Thursday, November 22, 2012

Memori Semalam: 17


Where are you, my dear?” SMS yang diterimanya daripada Mikhail membuatkan dia tersenyum sendiri. Ada rasa indah yang mula berputik di dalam hatinya. Apakah benar dia sudah jatuh cinta dengan Mikhail? Kenapa begitu mudah rasa itu muncul, sedangkan dia baru sahaja mengenali lelaki itu. Mikhail bukanlah yang pertama mendekatinya setelah dia putus dengan Tuah tiga tahun yang lalu. Tapi, dalam ramai-ramai lelaki, dia akui ada satu perasaan aneh bila mana dia berhadapan dengan Mikhail. Selalu saja dia tidak menjadi dirinya yang sebenar tatkala berhadapan dengan lelaki kacak itu.

           “Amboi, amboi kakyong. Senyum lebar nampak. Berangan eh?” Teguran Farah mematikan senyuman Fatihah. Tersengih dia ke arah ibu dan mama Mikhail yang turut sama berada di ruangan butik pengantin sahabat baik Puan Sri Hamidah itu. Sengaja mama Mikhail memilih butik sahabatnya, padahal dia sendiri memiliki sebuah butik, Butik Indah di mana dia mula mengenali Fatihah. Baginya, dia mahu merasa perasaan seperti ibu-ibu lain yang ke sana ke mari menyediakan persiapan untuk perkahwinan anak lelaki tunggalnya. Cukuplah Nura dahulu menggunakan pakej butiknya sendiri.

            Belum sempat Fatihah mahu menjawab usikan Farah, Blackberrynya berlagu nyaring. Segera dia meminta izin untuk mengangkat panggilan tersebut. “Where are you, my girl?” “Assalamualaikum.” Terasa mesra gelakan di hujung talian. “Waalaikumsalam, sayang. Pandai nak kenakan I ye, sekarang?” Panas wajahnya dengan panggilan sayang yang dituturkan oleh Mikhail. “Kenapa tak jawab SMS I? U busy ke? You tengah buat apa?” Soalan demi soalan diajukan oleh Mikhail membuatkan Fatihah ketawa kecil. Dapat dia bayangkan wajah mengada-ngada Mikhail.

            “Banyaknya soalan. Yang mana satu I nak jawab dulu?” Agak mesra nada suara Fatihah ketika itu. Mungkin rasa bahagia di dalam hatinya membuatkan dia mahu melayan Mikhail sebaiknya. Terdengar suara garau Mikhail yang tergelak di hujung talian. ”Okey, where are you?” Masuk kali ini, sudah tiga kali Mikhail bertanyakan soalan yang sama. ”I kat butik. Dengan ibu, Farah dan aunty.” ”Mama lah sayang. Bila nak start praktis panggil mama?” Merah wajah Fatihah mendengar kata-kata Mikhail itu. Kalaulah Mikhail di hadapannya kini, pasti lelaki itu semakin galak mengusiknya seperti selalu.

            ”Err, tak biasa lagi. You kat mana?” Sengaja dia bertanyakan soalan itu dengan harapan Mikhail tidak lagi mengusiknya. ”Tukar topik ya? Tak pe, tau la you nanti.” Semakin manja pula suara Mikhail pada pendengarannya. ”Sayang, I laparlah. Jom teman I makan, nak? You kat butik mana? I datang ambil.” Fatihah terdiam tanda tidak tahu mahu bersetuju atau tidak dengan ajakan Mikhail. Nanti apa pula kata ibu dan mama Mikhail. Sudahlah mereka baru saja sampai, album baju dan hantaran pun belum sempat dibeleknya.

