Wednesday, September 26, 2012

Kek Span 9cm


Kaki melangkah laju. Takut tertinggal keretapi terapung yang selalunya tidak akan menunggu penumpang. Keretapi terapung, itu gelaran yang emak aku berikan untuk perkhidmatan seperti LRT mahupun monorel. Hari ini aku terbangun lambat. Semuanya gara-gara menonton siaran langsung Portugal lawan Sepanyol yang berakhir dengan kekalahan Portugal. Akibat kecewa, aku tertidur hingga hampir terlajak waktu Subuh. 

          Sampai di mesin untuk membeli token keretapi, baru perasan yang aku tertinggal beg sandang yang selalu aku usung ke sana ke mari. Dalam tak sedar, aku terduduk di depan mesin membeli token. “Dik, tak cukup kerusi ke sampai duduk kat sini?” Suara sinis di belakang membangunkan aku. Sungguh, kenapalah hari ini jadi hari yang menyebalkan begini?

          Tanpa menoleh ke arah sesiapapun, aku berjalan ke arah jejantas yang disediakan untuk pejalan kaki. Fikiran berserabut sama sesaknya seperti jalan raya di bawah jejantas. Ada bas yang cuba menghimpit kereta-kereta yang jelas tidak mau memberi ruang buat kotak besar itu menyelit. Kenapalah bandar berlumpur ini sentiasa sesak?

          Aku menyeluk pokek. Ada wang kertas aku rasa. Hati berbunga kembali. Aku tarik perlahan sambil membayangkan itu duit not sepuluh ringgit minggu lepas yang aku lupa keluarkan daripada kocek seluar. Resit bayaran? Resit bayaran aku beli Colgate di Jaya Jusco semalam. Eh, sebenarnya ubat gigi jenama Safi. Apalah nasib aku hari ini. Termenung lagi. Malas mau memikirkan masa yang memang tak boleh aku undur kembali. Pekikan Yuna menandakan ada insan menghubungi telefon pintar aku. “Ya, aku tau. Bagi aku lagi setengah jam. Macamlah kau tak biasa kan?” Selebihnya, hanya anggukan dan deheman.

          Berpaling dan mau berpatah balik ke rumah untuk mengambil beg sandang. Mau saja aku menyumpah dia yang tiba-tiba muncul di sebelahku. Mana tidaknya, kotor seluar jeansku dek tumpahan kek coklat di tangannya.“Maaf kak, saya tak sengaja,” suara takut-takut itu mematikan amarahku. Diam. Aku pandang dia, dia pandang bawah. Sah, dia memang takut. Rasa nak marah terus lebur. Ada sesuatu yang tidak enak aku rasakan.

          Aku tunggu hingga dia mengangkatkan muka. Sah! Dia memang tengah nangis. “Kenapa dik?” “Kek itu untuk mak saya. Tapi dah jatuh.” Aku terkedu. Air mata serasa mau tumpah. Bukan sebab budak perempuan comel depan aku. Apatah lagi sebab mak dia. Aku rasa nak nangis sebab kek dia jatuh. “Tak pe. Nanti akak beli yang baru. Jom, ikut akak balik rumah jap. Amik duit.” Haha. Aku nampak muka terkejut budak perempuan comel. Aku hulur tangan, dia sambut. Aku dan dia melangkah menuruni jejantas. Aku diam, dia pun diam. Diam sehingga kami sampai ke rumah sewaku.

         Aku tinggalkan dia Iuar rumah. Seusai menukar jeans baru dan mengambil beg sandang, aku kembali memimpin dia ke arah stesen keretapi terapung. Dia masih diam. Aku juga malas mau memujuk dengan sebarang kata-kata.

