebut. Zulaikha tersenyum.
            “Dengarlah kelentong Aishah itu, miss. Sebenarnya dia nak jawab milik kekasih dia.” Kenyataan Khairul itu menggamatkan kelas yang dihadiri seramai 25 orang pelajar itu. ternyata kenyataan itu begitu mengujakan hati anak-anak muda itu. Walaupun masa kuliah telah pun tamat, namun semua masih belum mahu berganjak dari dalam kelas tersebut. Masing-masing ingin tahu jawapan kepada persoalan yang dilontarkan Zulaikha.
            “Siapa yang jawapannya sama dengan Aishah?” Soalan Zulaikha mendapat jawapan dengan hampir kesemua pelajar mengangkat tangan ke atas. Sekali lagi Zulaikha tersenyum ke arah pelajarnya. Begitulah dia suatu masa dahulu, sentiasa bersemangat di dalam kelas apabila ada sahaja soalan yang terkeluar daripada skop pembelajaran daripada pensyarah kesayangannya, Dr Sharifah. Bukan kerana bosan dengan isi kuliah yang disampaikan, tapi sebagai tindak balas kepada provokasi pensyarah yang mahu menghilangkan kantuk para pelajar. Dia sendiri kini terikut-ikut gaya pensyarahnya itu.
            “Ok, kalau begitu siapa pemilik ibu dan ayah kamu semua?” Kelihatan para pelajar berbisik sesama sendiri. Mereka seperti kurang yakin dengan jawapan masing-masing. Situasi ini mengingatkan Zulaikha kepada situasi di dalam kelas agama yang dihadirinya di Raudhatul Jannah semasa dia masih di sekolah menengah lagi. Dia sendiri tidak tahu jawapan kepada soalan tersebut kerana kedua ibubapanya telah meninggalkan dia seorang diri di dunia yang fana ini. Untuk bertanya kepada siapapun mengenai kedua orang tuanya dia tidak tahu kerana dia sendiri sememangnya tidak mengetahui samada masih mempunyai saudara mara ataupun tidak. 
            Guys, sebenarnya saya, kamu semua, ibu bapa saya, dan ibu bapa kamu semuanya milik Allah S.W.T. Kamu hanya pinjaman oleh Allah kepada kedua orang tua kamu, begitu juga orang tua kita adalah pinjaman daripada Allah kepada kita semua. Jadi, kenapa kita mahu membeza-bezakan sesama kita? Perrnah atau tidak kamu semua terfikir kemungkinan, suatu masa nanti kamu akan kehilangan mereka yang sangat kamu sayang? Lagipula, tadi telah saya katakan bahawa kesemua yang ada di muka bumi ini hanyalah pinjaman semata-mata. Setiap yang dipinjam, harus dipulangkan kepada pemiliknya. Apa kamu tidak malu meminjam sesuatu barang tanpa mengembalikannya kepada tuannya?” Zulaikha terhenti seketika saat menuturkan kata-kata itu.
Sungguh hatinya merasa pilu. Terkenang nasib diri yang dilahirkan tanpa mengenali kedua orang tuanya. Bukan mudah untuk dia menerima hakikat diri yang tidak sesempurna insan lain. Pernah terlintas di fikirannya betapa malangnya dia dilahirkan tanpa merasai sebuah keluarga yang lengkap. Namun, dia sedar setiap kejadian itu pasti ada hikmahnya. Teringatkan Rasulullah S.A.W yang dilahirkan sebagai anak yatim ternyata mezahirkan keinsafan buatnya. Segera dia berdoa kesejahteraan kedua ibubapanya di dalam hati.
            “Apa kaitan program kita hujung bulan ni dengan semua yang miss katakan tadi?” Soalan Amri disambut dengan anggukan oleh beberapa orang pelajar lain. Masing-masing menantikan jawapan daripada Zulaikha. Zulaikha menatap wajah-wajah yang penuh tanda tanya di hadapannya. Sebuah senyuman dihadiahkan kepada pelajarnya.
            “Barang siapa yang meringankan satu beban kehidupan orang muslim lainnya, Allah akan menghilangkan satu bebannya di akhirat. Barang siapa yang memudahkan satu urusan orang yang sedang kesusahan, Allah akan memudahkan urusannya baik di dunia maupun akhirat. Allah akan menolong hamba-Nya, selagi dia menolong temannya.” Zulaikha menyampai sebuah hadith yang sering ummi bacakan padanya.