            I tanya ibu dan aunty dulu, nanti I text you, okey?” Itu jawapan yang paling selamat baginya. “Okey then. I’m waiting. But please practice to call mama, ya.” Masih sempat Mikhail mengingatkan dia soal panggilan itu. Mekar senyuman di bibirnya tanda bahagia dengan gurauan Mikhail. Mungkin sudah sampai masanya untuk dia memberi peluang kepada dirinya untuk mempercayai lelaki. Mungkin juga sudah tiba masanya untuk dia bergerak meninggalkan memori yang saban hari menghantuinya apabila disebut soal hati dan perasaan. Tidak salah kiranya dia mengambil risiko untuk menyerahkan hatinya kepada Mikhail.

            Langkah diatur ke arah ibu dan mama yang sedari tadi sibuk membelek album pakaian pengantin. Mama? Amboi, sudah pandai hatinya membisikkan paggilan itu. Tersenyum dia mengingatkan kata-kata Mikhail tadi. Matanya terpaku pada satu gambar model berjubah putih yang ditaburi manik-manik merah jambu dan peach. Nampak ringkas namun ada stail yang tersendiri. “Ibu, Fatihah suka tengok baju yang ini.” Tersenyum ibunya dengan pilihan Fatihah. Dia pun baru sahaja ingin mencadangkan persalinan tersebut kepada anaknya.

            “Mama pun setuju kalau Fatihah ambil yang itu. Untuk Mikh pula, kita ambil baju melayu putih dengan sampin yang senada dengan hiasan pada jubah tu. Okey tak?” Panggilan mama yang digunakan oleh Puan Sri Hamidah membuatkan Fatihah tersenyum malu. Anak dengan mamanya sama saja, bisik hati kecilnya. Hanya anggukan yang dia berikan kerana sememangnya dia sukakan persalinan tersebut. Shirley diarahkan oleh Datin Maimun, pemilik butik tersebut untuk mengambil ukuran badan Fatihah.

            “Aunty, tadi Mikhail called. Dia ajak pergi lunch.” Perlahan suara Fatihah menyuarakan perkara tersebut. Selebihnya, dia malu mahu menggunakan panggilan mama kepada Puan Sri Hamidah. Masih terlalu awal baginya untuk memanggil bakal mertuanya dengan panggilan itu. “Mama dah SMS dia tadi, suruh datang sini, untuk ambil ukuran bajunya. Sajalah tu, cari alasan untuk call Fatihah.” Tergelak mama dan ibunya melihat aksi terkejut Fatihah. Faham benar mereka perasaan anak muda yang sememangnya tengah bahagia itu.

            “Akak, tak sangkanya jumpa akak kat sini.” Terkejut Fatihah dengan sapaan itu, lagi-lagi badannya turut dipeluk oleh gadis yang datang secara tiba-tiba. Matanya bulat memandang ke arah wanita sebaya ibunya di sebelah gadis tadi. ”Aunty...” Hampir tidak kedengaran suaranya. Segera pelukan Aliya dirungkainya. Tangan dihulurkan kepada wanita yang hampir mengalir airmatanya itu. Sebaik sahaja dia menyalami tangan itu, badannya dipeluk kejap. Terkaku dia dengan tingkah ibu Tuah itu.

            Menyedari ada tiga lagi wanita di situ, segera Datin Sarah melepaskan pelukannya. Senyuman dihadiahkan kepada mereka yang ada di situ. Tangan segera dihulurkan tanda perkenalan. ”Aliya, aunty, ini ibu Fatihah. Yang ini adik, namanya Farah. Dan yang ini bakal ibu mertua Fatihah, Puan Sri Hamidah.” Fatihah memperkenalkan tiga orang insan penting dalam hidupnya kepada Aliya dan ibunya. ”Panggil saja Hamidah,” ujar mama sebaik bersalaman dengan Datin Sarah. Jelas riak terkejut di muka Aliya dan ibunya apabila diperkenalkan kepada Puan Sri Hamidah.

            ”Lama tak jumpa Fatihah. Tak sangka dah nak kahwin rupanya. Tahniah.” Agak hambar kedengaran kata-kata itu. Datin Sarah memandang sayu ke arah Fatihah. Hancur harapannya mahu bermenantukan Fatihah setelah dia memasang angan-angan tersebut sebaik dikhabarkan oleh Aliya tentang pertemuannya dengan Fatihah tempoh hari. ”Terima kasih. Jemputlah ke majlis kami nanti, Datin.” Huluran kad jemputan oleh Puan Sri Hamidah disambut dengan senyuman tawar.