         Sampai di satu outlet menjual kek, aku belikan dia sebiji kek seberat 1kg. Aku yakin dia mampu membawanya balik ke rumah. “Kak, kek saya kecik je. Ni besar sangat, nanti saya tak mampu bayar.” Aku hanya tersenyum. Sebelum melangkah membeli token untuk ke destinasi sebenar, aku suarakan pada dia, “Ini hadiah untuk adik dan mak adik. Kirim salam pada dia.” Kali ini aku kesat airmata budak perempuan comel itu. Aku selitkan duit not RM50 dalam kocek seluarnya yang hampir lusuh. Aku tidak peduli pada mata-mata yang memandang sebab budak perempuan comel itu memang popular di stesen ini. Dia dan maknya antara penjaja sayur yang saban hari menjual ulam-ulaman di bawah stesen, menyambut para pelanggan yang rata-rata baru balik kerja. Yang hampir kesemuanya mencari makanan segera atau yang goreng-goreng untuk mengisi perut lapar.

          Aku teruskan perjalanan. Membeli token, berjalan ke arah platform dan menunggu keretapi terapung aku. Sempat aku melambai dan menghadiahkan senyuman buat budak perempuan comel tadi. Aku yakin dia nampak aku kabur, sebab dia tengah nangis.

          2 minit, keretapi masih belum kelihatan. 5 minit, manusia semakin ramai. Nasib baik ini antara stesen yang hujung, maksudnya akan ada banyak bangku kosong di dalam gerabak nanti. 7 minit, aku berjaya masuk ke dalam gerabak paling hujung. Aku pilih kerusi yang paling hujung, di sebelah seorang pakcik tua yang mukanya sangat menggerunkan. Aku senyum, dia tengok pelik. Oh!

          Aku belek jam tangan, hadiah daripada nenek. Ada lagi setengah jam untuk sampai ke stesen Masjid Jamek. Masih banyak waktu untuk aku memikirkan apa yang aku akan bentangkan sebentar nanti kepada Nona. Tiada sebarangan pertunjukan slaid, tiada sebarang lakaran. Hanya kata-kata akan aku persembahkan nanti.

          Budak perempuan comel tadi. Dia buatkan aku teringat zaman kanak-kanak aku dahulu. Kisah aku dan kek span 9cm. Kenapa 9cm? Itu ukuran untuk sepotong kek, bak kata adik aku. Aku masih ingat waktu itu. Saat pertama aku lihat airmata ayah.

                                             *                          *                          *

          Petang itu, aku ajak Zu ke kedai kek. Di tangan tergenggam kemas duit hasil tabungan kami sejak minggu lepas. Hajat itu mesti dilaksanakan hari ini juga. Tinggal beberapa langkah lagi, aku tanya Zu, “Agak-agak berapa harga kek tu ye? Harap-harap tak mahal sangat.”

           “Entahla kak. Kalau tak silap, minggu lepas tengok RM2.80. Harap-harap tak naik harga.” Aku kira duit syiling yang ada. 20 sen, 1 ringgit, 2 ringgit setengah, 3 ringgit. “Kita ada RM3 je, dik. Kalau tak cukup, kita beli benda lain je la. Boleh, kan?”

          Aku tengok Zu dah nak nangis. “Nak beli apa kak? Nak sambut hari jadi kena la beli kek. Tak ada kek nak sambut dengan apa?” Aku diam. Malas mau memujuk Zu sebab hati sendiri pun tak terpujuk aku rasa. Masuk saja kedai kek Cina tu, aku bau aroma yang sangat sedap. Memang itu kedai kek yang paling laku dan popular di kampung kami. Kedai Kek Cindy. Zu terus menarik aku untuk melihat ke dalam cermin kaca. Ada banyak jenis kek yang terhidang.

          Kek perisa coklat, strawberi, pisang, blueberi dan pandan. Aku tengok muka gembira Zu. Aku tengok tanda harga pada setiap kek. Satu hirisan bersamaan RM2.80. Alhamdulillah. Tercapai hasrat ada kek hari jadi.

          Tauke kek terus melayan kami ala kadar. Budak-budak yang beli kek span 9cm, apa yang dia nak herankan. Aku sempat tarik nafas panjang sebelum keluar kedai. Nak merasa kek dengan baunya. Sedap! Baki syiling 20sen aku masukkan dalam kocek seluar. Basikal merah aku kayuh dengan Zu membonceng di belakang. Dalam fikiran dah terbayang muka gembira mak, ayah dan adik-adik. Hari ini ada kek hari jadi.