            “Bukankah amalan mulia sekiranya kita saling berkongsi kasih sayang, tolong menolong sesama insan? Tak kiralah siapa pun dia. Saling berkongsi segala pinjaman yang Allah berikan kepada kita, kerana kasih sayang itu juga satu pinjaman yang sangat besar maknanya. Sangat besar ganjarannya bagi mereka yang menghiburkan hati mereka yang telah pun kehilangan ibu atau bapa atau kedua-duanya. Jangan sampai saat kita kehilangan baru kita merasa manisnya sebuah kemesraan.” Jawapan panjang lebar itu mendapat respon yang baik daripada para pelajarnya. Ada yang tersenyum, dan tidak kurang juga yang berkaca matanya. Masing-masing ada jalan cerita kehidupan yang tidak mungkin sama antara satu sama lain. Bagi Zulaikha, kata-katanya sebentar tadi adalah peringatan buat dirinya juga.
            ”Saya percaya, semua di sini mempunyai sekeping hati yang suci. Pasti tidak sanggup melihat ahli keluarganya dalam kesedihan mahupun kesusahan. Pernah dengar pasal hukum karma? What you give, you get back? Kamu percaya, kalau saya katakan apabila kamu berbuat suatu kebaikan kepada seseorang, kamu akan mendapat balik kebaikan yang kamu berikan tadi?” Sengaja Zulaikha mengemukan perkara tersebut untuk melihat tindakbalas para pelajarnya.
            “Tapi miss, ada saja yang berhati baik dan selalu melakukan kebaikan. Tapi, selalu dibuli dan mendapat layanan yang buruk daripada orang yang dia berbuat baik,” jawapan Khairul mendapat sokongan daripada beberapa orang pelajar yang lain. Mungkin ada yang mempunyai pengalaman sebegitu barangkali.
“Ya, saya faham apa yang kamu maksudkan. Tapi pernah atau tidak kamu melakukan sesuatu kebaikan tanpa mengharapkan sebarang pujian mahupun balasan? Berbuat sesuatu kebaikan, biarlah ikhlas dan bukan dengan tujuan menunjuk-nunjuk bahawa kita orang baik. Apabila kita ikhlas melakukan kebaikan, pasti akan ada perkara baik yang datang kepada kita. Sekiranya orang yang kita berbuat baik melakukan yang sebaliknya kepada kita, insyaAllah akan datang kebaikan daripada orang lain sebagai gantinya. Kadangkala, daripada seseorang yang langsung tidak pernah kita duga,” Zulaikha berhenti seketika untuk melihat reaksi para pelajarnya.
“Sekiranya kejahatan dibalas dengn kejahatan, itu perkara biasa. Seandainya kebaikan dibalas dengan kejahatan, itu juga perkara biasa. Andai kata kebaikan dibalas dengan kebaikan, itu juga adalah perkara biasa. Tetapi, sekiranya kejahatan dibalas dengan kebaikan, maka itu luar biasa. Dan mereka yang berjaya dalam apa jua bidang yang dia ceburi adalah mereka yang bertindak luar biasa dalam menghasilkan keputusan yang juga luar biasa,” sengaja Zulaikha menyelitkan sedikit unsur motivasi untuk menaikkan semangat pelajarnya untuk turut serta dalam aktiviti yang telah dia bincangkan bersama dekan kolej sebelum ini.
“Ok miss, kami semua akan ikut serta dalam program itu nanti.” Kata-kata penuh semangat daripada Khairul itu mendapat persetujuan daripada rakan-rakannya. “InsyaAllah.” Ringkas keluar daripada mulut Zulaikha, kerana dia tahu semuanya masih dalam perancangan. Seteliti mana pun sesuatu perancangan itu, semuanya akan terlaksana atas izin-Nya jua.
Okey, guys. Saya rasa sampai di sini sahaja pembelajaran kita hari ini. See you tomorrow. Assalamualaikum,” kata-kata yang acap kali Zulaikha gunakan tanda sudah tiba masa untuk bersurai. Para pelajar beransur-ansur keluar, menuju ke destinasi masing-masing. Barangkali mencari kedai makan paling sedap, kerana pasti masing-masing kelaparan setelah sepanjang pagi duduk di dewan kuliah. Zulaikha mengemaskan buku-buku dan laptop yang digunakan untuk mengajar sebentar tadi. Para pelajar beransur meninggalkan bilik kuliah sambil mengucapkan terima kasih kepada Zulaikha.
