Monday, February 13, 2012

Main KawenKawen

Rasulullah s.a.w. telah bersabda: Nikah adalah sunnahku (jalan agamaku), maka barangsiapa yang cintakan agamaku hendaklah dia menjalankan sunahku itu. 
(Riwayat Abu Ya'la dari Ibnu Abbas r.a) 


Pabila usia mula merangkak-rangkak ke angka 30-an, ramai yang mula bertanya, "tak takut ke jadi anak dara tua?" Setiap kali hadir ke majlis perkahwinan, soalan yang menjadi soalan wajib adalah, "giliran kau bila pula?" Aku yakin, ramai juga yang akan mengeluh bila diajukan soalan sebegini, terutama yang masih single

Ada banyak faktor mengapa seorang gadis lambat kahwin. Aku punya seorang teman yang pernah mengutarakan soalan tentang tunangnya yang ingin menangguhkan perkahwinan padahal mereka sudah bertunang selama setahun lamanya. Teman aku itu seorang lelaki. Jadi, secara logiknya dia bertanya kepada aku daripada sudut pandangan dan fikiran seorang wanita.

Apabila alasan gadis tersebut "saya belum bersedia" makanya, jelas dia belum bersedia. Orang kata dah bercinta lama-lama kenapa nak tunggu lagi untuk dihalalkan? Tapi, itulah dia, apabila "SEDIA" dijadikan alasan, memang tiada siapa dapat membantu. Lantas, jawapan yang aku berikan pada teman tadi, "Kalau memang dia belum bersedia, kau buatlah macam mana sekalipun dia memang tak kan pernah kata okey. Banyak-banyaklah berdoa semoga Allah memudahkan urusan perkahwinan korang berdua kerna, soal ibadah (kahwin pun ibadah, okey!) ni memang payah bila kita tidak mengikut aturan yang sememangnya mudah." 

Ramai yang pura-pura lupa atau buat-buat tidak tahu bahawa perkahwinan bukan antara dua pasangan sahaja, malah antara dua buah keluarga. Cinta kepada pasangan adalah cinta kepada keluarga mereka. Berapa ramai yang sanggup melupakan kekasih hati lantaran tentangan ibubapa? Kawan-kawan, restu ibubapa itu sangat perlu kerna, "Redha Allah S.W.T berdasarkan redha kedua ibubapa." Berapa ramai yang sanggup mengotakan lirik lagu nyanyian Chris Vadham seperti di bawah?

Renungilah sejenak bintang nan antara
Belian dengan kaca mana lebih berharga
Pandangilah keatas keluargamu di sana
Turutkanlah kehendak mereka
Kerna ku sendiri menyanyi dalam sepi
Anggaplah diriku sepotong mimpi
Usah kau tangiskan pada perpisahan ini
Pergilah kepadanya Selamat Tinggal

Kawan-kawan, perkahwinan adalah proses seumur hidup sampai ke akhir hayat. Siapa mahu bahtera yang dilayar karam di tengah lautan? Makanya, dalam sebuah bahtera perkahwinan wajib ada seorang nakhoda yang sanggup memikul tanggungjawab mengepalai pelayaran itu. Anak kapal juga, haruslah akur arahan nakhoda selagi ianya tidak bercanggah dengan perintah Allah S.W.T. 

Hidup sebagai suami isteri bukanlah tentang menabik dada siapa yang berkuasa. Nakhoda dan anak kapal haruslah mengamalkan apa yang dinamakan toleransi dan kasihan belas. Tiada siapa antara kita berhak atau berkuasa atas sesuatu, kerna semuanya hanya pinjaman semata-mata. Jika hari ini, suami/isteri bersama kita, belum pasti esok lusa dia kekal bersama kita kerna, suatu hari nanti mati pasti akan memisahkan kita.

Suka aku ingatkan perkahwinan juga satu pengorbanan. Tidak kira pengorbanan itu besar atau kecil, yang penting erti sebuah pengorbanan. Kalau tidak sanggup mengorbankan kebebasan hidup semasa single, jangan pernah mencuba untuk hidup berdua (bernikah).

Akhir kata, ayuhlah kita sama-sama berusaha "menjadi" seorang yang siap sedia menjadi suami/isteri. Tak perlu "mencari" (bakal pasangan) andai saat ini tidak terdetik mau bernikah!


No comments: