Baru sebentar tadi lelaki
tersebut menziarahi rakan karibnya, Pojie yang semakin nazak. Melihatkan
keadaan Pojie tadi menjadikan dia seorang yang penakut. Penakut dengan sebuah
ketentuan bernama kematian, takut dengan seksaan Allah yang pasti tidak boleh
dielak lantaran kesilapan diri. Sudah sebulan Pojie menjadi penghuni hospital
itu, dan ini beerti sudah sebulan jugalah dia menjadi peneman sahabatnya itu.
Doktor dan jururawat di situ sudah kenal siapa dia dan dia tidak peduli dengan
pandangan sinis oleh sesetengah pihak. Baginya, dia sudah cukup malu dengan
keadaan dirinya, dan bertindak seperti tiada apa-apa yang berlaku adalah
tindakan terbaik buat masa sekarang.
Walaupun kadangkala
dia terasa hati dengan sindiran beberapa orang petugas hospital, tapi demi
kawan baiknya Pojie, dia pekakkan telinga. Dia sedar dirinya yang digelar
sampah masyarakat itu ada kalanya tidak mendapat tempat langsung dalam
sesetengah masyarakat di sini. Kalau adapun yang bersimpati dan ingin menolong
dia, bilangannya hanya minoriti, malah hampir tiada.
Kehadiran
kedua orang tua Pojie tadi sungguh meruntun jiwanya. Dia teringatkan kedua
orang tuanya dan adik-adik yang sangat manja dengannya suatu ketika dahulu. Kini
dia sering terkenangkan memori mereka sekeluarga yang sungguh bahagia suatu
masa dulu. Terngiang-ngiang di cuping telinganya suara lembut ayahnya
memberikan dia nasihat. Masih terasa hangat sentuhan ibunya setiap kali dia
menyalami tangan itu jika mahu ke mana-mana. Masih terbayang olehnya rengekan
manja adik-adiknya minta dibawakan ke taman-taman rekreasi untuk beriadah. Bukan
dia tidak rindukan ahli keluarganya, dia teramat rindukan mereka. Namun, dia
sedar kedaifan dirinya kini. Siapalah yang akan berbangga memiliki seorang anak
dan abang yang bergelar penagih dadah. Lantaran tidak mahu mengaibkan
keluarganya, dia menghilangkan diri. Langsung tidak menghantar khabar berita.
“Argh!” Dia
menjerit kesakitan apabila tidak tertanggung menahan rasa perit itu. Tidak
dapat dia gambarkan dengan kata-kata betapa sakitnya dia ketika ini. Airmatanya
menghambur keluar. Begitu juga peluh dingin dan air liurnya. Sudah dua minggu
dia cuba menahan rasa gian itu. Setiap kali rasa sakit itu datang, dia akan datang
ke taman belakang hospital. Di situ tersedia sebuah tandas awam. Di situlah dia
berusaha menyejukkan dirinya. Sesudah rasa sedikit tenang, dia akan duduk
melamun di kerusi batu tempat duduknya kini.
Kesakitan
yang dia rasakan kinilah antara penyebab mengapa dia terus menerus mengambil
dadah. Bukan dia tidak pernah mencuba untuk berhenti menagih, tetapi apabila
rasa gian itu datang, dia tidak berupaya menolak. Satu-satunya cara untuk
menghilangkan rasa sakit akibat gian itu adalah dengan mendapatkan dos yang
seterusnya. Apabila rasa sakit itu sudah hilang, dia akan merasa bertenaga
semula. Tetapi, sebaik sahaja kesan dos tadi lenyap, dia akan mengalami
kesakitan semula.
Andai
dapat dia undur ke masa lalu, pasti dia akan menjauhi benda-benda najis yang
kini semakin hari semakin memakan dirinya. Seolah-olah dadah adalah makanan
ruji yang mesti dia telan saban hari. Makanan yang menjadi sumber tenaga dan
punca kehidupan dia setiap hari. Kalaulah dia punya kekuatan yang luar biasa,
pasti dia akan melawan rasa sakit itu dan hidup seperti manusia biasa, jauh
daripada belenggu dadah dan masa depan yang semakin hari semakin kelam.
Dia
masih ingat beberapa bulan yang lepas, semasa Pojie jatuh sakit. Demam yang
melarat sehingga memaksa dia membawa Pojie ke rumah sakit. Badan Pojie yang
dipenuhi kudis langsung tidak membuatkan dia geli untuk mengendong Pojie
sehingga ke pintu utama kecemasan apabila Pojie didapati sukar bernafas pada
suatu malam. Walaupun berhadapan dengan pandangan serong oleh ahli perubatan
yang bertugas ketika itu, tapi demi menyelamatkan nyawa sahabat baiknya, dia
telan semua rasa yang dia rasa pada ketika itu. Baginya, nyawa Pojie adalah
segala-galanya pada masa tersebut. Sesungguhnya, dia tidak mahu kehilangan
satu-satunya sahabat baiknya itu.
Menunggu
Pojie yang agak lama menerima rawatan menyebabkan dia mengambil keputusan untuk
memaklumkan perkara tersebut kepada kedua orang tua Pojie. Malangnya, dia tidak
menyimpan nombor telefon mereka. Nasib baik ada jururawat yang bermurah hati
untuk menjejaki mereka dengan meminta maklumat daripada pihak berkuasa. Setelah
seminggu Pojie dimasukkan ke dalam wad, barulah kedua ibubapanya berjaya
dihubungi. Hati siapa yang tidak tersayat dan luluh mendengarkan anak yang
disayangi selama ini menghidap AIDS dan tengah nazak di hospital. Semestinya
rasa malu dan hiba yang melampau menguasai kedua ibubapa Pojie.
Pada
mulanya, mereka tidak mahu melawat Pojie di rumah sakit. Bagi ayahnya, Pojie
sudah lama meninggal, sejak diketahui menagih dadah lagi. Pojie tidak dibenarkan
balik ke kampung dan menjenguk ibu dan adiknya. Namun, kasih sayang seorang ibu
amatlah kuat. Saban hari ibu Pojie akan memujuk ayahnya untuk datang menjenguk
Pojie. Pujukan demi pujukan akhirnya mampu mencairkan ego seorang ayah.
Terbayang-bayang
di mata Kamil saat dia dan Pojie sama-sama khayal suatu ketika dulu. Betapa
nikmat itu sukar dia gambarkan dengan kata-kata. Dia seperti berada dalam
dunianya sendiri, dunia yang penuh kenikmatan dan ketenangan. Kini, airmata
kesakitan mengalir bersama airmata penyesalan. Benarlah kata pepatah, sesal
dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.
* * *
“Pojie,
malam ini ke mana arah tujuan kita?” Kamil bertanya dengan penuh perasaan
teruja. Dia tahu, mesti ada sesuatu yang dirancang oleh Pojie untuk keseronokan
mereka malam ini. Pojie sememangnya kawan yang sangat menghiburkan. Dia tahu
bagaimana membahagiakan kawan-kawan dengan keseronokan duniawi. Setakat ini,
dia tidak pernah menyesal berkawan baik dengan Pojie. Baginya, Pojie
satu-satunya kawan susah dan senangnya. Dewasa ini, lagi-lagi di kota
metropolitan ini, bukan senang mencari seorang sahabat sejati. Baginya, Pojie
adalah sahabat dunia akhiratnya.
“Malam ini ada
pertunjukkan di Dataran Merdeka. Live
show, without any protection.” “Aik, sejak bila kau
layan lumba haram ni?” Kamil pelik dengan kenyataan Pojie sebentar tadi.
Setahunya, Pojie tidak berminat dengan adegan-adegan lumba haram yang sering
didengarnya dianjurkankan oleh pihak-pihak tertentu di tempat-tempat seperti
Dataran Merdeka. Tindakan yang sengaja mencabar pihak berkuasa.
“Siapa kata aku berminat dengan aksi-aksi yang
pelik-pelik tu semua? Aku cuma nak rasa kena kejar dengan polis.” Pojie ketawa
dengan kenyataannya sendiri. “Kau tak takut kena tangkap?” Kamil cuak dengan
kenyataan Pojie sebentar tadi. Dia takut ditangkap oleh pihak berwajib, dan
kesudahannya, dia terpaksa memberikan keterangan mengenai ahli keluarganya.
Sesungguhnya, dia belum bersedia untuk menemui mereka.
“Chill, bro.