Zulaikha yang baru sahaja ingin meninggalkan kelas terhenti mendengar seseorang memanggil namanya. Dia tersenyum kepada Dr Mikhail, salah seorang pensyarah perubatan di kolejnya. Sebagai tenaga pengajar, mereka selalu bekerjasama dalam menjalankan tugas sebagai pendidik anak bangsa.
“Tadi saya dengar ada program hujung bulan ini. Program apa sebenarnya, Zulaikha?” Ternyata Dr Mikhail berminat untuk mengetahui perkara tersebut selepas mendengar soal jawab Zulaikha bersama pelajarnya sebentar tadi. Barangkali ada bantuan yang boleh dia hulurkan bagi menjayakan program tersebut.
“Program Rumahku Syurgaku bersama anak-anak yatim di Raudhatul Jannah.” Ringkas jawapan Zulaikha bersama senyuman yang sentiasa mekar di bibirnya.
            “Aktif Zulaikha dengan rumah kebajikan itu.” Kagum Dr Mikhail mendengar jawapan Zulaikha. Itu bukan pertama kali dia mendengar program yang seumpamanya dianjurkan oleh Zulaikha semenjak dia bergelar pensyarah di kolej tersebut. Malah, dia mula mengenali gadis itu pun melalui sebuah program konsert amal anjuran kolejnya di Raudhatul Jannah. Masih dia ingat lagi bagaimana Zulaikha bekerja keras bagi merealisasikan program yang ternyata menuntut banyak tenaga dan usaha bagi menjayakannya.
            “Rumah itu atas usaha keras ummi dan abi. Jadi, sudah menjadi tugas saya untuk membantu sehabis daya mengembangkan apa yang telah mereka usahakan.” Abinya, Dato’ Roslan merupakan seorang usahawan Melayu yang berjaya. Namun, tidak ramai yang mengetahui di sebalik kejayaannya itu, dia memiliki sebuah rumah kebajikan yang kini menempatkan 50 orang anak-anak yatim. Ini kerana abinya seorang yang sangat merendah diri dan tidak suka menceritakan kebaikan diri sendiri. Sikap inilah yang menjadi ikutan Zulaikha semenjak kecil lagi.
            “Saya ikut serta boleh?” Muka penuh pengharapan Dr Mikhail dipandangnya seketika cuma. Dia begitu kagum dengan kesanggupan Dr Mikhail yang selalu membantunya dalam hampir setiap program yang dilaksanakan. Bukan dia tidak tahu situasi Dr Mikhail yang sentiasa sibuk dengan kuliah dan latihan praktikal para pelajarnya di setiap hujung minggu.  
            “InsyaAllah, tidak menjadi masalah, malah saya sangat berbesar hati sekiranya Dr boleh turut serta.” Jawapan Zulaikha mengundang senyuman Dr Mikhail. Baru dia hendak membuka mulut mengajak Zulaikha makan tengah hari, Aishah datang menghampiri mereka. Aishah antara pelajar yang gemar bertanya soal akademik kepada para pensyarahnya. Maka, tidak hairanlah jika dia sering mendapat keputusan yang baik dalam pelajarannya.  
            “Baiklah Dr Mikhail. Saya kena beransur dulu, ada perkara yang ingin kami bincangkan. Mengenai tentatif program itu nanti saya emelkan kepada Dr. Assalamualaikum.” Zulaikha melangkah bersama Aishah meninggalkan Dr Mikhail.
            “Ada apa, Aishah?” Soalan Zulaikha setelah melihat Aishah yang teragak-agak mahu bertanya. Di hatinya, dia risau sekiranya ada berita yang kurang enak akan disampaikan oleh gadis manis itu.
            “Sebenarnya miss, saya tidak dapat ikut serta dalam program hujung bulan ini.” Zulaikha memegang bahu Aishah yang kelihatan sedih itu. Setahunya, Aishah merupakan salah seorang pelajar yang aktif dalam setiap program-program sukarela anjuran kolejnya. Dia yakin, mesti ada sesuatu yang sangat penting sehinggakan Aishah membuat keputusan sebegitu.
            “Kenapa, Aishah? Kamu ada masalah?” Anggukan Aishah menerbitkan kerisauan di hati Zulaikha. “Saya sangat berbesar hati kalau Aishah sudi berkongsi, mana tahu dengan cara itu Aishah akan lebih lega?”
