Thursday, November 3, 2011

Memori Semalam: Bab 3

Segera Fatihah memerhatikan pemakaiannya di dalam cermin besar di luar bilik tidurnya. Skirt biru dipadankan dengan dress pendek paras lutut bercorak merah hati semakin menyerlahkan penampilannya. Segera tudung kosong berwarna merah sesuai dengan dressnya disarungkan ke kepala. Senyuman tersungging sebaik sahaja berpuas hati dengan penampilannya malam ini. Jam di tangan dibelek.
“Banyak masa lagi,”desis hatinya.  Segera langkah diatur ke tingkat bawah rumahnya. Remote control dicapai dan kini dia disajikan dengan rancangan kegemarannya, The Amazing Race, Asia. Namun, mindanya kini tidak fokus dengan rancangan yang terhidang sebaliknya, dia kembali kepada zaman universitinya dulu yang meninggalkan banyak kenangan pahit manis dalam hidupnya.
Dia bukanlah seorang gadis yang pandai bergaya walaupun memiliki tubuh badan yang menarik dan wajah yang boleh menggetarkan hati kebanyakkan lelaki. Kerana kelebihan dia itulah dia selalu menjadi mangsa keadaan. Sebab itu jugalah dia bersendirian sehingga sekarang. Pengalaman masa lampau mengajarnya agar jangan mudah percayakan orang, dan jangan sekali-kali meletakkan harapan terhadap seseorang, terutama insan bergelar lelaki.
Dulu, semasa pertama kali menjejakkan kaki ke bandar Kuala Lumpur, dia telah menanamkan azam untuk belajar bersungguh-sungguh. Dia hendak membalas segala jasa kedua orang tuanya yang telah banyak berkorban untuk dia dan adik-adiknya. Nah, sekarang dia berjaya membuktikan kesungguhannya itu. Tugas menanggung keluarga kini digalasnya. Biar dirinya tidak cukup makan, pakai namun tidak sesekali dia membiarkan ibu ayah dan adik-adiknya tidak cukup makan dan pakai.  Namun, di sebalik kekuatan yang dia tonjolkan, tersimpan kelukaan yang amat dalam. Yang pastinya, tiada siapa yang mengetahui betapa dia menderita dan sengsara dengan kesilapan masa lalunya. Air mata yang menitis di pipinya disapu dengan tangan kanannya. Sekali lagi jam dibelek.
“Astaghfirullahalazim. Kalau dilayan lamunan ni, mahu terlambat.” Teringat dia kata-kata seorang ustaznya dulu, “Janji kalau dimungkiri, beerti tiada bezanya kita dengan munafik.” Segera televisyen dimatikan dan kakinya melangkah ke muka pintu. Setelah memastikan semua kipas dan lampu ruang tamu dimatikan, dia segera mengunci pintu utama dan grillnya. Kereta dikeluarkan dan pintu pagar utama ditutup menggunakan remote di dalam keretanya. Segera dia memecut ke arah Istana Budaya, janji dengan kak Ima mesti ditepati.
*                                  *                                  *
Matanya meliar mencari meja kosong di sekitar Laman Santai, Istana Budaya yang menyajikan live band oleh artis-artis tempatan di setiap malam Sabtu. Dia sampai agak awal berbanding kak Ima dan nasibnya baik kerana ada sebuah meja kosong di penjuru belakang yang sedikit jauh dari pentas. Segera kaki diayunkan ke arah itu.  Mata dihalakan kehadapan dan kelihatan seorang pengacara Istana Budaya sedang mengalu-alukan kedatangan orang ramai. Dia memerhati sekeliling, Kelihatan ramai keluarga yang sedang bersantai menikmati juadah masing-masing sementara menunggu persembahan dimulakan. Perutnya sendiri berkeroncong walaupun tadi dia sudah makan malam seawal jam enam petang. Sedang dia sibuk memerhati ragam orang disekelilingnya, dia dikejutkan dengan pukulan lembut di bahunya.
“Assalamualaikum Kak Ima, lama orang tunggu tau.”  Sengaja dia mengusik kak ima menayangkan muncung itiknya tanda merajuk.
“Ala, ingat cantik sangat ke muncung itik tu?” Ketawa kak Ima mengundang senyuman di bibirnya.
“Kak Ima tak cakap pun dah tau orang memang cantik.” Gurauannya disambut dengan gelak mesra kak Ima.
 “Amboi, perasannya dia.” Bergabung gelak mereka berdua. Namun serta merta Fatihah mematikan gelaknya melihat seorang lelaki mengambil tempat duduk di sebelahnya. Segera matanya dihalakan ke arah kak Ima dan kening dijungkitkan menggantikan soalan kenapa ada orang lain sedangkan dia hanya berjanji dengan kak Ima seorang.
“Fatihah, ingat lagi tak Mikhail. Yang jumpa masa kat tasik haritu.” Mikhail hanya tersenyum kepadanya. Fatihah agak senang dengan tingkah Mikhail yang tidak menghulurkan tangan, tanda hormat kepada muslimah sepertinya.
“O, patutlah macam pernah nampak.” Segera senyuman diberikan kepada Mikhail yang telah pun duduk menongkat tangan melihat dia dan kak Ima yang masih berdiri.  
“D, you tolong belikan makanan dengan air sekali boleh? I ada banyak nak borak dengan Fatihah ni.” Lembut suara kak Ima meminta kepada Mikhail. Fatihah hanya memerhati dengan senyuman yang tidak lepas dari bibirnya.
“Ok.”  Cukup ringkas jawapan Mikhail dan segera dia menapak ke arah gerai yang menjual pelbagai jenis juadah. Fatihah perasan pandangan mata kak Ima yang mengikuti setiap langkah Mikhail dengan penuh minat. Dia juga perasan gadis-gadis di meja hadapannya turut sama menjeling-jeling ke arah Mikhail yang memang mempunyai daya tarikannya yang tersendiri.
“Kak Ima, dah dah la tu tengok Mikhail tu. Jaga sikit mata tu. Fatihah ni hah, kak Ima buat derk je.”  Sengihan kak Ima membuatkan dia tergelak kecil. Nampak sangat muka malu sebab terkantoi memerhati anak bujang orang sebentar tadi.  
“Fatihah, handsome tak D tu?” Penuh teruja wajahnya menantikan jawapan daripada Fatihah.
“D? Bukan nama dia Mikhail ke kak?” Fatihah agak pelik dengan panggilan yang digunakan oleh kak Ima itu.
“Memanglah, tapi nama panggilan dia D.” Ringkas jawapan yang diberikan oleh Kak Ima.
 “D tu apa kak? Tak ada kena mengena pun dengan nama dia.” Berkerut dahi Fatihah memikirkan kaitan panggilan D dengan nama Mikhail.
“Entahlah, tak pernah pula dia bagitau akak.” Senyuman mengada-ngada yang ditunjukkan oleh kak Ima membuatkan Fatihah faham yang dia perlu menjawab soalan kak Ima sebentar tadi.
“Ye, kakakku sayang. Anugerah Allah, Mikhail akak tu memang handsome. Kalau tak, tak adalah anak-anak dara kat sini turut memuji anugerah Allah itu.” Tergelak dia melihat kak Ima yang menjeling-jeling mereka yang asyik memerhatikan Mikhail yang sedang berjalan ke arah meja mereka sembil menatang dulang yang penuh dengan makanan. 
 Segera kak Ima mengambil dulang dari tangan Mikhail dan jelingan mautnya dihadiahkan kepada gadis-gadis yang duduk di meja hadapan mereka. Terdengar cemuhan daripada mereka di situ yang agak menyampah dengan tingkah berlagak kak Ima itu. “Eleh, macam dia sorang ada boyfriend.
Segera Fatihah memegang tangan kak Ima kerana dia tahu, kalau dibiarkan, mahunya mereka yang berpakaian tak cukup kain itu basah kuyup dengan air minuman di tangan kak Ima.
Mikhail hanya tersenyum sambil menyedut air minumannya. Matanya sedari tadi tidak berganjak melihat muka Fatihah yang nampak sangat sweet di matanya malam ini. Tudung merah yang dikenakan gadis itu menyerlahkan lagi kulitnya yang putih mulus itu. Matanya yang bundar dengan bulu mata yang melentik dengan hidung yang mancung menambahkan lagi pesona gadis tersebut. Sungguh, dia telah jatuh hati pada wajah bujur sirih itu.
“D, kalau you nak tau, Fatihah ni dulu banyak peminat tau.” Kata-kata kak Ima itu ternyata menarik minat Mikhail.
“Ish, kak Ima ni. Ada pulak cakap macam tu.” Perubahan di muka Fatihah mendapat perhatian Mikhail. Dia perasan Fatihah seolah-olah tidak suka isu yang dibangkitkan oleh Ima sebentar tadi. Dan, dia juga perasan Fatihah tidak selesa dengan kehadiran dia di situ. Mungkin dia perasan aku menilik dia sedari tadi, getus hatinya. Senyuman dilemparkan ke arah Ima.
“Oh, ye ke. Memang patut pun, orang lawa mestilah banyak peminat.” Diperhatinya muka Fatihah yang semakin memerah. Semakin deras dengupan jantungnya melihat wajah gadis pujaannya itu.
“Ha, Fatihah. Apa khabar Tuah sekarang?” Sekali lagi soalan tersebut membuatkan Fatihah tersentak. Tak disangkanya itu soalan yang akan keluar daripada mulut kak Ima. Ternyata soalan tersebut menarik perhatian Mikhail. Terbit perasaan cemburu di hatinya. Siapa Tuah?  Pandangan penuh pengharapan untuk mendengar jawapan daripada mulut comel Fatihah dimatikan dengan tepukan tangan oleh Fatihah yang nampak teruja mendengar muzik yang dimainkan. Mikhail dan Ima mengalihkan perhatian ke hadapan. Kelihatan Nubhan sudah bersedia menyanyikan lagu berhantunya, Ada Untukmu.
Fatihah menarik nafas lega kerana dia tidak perlu menjawab soalan yang berjaya mengacau bilaukan hatinya sebentar tadi. Dia terbuai dengan alunan suara serak-serak basah Nubhan. Begitu juga Ima yang nampak khusyuk menyaksikan persembahan Nubhan.  Selesai lagu pertama nyanyian Nubhan, mereka disajikan dengan persembahan daripada artis-artis lain yang kurang dikenali. Masa ini digunakan oleh Fatihah dan kak Ima untuk mengimbau kembali detik-detik manis sepanjang penglibatan mereka dalam aktiviti berpersatuan sepanjang pengajian mereka dahulu. Mikhail hanya tersenyum mendengar perbualan mereka dan sesekali dia mencelah.
“D, you ni asyik merokok je. Cubalah respect sikit I dengan Fatihah ni.” Pernyataan itu membuatkan Mikhail segera memandang tepat ke arah Fatihah.
You tak suka I merokok ke, Fatihah?” Teguran Ima itu membuatkan dia rasa bersalah. Tiba-tiba dia rasa cuak memikirkan kemungkinan Fatihah tidak suka lelaki yang merokok.
“Tak de la. I tak kisah.” Ringkas jawapan Fatihah, namun mengundang rasa tidak puas hati kak Ima.
“Ish, Fatihah ni. Mana boleh buat tak kisah. Merokok ni merbahayakan kesihatan. Bukan setakat kesihatan dia, kita pun terjejas sekali tau.” Hanya senyuman yang mampu Mikhail ukirkan ketika itu. Bukan dia tidak tahu bahaya merokok, tapi habitnya itu sudah sebati dengan dirinya semenjak beberapa tahun lepas. Ketagihan yang semakin menjadi-jadi setelah dia mula merokok bagi menghilangkan tekanan yang dia alami. 
“Tak pe kak Ima. Kalau seseorang tu rasa dia respect kat orang lain, dia tak kan buat benda-benda yang mendatangkan mudarat kepada orang di sekelilingnya.” Tersengih Mikhail mendengar kata-kata yang lahir dari bibir merah gadis pujaannya dalam diam itu. Terasa manis saja kata-kata yang berupa sindiran itu baginya.
“Ha, dengar tu D. Fatihah ni, nampak je lemah gemalai. Tapi, bila bercakap I rasa you memang bukan lawan dia.” Terangkat-angkat kening kak Ima tanda dia mencabar Mikhail untuk berlawan cakap dengan Fatihah.
“Oh, really?” Soalnya sambil menjungkitkan keningnya.  Tingkahnya berserta senyuman manis di bibir menampakkan lesung pipit di pipi kirinya. Terpana sebentar Fatihah melihat wajah kacak Mikhail yang semakin dekat dengan wajahnya. Segera dia ketawa bagi menutup kegalauan hatinya tika itu. Segera dia menggelengkan kepala kerana tidak mahu terus hanyut dengan mainan perasaannya itu. Diingatkan dirinya, Mikhail itu boyfriend kak Ima.
Tepukan gemuruh orang ramai mematikan suapan laksa oleh Fatihah dan kak Ima. Mereka turut bertepuk tangan melihat sekali lagi Nubhan mengambil tempat di hadapan pentas.  “Fatihah, pergilah ke depan tu. Nubhan tengah cari model untuk lagu kali ini.” Desakan kak Ima hanya mengundang ketawa Fatihah. Tak mungkin dia sanggup memalukan dirinya di hadapan khalayak ramai itu.
“Ok, siapa yang sanggup jadi girlfriend saya sekejap?” Soalan Nubhan itu disambut dengan sorakan oleh orang ramai terutamanya gadis-gadis muda yang ternyata meminati penyanyi berbakat kelahiran Negeri Sembilan itu.  Langkah kaki Nubhan yang mencari grilfriendnya itu diikuti penuh minat oleh para peminatnya. Segera kak Ima menunjuk ke arah Fatihah apabila melihat Nubhan memandang ke arahnya. Nubhan tersenyum dan kakinya mengorak ke arah Fatihah. Terbuntang mata Fatihah, tidak menyangka kak Ima benar-benar mahukan dia menjadi girlfriend sementara Nubhan malam ini.
“Nama siapa?” Soalan Nubhan itu menyebabkan kak Ima segera menyiku Fatihah yang nampaknya tergamam apabila hampir kesemua pengunjung di situ sedang memerhatikan dia.
“Fatihah.” Sedikit mendatar suaranya.
“Bro, wa pinjam awek bro kejap ye.”  Tersentak Fatihah mendengar soalan Nubhan kepada Mikhail. Dia hanya memandang ke arah Mikhail yang tersenyum sambil menganggukkan kepala. Fatihah juga perasab wajah kak Ima yang sedikit keruh mendengar soalan Nubhan sebentar tadi.
Baru dia perasan yang baju Mikhail sedondon dengannya, merah! Terasa pahit liurnya kali ini. Kaki diatur perlahan-lahan mengikut langkah Nubhan ke hadapan. Siapa sangka dia dapat bergandingan dengan penyanyi kegemaran adiknya kali ini. Kalaulah adiknya melihat situasi sekarang, dia pasti adiknya akan cemburu. Tersenyum dia mengenangkan keletah manja adik-adiknya.  Fatihah perasan Mikhail turut bangun dan beralih tempat duduk di hadapan, betul-betul bertentangan dengannya yang berdiri di sebelah Nubhan. Dia kalut melihat pandangan lembut daripada mata lelaki itu. 

Aku tak ingin kau menangis bersedih
Sudahi air mata darimu
Yang aku ingin arti hadir diriku
'kan menghapus dukamu sayang
Karena bagiku kau kehormatanku
Dengarkan dengakan aku
Hanya satu pintaku untukmu dan hidupku
Baik baik sayang ada aku untukmu
Hanya satu pintaku disiang dan malammu
Baik baik sayang karna aku untukmu
 
Alunan suara Nubhan melupakan Fatihah kepada pandangan Mikhail terhadapnya. Dia terbuai dengan suara serak-serak basah penyanyi muda itu. Sempat lagi dia berangan dengan lirik lagu yang setahunya daripada seberang itu. Tersenyum-senyum dia di sebelah Nubhan. Namun, senyumannya mati apabila Nubhan menyerahkan microphonenya kepada Mikhail yang telah pun berada di sebelahnya. 

Semua keinginan akan aku lakukan
Sekuat semampuku sayang
Karena bagiku kau kehormatanku
Dengarkan dengakan aku
Hanya satu pintaku untukmu dan hidupku
Baik baik sayang ada aku untukmu
Hanya satu pintaku disiang dan malammu
Baik baik sayang karna aku untukmu
 
Alunan suara Mikhail menyebabkan dia mencari wajah kak Ima di celahan orang ramai itu. Ternyata wajah itu nampak keruh dan ini membuatkan Fatihah terasa sedikit bersalah. Mesti orang di situ ingat dia girlfriend Mikhail sedangkan hakikatnya Mikhail itu boyfriend kak Ima. Nubhan kelihatan gembira bertepuk tangan bersama pengunjung Laman Santai itu. Kedengaran usikan-usikan nakal daripada pemuda-pemuda di situ melihatkan dia yang sudah merah padam dan Mikhail yang sedari tadi tersengih di sebelahnya.

No comments: