Mikhail mematikan langkah apabila melihat seseorang
sedang membuka pintu peti sejuk di dapur rumah keluarganya. Dari malap cahaya
lampu di beranda luar rumah, dia yakin bayang tersebut adalah Fatihah. Gadis
tersebut hanya berseluar sukan dan berbaju-T longgar. Kepalanya pula ditutupi
dengan tuala. Mikhail ingin menegur Fatihah, namun suaranya tersekat apabila
tuala yang tersangkut di kepala Fatihah terjatuh. Terserlah rambut ikal gadis
tersebut yang hampir mencecah pinggangnya. Mikhail segera memegang dada kirinya
yang pada masa itu berdegup kencang. Inilah kali pertama dia melihat Fatihah
tanpa tudung, dan ternyata gadis tersebut lebih cantik begitu.
Fatihah meletakkan kembali tuala yang terjatuh tadi di
kepalanya. Dia berhajat ingin menyambung kembali tidurnya yang terganggu kerana
haus sebentar tadi. Namun kakinya kaku melihat Mikhail berdiri di tengah-tengah
pintu masuk kawasan dapur itu. Dia berdoa semoga Mikhail tidak nampak apa yang
dia sembunyikan selama ini. “Err, Mikhail.” Lain yang diharapkan lain pula yang
jadi. Entah kenapa menggoda semacam sahaja nada suaranya kali ini. Segera dia
berdehem untuk menghalau rasa yang tidak selesa berhadapan dengan lelaki
tersebut dalam keadaan dia hanya menutup kepala dengan tuala.
Mikhail yang terleka melihat Fatihah segera kembali ke
alam nyata mendengar deheman gadis itu. Bukan sahaja Fatihah yang kelihatan
gugup, dia pun turut sama gugup. Tetapi, mengenangkan dirinya lelaki, segera
dia bertindak seperti tiada apa-apa yang janggal. “Kenapa tak tidur lagi? I ingatkan ada pencuri tadi,” akhirnya
berjaya juga dia bersuara. “Maaf sebab bising. Tadi I haus. Tu yang turun nak minum. Nak buka lampu, tak tahu suis kat
mana,” perlahan Fatihah menerangkan situasi sebenar dirinya. Takut bunyi bising
dia tersepak kerusi tadi membangunkan Mikhail yang telah tidur lena.
“Tak mengapa. I pun
tak tidur lagi sebenarnya. Hauslah. You
boleh tolong buatkan I Nescafe
panas?” Soalan Mikhail dijawab dengan anggukan oleh Fatihah. “You duduk dulu. Nanti I buatkan.” Masih kelihatan gugup
Fatihah walaupun dia sedaya upaya cuba kelihatan tenang di hadapan Mikhail.
“It’s okey my
dear. I tunggu
you kat hall. Lagipun ada game best malam
ni, Arsenal lawan Chelsea.” Senyuman dihadiahkan kepada Fatihah dengan harapan
gadis tersebut lebih selesa dengan dirinya. Dia bertindak mendekati Fatihah
apabila melihat gadis tersebut kaku di tempatnya. Fatihah yang menyedari
pergerakkan Mikhail segera melangkah ke belakang perlahan-lahan. Langkahnya
terkunci apabila belakang badannya bersentuhan dengan peti sejuk. Terasa pahit
air liurnya melihatkan wajah Mikhail yang hanya beberapa inci dari wajahnya.
Dapat dia rasakan hangat nafas lelaki itu.
”Tolong jangan potong rambut you, sebab you dah cukup
cantik dengan rambut sebegitu.” Terasa hangat wajahnya mendengarkan kata-kata
Mikhail yang diucapkan secara berbisik di tepi telinganya. Segera dia melangkah
ke arah tangga sebaik sahaja Mikhail berkalih ke tepinya. Tidak sanggup dia
melihat wajah Mikhail selepas mengetahui yang lelaki tersebut telah melihat
aurat yang selama ini dia jaga. Menyesal dia tidak memakai tudung, sebaliknya
memilih menggunakan tuala untuk menutup rambutnya tadi.
”Pergilah pakai tudung. I tunggu you kat depan.
Lagipun ada perkara yang I nak
bincangkan dengan you.” Agak serius kata-kata
Mikhail kali ini dipendengaran Fatihah. Hatinya berdebar-debar memikirkan
apakah agaknya perkara yang ingin Mikhail bincangkan dengannya. Laju kakinya
melangkah meniti anak tangga untuk ke bilik sementaranya di atas.
* * *
Bunyi suara lelaki berborak menyedarkan Fatihah yang
Mikhail tidak berseorangan di depan televisyen. Laju tangannya membancuh air
nescafe permintaan Mikhail tadi dalam sebuah teko. Dua biji cawan di letakkan
di dalam dulang yang sama dengan teko tadi. Perlahan, langkahnya disusun ke
arah Mikhail dan abang Imran yang sedang berborak mengenai perlawanan bola yang
sedang mereka saksikan.