          Sampai di halaman rumah, aku lihat mak sedang mengangkat baju di jemuran. Aku lambai, sambil tunjukkan kotak kek di tangan Zu. Mak tersenyum. Betul gambaran aku tadi. Mesti mak gembira. Masuk ke rumah, ayah tengah baring di ambal. Mungkin penat seharian berkebun menanam jagung. Adik-adik pula tengah bermain dengan congkak buatan ayah. Kayu panjang yang dilubangkan 16. Guli pula digantikan dengan batu yang aku pungut di tepi jalan.

          “Kak, cepat la. Adik kira 1,2,3 kita nyanyi sama-sama tau.” Zu nampak sangat teruja. Begitu juga Yaya dan adik bongsu, Boboi. Satu… Dua… Tiga…

          “Selamat hari jadi, selamat hari jadi, selamat hari jadi ayah, selamat hari jadi!” Kek sebesar 9cm aku halakan ke muka ayah. Ganjarannya, pipi aku dapat ciuman daripada ayah. Begitu juga Zu, Yaya dan Boboi. Ciuman tanda terima kasih. Aku tau, ayah dan mak mesti rasa terharu. Sebab aku nampak mak kesat air mata walaupun dia cuba tersenyum depan kami semua.

           Kek 9cm itu mak bahagikan kepada enam bahagian. Cukup sekali suap, kek tadi hilang daripada pandangan. Selamat masuk ke perut masing-masing.

                                          *                          *                          *


          Kek span 9cm, perisa coklat. Kek hari jadi pertama dalam keluarga kami. Mungkin tiada makna bagi sesetengah orang. Tapi, yang pertama itu selalu jadi yang paling indah. Aku dapat rasakan perasaan itu sampai sekarang. Jadi, mesti korang dah faham kenapa aku bagi budak perempuan comel tadi kek 1kg, kan? Sebab aku tau macam mana perasaan ada kek hari jadi 9cm.

         Aku telek jam. Dah sejam berlalu. Sepatutnya aku dah sampai ke Pasar Seni. Tapi, kenapa aku masih duduk dalam keretapi terapung ni? Shit! Aku terlajak stesen. Sekarang dah pun sampai ke stesen Kelana Jaya.

          Aku bergegas bangun. Memastikan beg sandang di belakang, aku terus meluru keluar. Menunggu kedatangan keretapi satu lagi untuk bawa aku kembali ke stesen Pasar Seni yang dah terlepas tadi. Sambil menunggu, aku didatangi seorang lelaki kacak. Bertanyakan arah nak ke Central Market. Aku katakan arah kami sama. Dia mengajak aku berborak. Nama dia Mika. Orang Kuala Lumpur, tapi tak pernah naik keretapi. Mungkin anak orang kaya agaknya.

          Kami bersembang mesra sampai masuk ke dalam keretapi, sampai ke stesen Pasar Seni. Kami berjalan sama-sama ke arah Central Market yang dia tanya tadi. Hampir berpisah, dia minta aku tunggu dia. Katanya mau ambil sesuatu.

            5 minit aku tunggu.

          Mika datang balik. Kali ini ada kotak kek di tangannya. Kenapalah hari ini aku asyik bertembung dengan manusia dan kek. Mika bagi aku kek Secret Recipe. Dia kata, makan nanti. Muka aku pucat, patut makan kek yang manis, biar manis katanya. Aku senyum. Lepas ucap terima kasih, aku berjalan ke arah stesen bas. Mesti aku kena marah dengan Nona. Dah lama dia tunggu aku.

          Dalam perjalanan ke arah Nona, aku buka kotak kek yang Mika bagi. Sebetulnya, aku tengah lapar. Sepotong kek coklat indulgence yang memang aku gemar. Sebaik buka kotak kek, aku nampak ada 10 angka tertulis dalam kotak di bahagian atas. 10 angka beserta nama MIKA. Di bawahnya tertulis, “Rasa kek mungkin hilang selepas awak habiskan kek ini. Tapi apa yang awak rasa sekarang akan kekal untuk satu tempoh masa yang lama. Call saya.”

          Aku pandang kek coklat pemberian Mika. Oh, kek span 9cm!

No comments: