Friday, October 21, 2011

Memori Semalam: Bab 2


Entah kenapa sejak kebelakangan ini, dia sukar melelapkan matanya. Bak kata orang, tidur tak lena, makan tak kenyang, mandi tak basah. Tersuing senyuman di bibir lebamnya tanda kuat merokok tatkala teringat wajah ayu yang ditemuinya di Tasik Titiwangsa minggu lepas. Tak sia-sia dia pergi jumpa Ima. Cahaya mentari yang memancar terik masuk ke kamar tidurnya langsung tidak memberikan kesan kepadanya. Kebiasaanya, hari minggu begini, tengah hari baru dia bangun, bahkan kadangkala petang baru matanya mahu terbuka.

Tapi, kehadiran gadis yang ditemuinya minggu lepas di dalam mimpi-mimpinya menjadikan dia seperti dia yang sekarang. Kalaulah kakaknya tahu dia penasaran begini, mesti kata-kata ini yang akan keluar dari mulut laser kakaknya, “so not you la, Mikh.” Teringatkan kakaknya itu, dia tersenyum.
Deringan nada Fall for you dari telefon bimbitnya membuatkan dia terpaksa melangkah meninggalkan tingkap tempatnya termenung seawal jam 7 pagi tadi. Senyumannya mati melihat nama yang tertera di depan telefonnya. 

“Wah, awalnya putera beradu kita ni bangun hari ni. Ada mimpi buruk ke semalam?”suara nyaring kakaknya membuatkan dia melarikan sedikit telefon bimbitnya ke tepi telinga. Mau pecah rasanya telinganya setiap kali mendengar speaker kakaknya itu.

 “Apa la akak ni, Mikh bangun awal pun salah. Ni akak nak apa call Mikh pepagi buta ni?”

“Pagi buta? Dah pukul 11.30, Mikh. Kejap lagi dah nak masuk masa lunch akak.” Sekali lagi dia melarikan telefonnya ke sisi telinga.

“Ye ke?” Berkerut dahinya, kerana dia bangun tadi jam baru menunjukkan pukul 7 pagi. Lamanya dia mengelamun. Dia segera meraup mukanya sambil menggeleng-gelengkan kepalanya dengan senyuman di bibir.

Hello, anybody home?” Suara kakaknya di talian mematikan lamunannya. Sekali lagi dia meraup mukanya.

So, Mikh. Jadi tak?”

 “Apa yang jadinya, kak?”

“Ya Allah, budak ni. Kita bercakap sorang rupanya. Ni perempuan mana yang dah buatkan adik akak ni angau, mengelamun tak tentu pasal?”

“Ish, akak ni. Mana ada perempuan.”

“Apa Mikh ingat akak tak dengar ke Mikh sebut nama Fatihah tadi? Hah, siapa Fatihah tu? Awek baru ke?” 
 Soalan kakaknya itu mengejutkan dia. Takkan la tersebut keluar, padahal dia rasa dia hanya menyebut-nyebut nama Fatihah di dalam hatinya sebentar tadi.

“Erk, tak, tak, takde la kak. Akak salah dengar kot.” Tergagap-gagap dia menghabiskan ayatnya.

“Mikh, sekilas ikan di air, akak tau jantan betinanya.”

“Itu ikan, Mikh ni orang lah kak.” Ketawa terletus di bibirnya bagi menutup perasaan malu akibat serkap jarang kakaknya sebentar tadi.

“Dia ni, memain betul la. Ni ha, mama tanya, jadi tak?”

“Apa yang jadinya, kak?” Sekali lagi dia mengulangi soalan yang sama.

“Ha, tu la. Asyik berangan anak dara orang je. Ni, mama tanya, jadi tak nak ambil dia kat kampung hari ni?”

“Ish, mestilah jadi kak. Mikh nak bersiaplah ni.”

“Ye la tu Mikh. Akak tau Mikh tu tak mandi lagi. Kalau tak, sepatutnya dua jam lepas Mikh dah terpacak depan rumah akak.”

“Erk!” Sungguh tajam kata-kata kakaknya kali ini. Segera Mikh teringat janjinya dengan kakak kesayangan satu-satunya itu semalam. Semalam dia berjanji mahu bergerak seawal jam 9 pagi. Sekarang dia dah terlewat hampir tiga jam.

“Fatihah.” Sekali lagi terkeluar nama itu di bibirnya.

“Mikh, ni akak la. Bukan Fatihah. Dah teruk benar angaunya ni. Ha, ni kau datang rumah akak bawa Fatihah sekali ya. Teringin jugak akak nak tengok rupa wanita terhebat yang buatkan buaga tembaga darat ni tertewas.”

“Ish, akak ni. Ada ke kata adik sendiri macam tu?”

“Dah, dah. Pergi siap cepat. Lagi lama, makin merajuk pulak mama nanti.” Serius kata-kata itu selepas puas dia mentertawakan adiknya sebentar tadi.

Mikh segera melangkah ke bilik air selepas mematikan telefonnya. Sejurus selepas menutup pintu bilik air, segera dia keluar semula. Dia tertinggal tualanya. Sekali lagi dia tersenyum lantas menggelengkan kepalanya.
“Kau dah parah, Mikh,”ujarnya kepada diri sendiri.

*                                             *                                             *
 
Kereta BMW 5 seriesnya megah memasuki garaj rumah semi-D yang terletak di Bukit Antarabangsa, salah satu kawasan orang-orang kaya di Kuala Lumpur.

“Kak, bang!”

“Waalaikumsalam, Mikh.”
Tersenyum dia mendengar sindiran daripada kakaknya itu. “Ish, perangai tak ubah-ubah. Daripada anak dara, sampai nak jadi mak orang pun ganas semacam je.”

“Eleh, nak cover la tu.” Lantas tangannya meluku kepala Mikhail yang agak tinggi daripada dirinya.

“Abang Im, macam mana la abang boleh tahan dengan penangan Cik Puan Nura Elia ni ye?” sengihannya disertakan dengan kenyitan ke arah abang iparnya yang sedari tadi tersengih melihat perangai tak cukup vitamin mereka berdua.

“Dah, dah la tu yang, Mikh. Jemputlah masuk, Mikh. Tadi kak Nura dah masak untuk lunch. Ingat nak breakfast sekali dengan Mikh, nampak gayanya tak kesampaian. Lunch pun jadilah, kan yang?”

“Aik, abang pun nak kenakan Mikh ke?”

“Haruslah, ini kan suami akak.” Terus ciuman dihadiahkan ke pipi suami kesayangannya itu.

“Akak ni, agak-agak la nak bermesra. Depan Mikh pun nak menunjuk.” Bibir dijuihkan ke depan tanda tidak puas hati dengan kakaknya itu. Mentang-mentang dia dah kahwin, desis hati kecilnya.

Sememangnya dia gembira melihat kakaknya itu bahagia dengan abang Imran, namun sengaja dia menunjukkan muka kasihan untuk menarik perhatian kakak dan abang iparnya yang baru dua bulan bergelar suami isteri.

“Alah, kalau nak kahwinlah. Ha, tadi akak dengar asyik sebut-sebut nama Fatihah, mana orangnya?”

“Fatihah? Girlfriend baru ke Mikh?” 
 
 “Abang ni kan, sama je kan kak Nura. Asyik nak kenakan Mikh je. Tau la Mikh ni sentiasa single and available.”

“Ye la tu. Sebab rasa diri sentiasa available tu yang sampai sekarang tak ada serius girlfriend.”

“Ala yang, dia tak jumpa lagi yang betul-betul boleh buat dia gila macam abang gilakan ayang dulu. Tengoklah lepas ni, kalau dia dah jumpa, rasanya rambut dia pun dah tukar colour.”

Segera Mikh memegang rambutnya yang sentiasa diwarnakan blonde sejak putus cinta lima tahun yang lepas. Senyuman hambar diberikan kepada kakak dan abang iparnya.

“Huh, nampaknya abang dah tak gilakan ayang ye, sekarang.”

“Kenapa cakap macam ni?” Segera Imran memegang tangan isterinya yang semakin kuat merajuk sekarang ini.

“Ye la, tadi kata gilakan ayang dulu je?”
Mikh hanya tersengih melihat abang iparnya yang kelihatan mati kutu nak menjawap soalan tak cukup dewasa daripada kakaknya itu.

Langkah kaki kakaknya yang laju diikuti oleh Imran dengan kata-kata pujukan mengundang ketawa kecil daripada Mikhail. Kakinya segera melangkah memasuki rumah kakaknya yang semakin berseri selepas berkahwin.

“Apa teruk punya tuan rumah, la. Tetamu tak dijemput masuk, lepas tu tuan rumah bersenang lenang masuk bilik.” Sedikit kuat suaranya ingin mengusik kakak dan abang iparnya.

“Kau layan dirilah dulu, Mikh. Abang nak kena pujuk akak kau tu. Daripada semalam lagi merajuk tak habis-habis.”

“Sila-silakan bang. Mikh pun nak makan ni.”
Segera kakinya melangkah ke meja yang terletak di atasnya tudung saji. Terliur dia apabila membayangkan masak tempoyak kakaknya yang menyelerakan.

Sedikit terhibur dia melihat kemesraan kakak dan abang iparnya. Namun, segera keluhan dilepaskan apabila mengenangkan kisah percintaannya yang dulu terkubur di tengah jalan. Memori itu datang lagi seolah-olah baru semalam dia ditinggalkan, padahal sudah lima tahun peristiwa tersebut berlaku. Tangannya menyentuh rambut blondenya yang menyimpan makna tersendiri.

*                                             *                                             *
 
Fatihah menyanyi kecil sambil memotong ayam yang hendak dimasak sebentar lagi. Hatinya gembira kerana dapat bersenang lenang melepak di rumah hujung minggu ini. Tambahan pula, tadi dia baru lepas bersembang dengan ibunya. Sejam setengah dia berborak sehingga tak perasan perut yang kosong belum diisi sepanjang pagi.

Biasanya, hujung minggu begini dia sibuk dengan on call ataupun aktiviti-aktiviti luarnya. Kerjaya sebagai seorang physiotherapist menuntut komitmen yang bukan sedikit. Dengan jadual kerja yang agak padat dan ditambah pula dengan komitmennya sebagai sukarelawan di Darul Iman menjadikan dia wanita sukar mencari masa senggang untuk diri sendiri.

Sambil memasak, Fatihah berborak dengan Bobo yang sedang asyik dengan carrotnya. “Bobo, dah lama kita tak macam ni kan? Sorryla ye, Bobo tau je la jadual Fatihah, penuh je selalu. Tapi, hari ini kita dapat dating puas-puas sebab tak de siapa yang kacau.”

“Ish Bobo ni, senyap je die.”
Kaki diayunkan ke sangkar Bobo yang sedari tadi asyik mengunyah carrot. Bobo merupakan seekor arnab hadiah daripada salah seorang pesakit Fatihah beberapa bulan yang lepas. Seminggu sekali, dia akan memberikan Bobo carrot kerana dia takut Bobo cirit-birit kalau selalu diberikan carrot.
Bobo dikeluarkan dari sangkar dan segera dia mengusap penuh kasih badan Bobo yang semakin berisi.

“Dik, kau tak pergi mana-mana ke hari ni?” Pertanyaan kak Mona mematikan tindakannya.
Segera matanya beralih kepada wajah penuh persoalan rakan serumahnya yang lebih tua dua tahun daripadanya itu.

“Aik, ingatkan akak tak ada kat rumah.” Balasnya dengan sengihan.

“Semalam, aku balik lambat. Sorryla, tak dapat teman kau semalam. Member aku buat parti sikit.’

“Tak pe la kak. Semalam pun orang balik lewat dari Darul Iman. Akak dah breakfast? Orang tak sempat masak apa-apa tadi. Ni baru nak masak untuk lunch.”

“Tak pe, aku tunggu kau siap masak baru makan.” Ketawa kak Mona mengundang senyuman di bibirnya.
 “Aku naik atas dulu. Kau dengan Bobo masaklah sedap-sedap ye. Nanti kalau kau nak makan, tolong kejut aku eh? Aku ngantok lagi ni.”

Fatihah hanya membalas dengan anggukan di kepala. Langkah kak Mona diikuti dengan gelengan di kepalanya. “Ya Allah, Kau berikanlah taufik dan hidayah-Mu kepada kak Mona,” doanya di dalam hati.

Dia mengenali kak Mona sebulan yang lepas ketika dia tengah kelam kabut mencari rumah sewa yang baru. Siapa sangka wanita sosial, berambut blonde dan merokok itu dahulunya seorang pelajar sekolah agama dan mampu menghafal hampir separuh al-Quran. Mengenangkan itu, Fatihah segera insaf. Sesungguhnya iman manusia ini terlampau nipis. Minta-mintalah dia tidak terjerumus ke jalan yang salah dan sesat, doanya lagi di dalam hati.

Bobo diletakkan kembali ke dalam sangkar dan tangannya segera lincah memasak memandangkan perutnya yang sudah berkeroncong sedari tadi.