            ”Oh ya, minggu depan jemputlah ke majlis kesyukuran di rumah kami. Fatihah, bawa sekali ibu dan bakal mertua kamu. Lagi ramai, lagi meriah. Boleh kita berkenalan dengan lebih rapat lagi.” Datin Sarah cuba menyingkirkan rasa kurang senang di hatinya. Dia tidak mahu Fatihah merasa serba salah apabila berhadapan dengannya. Walaupun Fatihah gagal menjadi menantunya, dia tetap sayangkan gadis tersebut. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu gadis lemah lembut itu terus menghilangkan diri seperti tiga tahun yang lepas.

            ”Minta maaf Datin. Kami ke Bandung minggu hadapan. Cadangnya mahu mencari barang-barang untuk majlis perkahwinan Fatihah dan anak lelaki saya.” Terkejut Fatihah mendengar perkhabaran itu. Tak pernah dia terfikir akan ke Bandung hanya untuk persiapan perkahwinannya. Baginya, di Malaysia sendiri sudah ada banyak pilihan. ”Tapi tak mengapa, insyaAllah Fatihah mungkin boleh ke sana nanti.” Fatihah memandang ke arah ibunya dengan wajah penuh tanda tanya. Siapa yang akan pergi ke Bandung? Bakal pengantin tak pergi sekali?

            ”Tak mengapa. Kami faham, Puan Sri. Nanti kak Fatihah datanglah ke rumah. Mesti abang Tuah suka.” Aliya yang menyedari dia terlepas cakap segera menggigit bibirnya. Dia perasan riak kurang senang pada wajah ibu Fatihah dan Farah. Fatihah sendiri sudah tertunduk, mungkin tidak tahu bagaimana mahu bereaksi dengan kata-kata Aliya itu. Bagaimanalah dia boleh terlepas cakap begitu. Mungkin dia masih mengharapkan Fatihah kembali kepangkuan abangnya. Datin Sarah yang menyedari keadaan yang kurang menyenangkan itu segera meminta diri. Takut lagi lama mereka di situ, makin banyak pula yang tersingkap. Selepas bertukar nombor telefon dengan Fatihah, dia dan Aliya terus pergi meninggalkan butik Datin Maimun walaupun belum sempat bersua muka dengan kenalannya itu.

            Fatihah membalas bisikan ibunya dengan anggukan sahaja. Malas dia mahu bercerita soal Tuah lebih-lebih lagi dengan kehadiran mama. Melihatkan wajah ibunya yang tidak beriak, dia gagal menebak apa yang bersarang di dalam hati wanita kesayangannya itu. Dia berdoa agar ibunya tidak beranggapan yang bukan-bukan tentang dirinya dan Tuah.

            Mama dan Farah menyambung membelek album yang disediakan Datin Maimun. Ibunya juga kelihatan teruja melihat album di tangan Farah. Malas mahu bertanya lebih lanjut tentang Tuah, dia juga turut serta dalam perbincangan mama dan Farah. Kali ini mereka riuh bercerita tentang gubahan hantaran yang sememangnya cantik-cantik belaka. Fatihah pula melangkah ke arah Shirley setelah gadis itu menggamitnya. Barangkali masih ada yang perlu dibincangkan soal jubahnya.

            Gelak ketawa yang semakin kuat mengundang tanda tanya kepada Fatihah. Apalah yang seronok sangat sehinggakan dari dalam fitting room dia masih mendengar riuhnya. Dia yang pada asalnya hanya berbincang soal sulaman manik pada jubahnya dipaksa oleh Shirley untuk mencuba jubah yang sedia ada. Katanya untuk memudahkan dia mereka pakaian Fatihah nanti. Setelah butang terakhir di tangan dibutangkan, Fatihah melangkah keluar dengan penuh yakin. Suka pula dia dengan rekaan jubah di badannya kini. Mungkin ada idea yang boleh digunapakai untuk jubahnya nanti.

