Friday, September 28, 2012

Bulan


Berbicara dengan bulan
Adakalanya lebih nyaman
Kerna ia tetap setia di situ
Tanpa perlu di pujuk rayu

Thursday, September 27, 2012

Memori Semalam: 13


Setelah menghantar bakal keluarga barunya ke sebuah homestay di tengah-tengah ibukota, Mikhail memandu balik ke rumahnya. Otaknya ligat berfikir bagaimana agaknya rupa bakal isterinya. Tadi, bakal adik iparnya yang bongsu mengatakan kak yongnya agak berbeza rupa parasnya dengan mereka adik beradik yang lain. Apa yang Mikhail perasan semua mereka adik beradik putih melepak kecuali ayah yang sedikit gelap. Adakah mungkin bakal isterinya gelap seperti ayahnya? Segera dia menilik tangannya yang agak cerah berbanding bakal ayah mertuanya tadi. Menjadi idamannya selama ini adalah gadis yang berkulit cerah, lebih cerah berbanding dirinya.

            “Mikh, terima kasih kerana sudi menjemput pakcik sekeluarga dari kampung. Minta maaflah, sebab anak gadis pakcik bekerja hari ini. Tak dapat nak perkenalkan kamu berdua.” Kata-kata yang terlafaz daripada mulut bakal mertuanya disambut dengan anggukan oleh Mikhail. Dia senang hati dengan peribadi kedua bakal mertuanya itu. Dia berharap tunangnya juga memiliki peribadi sebegitu.

            “Sudah menjadi tanggungjawab saya pakcik. Pakcik, makcik, Farah dan Pojie berehatlah. Malam nanti kita jumpa di majlis mama dan papa.” Itu sahaja yang mampu diluahkan biarpun sebenarnya dia ingin bertanyakan perihal tunangnya. Namun, mengenangkan yang mereka akan berkenalan malam nanti, dia mengajar hatinya supaya bersabar. Takkan lari gunung dikejar.

            Dia teringatkan kejadian beberapa hari lepas, di mana dia mengatakan dia adalah masa kini dan masa depan Fatihah di hadapan Tuah. Dia benar-benar berharap perkara tersebut menjadi kenyataan kerana dia sudah benar-benar jatuh cinta dengan gadis tersebut. Tidak pernah dia senekad itu mempertahankan seorang gadis yang tiada kaitan dengan dirinya. Dan, tidak pernah juga dia merasa sakit hati yang teramat sangat apabila melihat ada lelaki lain bersama Fatihah.

Bunyi ketukan pada cermin keretanya membuatkan Mikhail tersentak dan segera diturunkan cermin kereta BMWnya itu. “Mikh, kenapa mama tengok daripada tadi dah lebih lima minit Mikh sampai, kenapa tak turun lagi?” Mikhail hanya tersengih memandang ke arah mamanya. “Sorry ma, Mikh terleka kejap. Banyak benda Mikh fikirkan nak jayakan majlis mama dan papa malam esok.” Puan Sri Hamidah hanya tersenyum ke arah anak lelakinya yang sedari dulu tidak pernah menghampakan dia dan suaminya. “Bukan majlis mama dan papa saja, majlis Mikh sendiri.” Mikhail segera keluar dari keretanya dan memaut bahu mamanya sambil berjalan ke arah taman di hadapan rumah mereka.

“Ma, Mikh peliklah. Kenapa majlis bertunang kat rumah pihak lelaki? Bukankah selalunya kita buat di rumah pihak perempuan?” Mikhail memang pelik memikirnya idea mama dan papanya yang satu itu. “Bukankah Mikh dah memang bertunang dengan tunang Mikh tu? Tak ingat mama dan papa pergi beberapa minggu lepas, yang Mikh kononnya banyak kerja tak dapat nak ikut?” Mikhail menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal itu. Terkena dengan kata-kata ibunya yang sememangnya terbukti betul. “Jadi, majlis malam esok hanya nak perkenalkan dia dengan ahli keluarga kita. Mikh pun belum kenal dia kan?” Mikhail hanya menganggukkan kepala mengiakan kata-kata mamanya.

“Insyaallah, mama tahu pilihan anak mama. Trust me, Mikhail. She’s the one that suit you very well.” Mikhail hanya tersenyum sambil memeluk bahu mamanya. Sambil memejamkan matanya, terbayang wajah comel Fatihah beberapa hari yang lepas. Debaran yang dirasakan semenjak dia melihat wajah gadis itu dari jarak yang begitu dekat masih dirasakan sehingga ke hari ini. “Mama, hanya Fatihah yang Mikh inginkan menjadi isteri Mikh.” Kata-kata tersebut hanya mampu diucapkannya di dalam hatinya.

*                                             *                                             *

Fatihah bersalaman sambil mencium pipi kedua orang tuanya. Sungguh dia begitu gembira melihat kegembiraan yang jelas terpancar di wajah kedua orang tuanya itu. Kalaulah dengan menurut pilihan mereka dia mampu melihat senyuman lebar kedua orangtuanya, dia sanggup untuk berkahwin dengan lelaki yang langsung dia tidak kenali. Adiknya Farah dan Fauzi juga jelas kelihatan gembira dapat menjejakkan kaki ke kotaraya Kuala Lumpur yang sememangnya menjadi impian mereka berdua. Sejak dari dulu lagi, kedua-dua orang adiknya menyuarakan hasrat untuk tinggal bersamanya di Kuala Lumpur. Tapi, mengenangkan diri yang kurang berkemampuan, dia tidak dapat merealisasikan impian mereka. Lantas, kehadiran mereka kali ini akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk membawa mereka meronda sekitar Kuala Lumpur.

“Kak Yong, bila kita nak pergi jalan-jalan ni?” Soalan Fauzi mencetuskan gelak Fatihah. Dia faham keterujaan adiknya untuk melihat kecanggihan kota metropolitan itu. “Poji nak pergi mana hari ni?” Fatihah menggosok-gosok kepala adiknya yang sedari tadi tersengih memandangnya. “Poji nak pergi mana?” Sekali lagi dia mengulangi soalannya apabila melihat adiknya agak serba salah untuk bersuara. “Poji nak pergi KLCC, nak pergi akuaria.” Terkejut Fatihah mendengar permintaan adiknya itu. Memang jelas adiknya membuat kajian  sebelum pergi ke sini. Kalau tidak, masakan dia tahu akuaria di dalam KLCC. Fauzi dan Farah melompat kegembiraan menlihat anggukan Fatihah. Kedua-duanya berlari menuju ke arah bilik masing-masing setelah diarahkan bersiap oleh ayah mereka.

“Ibu, baiknya bakal besan ibu. Siap sediakan rumah sebesar ini untuk kita.” Fatihah memeluk bahu ibunya. Betapa dia rindu untuk bermanja sebegitu rupa dengan ibunya. “Insyaallah, bakal suami Fatihah pun baik.” Senyuman penuh makna kedua ibubapanya mengundang rasa curiga Fatihah. Dia pelik melihat kedua orang tuanya sangat gembira dengan senyuman masing-masing yang tak lekang daripada bibir sedari dia sampai tadi. Masakan Tuah yang meminang dia, sebab sebelum ini,  ibunya tak pernah segembira ini apabila ada perkara-perkara yang melibatkan Tuah.

            Dulu dia pernah membawa Tuah balik ke kampung untuk diperkenalkan kepada kedua orang tuanya. Layanan ibu dan ayahnya terhadap Tuah memang baik, tapi riak keduanya seperti tidak merestui hubungan keduanya. Mungkin benar kata orang, firasat ibu selalunya betul. Tidak lama selepas dia membawa Tuah balik ke kampung, terjadi peristiwa yang sebolehnya mahu dia lupuskan daripada kotak ingatan.

“Hai Fatihah, melamun bayangkan wajah bakal menantu ibu ke?” usikan ibunya membuatkan Fatihah tergelak kecil. Hatinya berdebar sejak semalam lagi, dan tinggal tidak sampai 24 jam lagi dia akan berkenalan dengan tunangannya. Ibunya ingin menunjukkan gambar tunangnya yang dikatakan adiknya sangat handsome itu, tetapi dia berkeras tidak mahu melihat gambar tersebut. Biarlah segala-galanya terjawab malam esoknya. Sekarang, dia punya misi membawa ahli keluarganya berjalan-jalan sekitar Kuala Lumpur.

*                                  *                                  *

              Akhirnya, masa yang ditunggu tiba juga. Mikhail kaku memandang figuranya sendiri di hadapan cermin di biliknya. Dia tidak yakin, apakah keputusannya menurut segala permintaan mamanya ini keputusan terbaik untuknya. Dia masih fobia untuk menjalinkan hubungan serius dengan insan bergelar wanita. Namun, apabila terkenangkan insiden beberapa hari lepas di tasik Titiwangsa, dia amat berharap Fatihah betul-betul tunangnya seperti yang dia nyatakan pada Tuah. Serta-merta senyuman terukir apabila nama Fatihah meniti di bibirnya.

            “Amboi, bahagia nampak?” sergahan kak Nuha mematikan senyuman Mikhail. Kakaknya itu, tidak lain tidak bukan hanya mahu mengusiknya mengenai tunangan yang langsung dia tak ambil peduli. “Wah, cantik akak Mikh malam ni. Perut tu nampak buncit je.” Mikhail tergelak melihat kakaknya mencuka mendengar komen bersahaja daripadanya. “Mikh ni kan, saja je. Tau la akak kene buatan abang Imran kau. Tak payah la nak sebut-sebut buncit tu.” Mikhail mengaduh apabila telinganya dipiat kak Nuha.

           Suara gelak di pintu bilik Mikhail menyedarkan Mikhail dan kakaknya yang bergaduh sedari tadi. Handsomenya anak mama malam ni.” Kata-kata mamanya disambut dengan senyuman tawar Mikhail. Dia sendiri tidak faham gelojak hatinya yang ingin tampil sempurna di mata tunangnya, walaupun dia tidak yakin dia mampu meneruskan perhubungan mereka nanti. “Nuha kenapa tak tolong Imran melayan tetamu kat bawah? Mikh, kejap lagi Pak Leman datang dengan keluarga baru kita. Mikh dah ready belum?” Soalan tersebut menambahkan debaran di hati Mikhail. Dia tidak boleh bayangkan bagaimanakah gadis pilihan kedua orang tuanya. Kalaulah kawan-kawannya tau yang dia dijodohkan dengan pilihan orang tuanya, pasti dia menjadi mangsa ejekan mereka.

           “Mama, tetamu istimewa mama dah sampai.” Puan Sri Hamidah dan anak-anaknya Mikhail dan Nura masing-masing menoleh ke arah Imran yang sedang tersenyum lebar. Debaran di hati Mikhail semakin terasa. Nura segera mendekati suaminya setelah mencubit pipi adiknya, yang nyata kelihatan pucat. Baru sahaja Nura ingin bersuara memerli adiknya, mamanya terlebih dahulu meletakkan jari di mulut sebagai isyarat supaya tidak berkata apa-apa. Imran pula menarik isterinya untuk turun bersamanya melayan tetamu yang tiba sedari jam 8 malam tadi. Dia tahu ibu mertuanya mahukan ruang bersama Mikhail sebelum Mikhail dipertemukan dengan tunangnya.




Wednesday, September 26, 2012

Kek Span 9cm


Kaki melangkah laju. Takut tertinggal keretapi terapung yang selalunya tidak akan menunggu penumpang. Keretapi terapung, itu gelaran yang emak aku berikan untuk perkhidmatan seperti LRT mahupun monorel. Hari ini aku terbangun lambat. Semuanya gara-gara menonton siaran langsung Portugal lawan Sepanyol yang berakhir dengan kekalahan Portugal. Akibat kecewa, aku tertidur hingga hampir terlajak waktu Subuh. 

          Sampai di mesin untuk membeli token keretapi, baru perasan yang aku tertinggal beg sandang yang selalu aku usung ke sana ke mari. Dalam tak sedar, aku terduduk di depan mesin membeli token. “Dik, tak cukup kerusi ke sampai duduk kat sini?” Suara sinis di belakang membangunkan aku. Sungguh, kenapalah hari ini jadi hari yang menyebalkan begini?

          Tanpa menoleh ke arah sesiapapun, aku berjalan ke arah jejantas yang disediakan untuk pejalan kaki. Fikiran berserabut sama sesaknya seperti jalan raya di bawah jejantas. Ada bas yang cuba menghimpit kereta-kereta yang jelas tidak mau memberi ruang buat kotak besar itu menyelit. Kenapalah bandar berlumpur ini sentiasa sesak?

          Aku menyeluk pokek. Ada wang kertas aku rasa. Hati berbunga kembali. Aku tarik perlahan sambil membayangkan itu duit not sepuluh ringgit minggu lepas yang aku lupa keluarkan daripada kocek seluar. Resit bayaran? Resit bayaran aku beli Colgate di Jaya Jusco semalam. Eh, sebenarnya ubat gigi jenama Safi. Apalah nasib aku hari ini. Termenung lagi. Malas mau memikirkan masa yang memang tak boleh aku undur kembali. Pekikan Yuna menandakan ada insan menghubungi telefon pintar aku. “Ya, aku tau. Bagi aku lagi setengah jam. Macamlah kau tak biasa kan?” Selebihnya, hanya anggukan dan deheman.

          Berpaling dan mau berpatah balik ke rumah untuk mengambil beg sandang. Mau saja aku menyumpah dia yang tiba-tiba muncul di sebelahku. Mana tidaknya, kotor seluar jeansku dek tumpahan kek coklat di tangannya.“Maaf kak, saya tak sengaja,” suara takut-takut itu mematikan amarahku. Diam. Aku pandang dia, dia pandang bawah. Sah, dia memang takut. Rasa nak marah terus lebur. Ada sesuatu yang tidak enak aku rasakan.

          Aku tunggu hingga dia mengangkatkan muka. Sah! Dia memang tengah nangis. “Kenapa dik?” “Kek itu untuk mak saya. Tapi dah jatuh.” Aku terkedu. Air mata serasa mau tumpah. Bukan sebab budak perempuan comel depan aku. Apatah lagi sebab mak dia. Aku rasa nak nangis sebab kek dia jatuh. “Tak pe. Nanti akak beli yang baru. Jom, ikut akak balik rumah jap. Amik duit.” Haha. Aku nampak muka terkejut budak perempuan comel. Aku hulur tangan, dia sambut. Aku dan dia melangkah menuruni jejantas. Aku diam, dia pun diam. Diam sehingga kami sampai ke rumah sewaku.

         Aku tinggalkan dia Iuar rumah. Seusai menukar jeans baru dan mengambil beg sandang, aku kembali memimpin dia ke arah stesen keretapi terapung. Dia masih diam. Aku juga malas mau memujuk dengan sebarang kata-kata.

         Sampai di satu outlet menjual kek, aku belikan dia sebiji kek seberat 1kg. Aku yakin dia mampu membawanya balik ke rumah. “Kak, kek saya kecik je. Ni besar sangat, nanti saya tak mampu bayar.” Aku hanya tersenyum. Sebelum melangkah membeli token untuk ke destinasi sebenar, aku suarakan pada dia, “Ini hadiah untuk adik dan mak adik. Kirim salam pada dia.” Kali ini aku kesat airmata budak perempuan comel itu. Aku selitkan duit not RM50 dalam kocek seluarnya yang hampir lusuh. Aku tidak peduli pada mata-mata yang memandang sebab budak perempuan comel itu memang popular di stesen ini. Dia dan maknya antara penjaja sayur yang saban hari menjual ulam-ulaman di bawah stesen, menyambut para pelanggan yang rata-rata baru balik kerja. Yang hampir kesemuanya mencari makanan segera atau yang goreng-goreng untuk mengisi perut lapar.

          Aku teruskan perjalanan. Membeli token, berjalan ke arah platform dan menunggu keretapi terapung aku. Sempat aku melambai dan menghadiahkan senyuman buat budak perempuan comel tadi. Aku yakin dia nampak aku kabur, sebab dia tengah nangis.

          2 minit, keretapi masih belum kelihatan. 5 minit, manusia semakin ramai. Nasib baik ini antara stesen yang hujung, maksudnya akan ada banyak bangku kosong di dalam gerabak nanti. 7 minit, aku berjaya masuk ke dalam gerabak paling hujung. Aku pilih kerusi yang paling hujung, di sebelah seorang pakcik tua yang mukanya sangat menggerunkan. Aku senyum, dia tengok pelik. Oh!

          Aku belek jam tangan, hadiah daripada nenek. Ada lagi setengah jam untuk sampai ke stesen Masjid Jamek. Masih banyak waktu untuk aku memikirkan apa yang aku akan bentangkan sebentar nanti kepada Nona. Tiada sebarangan pertunjukan slaid, tiada sebarang lakaran. Hanya kata-kata akan aku persembahkan nanti.

          Budak perempuan comel tadi. Dia buatkan aku teringat zaman kanak-kanak aku dahulu. Kisah aku dan kek span 9cm. Kenapa 9cm? Itu ukuran untuk sepotong kek, bak kata adik aku. Aku masih ingat waktu itu. Saat pertama aku lihat airmata ayah.

                                             *                          *                          *

          Petang itu, aku ajak Zu ke kedai kek. Di tangan tergenggam kemas duit hasil tabungan kami sejak minggu lepas. Hajat itu mesti dilaksanakan hari ini juga. Tinggal beberapa langkah lagi, aku tanya Zu, “Agak-agak berapa harga kek tu ye? Harap-harap tak mahal sangat.”

           “Entahla kak. Kalau tak silap, minggu lepas tengok RM2.80. Harap-harap tak naik harga.” Aku kira duit syiling yang ada. 20 sen, 1 ringgit, 2 ringgit setengah, 3 ringgit. “Kita ada RM3 je, dik. Kalau tak cukup, kita beli benda lain je la. Boleh, kan?”

          Aku tengok Zu dah nak nangis. “Nak beli apa kak? Nak sambut hari jadi kena la beli kek. Tak ada kek nak sambut dengan apa?” Aku diam. Malas mau memujuk Zu sebab hati sendiri pun tak terpujuk aku rasa. Masuk saja kedai kek Cina tu, aku bau aroma yang sangat sedap. Memang itu kedai kek yang paling laku dan popular di kampung kami. Kedai Kek Cindy. Zu terus menarik aku untuk melihat ke dalam cermin kaca. Ada banyak jenis kek yang terhidang.

          Kek perisa coklat, strawberi, pisang, blueberi dan pandan. Aku tengok muka gembira Zu. Aku tengok tanda harga pada setiap kek. Satu hirisan bersamaan RM2.80. Alhamdulillah. Tercapai hasrat ada kek hari jadi.

          Tauke kek terus melayan kami ala kadar. Budak-budak yang beli kek span 9cm, apa yang dia nak herankan. Aku sempat tarik nafas panjang sebelum keluar kedai. Nak merasa kek dengan baunya. Sedap! Baki syiling 20sen aku masukkan dalam kocek seluar. Basikal merah aku kayuh dengan Zu membonceng di belakang. Dalam fikiran dah terbayang muka gembira mak, ayah dan adik-adik. Hari ini ada kek hari jadi.

          Sampai di halaman rumah, aku lihat mak sedang mengangkat baju di jemuran. Aku lambai, sambil tunjukkan kotak kek di tangan Zu. Mak tersenyum. Betul gambaran aku tadi. Mesti mak gembira. Masuk ke rumah, ayah tengah baring di ambal. Mungkin penat seharian berkebun menanam jagung. Adik-adik pula tengah bermain dengan congkak buatan ayah. Kayu panjang yang dilubangkan 16. Guli pula digantikan dengan batu yang aku pungut di tepi jalan.

          “Kak, cepat la. Adik kira 1,2,3 kita nyanyi sama-sama tau.” Zu nampak sangat teruja. Begitu juga Yaya dan adik bongsu, Boboi. Satu… Dua… Tiga…

          “Selamat hari jadi, selamat hari jadi, selamat hari jadi ayah, selamat hari jadi!” Kek sebesar 9cm aku halakan ke muka ayah. Ganjarannya, pipi aku dapat ciuman daripada ayah. Begitu juga Zu, Yaya dan Boboi. Ciuman tanda terima kasih. Aku tau, ayah dan mak mesti rasa terharu. Sebab aku nampak mak kesat air mata walaupun dia cuba tersenyum depan kami semua.

           Kek 9cm itu mak bahagikan kepada enam bahagian. Cukup sekali suap, kek tadi hilang daripada pandangan. Selamat masuk ke perut masing-masing.

                                          *                          *                          *


          Kek span 9cm, perisa coklat. Kek hari jadi pertama dalam keluarga kami. Mungkin tiada makna bagi sesetengah orang. Tapi, yang pertama itu selalu jadi yang paling indah. Aku dapat rasakan perasaan itu sampai sekarang. Jadi, mesti korang dah faham kenapa aku bagi budak perempuan comel tadi kek 1kg, kan? Sebab aku tau macam mana perasaan ada kek hari jadi 9cm.

         Aku telek jam. Dah sejam berlalu. Sepatutnya aku dah sampai ke Pasar Seni. Tapi, kenapa aku masih duduk dalam keretapi terapung ni? Shit! Aku terlajak stesen. Sekarang dah pun sampai ke stesen Kelana Jaya.

          Aku bergegas bangun. Memastikan beg sandang di belakang, aku terus meluru keluar. Menunggu kedatangan keretapi satu lagi untuk bawa aku kembali ke stesen Pasar Seni yang dah terlepas tadi. Sambil menunggu, aku didatangi seorang lelaki kacak. Bertanyakan arah nak ke Central Market. Aku katakan arah kami sama. Dia mengajak aku berborak. Nama dia Mika. Orang Kuala Lumpur, tapi tak pernah naik keretapi. Mungkin anak orang kaya agaknya.

          Kami bersembang mesra sampai masuk ke dalam keretapi, sampai ke stesen Pasar Seni. Kami berjalan sama-sama ke arah Central Market yang dia tanya tadi. Hampir berpisah, dia minta aku tunggu dia. Katanya mau ambil sesuatu.

            5 minit aku tunggu.

          Mika datang balik. Kali ini ada kotak kek di tangannya. Kenapalah hari ini aku asyik bertembung dengan manusia dan kek. Mika bagi aku kek Secret Recipe. Dia kata, makan nanti. Muka aku pucat, patut makan kek yang manis, biar manis katanya. Aku senyum. Lepas ucap terima kasih, aku berjalan ke arah stesen bas. Mesti aku kena marah dengan Nona. Dah lama dia tunggu aku.

          Dalam perjalanan ke arah Nona, aku buka kotak kek yang Mika bagi. Sebetulnya, aku tengah lapar. Sepotong kek coklat indulgence yang memang aku gemar. Sebaik buka kotak kek, aku nampak ada 10 angka tertulis dalam kotak di bahagian atas. 10 angka beserta nama MIKA. Di bawahnya tertulis, “Rasa kek mungkin hilang selepas awak habiskan kek ini. Tapi apa yang awak rasa sekarang akan kekal untuk satu tempoh masa yang lama. Call saya.”

          Aku pandang kek coklat pemberian Mika. Oh, kek span 9cm!

Saturday, September 22, 2012

Kembara Mencari Cinta: 4

Kembara Mencari Cinta : 1
Kembara Mencari Cinta : 2
Kembara Mencari Cinta : 3

Bila sendiri, rasa aneh itu terkadang muncul hingga mampu menerbitkan air mata. Derita.
Seringkali diri terasa kuat bila berada di kalangan mereka. Gembira yang berpura.
Namun, terasa diri lemah selemahnya bila saja tinggal sendirian saja. Hampa, kecewa.

Pegang telefon genggam. Lepas. Pegang lagi. Tekan papan kekunci. Padam. Tekan-tekan lagi. Padam.

Nama yang dah lama tertulis dalam hati, masih degil, tak mau terpadam.
Rasa aneh itu pun masih belum boleh dihadam.
Padam!

Setulus Cinta Zulaikha: 1


“Seperti yang telah saya katakan pada awal kuliah tadi, penyelidikan adalah sesuatu yang sangat menyeronokan, di mana kamu akan mendapat pelbagai jawapan kepada persoalan kajian yang telah kamu tentukan pada awal penyelidikan. Kadangkala, jawapannya tidak seperti yang kita kehendaki, tetapi itulah faktanya. Jadi, saya harap kamu semua dapat membuat tugasan yang telah saya berikan dengan seronok dan sehabis baik,” Zulaikha menamatkan kuliahnya dengan memberikan tugasan ringkas kepada para pelajarnya. 
Ok guys, now I want all group leaders to come forward and please write down the title of your group’s study in the provided column. And, the rest, any question?” Kuliah hari ini adalah mengenai langkah-langkah asas dalam membuat sesuatu penyelidikan yang menjadi asas kepada segala kerja-kerja penyelidikan yang akan dilakukan oleh para pelajarnya sepanjang semestar ini nanti. Tugasan yang diberikan adalah sebagai latihan buat pelajarnya mengaplikasikan ilmu yang baru sahaja mereka pelajari. Dia tidak mahu pelajarnya hanya menghafal nota untuk menjawab peperiksaan nanti. Sebaik-baik pembelajaran adalah secara praktikal, di mana aplikasi daripada ilmu menjadikan kita lebih memahami sesuatu ilmu itu sendiri.
            Miss Zulaikha, program kita hujung bulan ini macam mana? Setakat ini hanya ada lima orang yang berminat mahu ikut serta. Selebihnya langsung tidak memberi sebarang jawapan. Apa perlu kita buka penyertaan kepada pelajar-pelajar kelas lain?” soalan daripada Johan, salah seorang pelajar yang aktif di dalam kelas mendapat perhatian beberapa orang pelajar yang lain. Namun, tidak bagi sesetengah yang lain. Muka yang agak bosan ditayangkan tanda mereka kurang menyenangi soalan tersebut.
            “InsyaAllah, semuanya akan berjalan lancar. Semalam saya sempat melawat Raudhatul Jannah dan kesemua adik-adik di sana nampaknya sudah tidak sabar-sabar mahu menerima kehadiran kakak-kakak dan abang-abang kelas saya ni. Bagaimana persiapan yang Johan dan yang lain-lain? Perlukan sebarang bantuan daripada saya?” Soalan Zulaikha mendapat perhatian Johan yang segera membuka buku catatannya.
            “Alhamdulillah semua berjalan lancar, miss. Cuma tinggal persiapan untuk kuiz dan games yang belum siap sepenuhnya. InsyaAllah nanti kami akan buat perbincangan lagi untuk mencari yang terbaik.” Penerangan Johan mengundang senyuman di wajah Zulaikha. Ternyata tidak silap dia menyerahkan tugasan selaku Pengarah Program kepada Johan.  
“Terima kasih, Johan. Jadi, siapa yang akan ikut serta untuk program ‘Rumahku Syurgaku’ nanti?” soalan Zulaikha itu mengundang pelbagai reaksi daripada pelajarnya. Ada yang menayangkan muka teruja dengan anak mata yang makin membesar. Ada yang menekan-nekan telefon pintar masing-masing tanda malas mahu masuk campur dalam perbincangan yang tengah diadakan.
            “Bosanlah program macam ini, miss. Apa yang kita dapat kalau buat program-program kebajikan sebegini? Baik kita buat aktiviti main bowling ke, pergi makan angin ke. Boleh la juga melawat tempat-tempat best. Bak kata orang, jauh perjalanan, luas pemandangan.” Kenyataan daripada salah seorang pelajarnya membuatkan Zulaikha beristighfar dalam hati. Sesungguhnya dia bersimpati kepada pelajar tersebut. “Ya Allah, Kau lembutkanlah pintu hatinya untuk lebih bertanggungjawab dalam menjalankan amanahnya dalam kehidupan ini,” doa itu dia titipkan di dalam hatinya penuh keinsafan.
            “Saya setuju, miss. Tak seronoklah program sebegini.  Apa faedahnya buat program dengan anak-anak yatim? Bukannya boleh menjana sebarang pendapatan, apatah lagi keuntungan.” Tersungging senyuman di bibir Zulaikha tanda menutup rasa ralat di dalam hati. Cepat-cepat dia beristighfar di dalam hati. Dia tidak berkecil hati dengan soalan-soalan sebegini kerana dia tahu para pelajarnya masih keanak-anakan dan dalam proses belajar tentang makna sebuah kehidupan.     
“Tapi, saya rasa tak salah kalau kita hiburkan hati mereka yang kurang bernasib baik. Betulkan, miss?” Pertanyaan  Johan itu mengundang ketawa beberapa orang pelajar. Johan memberikan mimik muka tidak puas hati kepada rakan-rakannya yang seakan-akan mengejek dirinya. Saiful yang duduk di sebelah Johan sempat menepuk-nepuk lembut bahu Johan tanda sokongan kepada Johan yang nampak begitu bersemangat dengan program tersebut.
            Guys, saya tidak pernah memaksa sesiapa untuk menyertai saya dalam program hujung bulan ini. Terpulang kepada sesiapa yang mempunyai kelapangan dan kesudian untuk berkongsi sedikit masa dan kasih sayang bersama mereka yang kurang bernasib baik.” Zulaikha meliarkan matanya melihat wajah para pelajarnya yang khusyuk menanti butir bicara selanjutnya daripadanya.
Di sebalik pintu kuliah yang separuh tertutup, terpacak tegak Dr Mikhail. Kebetulan dia baru sahaja selesai menyampaikan kuliah di kelas sebelah. Memang dia begitu mengagumi kesabaran Zulaikha dalam mendidik pelajarnya. Tidak pernah selama ini ada pensyarah yang menyelitkan unsur-unsur kemanusiaan dalam setiap kuliah seperti Zulaikha. Dia sendiri tidak mampu berbuat demikian kerana kurang gemar melayan ragam pelajar yang pelbagai. Lagipula, bidang pendidikan ini bukanlah bidang pilihannya. Masih terbayang-bayang di matanya bagaimana kejadian membuatkan dia yang begitu cintakan dunia kedoktoran mengambil keputusan nekad melangkah ke dunia pendidikan selepas lima tahun berkhidmat di salah sebuah hospital kerajaan di utara tanah air.
Kejadian yang mengubah kehidupan keluarganya, yang menjadikan dia Dr Mikhail yang sekarang. Seorang doktor yang seboleh-bolehnya tidak mahu menjejakkan kaki ke mana-mana hospital untuk memberi khidmat sebagai seorang doktor. Sebab itulah dia memilih untuk menjadi pendidik, sesuatu yang sebelum ini memang tiada langsung dalam senarai kerjaya yang dia inginkan. Tapi, takdir Allah tiada siapa yang dapat menyangkal. Kini, dia mula mencintai dunia pendidikan sedikit demi sedikit. Apatah lagi, setelah mengenali gadis seperti Zulaikha, seboleh-bolehnya dia mahu membuktikan bahawa dia seorang pendidik yang baik dan berdedikasi.
Suara Zulaikha mematikan lamunan Dr Mikhail. “Aishah, kamu milik siapa?” Zulaikha bertanyakan soalan mudah itu kepada salah seorang pelajarnya. “Mak ayah saya, miss.” Penuh yakin Aishah menjawab soalan tersebut. Zulaikha tersenyum.
            “Dengarlah kelentong Aishah itu, miss. Sebenarnya dia nak jawab milik kekasih dia.” Kenyataan Khairul itu menggamatkan kelas yang dihadiri seramai 25 orang pelajar itu. ternyata kenyataan itu begitu mengujakan hati anak-anak muda itu. Walaupun masa kuliah telah pun tamat, namun semua masih belum mahu berganjak dari dalam kelas tersebut. Masing-masing ingin tahu jawapan kepada persoalan yang dilontarkan Zulaikha.
