Hidup ini adalah satu perjalanan, atau lebih tepat lagi, pengembaraan yang panjang. Doesn’t matter how it start, the most crucial thing is how we face it. Bijak pandai ada menyebut, “dunia ini tiada jaminan melainkan satu peluang”! Lantas, peluang apa yang kita cari sebenarnya? Memang benar, yang namanya manusia itu seringkali berharap terlalu banyak, tetapi berbuat terlalu sedikit. Ramai di kalangan kita memandang endah tak endah pada kesempatan yang kecil, sedangkan kesempatan yang kecil seringkali merupakan permulaan kepada usaha yang besar.
Dalam mengembara, pasti banyak jalan yang harus kita tempuh, banyak persimpangan yang perlu kita pilih. Adakalanya jalan yang di pilih itu tepat untuk membawa kita sampai ke persinggahan sementara yang ingin dituju. Namun, ada kalanya, kita terlambat tiba di persinggahan akibat banyak rintangan sepanjang perjalanan. Dan, ada kalanya, kita langsung melencong ke lain-lain persinggahan yang seharusnya tidak perlu disinggahi sama sekali.
Di sinilah pentingnya apa yang dinamakan ilmu dan pengetahuan. Mengetahui perkara yang betul tidak memadai dan bermakna jika tidak melakukan perkara yang betul. Tuntutlah ilmu biar sampai ke liang lahad, kerana seorang pengembara akan sentiasa belajar daripada apa yang berlaku sepanjang pengembaraannya. Tiada sebarang kompromi tentang tinggi rendahnya ilmu seseorang, kerna jika kita mahu berbuat sesuatu, kita akan cari jalannya. Jika kita tidak mahu membuat sesuatu, kita akan cari berjuta alasan.
Namun, ilmu dan pengetahuan yang tinggi tidak cukup untuk menjadikan kita pengembara yang sememangnya benar-benar mengembara. Kerana ramai yang tidak bisa menerima hakikat bahawa “orang yang berakal itu menyembunyikan rahsianya, dan orang yang jahil membuka keaibannya”. Ramai yang gagal mengikut resmi padi yang semakin menunduk bila berisi. Tidak perlu berkata-kata sehingga kita nampak hebat kerna sebuah pedang diketahui keampuhannya sesudah memotong. Begitu juga kita sebagai pengembara, dikenali dengan lebih banyak dari adab dan pertanyaan, bukan dari jawapan-jawapan yang kita berikan.
Kita dilahirkan dengan dua telinga di kanan dan di kiri, supaya kita dapat mendengarkan semuanya dari dua buah sisi. Untuk berupaya mengumpulkan pujian dan kritikan dan memilih mana yang benar dan mana yang salah. Kita diberi hanya satu mulut kerna mulut adalah senjata yang sangat tajam. Mulut bisa menyakiti, bisa membunuh, bisa menggoda, dan banyak hal lainnya yang tidak menyenangkan. Ingatlah untuk berbicara sesedikit mungkin tapi lihat dan dengarlah sebanyak-banyaknya. Ingatlah wahai pengembara, orang yg paling berkuasa adalah orang yg dapat menguasai dirinya sendiri. Reaksi emosi jangan dituruti kerana implikasinya tidak seperti yang diimaginasi. Jangan sekali-kali kita meremehkan sesuatu perbuatan baik walaupun hanya sekadar sebuah senyuman.
Kembara ini sangat indah sebenarnya, kerna adanya kemanisan dan kepahitan. Tiada sesuatu yang benar-benar indah andai semuanya manis, dan tiada sesuatu yang benar-benar hodoh andai semuanya pahit. Kerna, sesiapa yang tidak merasai kepahitan, tidak akan mengenal kemanisan. Percayalah, permulaan sabar adalah pahit, tetapi manis akhirnya. Sabarlah dengan ikhlas atas semua rintangan sepanjang pengembaraan, kerna sabar adalah jalan keluar bagi orang yang tidak bisa menemukan jalan keluar. Bijak pandai menyatakan,”berhati-hatilah dengan kemarahan seorang yang sedang bersabar.” Sekali lagi, sabarlah dengan ikhlas!
Sentiasa ingat, bahwa esok pasti ada tetapi esok belum pasti untuk kita. Beringat-ingatlah untuk menghadapi esok yang pastikan mendatang. Jangan hanya melihat apa yang telah kita usahakan, tetapi lihatlah apa yang belum kita selesaikan. Jika hari ini, kita hilang segala-galanya, jangan lupa, kita masih punya masa depan. Kita lahir dengan dua mata di depan wajah kita, kerana kita tidak boleh selalu melihat ke belakang. Tapi pandanglah semua itu ke depan, pandanglah masa depan kita. Kita lahir dengan otak di dalam tengkorak kepala kita. Sehingga tidak peduli semiskin mana pun kita, kita tetap kaya. Kerana tidak akan ada seorang pun yang dapat mencuri otak kita, fikiran kita dan idea kita. Dan apa yang anda fikirkan dalam otak anda jauh lebih berharga daripada emas dan perhiasan.
Pengembara, percayalah bahawa pengecut mati banyak kali sebelum kematiannya. Yang berani mati hanya sekali. Janganlah berputus asa. Tetapi andai kita sudah berada dalam keadaan putus asa, berjuanglah terus meskipun dalam keadaan putus asa. Jangan pernah sesali apa yang sudah pergi. Jangan tangisi apa yang sudah tiada. Tetapi bangkitlah dan bina kembali apa yang telah hilang dan pergi. Kekuatan tidak datang dari kemampuan fizikal,tetapi ianya datang dari semangat yang tidak pernah mengalah. Dan keberanian yang sebenar ibarat layang-layang. Sentakan angin yang menentangnya bukan melemparkannya ke bawah, sebaliknya menaikkannya.
Akhir kalam, jadikan diri kita bagai pohon yang rendang di mana insan dapat berteduh. Jangan seperti pohon kering tempat sang pungguk melepas rindu dan hanya layak dibuat kayu api. Jika kejahatan di balas kejahatan, maka itu adalah dendam. Jika kebaikan dibalas kebaikan itu adalah perkara biasa. Jika kebaikan dibalas kejahatan, itu adalah zalim. Tapi jika kejahatan dibalas kebaikan, itu adalah mulia dan terpuji. Ramai yang tidak mengetahui bahawa rahsia untuk menjadi pengembara yang berjaya adalah dengan menghormati orang lain. Berakhlaklah dengan baik, kerna akhlak yang buruk itu ibarat tembikar yang pecah. Tidak dapat dilekatkan lagi dan tidak dapat dikembalikan menjadi tanah. Sesungguhnya, apabila kepercayaan telah hilang lenyap, kehormatan telah musnah, maka matilah orang itu.
Ayuh, marilah kita sama-sama menjadi pengembara yang terus mengembara selagi masih punyai kesempatan dan waktu! Jangan pernah berhenti selagi masa belum terhenti!
No comments:
Post a Comment