            “Saya sekarang bekerja part time, miss. Kebetulan, bulan ini ramai pekerja yang bercuti, jadi saya kena bekerja setiap hujung minggu. Jadi, saya rasa saya tidak akan dapat kelepasan daripada boss untuk turut serta dalam program kali ini.” Perlahan sahaja Aishah memberitahu situasi dirinya.
            “Apa yang membuatkan kamu bekerja secara sambilan? Bukankah kamu sudah ada biasiswa?” Zulaikha sedikit pelik kerana setahunya Aishah pelajar cemerlang yang mendapat tajaan untuk pengajiannya.
            “Memang saya mendapat biasiswa, tetapi tidak mencukupi miss. Adik beradik saya ramai, ayah nelayan, mak pula mengambil upah menjahit. Sekarang musim tengkujuh, jadi ayah jarang ke laut. Adik-adik pula perlukan duit untuk bayar yuran sekolah. Saya tiada pilihan lain selain bekerja sambilan sebab sebahagian besar duit biasiswa saya serahkan kepada ayah.” Bergenang mata Aishah menceritakan perihal dirinya.
            Segera Zulaikha beristighfar dan memuji kebesaran Allah. Sungguh, dia Maha Kaya. Dia mendatangkan segala macam situasi buat hamba-Nya. “Kamu anak yang baik, Aishah. Berbakti kepada orang tua adalah perkara yang sangat dituntut oleh agama kita. Beruntung kedua ibu bapa Aishah memiliki anak yang solehah. InsyaAllah, anak yang sentiasa diredhai ibubapanya akan mendapat kemudahan dalam hidupnya.” Kata-kata itu berjaya menghadiahkan senyuman di wajah Aishah.  
            Zulaikha menyambung, “Aishah, saya tidak pernah mewajibkan kamu semua untuk ikut serta dalam mana-mana program yang saya anjurkan. Semuanya terpulang kepada kelapangan masing-masing. Kalau Aishah ada perkara yang lebih penting, utamakan perkerjaan itu.”
            “Tapi miss, saya teringin sangat menggembirakan anak-anak yatim tu. Saya rasa ini saja yang mampu saya lakukan sebab kalau nak menderma wang ringgit memang saya tak mampu, miss.” Muka kecewa Aishah mengundang senyuman Zulaikha. Sungguh dia gembira melihat kesungguhan anak muda itu dalam melakukan sesuatu kebajikan.
            “Aishah, bukan dengan datang pada hari kejadian sahaja Aishah boleh membuat mereka gembira. Juga bukan hanya dengan wang ringgit saja kita dikatakan membantu mereka.” “Maksud miss, ada cara lain lagi yang boleh saya lakukan?” Sungguh anak muda itu begitu semangat ingin tahu, sehingga belum habis Zulaikha berkata-kata dia sudah bertanya.
            “Bukankah ada banyak persiapan yang kawan-kawan awak akan lakukan sebelum program tersebut? Aishah boleh menyumbangkan segala kepakaran yang Aishah ada untuk membantu mereka. Saya dengar mereka tengah merangka banyak games dan kuiz untuk anak-anak itu nanti. Aishah tolonglah apa yang Aishah termampu. Itu pun sudah dikira usaha dalam mengembirakan hati mereka, tau?” Hampir tergelak Zulaikha melihat wajah ceria Aishah. Sungguh berbeza dengan wajah suramnya beberapa minit yang lalu.
            “InsyaAllah, miss. Nanti saya tanyakan kepada Johan apa boleh saya lakukan untuk membantu mereka. Saya minta diri dulu. Assalamualaikum.” “Waalaikumsalam w.b.t.” Aishah meninggalkan Zulaikha sendirian menapak menuju ke pejabatnya.
Zulaikha melangkah laju ke arah pejabat yang tinggal beberapa meter dari tempatnya berpisah dengan Aishah tadi. Sungguh kepalanya terasa berpusing ketika itu. Mungkin angin sudah sampai ke kepalanya. Pagi tadi dia hanya sempat menjamah sekeping roti bakar yang disediakan oleh umminya. Ini kerana dia bergegas mahu sampai awal kerana perlu menaiki teksi yang sememangnya sukar diperolehi awal-awal pagi lantaran keretanya yang sudah tiga hari masuk bengkel.
“Ya Allah, kuatkanlah hamba-Mu ini untuk menjalankan segala tanggungjawab yang telah diamanahkan. Dan, Kau permudahkanlah segala urusanku.” Dia berdoa di dalam hati sambil terus melangkah. Masih banyak tugasan menantinya hari ini.