Malam ni, kita pergi sana sebagai penonton je. Bila polis datang, kita cabut.
Ikut jalan-jalan belakang yang sedia ada. Confirm
boleh lepas punyalah. Kawan aku dah banyak kali buat. Sekarang ni aku nak juga merasa adrenalin aku terembes
laju.” Kata-kata Pojie disambut dengan gelak ketawa oleh rakan-rakan yang lain,
kecuali Kamil. Dia masih takut dan was-was dengan cadangan tersebut.
“Kamil, dalam hidup
kita tak boleh merasa selesa. Nanti kita tak ke mana. Kita kena ada matlamat
yang hendak dicapai dan dikejar. Setakat hisap benda tu di lorong-lorong, itu
perkara biasa. Orang biasa hanya lakukan perkara-perkara biasa. Kita harus jadi
orang yang luar biasa. Aku nak cabar diri aku, berlumba dengan pihak berkuasa. Kali
ini, aku nak tengok, siapa lari lagi laju. Kau atau aku.” Cabaran Pojie
disambut dengan anggukan oleh Kamil. Dia sangat mengagumi Pojie, sudah
semestinya dia akan menuruti kata-kata Pojie.
Malam itu, seperti
yang dirancang, mereka ke Dataran Merdeka pada tepat jam 12 tengah malam.
Suasana pada ketika itu masih seperti biasa. Keadaan lalu lintas juga tenang
dan terkawal. Sepertinya tiada sebarang acara yang bakal berlangsung. Kamil dan
Pojie beserta beberapa lagi rakan yang lain duduk di kaki lima menghadap ke
bangunan bersejarah di Dataran Merdeka. Mata meliar melihat pemandangan Kuala
Lumpur yang sentiasa tidak pernah sunyi dengan manusia dan kenderaan.
Jam
besar berbunyi sekali, menandakan sudah sejam mereka duduk melepak di Dataran
Merdeka. Kelihatan semakin ramai mat rempit yang berkumpul di situ. Rata-rata
berpakaian serba hitam. Kamil mula teruja, kerana inilah kali pertama dia bakal
menyaksikan pertunjukan yang mungkin mengundang maut di depan matanya.
Kelihatan seorang wanita seksi dengan bendera di tangan. Mungkin sebentar lagi
perlumbaan di jalan yang lurus itu akan bermula.
Kamil
meliarkan pandangannya, takut-takut ada pihak polis yang telah menghidu acara
mereka sejak awal lagi. Namun, semuanya nampak terkawal. Mungkin pihak berkuasa
belum tahu mengenai perlumbaan malam ini. Bunyi motor semakin
membingitkan suasana yang pada awalnya tenang. Asap berkepul-kepul keluar
daripada corong ekzos motosikal masing-masing. Wanita seksi tadi sudah bersedia
di bahagian hadapan barisan motor-motor yang sepertinya lebih daripada 30 buah
kesemuanya.
Perlumbaan bermula. Kamil dan Pojie
turut menjerit terkinja-kinja tanda teruja dengan aksi-aksi di depan mata
mereka. Ada beberapa orang mat rempit yang terjatuh mungkin kerana hilang
imbangan semasa memecut laju, mungkin juga akibat perlanggaran sesama sendiri. Mat rempit yang lain meneruskan perlumbaan kerana
masing-masing ingin menang. Pasti ganjarannya lumayan. Kalau tidak, masakan
mereka berani mencabar pihak berkuasa dengan melakukan aksi sebegitu di tempat
awam. Tambahan pula, mereka kelihatan seperti langsung tidak pedulikan
keselamatan diri, apatah lain orang lain yang berada di sekitar.
Hampir
20 minit berlalu, pelbagai aksi dipamerkan oleh mat-mat rempit yang
rata-ratanya terdiri daripada golongan remaja dan belia. Laluan yang disediakan
untuk perlumbaan malam itu tidaklah begitu jauh, tetapi syarat pertandingan,
siapa yang paling laju dan paling bergaya di atas motosikal, dialah yang akan
diumumkan sebagai pemenang. Dalam para penonton bersorak menjerit penuh teruja
menyaksikan aksi-aksi berbahaya di depan mata, terdengar dari jauh bunyi siren
pihak berkuasa. Semua mat-mat rempit terus memecut motosikal masing-masing ke
pelbagai arah, mencari jalan keluar dari kawasan Dataran Merdeka. Para penonton
yang datang menaiki motosikal juga turut melarikan diri kerana tidak mahu
tertangkap dan dibawa ke lokap. Kamil, Pojie dan rakan-rakan yang datang
berjalan kaki terus berlari ke arah bangunan DBKL untuk menyelamatkan diri.
Akibat
hilang imbangan, Kamil terjatuh dan hampir tidak mampu berlari lagi. Koyak di
jeans lusuhnya bertambah besar dan jelas lututnya berdarah. Pojie yang perasan
keadaan Kamil segera berpatah balik dan memaut tangan dan bahu sahabatnya itu.
Dia tidak sanggup Kamil di’angkut’ oleh pihak berkuasa kerana jika itu terjadi,
pasti Kamil akan dihantar ke pusat pemulihan dan dia tidak akan bertemu Kamil
lagi selepas itu. Masanya semakin suntuk, dan dia mahu habiskan hidupnya dengan
sahabat paling baik yang dia pernah miliki.
Derapan
kaki anggota beruniform semakin jelas kedengaran di telinga Kamil dan Pojie.
Kamil cuba sedaya upaya melupakan rasa sakit di kakinya dan berlari sambil
dibantu oleh Pojie. Mereka menyusup di belakang bangunan DBKL dan seterusnya
membuat laluan ke arah jalan Tunku Abdul Rahman dan seterusnya bergerak pantas
ke lorong Haji Taib. Di sana ‘markas’ mereka dan tempat paling selamat buat
mereka. Rakan-rakan yang ada bersama mereka tadi ada di antaranya sudah berjaya
dicekup oleh pihak berkuasa, manakala yang lainnya sudah kembali ke ‘markas’
masing-masing.
Setelah
yakin bahawa mereka selamat, Kamil dan Pojie sama-sama ketawa lega dan teruja.
Nasib mereka baik kerana tidak mengambil ‘barang’ sebelum ke Dataran Merdeka
tadi. Kalau tidak, pasti nasib mereka sama seperti beberapa orang rakan yang
tidak berupaya memboloskan diri tadi. Setelah penat ketawa, Pojie mengeluarkan
makanan ruji mereka, kali ini dengan jumlah yang lebih banyak beserta jarum
baru untuk dirinya dan Kamil. Jika sebelum ini mereka berkongsi jarum, mulai
kali ini dia tidak mahu Kamil berkongsi dengannya. Kamil memandang pelik ke
arah Pojie tapi malas mahu memikirkan kenapa kerana sekarang dia tengah teruja
untuk mengambil ‘nyawa’nya. Dia ingin berada di dalam dunia yang mana dia
adalah raja dan segalanya berlaku mengikut kehendaknya.
* * *
“Allah!”
Sungguh lama lidahnya tidak menyebut kalimah itu. Selama beberapa tahun ini dia
hidup berpaksikan keseronokan duniawi semata-mata. Tiang agamanya memang sudah
roboh, apatah lagi amalan yang lainnya. Satu-satunya perkara yang dia tidak
lupakan hanyalah sedekah senyuman kepada rakan-rakan dan sesiapa yang
menyapanya. Senyuman yang dia hulurkan bilamana kewarasan masih ada dan dia
tidak berada dalam khayalan. Sekarang, barulah dia sedar betapa kerdilnya dia
ketika berdepan ketetapan Ilahi. Sahabat baiknya kini menderita akibat AIDS
yang dihidapinya sudah berjaya merosakkan fungsi peparunya. Doktor kata, itu
adalah peringkat terakhir bagi seseorang penghidap AIDS.
Dia
segera memerhati kulit tangannya. Ada bintik-bintik di belakang tangannya
hingga ke siku. Petanda yang kulitnya memang tidak sihat. Bahkan, seluruh
anggotanya, luar dalam, zahir dan batin memang tengah sakit teruk. Sakit yang
mungkin juga tiada penawarnya. Kamil begitu takut sekiranya dia juga dijangkiti
virus yang sama seperti Pojie. Sememangnya dulu mereka suka berkongsi jarum dan
dia juga tahu dia berisiko besar untuk dijangkiti. Patutlah dulu Pojie
betul-betul nekad tidak mahu berkongsi jarum dengannya. Walaupun didesak dengan
alasan membazir, Pojie tidak sesekali memberikan jarumnya kepada Kamil untuk
dikongsi. Pojie sanggup mendapatkan jarum baru untuk sahabatnya itu. Mungkin
dia sudah tahu yang dirinya seorang penghidap HIV.
Sebelum
ini dia selalu terbaca mengenai HIV, AIDS dan penagih dadah. Padanan yang amat
sesuai dan secocok. Namun, tak pernah terlintas olehnya yang virus yang selama
ini masih dicari penawarnya kini sedang menyerang sahabat baiknya. Malah, kini
sahabatnya itu seolah-olah tengah menunggu masa untuk tewas di tangan virus
halus tersebut. Kalau boleh, dia mahu menggantikan tempat Pojie, kerana dia
tidak sanggup melihat keadaan kedua orang tua Pojie tatkala melihat anak yang
dibesarkan dengan penuh kasih sayang, diberikan pendidikan yang tertinggi
menjadi sampah masyarakat, dan pengakhirannya amat mendukacitakan.
Anak yang selama
ini diharapkan akan menguruskan jenazah kedua orang tuanya kini terbaring kaku
tanpa mampu berbuat apa-apa. Hati ibu mana yang tidak terluka, hati ayah mana
yang tidak terhiris. Tapi, kasih ibu membawa ke syurga, sayang ayah buat
selamanya. Mereka masih menerima Pojie seadanya dan selalu membacakan ayat-ayat
suci al-Quran untuk pendengaran Pojie. Sungguh, hati Kamil begitu tersentuh
melihat sebentar tadi ayah Pojie mengajar anaknya mengucapkan dua kalimah
syahadat tiap kali Pojie kelihatan hampir kehilangan nafas.
Kamil
juga menyesal, kerana sebagai seorang sahabat yang paling dekat dengan Pojie, dia
tidak tahu masalah yang ditanggung oleh sahabatnya itu. Dia tidak peka dengan
tahap kesihatan Pojie yang semakin hari semakin menyusut sejak beberapa bulan
yang lepas. Kalau tidak, pasti dia akan memaksa Pojie mendapatkan rawatan yang
sepatutnya. Sesungguhnya, dia tidak sanggup kehilangan sahabat sebaik Pojie,
sahabat yang sanggup susah bersamanya. Sahabat yang sanggup memenangkan dia
tatkala orang lain menyalahkan dirinya. Bukan sekali Pojie bergaduh dengan
pengedar dadah gara-gara kesilapan dirinya, bahkan banyak kali sehingga Pojie
pernah cedera teruk dibelasah.
Tangisannya
semakin kuat berserta gigilan yang semakin rancak. Rasa sakit dan penyesalan
bercampur baur. Sungguh dia takut untuk mati, padahal dia tahu mati itu suatu
yang pasti. Terbayang-bayang olehnya wajah kedua orang tua dan wajah dua orang
adiknya. Dia takut akan menjadi seperti Pojie. Dia takut virus yang sama berada
dalam dirinya, seterusnya membuat serangan dan menjadikan dia mayat hidup, sama
seperti Pojie. Dia takut tidak sempat meminta maaf daripada ahli keluarganya.
“Dan mintalah
pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan
sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang
khusyuk” Terngiang-ngiang kata-kata nasihat ayahnya suatu masa lalu yang
merupakan tafsiran ayat ke-45 surah al-Baqarah. Dia bukanlah pemuda yang kurang
didikan agama, malahan ayah dan ibunya amat berpegang teguh pada ajaran Islam.
Benarlah kata bijak pandai, iman tak boleh diwarisi, juga tidak boleh dijual
beli.
Sembahyang! Sudah
terlalu lama dia tidak melaksanakan tuntutan agama itu. Baginya, dia sangat
sibuk sehingga tiada masa untuk melakukan perintah Allah yang sememangnya tiang
agama itu. Matanya merenung jauh ke hadapan sambil menahan gigilan badannya.
Dia terkenangkan saat-saat dia menunaikan solat berjemaah bersama ahli
keluarganya suatu masa dulu. Antara solat Maghrib dan Isyak, selalunya akan
diisi dengan tazkirah. Saat ini, sungguh dia rindukan suasana damai itu.