Thursday, September 27, 2012

Memori Semalam: 13


Setelah menghantar bakal keluarga barunya ke sebuah homestay di tengah-tengah ibukota, Mikhail memandu balik ke rumahnya. Otaknya ligat berfikir bagaimana agaknya rupa bakal isterinya. Tadi, bakal adik iparnya yang bongsu mengatakan kak yongnya agak berbeza rupa parasnya dengan mereka adik beradik yang lain. Apa yang Mikhail perasan semua mereka adik beradik putih melepak kecuali ayah yang sedikit gelap. Adakah mungkin bakal isterinya gelap seperti ayahnya? Segera dia menilik tangannya yang agak cerah berbanding bakal ayah mertuanya tadi. Menjadi idamannya selama ini adalah gadis yang berkulit cerah, lebih cerah berbanding dirinya.

            “Mikh, terima kasih kerana sudi menjemput pakcik sekeluarga dari kampung. Minta maaflah, sebab anak gadis pakcik bekerja hari ini. Tak dapat nak perkenalkan kamu berdua.” Kata-kata yang terlafaz daripada mulut bakal mertuanya disambut dengan anggukan oleh Mikhail. Dia senang hati dengan peribadi kedua bakal mertuanya itu. Dia berharap tunangnya juga memiliki peribadi sebegitu.

            “Sudah menjadi tanggungjawab saya pakcik. Pakcik, makcik, Farah dan Pojie berehatlah. Malam nanti kita jumpa di majlis mama dan papa.” Itu sahaja yang mampu diluahkan biarpun sebenarnya dia ingin bertanyakan perihal tunangnya. Namun, mengenangkan yang mereka akan berkenalan malam nanti, dia mengajar hatinya supaya bersabar. Takkan lari gunung dikejar.

            Dia teringatkan kejadian beberapa hari lepas, di mana dia mengatakan dia adalah masa kini dan masa depan Fatihah di hadapan Tuah. Dia benar-benar berharap perkara tersebut menjadi kenyataan kerana dia sudah benar-benar jatuh cinta dengan gadis tersebut. Tidak pernah dia senekad itu mempertahankan seorang gadis yang tiada kaitan dengan dirinya. Dan, tidak pernah juga dia merasa sakit hati yang teramat sangat apabila melihat ada lelaki lain bersama Fatihah.

Bunyi ketukan pada cermin keretanya membuatkan Mikhail tersentak dan segera diturunkan cermin kereta BMWnya itu. “Mikh, kenapa mama tengok daripada tadi dah lebih lima minit Mikh sampai, kenapa tak turun lagi?” Mikhail hanya tersengih memandang ke arah mamanya. “Sorry ma, Mikh terleka kejap. Banyak benda Mikh fikirkan nak jayakan majlis mama dan papa malam esok.” Puan Sri Hamidah hanya tersenyum ke arah anak lelakinya yang sedari dulu tidak pernah menghampakan dia dan suaminya. “Bukan majlis mama dan papa saja, majlis Mikh sendiri.” Mikhail segera keluar dari keretanya dan memaut bahu mamanya sambil berjalan ke arah taman di hadapan rumah mereka.

“Ma, Mikh peliklah. Kenapa majlis bertunang kat rumah pihak lelaki? Bukankah selalunya kita buat di rumah pihak perempuan?” Mikhail memang pelik memikirnya idea mama dan papanya yang satu itu. “Bukankah Mikh dah memang bertunang dengan tunang Mikh tu? Tak ingat mama dan papa pergi beberapa minggu lepas, yang Mikh kononnya banyak kerja tak dapat nak ikut?” Mikhail menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal itu. Terkena dengan kata-kata ibunya yang sememangnya terbukti betul. “Jadi, majlis malam esok hanya nak perkenalkan dia dengan ahli keluarga kita. Mikh pun belum kenal dia kan?” Mikhail hanya menganggukkan kepala mengiakan kata-kata mamanya.

“Insyaallah, mama tahu pilihan anak mama. Trust me, Mikhail. She’s the one that suit you very well.” Mikhail hanya tersenyum sambil memeluk bahu mamanya. Sambil memejamkan matanya, terbayang wajah comel Fatihah beberapa hari yang lepas. Debaran yang dirasakan semenjak dia melihat wajah gadis itu dari jarak yang begitu dekat masih dirasakan sehingga ke hari ini. “Mama, hanya Fatihah yang Mikh inginkan menjadi isteri Mikh.” Kata-kata tersebut hanya mampu diucapkannya di dalam hatinya.

*                                             *                                             *

Fatihah bersalaman sambil mencium pipi kedua orang tuanya. Sungguh dia begitu gembira melihat kegembiraan yang jelas terpancar di wajah kedua orang tuanya itu. Kalaulah dengan menurut pilihan mereka dia mampu melihat senyuman lebar kedua orangtuanya, dia sanggup untuk berkahwin dengan lelaki yang langsung dia tidak kenali. Adiknya Farah dan Fauzi juga jelas kelihatan gembira dapat menjejakkan kaki ke kotaraya Kuala Lumpur yang sememangnya menjadi impian mereka berdua. Sejak dari dulu lagi, kedua-dua orang adiknya menyuarakan hasrat untuk tinggal bersamanya di Kuala Lumpur. Tapi, mengenangkan diri yang kurang berkemampuan, dia tidak dapat merealisasikan impian mereka. Lantas, kehadiran mereka kali ini akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk membawa mereka meronda sekitar Kuala Lumpur.

“Kak Yong, bila kita nak pergi jalan-jalan ni?” Soalan Fauzi mencetuskan gelak Fatihah. Dia faham keterujaan adiknya untuk melihat kecanggihan kota metropolitan itu. “Poji nak pergi mana hari ni?” Fatihah menggosok-gosok kepala adiknya yang sedari tadi tersengih memandangnya. “Poji nak pergi mana?” Sekali lagi dia mengulangi soalannya apabila melihat adiknya agak serba salah untuk bersuara. “Poji nak pergi KLCC, nak pergi akuaria.” Terkejut Fatihah mendengar permintaan adiknya itu. Memang jelas adiknya membuat kajian  sebelum pergi ke sini. Kalau tidak, masakan dia tahu akuaria di dalam KLCC. Fauzi dan Farah melompat kegembiraan menlihat anggukan Fatihah. Kedua-duanya berlari menuju ke arah bilik masing-masing setelah diarahkan bersiap oleh ayah mereka.

“Ibu, baiknya bakal besan ibu. Siap sediakan rumah sebesar ini untuk kita.” Fatihah memeluk bahu ibunya. Betapa dia rindu untuk bermanja sebegitu rupa dengan ibunya. “Insyaallah, bakal suami Fatihah pun baik.” Senyuman penuh makna kedua ibubapanya mengundang rasa curiga Fatihah. Dia pelik melihat kedua orang tuanya sangat gembira dengan senyuman masing-masing yang tak lekang daripada bibir sedari dia sampai tadi. Masakan Tuah yang meminang dia, sebab sebelum ini,  ibunya tak pernah segembira ini apabila ada perkara-perkara yang melibatkan Tuah.

            Dulu dia pernah membawa Tuah balik ke kampung untuk diperkenalkan kepada kedua orang tuanya. Layanan ibu dan ayahnya terhadap Tuah memang baik, tapi riak keduanya seperti tidak merestui hubungan keduanya. Mungkin benar kata orang, firasat ibu selalunya betul. Tidak lama selepas dia membawa Tuah balik ke kampung, terjadi peristiwa yang sebolehnya mahu dia lupuskan daripada kotak ingatan.

“Hai Fatihah, melamun bayangkan wajah bakal menantu ibu ke?” usikan ibunya membuatkan Fatihah tergelak kecil. Hatinya berdebar sejak semalam lagi, dan tinggal tidak sampai 24 jam lagi dia akan berkenalan dengan tunangannya. Ibunya ingin menunjukkan gambar tunangnya yang dikatakan adiknya sangat handsome itu, tetapi dia berkeras tidak mahu melihat gambar tersebut. Biarlah segala-galanya terjawab malam esoknya. Sekarang, dia punya misi membawa ahli keluarganya berjalan-jalan sekitar Kuala Lumpur.

*                                  *                                  *

              Akhirnya, masa yang ditunggu tiba juga. Mikhail kaku memandang figuranya sendiri di hadapan cermin di biliknya. Dia tidak yakin, apakah keputusannya menurut segala permintaan mamanya ini keputusan terbaik untuknya. Dia masih fobia untuk menjalinkan hubungan serius dengan insan bergelar wanita. Namun, apabila terkenangkan insiden beberapa hari lepas di tasik Titiwangsa, dia amat berharap Fatihah betul-betul tunangnya seperti yang dia nyatakan pada Tuah. Serta-merta senyuman terukir apabila nama Fatihah meniti di bibirnya.

            “Amboi, bahagia nampak?” sergahan kak Nuha mematikan senyuman Mikhail. Kakaknya itu, tidak lain tidak bukan hanya mahu mengusiknya mengenai tunangan yang langsung dia tak ambil peduli. “Wah, cantik akak Mikh malam ni. Perut tu nampak buncit je.” Mikhail tergelak melihat kakaknya mencuka mendengar komen bersahaja daripadanya. “Mikh ni kan, saja je. Tau la akak kene buatan abang Imran kau. Tak payah la nak sebut-sebut buncit tu.” Mikhail mengaduh apabila telinganya dipiat kak Nuha.

           Suara gelak di pintu bilik Mikhail menyedarkan Mikhail dan kakaknya yang bergaduh sedari tadi. Handsomenya anak mama malam ni.” Kata-kata mamanya disambut dengan senyuman tawar Mikhail. Dia sendiri tidak faham gelojak hatinya yang ingin tampil sempurna di mata tunangnya, walaupun dia tidak yakin dia mampu meneruskan perhubungan mereka nanti. “Nuha kenapa tak tolong Imran melayan tetamu kat bawah? Mikh, kejap lagi Pak Leman datang dengan keluarga baru kita. Mikh dah ready belum?” Soalan tersebut menambahkan debaran di hati Mikhail. Dia tidak boleh bayangkan bagaimanakah gadis pilihan kedua orang tuanya. Kalaulah kawan-kawannya tau yang dia dijodohkan dengan pilihan orang tuanya, pasti dia menjadi mangsa ejekan mereka.

           “Mama, tetamu istimewa mama dah sampai.” Puan Sri Hamidah dan anak-anaknya Mikhail dan Nura masing-masing menoleh ke arah Imran yang sedang tersenyum lebar. Debaran di hati Mikhail semakin terasa. Nura segera mendekati suaminya setelah mencubit pipi adiknya, yang nyata kelihatan pucat. Baru sahaja Nura ingin bersuara memerli adiknya, mamanya terlebih dahulu meletakkan jari di mulut sebagai isyarat supaya tidak berkata apa-apa. Imran pula menarik isterinya untuk turun bersamanya melayan tetamu yang tiba sedari jam 8 malam tadi. Dia tahu ibu mertuanya mahukan ruang bersama Mikhail sebelum Mikhail dipertemukan dengan tunangnya.




2 comments:

baby mio said...

please nak lagi buat suspen org aje....

safiza said...

sabar.... ehe