            Terkejut dia melihat Mikhail yang berjalan menghampirinya. Rasanya baru sekejap sahaja dia masuk ke dalam fitting room tadi, dan baru sahaja dia meletak panggilan telefon Mikhail. Serta-merta perutnya terasa sebu. Muka rasa berbahang, serasa mahu demam rasanya. Terasa sumbang langkahnya menuju ke arah Shirley yang sudah tersengih melihat dia mengenakan jubah merah jambu itu. Semakin dekat, semakin jantungnya berdenyut kuat.

            ”Kan I dah cakap. Jubah ni sesuai sangat dengan you.” Teguran Shirley hanya dijawab dengan senyuman. Entah kenapa dia rasa lain macam bila ada Mikhail di sisi. Dulu tak ada pula dia berperasaan begitu. ”You looked gorgeous, sayang. You pilih baju ni ke untuk wedding kita nanti?” Renungan Mikhail membuatkan Fatihah diam tak terkata. Dalam diam dia cuba menenangkan hatinya yang rasa melantun-lantun tak tentu pasal.

            ”Fatihah pilih warna putih untuk akad nikah kamu nanti. Mikh okey kan?” Soalan mama menyelamatkan Fatihah daripada terus mencari mangsa renungan nakal tunangnya itu. Segera Fatihah senyum ke arah mama, tanda terima kasih. ”Mikh ikut saja permintaan bakal menantu mama.” Meleret senyuman Mikhail memandang mamanya. Sudah lama dia tidak mempamerkan wajah sebegitu di hadapan ahli keluarganya. Jika benar kehadiran Fatihah menghadiahkan kegembiraan buat mereka sekeluarga, dia akan pertahankan hubungan yang baru wujud itu.

*                                  *                                  *

            ”Mikh, minggu depan mama dan ibu nak ke Bandung. Papa dan ayah pun akan ikut sekali. Nanti kamu berdua buat persiapan kat sini ya? Tinggal nak cuba baju pengantin dan confirmkan hotel. Yang lain, mama dan ibu siapkan.” Terhenti suapan Mikhail mendengar kata-kata mamanya itu. Bandung? Bila pula orang tuanya merancang perkara ni. Dijelingnya ke arah Fatihah di sebelah. Gadis itu pun hanya menjungkitkan keningnya tanda tidak faham maksud jelingannya.

            ”Bila mama dan papa decided nak ke Bandung? Habis tu, Mikh dan Fatihah kenapa tak boleh ikut sekali?” Ada nada tidak puas hati di situ. Dia tahu, mesti kak Nura dan abang Imran ikut serta dalam trip kali ini. ”Ye la, kalau Mikh dan Fatihah ikut, siapa nak uruskan hal-hal di sini. Lepas kahwin nanti boleh la pergi mana-mana untuk honeymoon. Kali ini bagi pengantin-pengantin lama bercuti dulu.” Lepas ketawa Mikhail mendengar kata-kata mamanya. Hati melonjak gembira mengenangkan dia akan pergi bercuti berdua dengan Fatihah kelak.

            ”Nanti, bolehlah Fatihah ajak Mikhail ke rumah Datin Sarah. Tak elok hampakan harapan orang.” Tersedak Fatihah di sebelahnya. Segera Mikhail mengangkat tangan mengurut belakang tunangnya walaupun di halang oleh Fatihah. ”Siapa Datin Sarah ma?” Pelik dia melihat wajah serba salah Fatihah sebaik sahaja mamanya mengutarakan perkara tersebut. ”Kawan mama.” Pendek jawapan daripada mamanya. Semakin buat Mikhail pelik apabila ibu dan Farah saling pandang memandang antara satu sama lain. Mesti ada sesuatu, bisik hati kecilnya. 

No comments: