PROLOG
Perlahan-lahan dia cuba mencelikkan matanya. Rasa sudah terlalu lama dia tidur dan tidak pernah seumur hidupnya dia tidur senyenyak itu serta bermimpi indah begitu. Semakin dia cuba untuk bangun, semakin sakit kepalanya. Segera tangan kanan menekan-nekan pelipisnya. Tangan kiri cuba mengalihkan selimut tebal yang melindungi keseluruhan tubuhnya hingga ke leher. Tidak pernah dia tidur berselimut penuh sehingga tiada langsung anggota badan yang terdedah.
Sebaik sahaja selimut diselak melepasi bahunya, dia terasa sejuk yang teramat sangat. Dengan segala kudrat yang ada, dia cuba bangun dan mencelikkan matanya. Sakit di kepala semakin menjadi-jadi sebaik sahaja dia berjaya duduk. Dia kebingungan. Wajah yang sudah sedia pucat bertambah pucat.
Sungguh dia terkejut! Bilik ini, bukan kamar beradunya. Katil, tilam, bantal dan selimut ini bukan miliknya. Dia tidak mampu untuk memiliki barangan mewah sebegitu, apatah lagi menginap di kamar yang sungguh eksklusif itu. Dan, apa yang paling mengejutkannya ialah tiada seurat benang pun di tubuh rampingnya itu.
Kesejukkan yang semakin menggigit hingga ke tulangnya membuatkan dia menutup seluruh tubuhnya dengan gebar yang tebal berkali-kali ganda dibandingkan dengan toto miliknya di rumah. Perlahan-lahan airmata mengalir keluar dari mata bundarnya. Kini, matanya tertancap pada longgokan baju dan seluarnya yang terdampar di sofa di hadapan katilnya. Dia tahu siapa punya angkara.
Sungguh dia tidak menyangka, lelaki yang selama ini cukup dihormatinya tidak menghormati dirinya. Lelaki yang diberi sepenuh kasih sayang ternyata membalas kasih sayangnya dengan perlakuan yang jelas menunjukkan sikap buas lelaki itu.
Dia cuba mengingati peristiwa semalam. Sehingga semalam, dia dengan lelaki yang sudah hampir setahun menjadi kekasihnya itu masih berhubungan dengan baik. Cuma, beberapa bulan kebelakangan ini, lelaki itu seperti sentiasa mencurigai dirinya. Bukan sekali dua lelaki itu bermalam di dalam kereta di luar rumahnya, malah dalam seminggu yang lepas hampir setiap malam begitu. Dia tidak tahu apa salahnya sehingga lelaki itu begitu mengawal setiap gerak-gerinya. Perubahan sikap lelaki itu dia rasakan bermula semenjak dia berpindah ke rumah sewanya yang baru sebulan yang lepas.
Dan semalam, ternyata dia telah menjadi mangsa sikap tidak bertanggungjawab seorang lelaki anak Datuk itu. Semalam, dia bersetuju menemani lelaki itu untuk makan malam di sebuah hotel terkemuka tanah air kerana ingin meraikan kejayaan syarikat milik Datuk yang dikendalikan oleh lelaki itu. Dia yakin, di situlah segalanya bermula. Kepalanya mula berpusing sebaik sahaja menghabiskan dessert kegemarannya, iaitu ice cream vanila. Dia cuba mengelak daripada dipeluk dan dipapah lelaki itu, namun kudratnya tidak mampu menghalang tenaga lelaki tersebut. Benda terakhir yang dilihatnya adalah katil, sebelum dia terus tidak sedarkan diri.
Airmata semakin deras mengalir dan tangan kirinya semakin kuat mencengkam cadar tilam sementara tangan kanannya memeluk kedua belah lututnya. Dia berasa sangat kotor ketika ini. Apa yang akan dikhabarkan kepada ibu dan ayahnya tentang maruah diri yang selama ini begitu dia jaga.
Tidak mahu terus hanyut dengan perasaan, dia terus bangun dengan berselimut dan kaki diarahkan ke bilik air. Pili paip dipulas dan air dibiarkan mengalir ke atas tubuhnya yang masih berselimut. Dia mengharapkan agar kotoran yang melekat pada dirinya hilang dibawa bersama aliran air yang mengalir dari tubuhnya.
Dia tidak pasti apa perasaan sebenarnya ketika ini. Apa yang pasti, dia tidak akan membenarkan sesiapa pun selepas ini untuk menyentuh dirinya, apatah lagi menyentuh hatinya. Dia akan kunci seketat-ketatnya perasaannya untuk insan yang bergelar lelaki.
* * *
Matanya disajikan dengan pemandangan yang begitu menjengkelkan. Tidak disangka, kekasih hati yang nampak lemah lembut dan sentiasa manja dengannya rupa-rupanya seorang perempuan murahan. Mual rasanya melihat kekasih sendiri bermesraan dengan lelaki yang juga merangkap teman baiknya. Tidak disangka, harapkan pagar, pagar makan padi! Begitulah yang dia rasakan kini.
Wanita itu satu-satunya wanita yang sanggup menerima dirinya seadanya. Biarpun dia anak orang kaya dan ternama, bentuk badan yang gempal menjadikan dia kurang digemari oleh mereka yang ada di sekelilingnya. Mereka katakan dia busuk dan lembik. Cuma, wanita itu yang sanggup menerimanya dan mengakui bahawa dia adalah kekasihnya.
Wanita itu, wanita rebutan anak-anak muda di kota raya ini. Siapa yang tidak kenal dengan model yang semakin meningkat naik namanya. Melihat wajahnya yang ayu, dia tidak sangka tersembunyi hati yang begitu busuk. Kata-kata yang didengarinya daripada mulut wanita pujaannya itu, ternyata berjaya menghancur lumatkan seluruh perasaannya.
Dia tidak menyangka, selama ini dia menjadi barang pertaruhan wanita itu dan teman baiknya. Dia sedar kini, tiada siapa yang ikhlas mendekatinya kerana rupa parasnya. Semua yang berbuat baik dengannya hanyalah kerana harta yang ada padanya.
Kakinya digagahkan untuk berdiri di hadapan dua orang insan yang cukup bijak bersandiwara selama ini. Nampak jelas mereka terkejut dengan kehadiran insan yang mereka gelar giant itu. Mereka yakin lelaki tersebut telah mengetahui rahsia yang cukup rapi disimpan selama ini. Mulut terkunci demi melihat senyuman yang bergayut di bibir lelaki gempal itu.
“Terima kasih”. Kedua-duanya berpandangan demi melihat ayunan langkah lelaki itu yang semakin menjauh. Wanita tersebut cuba mengejar dan menarik tangannya. Kononnya, ingin menjelaskan segala yang telah berlaku. Namun, semua itu sudah terlambat. Hatinya sudah cedera parah, masakan mungkin mampu dirawat dengan sekelip mata.
Langkah semakin laju diatur tanpa menghiraukan pujuk rayu wanita tersebut. Dia tahu, dirinya dirayu sebegitu kerana pasti wanita itu tidak mahu kehilangan elaun bulanan daripadanya yang ternyata lumayan. Kasih sayang yang mendalam terhadap wanita itu membuatkan dia buta. Dia buta dalam membuat pertimbangan yang adil. Dia buta dalam menilai erti kasih sayang yang sebenar. Nasihat daripada ahli keluarganya dipandang sepi kerana wanita itu. Dan kini, sungguh dia mengharap agar masa boleh diputarkan kembali, dan dia berjanji akan menngikuti segala nasihat yang diberikan kepadanya.
Tubuh gempalnya dihenyakkan ke tempat duduk pemandu BMW Z4 yang baru dibeli beberapa bulan yang lepas atas pujukan wanita itu. Enjin dihidupkan dan keretanya meluncur laju membelah jalan raya yang agak lengang pada ketika itu. Dia ingin pergi jauh, dengan harapan kejauhan itu boleh menghilangkan rasa sakit yang ada di dalam hatinya pada saat dan ketika ini. Dia yakin, suatu hari nanti mereka yang terlibat akan dapat balasannya. Dia bukan giant yang bodoh! Dia punya segalanya dan dia akan buktikan suatu hari nanti, mereka yang telah banyak menyakiti hatinya akan melutut meminta maaf daripadanya.
1 comment:
wah bestnye!!...cpt smbgnye....xsbar nak tahu crita seterusnya.....
Post a Comment