”Eh, Fatihah. Susah-susah aja buatkan air. Terima kasih. Tak
nak join sekali ke? Ni pasukan
kegemaran Mikhail, Arsenal.“ Kata-kata abang Imran disambut dengan senyuman
Fatihah. Dia mengerling ke arah Mikhail yang nampak serius, tidak
seperti tadi semasa di dapur. Hatinya mendesak ingin bertanya apa yang ingin
dibincangkan, tetapi akalnya menyatakan masanya tidak sesuai, lagi-lagi dengan
kehadiran abang Imran di antara mereka.
”Tak mengapalah bang. Dah lewat sangat ni, saya naik
tidur dulu,“ sopan Fatihah meminta diri. ”Good
night, then.“ Terkejut Fatihah dengan sapaan Mikhail. Sangkanya Mikhail
marahkan dia sehingga langsung tidak memandang ke arahnya sebentar tadi.
”Night, assalamualaikum,“ Fatihah
mengorak langkah selepas Mikhail dan abang Imran menjawab salamnya. Dia
berfikir untuk terus menyambung tidur kerana badannya sudah terasa sangat
penat. Hatinya juga sudah penat kerana sedari tadi berdegup kencang dengan
pandangan dan perlakuan Mikhail. Andai kata dia diminta untuk terus bersama
mereka, dia takut dia pengsan lantaran tidak mampu menahan debaran saat berada
dekat dengan Mikhail, lagi-lagi selepas insiden di dapur tadi.
Mikhail menghantar
pemergian Fatihah dengan senyuman yang menghiasi bibirnya. Segera tangannya
mencapai iPhonenya dan menaip sesuatu untuk tunangnya itu. Tingkahlakunya
diperhatikan oleh abang Imran dengan senyuman. Sungguh dia rasa gembira melihat
kegembiraan Mikhail sekarang. Selama ini, dia selalu berdoa agar Mikhail
memperolehi kebahagiaannya selepas mengetahui sejarah hidup Mikhail melalui
isterinya, Nura.
”Mikh,
abang tengok Fatihah tu gadis yang baik. Abang harap Mikh dengan dia
akan berkekalan jodohnya. Abang harap sangat Mikh akan jaga dia baik-baik.
Jangan sia-siakan gadis yang baik macam Fatihah tu,” kata-kata abang Imran
ternyata mengejutkan Mikhail. Dia tidak menyangka abang Imran akan mengeluarkan
kata-kata sebegitu. Air nescafe dihirupnya perlahan. Air bancuhan tunangnya itu
memang kena dengan tekaknya. Tidak terlalu manis.
Mikh
menghadiahkan senyuman kepada abang Imran. Teringat pesanan ringkas yang
dihantarnya kepada Fatihah sebentar tadi. Dia dapat bayangkan wajah manis
Fatihah yang pasti memerah membaca pesanan yang dikirimnya sebentar tadi. ”Dream of me, dear. As I always did.”
”Mikh,
jauh melamun. Ni tengok bola ke teringatkan yang di atas?” tersungging senyuman
di wajah abang Imran melihat Mikhail yang mengelabah dengan tegurannya. Dia tahu,
fokus Mikhail sekarang bukanlah pada perlawanan bola di hadapannya. Bukan dia
tidak nampak Mikhail yang asyik melihat ke arah iPhonenya seolah-olah menunggu
balasan SMS daripada seseorang.
”Abang
Im, Mikh tanya sikit boleh?” Soalan Mikhail dijawab dengan anggukan oleh abang
Imran. ”Masa abang buat keputusan untuk berkahwin dengan kak Nura, abang tahu
tak tentang kehidupan dia sebelum berjumpa abang?” Mikhail memfokuskan
pandangannya ke arah abang Imran. Bola sudah tidak mampu menarik perhatiannya
seperti kebiasaannya.
”Mikh
risau Fatihah ada buah hati sebelum ini?” soalan abang Imran membuatkan Mikhail
tersentak. Dia tidak menyangka abang Imran mengetahui apa yang dia rasakan
kini. ”Mikh pernah berjumpa dengan bekas kekasih Fatihah yang sehingga kini
masih mahukan Fatihah kembali kepadanya.” Agak payah sebenarnya untuk dia
menuturkan kata-kata tersebut, tapi mengenangkan fikirannya yang tidak tenteram
dengan cerita-cerita Ima, dia membuat keputusan untuk meminta pandangan abang
iparnya itu.
”Mikh
ada bertanyakan sendiri kepada Fatihah?” Mikhail hanya menggelengkan kepalanya
untuk menjawab soalan abang Imran. ”Tuah Datuk Mursyid, anak pemilik Maju
Holdings. Dia bekas kekasih Fatihah. Mereka putus setelah Tuah mengetahui
Fatihah hanya ingin mempermainkan dia dan mengikis harta miliknya.” Mikhail
meluahkan kembali cerita yang Ima kisahkan kepadanya.
”Mikh
yakin dengan cerita yang Mikh dengar?” Soalan abang Imran hanya dijawab dengan
gelengan kepala Mikhail. Dia sendiri sebenarnya tidak mahu mempercayai cerita
yang disampaikan oleh Ima kepadanya. ”Kenapa Mikh tak cari semula Mona?”
Tersentak Mikh mendengarkan soalan yang keluar daripada mulut abang Imran.
Hatinya sedikit terusik mendengarkan nama yang meniti daripada bibir lelaki di
hadapannya.
”Maaf
Mikh. Abang cuma nak tahu. Kenapa Mikh tak cari semula Mona dan berbaik dengan
dia? Abang yakin, dia mesti mahu berbaik semula dengan Mikhail kerana bukan
senang nak dapat lelaki yang sanggup melabur apa sahaja untuk wanita
kesayangannya.” Kata-kata abang Imran membuatkan Mikhail diam tanpa sebarang
kata.
”Mikh,
abang tahu Mikh rasa sangat sakit hati dengan tindakan Mona bukan? Disebabkan
kecewa dengan Mona, mama, papa dan kak Nura pernah hampir kehilangan Mikh.
Kerana Mona juga, Mikh berubah menjadi Mikh yang kini digilai hampir semua staf
di pejabat, kan?” Mikhail tersenyum mendengarkan kata-kata abang Imran yang
sedikit lucu di hujung katanya. Dia masih diam, mahu mendengar apa kata-kata
selanjutnya yang akan dituturkan oleh abang Imran.
”Mikh,
kita sama-sama lelaki. Abang yakin, Mikh tentu faham perasaan seorang lelaki
yang ditinggalkan oleh kekasihnya yang curang. Setelah Mikh curahkan
segala-galanya untuk dia, dia sewenang-wenangnya memilih untuk bersama lelaki
lain. Apa Mikh boleh maafkan saja semua kesalahan dia selepas bertahun-tahun
Mikh menderita cuba hapuskan kenangan bersama dia? Abang tahu Mikh ada
jawapannya, sebab kalau benar cerita yang Mikh dengar tentang Fatihah,
sebenarnya Mikh dan Tuah berada dalam situasi yang sama.” Tersentak Mikhail
mendengar kata-kata abang Imran.
”Mikh,
abang pernah melakukan kesalahan terhadap kak Nura. Abang pernah putuskan
hubungan kami yang bermula sejak di bangku sekolah lagi. Abang tuduh dia yang
macam-macam. Setelah mengetahui perkara sebenar, itupun selepas beberapa tahun,
abang cari dia semula. Jenuh juga abang memujuk dia untuk kembali ke pangkuan
abang. Alhamdulillah, jodoh kami kuat sampai sekarang.” Mikhail dapat lihat
mata abang Imran yang bergenang.
”Rupa-rupanya,
abanglah lelaki yang setiap hari menghantar bunga dan coklat untuk akak ya?
Dan, abang jugalah lelaki yang selalu Mikh jawab panggilannya bila kak Nura tak
nak layan panggilan yang setiap satu jam tu.” Ketawa besar Mikhail mengenangkan
betapa kalutnya kak Nura meminta dia menyamar menjadi kekasih kakaknya ketika
itu. Dia masih ingat bagaimana dia bergaduh dengan lelaki yang asyik menelefon
kakaknya hatta semasa tengah malam. Sanggup kakaknya mengejutkan dia daripada
tidur untuk bercakap dengan lelaki itu di telefon.
Ketawa
Mikhail bergabung dengan ketawa abang Imran. Masing-masing geli hati
mengenangkan peristiwa lampau itu. ”Mikh, abang rasa Tuah berada dalam situasi
yang sama macam yang pernah abang lalui dulu. Pasal Ima, abang tidak tahu
kenapa dia perlu burukkan Fatihah di hadapan Mikh. Secara logiknya, tadi
Fatihah mengatakan Ima sahabatnya, dan sebagai seorang sahabat sudah pasti kita
akan menjaga aib sahabat kita. Mikh, abang yakin Mikh seorang lelaki yang
matang, boleh membezakan sesuatu yang baik dan buruk. Berbincanglah dari hati
ke hati kerana salah sangka hanya akan merugikan diri sendiri, Mikh.” Panjang
lebar pesanan yang diberikan oleh abang Imran kepadanya.
”Abang
doakan yang terbaik untuk Mikh. Beruntung Mikh dapat gadis seperti Fatihah.”
Kata-kata dan tepukan di bahunya menyedarkan Mikhail yang abang Imran mahu
beredar naik. Mungkin sudah mengantuk barangkali. Perlawanan bola pun sudah
habis, namun dia tidak tahu siapa pemenangnya. Segera televisyen dimatikan dan
dia membawa teko dan cawan-cawan tadi ke dapur. Dia melangkah menuju ke
biliknya dan sebaik sahaja berada di depan pintu biliknya, dia merenung ke arah
pintu yang bertentangan. Mengenangkan Fatihah yang mungkin sudah tidur di dalam
bilik tersebut, bibirnya menguntumkan senyuman. Mungkin benar apa yang dikatakan
oleh abang Imran sebentar tadi. Malam ini, pasti tidurnya lena.
No comments:
Post a Comment