            “Siapa yang jawapannya sama dengan Aishah?” Soalan Zulaikha mendapat jawapan dengan hampir kesemua pelajar mengangkat tangan ke atas. Sekali lagi Zulaikha tersenyum ke arah pelajarnya. Begitulah dia suatu masa dahulu, sentiasa bersemangat di dalam kelas apabila ada sahaja soalan yang terkeluar daripada skop pembelajaran daripada pensyarah kesayangannya, Dr Sharifah. Bukan kerana bosan dengan isi kuliah yang disampaikan, tapi sebagai tindak balas kepada provokasi pensyarah yang mahu menghilangkan kantuk para pelajar. Dia sendiri kini terikut-ikut gaya pensyarahnya itu.
            “Ok, kalau begitu siapa pemilik ibu dan ayah kamu semua?” Kelihatan para pelajar berbisik sesama sendiri. Mereka seperti kurang yakin dengan jawapan masing-masing. Situasi ini mengingatkan Zulaikha kepada situasi di dalam kelas agama yang dihadirinya di Raudhatul Jannah semasa dia masih di sekolah menengah lagi. Dia sendiri tidak tahu jawapan kepada soalan tersebut kerana kedua ibubapanya telah meninggalkan dia seorang diri di dunia yang fana ini. Untuk bertanya kepada siapapun mengenai kedua orang tuanya dia tidak tahu kerana dia sendiri sememangnya tidak mengetahui samada masih mempunyai saudara mara ataupun tidak. 
            Guys, sebenarnya saya, kamu semua, ibu bapa saya, dan ibu bapa kamu semuanya milik Allah S.W.T. Kamu hanya pinjaman oleh Allah kepada kedua orang tua kamu, begitu juga orang tua kita adalah pinjaman daripada Allah kepada kita semua. Jadi, kenapa kita mahu membeza-bezakan sesama kita? Perrnah atau tidak kamu semua terfikir kemungkinan, suatu masa nanti kamu akan kehilangan mereka yang sangat kamu sayang? Lagipula, tadi telah saya katakan bahawa kesemua yang ada di muka bumi ini hanyalah pinjaman semata-mata. Setiap yang dipinjam, harus dipulangkan kepada pemiliknya. Apa kamu tidak malu meminjam sesuatu barang tanpa mengembalikannya kepada tuannya?” Zulaikha terhenti seketika saat menuturkan kata-kata itu.
Sungguh hatinya merasa pilu. Terkenang nasib diri yang dilahirkan tanpa mengenali kedua orang tuanya. Bukan mudah untuk dia menerima hakikat diri yang tidak sesempurna insan lain. Pernah terlintas di fikirannya betapa malangnya dia dilahirkan tanpa merasai sebuah keluarga yang lengkap. Namun, dia sedar setiap kejadian itu pasti ada hikmahnya. Teringatkan Rasulullah S.A.W yang dilahirkan sebagai anak yatim ternyata mezahirkan keinsafan buatnya. Segera dia berdoa kesejahteraan kedua ibubapanya di dalam hati.
            “Apa kaitan program kita hujung bulan ni dengan semua yang miss katakan tadi?” Soalan Amri disambut dengan anggukan oleh beberapa orang pelajar lain. Masing-masing menantikan jawapan daripada Zulaikha. Zulaikha menatap wajah-wajah yang penuh tanda tanya di hadapannya. Sebuah senyuman dihadiahkan kepada pelajarnya.
            “Barang siapa yang meringankan satu beban kehidupan orang muslim lainnya, Allah akan menghilangkan satu bebannya di akhirat. Barang siapa yang memudahkan satu urusan orang yang sedang kesusahan, Allah akan memudahkan urusannya baik di dunia maupun akhirat. Allah akan menolong hamba-Nya, selagi dia menolong temannya.” Zulaikha menyampai sebuah hadith yang sering ummi bacakan padanya.
            “Bukankah amalan mulia sekiranya kita saling berkongsi kasih sayang, tolong menolong sesama insan? Tak kiralah siapa pun dia. Saling berkongsi segala pinjaman yang Allah berikan kepada kita, kerana kasih sayang itu juga satu pinjaman yang sangat besar maknanya. Sangat besar ganjarannya bagi mereka yang menghiburkan hati mereka yang telah pun kehilangan ibu atau bapa atau kedua-duanya. Jangan sampai saat kita kehilangan baru kita merasa manisnya sebuah kemesraan.” Jawapan panjang lebar itu mendapat respon yang baik daripada para pelajarnya. Ada yang tersenyum, dan tidak kurang juga yang berkaca matanya. Masing-masing ada jalan cerita kehidupan yang tidak mungkin sama antara satu sama lain. Bagi Zulaikha, kata-katanya sebentar tadi adalah peringatan buat dirinya juga.
            ”Saya percaya, semua di sini mempunyai sekeping hati yang suci. Pasti tidak sanggup melihat ahli keluarganya dalam kesedihan mahupun kesusahan. Pernah dengar pasal hukum karma? What you give, you get back? Kamu percaya, kalau saya katakan apabila kamu berbuat suatu kebaikan kepada seseorang, kamu akan mendapat balik kebaikan yang kamu berikan tadi?” Sengaja Zulaikha mengemukan perkara tersebut untuk melihat tindakbalas para pelajarnya.
            “Tapi miss, ada saja yang berhati baik dan selalu melakukan kebaikan. Tapi, selalu dibuli dan mendapat layanan yang buruk daripada orang yang dia berbuat baik,” jawapan Khairul mendapat sokongan daripada beberapa orang pelajar yang lain. Mungkin ada yang mempunyai pengalaman sebegitu barangkali.
“Ya, saya faham apa yang kamu maksudkan. Tapi pernah atau tidak kamu melakukan sesuatu kebaikan tanpa mengharapkan sebarang pujian mahupun balasan? Berbuat sesuatu kebaikan, biarlah ikhlas dan bukan dengan tujuan menunjuk-nunjuk bahawa kita orang baik. Apabila kita ikhlas melakukan kebaikan, pasti akan ada perkara baik yang datang kepada kita. Sekiranya orang yang kita berbuat baik melakukan yang sebaliknya kepada kita, insyaAllah akan datang kebaikan daripada orang lain sebagai gantinya. Kadangkala, daripada seseorang yang langsung tidak pernah kita duga,” Zulaikha berhenti seketika untuk melihat reaksi para pelajarnya.
“Sekiranya kejahatan dibalas dengn kejahatan, itu perkara biasa. Seandainya kebaikan dibalas dengan kejahatan, itu juga perkara biasa. Andai kata kebaikan dibalas dengan kebaikan, itu juga adalah perkara biasa. Tetapi, sekiranya kejahatan dibalas dengan kebaikan, maka itu luar biasa. Dan mereka yang berjaya dalam apa jua bidang yang dia ceburi adalah mereka yang bertindak luar biasa dalam menghasilkan keputusan yang juga luar biasa,” sengaja Zulaikha menyelitkan sedikit unsur motivasi untuk menaikkan semangat pelajarnya untuk turut serta dalam aktiviti yang telah dia bincangkan bersama dekan kolej sebelum ini.
“Ok miss, kami semua akan ikut serta dalam program itu nanti.” Kata-kata penuh semangat daripada Khairul itu mendapat persetujuan daripada rakan-rakannya. “InsyaAllah.” Ringkas keluar daripada mulut Zulaikha, kerana dia tahu semuanya masih dalam perancangan. Seteliti mana pun sesuatu perancangan itu, semuanya akan terlaksana atas izin-Nya jua.
Okey, guys. Saya rasa sampai di sini sahaja pembelajaran kita hari ini. See you tomorrow. Assalamualaikum,” kata-kata yang acap kali Zulaikha gunakan tanda sudah tiba masa untuk bersurai. Para pelajar beransur-ansur keluar, menuju ke destinasi masing-masing. Barangkali mencari kedai makan paling sedap, kerana pasti masing-masing kelaparan setelah sepanjang pagi duduk di dewan kuliah. Zulaikha mengemaskan buku-buku dan laptop yang digunakan untuk mengajar sebentar tadi. Para pelajar beransur meninggalkan bilik kuliah sambil mengucapkan terima kasih kepada Zulaikha.
Zulaikha yang baru sahaja ingin meninggalkan kelas terhenti mendengar seseorang memanggil namanya. Dia tersenyum kepada Dr Mikhail, salah seorang pensyarah perubatan di kolejnya. Sebagai tenaga pengajar, mereka selalu bekerjasama dalam menjalankan tugas sebagai pendidik anak bangsa.
“Tadi saya dengar ada program hujung bulan ini. Program apa sebenarnya, Zulaikha?” Ternyata Dr Mikhail berminat untuk mengetahui perkara tersebut selepas mendengar soal jawab Zulaikha bersama pelajarnya sebentar tadi. Barangkali ada bantuan yang boleh dia hulurkan bagi menjayakan program tersebut.
“Program Rumahku Syurgaku bersama anak-anak yatim di Raudhatul Jannah.” Ringkas jawapan Zulaikha bersama senyuman yang sentiasa mekar di bibirnya.
            “Aktif Zulaikha dengan rumah kebajikan itu.” Kagum Dr Mikhail mendengar jawapan Zulaikha. Itu bukan pertama kali dia mendengar program yang seumpamanya dianjurkan oleh Zulaikha semenjak dia bergelar pensyarah di kolej tersebut. Malah, dia mula mengenali gadis itu pun melalui sebuah program konsert amal anjuran kolejnya di Raudhatul Jannah. Masih dia ingat lagi bagaimana Zulaikha bekerja keras bagi merealisasikan program yang ternyata menuntut banyak tenaga dan usaha bagi menjayakannya.
            “Rumah itu atas usaha keras ummi dan abi. Jadi, sudah menjadi tugas saya untuk membantu sehabis daya mengembangkan apa yang telah mereka usahakan.” Abinya, Dato’ Roslan merupakan seorang usahawan Melayu yang berjaya. Namun, tidak ramai yang mengetahui di sebalik kejayaannya itu, dia memiliki sebuah rumah kebajikan yang kini menempatkan 50 orang anak-anak yatim. Ini kerana abinya seorang yang sangat merendah diri dan tidak suka menceritakan kebaikan diri sendiri. Sikap inilah yang menjadi ikutan Zulaikha semenjak kecil lagi.
            “Saya ikut serta boleh?” Muka penuh pengharapan Dr Mikhail dipandangnya seketika cuma. Dia begitu kagum dengan kesanggupan Dr Mikhail yang selalu membantunya dalam hampir setiap program yang dilaksanakan. Bukan dia tidak tahu situasi Dr Mikhail yang sentiasa sibuk dengan kuliah dan latihan praktikal para pelajarnya di setiap hujung minggu.  
            “InsyaAllah, tidak menjadi masalah, malah saya sangat berbesar hati sekiranya Dr boleh turut serta.” Jawapan Zulaikha mengundang senyuman Dr Mikhail. Baru dia hendak membuka mulut mengajak Zulaikha makan tengah hari, Aishah datang menghampiri mereka. Aishah antara pelajar yang gemar bertanya soal akademik kepada para pensyarahnya. Maka, tidak hairanlah jika dia sering mendapat keputusan yang baik dalam pelajarannya.  
            “Baiklah Dr Mikhail. Saya kena beransur dulu, ada perkara yang ingin kami bincangkan. Mengenai tentatif program itu nanti saya emelkan kepada Dr. Assalamualaikum.” Zulaikha melangkah bersama Aishah meninggalkan Dr Mikhail.
            “Ada apa, Aishah?” Soalan Zulaikha setelah melihat Aishah yang teragak-agak mahu bertanya. Di hatinya, dia risau sekiranya ada berita yang kurang enak akan disampaikan oleh gadis manis itu.
            “Sebenarnya miss, saya tidak dapat ikut serta dalam program hujung bulan ini.” Zulaikha memegang bahu Aishah yang kelihatan sedih itu. Setahunya, Aishah merupakan salah seorang pelajar yang aktif dalam setiap program-program sukarela anjuran kolejnya. Dia yakin, mesti ada sesuatu yang sangat penting sehinggakan Aishah membuat keputusan sebegitu.
            “Kenapa, Aishah? Kamu ada masalah?” Anggukan Aishah menerbitkan kerisauan di hati Zulaikha. “Saya sangat berbesar hati kalau Aishah sudi berkongsi, mana tahu dengan cara itu Aishah akan lebih lega?”
            “Saya sekarang bekerja part time, miss. Kebetulan, bulan ini ramai pekerja yang bercuti, jadi saya kena bekerja setiap hujung minggu. Jadi, saya rasa saya tidak akan dapat kelepasan daripada boss untuk turut serta dalam program kali ini.” Perlahan sahaja Aishah memberitahu situasi dirinya.
            “Apa yang membuatkan kamu bekerja secara sambilan? Bukankah kamu sudah ada biasiswa?” Zulaikha sedikit pelik kerana setahunya Aishah pelajar cemerlang yang mendapat tajaan untuk pengajiannya.
            “Memang saya mendapat biasiswa, tetapi tidak mencukupi miss. Adik beradik saya ramai, ayah nelayan, mak pula mengambil upah menjahit. Sekarang musim tengkujuh, jadi ayah jarang ke laut. Adik-adik pula perlukan duit untuk bayar yuran sekolah. Saya tiada pilihan lain selain bekerja sambilan sebab sebahagian besar duit biasiswa saya serahkan kepada ayah.” Bergenang mata Aishah menceritakan perihal dirinya.
            Segera Zulaikha beristighfar dan memuji kebesaran Allah. Sungguh, dia Maha Kaya. Dia mendatangkan segala macam situasi buat hamba-Nya. “Kamu anak yang baik, Aishah. Berbakti kepada orang tua adalah perkara yang sangat dituntut oleh agama kita. Beruntung kedua ibu bapa Aishah memiliki anak yang solehah. InsyaAllah, anak yang sentiasa diredhai ibubapanya akan mendapat kemudahan dalam hidupnya.” Kata-kata itu berjaya menghadiahkan senyuman di wajah Aishah.  
            Zulaikha menyambung, “Aishah, saya tidak pernah mewajibkan kamu semua untuk ikut serta dalam mana-mana program yang saya anjurkan. Semuanya terpulang kepada kelapangan masing-masing. Kalau Aishah ada perkara yang lebih penting, utamakan perkerjaan itu.”
            “Tapi miss, saya teringin sangat menggembirakan anak-anak yatim tu. Saya rasa ini saja yang mampu saya lakukan sebab kalau nak menderma wang ringgit memang saya tak mampu, miss.” Muka kecewa Aishah mengundang senyuman Zulaikha. Sungguh dia gembira melihat kesungguhan anak muda itu dalam melakukan sesuatu kebajikan.
            “Aishah, bukan dengan datang pada hari kejadian sahaja Aishah boleh membuat mereka gembira. Juga bukan hanya dengan wang ringgit saja kita dikatakan membantu mereka.” “Maksud miss, ada cara lain lagi yang boleh saya lakukan?” Sungguh anak muda itu begitu semangat ingin tahu, sehingga belum habis Zulaikha berkata-kata dia sudah bertanya.
            “Bukankah ada banyak persiapan yang kawan-kawan awak akan lakukan sebelum program tersebut? Aishah boleh menyumbangkan segala kepakaran yang Aishah ada untuk membantu mereka. Saya dengar mereka tengah merangka banyak games dan kuiz untuk anak-anak itu nanti. Aishah tolonglah apa yang Aishah termampu. Itu pun sudah dikira usaha dalam mengembirakan hati mereka, tau?” Hampir tergelak Zulaikha melihat wajah ceria Aishah. Sungguh berbeza dengan wajah suramnya beberapa minit yang lalu.
            “InsyaAllah, miss. Nanti saya tanyakan kepada Johan apa boleh saya lakukan untuk membantu mereka. Saya minta diri dulu. Assalamualaikum.” “Waalaikumsalam w.b.t.” Aishah meninggalkan Zulaikha sendirian menapak menuju ke pejabatnya.
Zulaikha melangkah laju ke arah pejabat yang tinggal beberapa meter dari tempatnya berpisah dengan Aishah tadi. Sungguh kepalanya terasa berpusing ketika itu. Mungkin angin sudah sampai ke kepalanya. Pagi tadi dia hanya sempat menjamah sekeping roti bakar yang disediakan oleh umminya. Ini kerana dia bergegas mahu sampai awal kerana perlu menaiki teksi yang sememangnya sukar diperolehi awal-awal pagi lantaran keretanya yang sudah tiga hari masuk bengkel.
“Ya Allah, kuatkanlah hamba-Mu ini untuk menjalankan segala tanggungjawab yang telah diamanahkan. Dan, Kau permudahkanlah segala urusanku.” Dia berdoa di dalam hati sambil terus melangkah. Masih banyak tugasan menantinya hari ini.

Memori Semalam: 12


“Ma, kenapa pula Mikh kena pergi jemput sampai ke kampung? Pak Leman pergi seorang cukuplah.” Mikhail sengaja mencuba nasib walaupun dia tahu yang mamanya tidak akan bersetuju membenarkan Pak Leman pergi seorang diri ke kampung bakal isterinya. “Mikh, mama dah janji pada mereka yang anak mama yang handsome ni akan jemput dan bawa mereka sampai ke sini. Nanti apa mama nak cakap pada mereka kalau Mikh tak datang?” Puan Sri Hamidah menggosok-gosok belakang anaknya dengan harapan Mikhail akan termakan pujukannya. Sengaja dia berjanji sedemikian rupa minggu lepas kerana dia mahu Mikhail belajar bertanggungjawab terhadap keluarga barunya nanti.

“Ye la. Mikh setuju ni pun sebab Mikh sayangkan mama, tau.” Mikhail mengalah melihat kesungguhan mamanya mahukan dia bertanggungjawab terhadap bakal mertuanya. “Mama tau, dan mama harap Mikhail akan bahagia dengan pilihan mama.” Mikhail memeluk mamanya sebab dia tidak mahu mamanya melihat genangan airmatanya. Ternyata, kisah lalu masih terasa lukanya. Dia segera meminta izin untuk beredar ke biliknya kerana dia tidak betah berlama-lama dengan mamanya saat hatinya  rasa bolak balik begitu.

Sebaik sahaja memasuki kamar tidurnya, Mikhail mengambil album gambar yang agak tersorok di atas almari. Debu yang memenuhi kulit album tersebut ditiupnya dan perlahan-lahan dia membuka kulit album yang kelihatan agak usang itu. Terserlah gambar-gambarnya lima tahun yang lepas. Sesiapa yang mengenalinya lima tahun lepas pasti tidak mengenali dirinya kini. Dia kini jauh berbeza daripada dirinya dahulu. Kalau dahulu, dengan ketinggian 184cm dan berat 120kg, dia sering digelar dengan gelaran debab yang menjadi punca gelaran ‘D’ pada dirinya. Sekarang, sesiapa yang berjumpa pasti bertanya apakah resepi dietnya sehingga boleh mendapat badan tegap seperti sekarang.

Tangannya ligat menyelak album gambar tersebut sehingga terhenti pada satu-satunya gambar wanita yang banyak merubah dirinya. Secara automatik tangannya menyentuh paha kanan yang menjadi mangsa dendam gadis tersebut terhadapnya. Masih tertinggal parut yang jelas di pahanya dan ada kalanya bahagian tersebut terasa ngilu apabila hujan lebat dan ribut. Pada satu saat, dia amat bencikan gadis tersebut kerana telah memperlakukan dia seperti sampah, namun pada satu saat lagi, dia rasa dia perlu berterima kasih kepada gadis tersebut kerana dia antara sebab mengapa perubahan dirinya begitu mendadak. Dia kini bukan lagi Mikhail Debab seperti yang sering dipanggil oleh rakan-rakannya. Namun, sehingga kini dia selesa dipanggil D, cuma Fatihah sahaja yang tidak pernah memanggilnya dengan gelaran tersebut. Mengenangkan Fatihah, hatinya menjadi semakin sakit.

“Argh!” Album gambar tersebut dicampaknya ke atas katil dan dia berjalan menuju ke koridor untuk merokok, melepaskan segala kecelaruan yang dirasakan kini. Dia tidak faham dengan perasaannya kini. Dia rasa dia sayangkan Fatihah, namun dia takut gadis tersebut akan mempermainkan perasaannya apabila dia mula menunjukkan perhatian dan kasih sayangnya. Dia tidak mahu pisang berbuah dua kali. Mendengarkan kata-kata Ima membuatkan dia bertindak menjauhkan diri daripada Fatihah. Cukuplah dia merasakan sakitnya perasaan dipermainkan oleh teman wanitanya dulu. Namun kini, apabila mama dan papa sudah meminang seorang gadis kampung untuk menjadi isterinya, dia amat berharap gadis tersebut adalah Fatihah.
*                                  *                                  *

Nyanyian lagu Dadali yang berkali-kali tidak Fatihah pedulikan kerana dia tahu apa yang Tuah inginkan daripadanya. Panggilan pertama tadi disambutnya jua kerana dia takut seandainya lelaki tersebut ingin berbicara soal Darul Iman dengannya. Namun, apabila Tuah membuka cerita tentang pinangan yang ingin dilakukan, Fatihah segera memberitahu dia sudah ditunangkan dan terus dia tamatkan perbualan tersebut walaupun Tuah masih ingin bersoal jawab dengannya.

Setelah deringan kali kelima itu tamat, segera dia meletakkan blackberrynya dalam mod senyap. Dia tidak mahu diganggu dengan buat saat ini, dia ingin bersendirian kerana selepas ini kehidupannya akan sibuk. Ahli keluarganya akan datang tinggal bersamanya sempena majlis pertunangan dan persiapan majlis perkahwinannya dengan lelaki yang dia sendiri tidak pernah kenal. Hatinya tertanya-tanya apa istimewanya pinangan kali ini sehinggakan ibu dan ayahnya langsung tidak berbincang terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.

Sebaik sahaja memarkirkan kereta di tempat letak kereta di hadapan Restoran Nelayan Taman Tasik Titiwangsa itu, Fatihah segera menyarungkan kasut joggingnya. Larian dimulakan sebaik sahaja telinganya disumbat dengan earphone yang sememangnya menjadi teman setianya ketika jogging. Kali ini lagu-lagu rancak menjadi pilihannya kerana dia mahu melupakan segala masalah yang dialaminya kini. Lagipun, lagu-lagu sebegitu akan turut merancakkan lagi lariannya.

Setelah menghabiskan satu pusingan penuh taman tasik tersebut, Fatihah meregangkan ototnya di suatu sudut yang dipenuhi dengan kanak-kanak yang sedang bermain bersama ibubapa masing-masing. Sememangnya hujung minggu begini menjadi pilihan ibubapa untuk membawa anak-anak beriadah. Mungkin dia juga akan bertindak begitu suatu hari nanti. Mengenangkan angan-angannya itu, dia tersenyum sendiri. Lucunya apabila dia mula berangan memiliki anak sendiri sedangkan dia tidak tahu langsung mengenai bakal suaminya nanti. Orang kata, untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Apa yang temampu dilakukan hanyalah berdoa agar semuanya baik-baik sahaja, dan dia yakin perancangan Allah itulah yang terbaik untuk dirinya.

Fatihah menoleh apabila terasa bahunya dicuit daripada belakang. “Mikhail!” Sedikit kuat suaranya, mungkin terkejut dengan kehadiran tiba-tiba Mikhail di situ. Segera dia mencabut earphone di telinganya. “You buat apa kat sini?” Soalan Fatihah disambut dengan sengihan oleh Mikhail. “You rasa I shopping  ke kat sini? Mestilah I pun jogging macam you juga.” Fatihah menggarukan kepala yang dilitupi tudung itu kerana agak malu mengenangkan soalan bodohnya sebentar tadi. Memang jelas Mikhail juga jogging melihatkan pakaian sukan yang dipakai lelaki tersebut.

So, how are you my girl?Terpana Fatihah mendengar soalan Mikhail itu. Sungguh lelaki ini pandai membuatkan jantungnya berdegup lebih laju daripada biasa. “Lama kita tak jumpa, kan? Do you missed me?” Semakin lembik rasanya kaki Fatihah mendengar soalan Mikhail itu. Hanya senyuman yang dihadiahkan kepada Mikhail kerana dia tidak berupaya menjawab persoalan tersebut. Memang dia akui dia mula merindui panggilan telefon dan SMS lelaki tersebut namun dia cuba berlagak seolah-olah tiada apa-apa perasaan terhadap Mikhail. Dia masih fobia dengan insan bergelar lelaki. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu jatuh cinta dengan Mikhail kerana bukankah dirinya kini telah menjadi tunangan orang, walaupun dia sendiri tidak mengetahui siapakah tunangnya itu.

“Jom teman I minum.” Anggukan Fatihah ternyata mengembirakan Mikhail. Selalunya, amat payah dia mahu mendapat persetujuan daripada gadis tersebut. Mereka berjalan seiringan ke arah kereta Mikhail yang terparkir tidak jauh dari kereta Fatihah. Langkah mereka terhenti sebaik sahaja Mikhail ditumbuk oleh seseorang yang datang dari arah belakang. “Ya Allah! Tuah, stop it!” Segera Fatihah menarik baju Tuah bagi menghentikan tindakannya yang seolah-olah ingin terus membelasah Mikhail. “Are you okey?” Perhatian yang ditunjukkan oleh Fatihah kepada Mikhail semakin menaikan kemarahan Tuah dan sekali lagi dia cuba memegang kolar baju Mikhail namun pantas ditepis oleh Fatihah. 

“Tuah, I’m not your girlfriend anymore. Please leave us.” Fatihah menghampiri Mikhail dan cuba mengajak lelaki tersebut beredar dari situ. “So, this is your beloved fiancée? Why Fatihah? Why did you choose him? Am I’m not good enough for you?” Tuah cuba memegang tangan Fatihah namun sepantas kilat Mikhail menepis tangan Tuah. Agak terkejut Fatihah melihat tindakan Mikhail yang berdiri di hadapannya, berhadapan dengan Tuah.

“Bro, aku minta maaf atas apa juga salah silap tunang aku pada kau. Tapi, aku harap kau dapat terima hakikat yang kami akan berkahwin tidak lama lagi. Aku tak marahkan kau atas tindakan kau hari ini. sebab aku tahu dia ada masa lalu. Tapi, aku harap kau akan tetap jadi masa lalu dia sebab masa kini dan akan datang dia adalah aku.” Sebaik sahaja Mikhail menghabiskan ayatnya, Tuah sekali lagi ingin menumbuk Mikhail, namun pantas dielak dan yang menerima tumbukan adalah Tuah. Terduduk dia menerima tumbukan padu daripada Mikhail. Fatihah menutup mulut terkejut melihat tindakan Mikhail itu. Selebihnya, dia terkejut mendengar kata-kata Mikhail. “Masa kini dan akan datang dia adalah aku.” Kata-kata itu terngiang-ngiang di pendengarannya.

“Aku dah beri kau amaran, jangan pernah dekati Fatihah aku lagi.” Segera Mikhail menarik lengan Fatihah untuk bergerak dan memboloskan diri ke dalam keretanya. Fatihah yang tergamam dengan drama sebentar tadi hanya menurut dalam diam. Dia bersyukur Mikhail menyelamatkan dia daripada Tuah sebentar tadi. Wajah serius Mikhail dipandangnya dan matanya mula bergenang. Dia tidak menyangka Tuah masih berperangai seperti dulu. Masih terngiang-ngiang tuduhan demi tuduhan yang Tuah lemparkan kepadanya dulu.

I minta maaf.”  Fatihah memulakan bicara. Dia tidak menyangka Mikhail akan bertumbuk dengan Tuah hanya kerana dirinya. “Are you okey?” Soalan Mikhail mengejutkan Fatihah. “Patutnya I yang tanya you soalan tu.” Kesian dia melihat lebam di pipi kiri Mikhail. “It’s ok my dear. I dah biasa bergusti. Kena tumbuk macam ni, perkara kecil saja. Tak sakit pun.” Tangan Fatihah mencapai model kereta di atas dashboard kereta Mikhail dan mengetuk sedikit lebam di pipi kiri lelaki itu. Mengaduh Mikhail akibat ketukan tersebut. “You kata tak sakit, I saja nak cek sakit tak.” Fatihah tergelak melihat wajah cemberut Mikhail. Semacam wajah kanak-kanak kecil yang dimarahi ibu kerana nakal.
Melihat wajah serius Mikhail yang langsung tidak senyum dengan gurauannya sebentar tadi membuatkan Fatihah meletak kembali model kereta Ferrari itu di tempat asalnya. “Sorrry, I gurau je.” Dia segera membatukan diri di sebelah Mikhail dan melepaskan pandangan ke luar kereta. Suara ketawa Mikhail mematikan lamunan Fatihah. “I terdiam sebab tak sangka you berani nak ketuk lebam I guna that thing.” Jari telunjuknya mengarah ke arah model Ferrari kesayangannya. Fatihah hanya tersengih kerana dia sendiri tidak menyangka tindakan spontannya sebentar tadi. Menyedari kereta Mikhail sudahpun berhenti tepi stesen minyak, Fatihah segera menanggalkan tali pinggang keledar dan ingin melangkah keluar. Dia rasa lemas berdua-duaan dengan Mikhail dalam kereta biarpun kereta tersebut beraircond. Alunan jantungnya berdegup kencang dan dia merasa saat ini, dia perlukan oksigen lebih untuk bernafas.

Please, stay.” Permintaan Mikhail menyebabkan pergerakan Fatihah terhenti. Melihatkan wajah Mikhail yang semakin hampir dengannya membuatkan Fatihah ketakutan. Dia berdoa semoga Mikhail tidak bertindak yang bukan-bukan terhadapnya. Tangan kasar Mikhail yang memegang sebelah kiri kepalanya menyebabkan Fatihah menutup mata ketakutan.

Dia takut Mikhail akan bertindak seperti Tuah, mengasari dan mengambil kesempatan ke atas dirinya. Dia tahu, dia tidak boleh lari ke mana-mana kerana kereta tersebut sudah dikunci. Menjerit juga mustahil kerana tiada siapa akan mendengar suaranya dari dalam. Tambahan pula kereta tersebut cerminnya gelap dan tiada siapa akan perasan dirinya di dalam. Sebaik sahaja Mikhail melepaskan pegangannya, Fatihah membuka matanya. Alangkah terkejutnya dia melihat wajah Mikhail yang begitu hampir dengannya. Senyuman lelaki tersebut menyebabkan Fatihah terasa seperti di awang-awangan.
“Ulat.” “Huh?” Terkejut Fatihah mendengar perkataan yang keluar daripada mulut lelaki tersebut. Mikhail menunjukkan ulat di telapak tangannya. “I dapat dari tudung you tadi. That’s why I suruh you stay.” Fatihah mengangguk tanda faham tindakan Mikhail sebentar tadi. Terasa sumbing senyumannya kerana menahan debaran kuat yang tidak terhenti sedari tadi. Segera dia beristighfar mengenangkan fikirannya yang jauh melayang tadi. Mikhail segera membuka pintu keretanya dan sambil menoleh ke arah Fatihah dia bersuara lagi, “You look damn cute when you close your eyes just now.” Erk!