Tuesday, October 18, 2011

Memori Semalam: Bab 1


Kelihatan seorang wanita berusia pertengahan 20-an sedang mengemas kelengkapan yang digunakan sepanjang pagi tadi untuk sukaneka dengan anak-anak yatim Darul Iman. Mukanya yang putih bersih kelihatan sedikit kemerahan dek panas matahari yang terik memancar. 

“Cikgu Fatihah, nanti nak tumpang cikgu, boleh?” 

Fatihah memandang muka penuh pengharapan Ami dengan senyuman tersungging di bibir comelnya. Fatihah mengangguk diikuti dengan jeritan kesukaan Ami dan tiga orang lagi rakan-rakannya.

“Semua dah siap ke? Kalau dah siap, nanti kita boleh gerak cepat. Nanti Ami, Fikri, Lan dan Syafiq boleh rehat awal. Malam nanti ada kelas kan?” ujar Fatihah penuh kelembutan.
“Cikgu, nanti kita gerak cepat, cikgu bawak laju-laju. Kita racing dengan yang lain.”

“Ye la cikgu. Kereta cikgu kan comel macam cikgu, mesti laju.”
Kata-kata Amir dan Lan membuatkan Fatihah tergelak dan seraya menggelengkan kepalanya. “Siapa yang nak berlumba ni? Cikgu bawak perlahan je, kita nikmati pemandangan Kuala Lumpur ni ye,” Fatihah sengaja mengusik kanak-kanak yang sememangnya mendapat tempat di hatinya itu.

Wajah cemberut segera terlayang di wajah keempat-empat kanak-kanak itu. “Alala, kenapa buat muka lima sen ni? Ha, kalo nak racing, kita pergi Sepang la. Kat sana kena bawak laju-laju, tak boleh bawak perlahan.”

“Yeay! Ni yang tambah sayang dekat cikgu Fatihah,” ujar Syafiq dengan diiyakan oleh rakan-rakannya. Dia segera memeluk Fatihah dengan erat. Fatihah mengusap kepala Syafiq dan memberikan senyuman kepada tiga lagi rakannya yang memandang Syafiq dengan pandangan penuh tanda tanya.

Fatihah tau apa yang dirasai oleh Syafiq. Hidup sebatang kara, sudah tentu anak kecil berusia 9 tahun itu ketandusan kasih sayang. Lantas, mereka yang memberikannya perhatian menjadi kesayangannya.

“Ok, ok. Sekarang cikgu dah siap kemas. Cikgu tengok cikgu-cikgu lain pun dah siap. Tu, kawan-kawan awak semua pun dah ready kat kereta masing-masing. Kita ni tak nak gerak lagi ke? Tadi nak cepat sangat.” Fatihah cuba menceriakan suasana yang sedikit sepi lantaran perlakuan Syafiq tadi.

“Jom!”
Bersemangat sungguh kanak-kanak tersebut berlari ke arah kereta Viva putih Fatihah yang parking di tempat letak kereta Tasik Tittiwangsa. Fatihah hanya menggelengkan kepalanya dan tersenyum melihat ulah mereka yang penuh kegembiraan. Lantas tangannya menekan kunci kereta, membiarkan mereka masuk ke dalam keretanya. Begitulah yang dia mahukan, membuatkan mereka yang dia sayangi tersenyum kegembiraan. Hidup seorang diri di pusat bandar yang penuh dugaan ini membuatkan dia mencari sesuatu bagi menghilangkan kerinduan dan kesunyiannya.

Fatihah segera menghampiri cikgu Amri dan cikgu Erry yang tengah berdiri di kereta masing-masing yang terletak bersebelahan dengan keretanya.

“Kenapa tadi tu, Fatihah?” soal Amri ingin tahu.

“Biasalah budak-budak,” balasnya dengan senyuman yang tidak lekang di bibir.

“Ala Am, macam kau tak kenal dengan Fatihah ni. Siapa je yang tak sukakan dia? Semua budak kat sini kalau boleh nak dengan dia je, kita ni siapalah,” Erry mencelah dengan muka sedih yang dibuat-buat.

“Hai, korang berdua ni kenapa? Dah memang budak-budak berempat tu lelaki, memang la orang dapat extra attention,” sahutnya dengan disertakan dengan ketawa kecil. Kata ganti diri orang yang digunakannya kedengaran agak manja.

Amri dan Erry hanya memandang Fatihah sambil tersenyum. Kedua-duanya mengakui Fatihah seorang gadis yang agak lincah, namun tetap ayu dan manja, dengan caranya yang tersendiri.

“Am, Erry, tadi orang dengar berita yang tak best sikit.”

“Pasal apa, Fatihah?”soal Erry penuh minat. Apa sahaja yang gadis itu katakan selalu menjadi perhatiannya. Dia sudah lama sukakan Fatihah, semenjak mengenali gadis tersebut dua tahun yang lepas. Namun, sehingga hari ini, dia masih belum mempunyai kekuatan untuk berterus-terang mengenai perasaannya.

“Am rasa, Am tau apa maksud Fatihah. Pasal budak-budak ni, kan?” Soalan Amri itu dijawap dengan anggukan kepala Fatihah.

“Oh, pasal masalah dengan pihak pengurusan ke? Ala Fatihah, jangan risaulah. Nanti kita carik jalan penyelesaiannya, ok?” Saranan Erry itu disambut dengan senyuman hambar oleh Fatihah.

“Orang bukan apa, Am, Erry. Cuma tak sanggup tengok budak-budak tu sedih lagi. Dieorang baru je seronok-seronok hari ni. Tup, tup esok lusa, dieorang kan berpisah.”

“Erry yakin kita mampu selesaikan masalah ni, sama-sama,”ujarnya penuh semangat.

“Ye la Fatihah, kita masih ada banyak masa lagi untuk cari jalan penyelesaiannya. Jom lah kita gerak, dah lama agaknya budak-budak tu tunggu dalam kereta. Lagipun van abang Fuad dah gerak dah.” Kata-kata Amri itu hanya disambut dengan anggukan oleh Fatihah dan Erry.

Lantas kaki digerakkan ke arah keretanya yang dah dinaiki oleh empat kanak-kanak nakal yang dia sayangi. Kelihatan Fikri di bahagian penumpang hadapan kerana dia yang paling berusia di antara keempatnya.
Belum sempat Fatihah membuka pintu keretanya, laungan memanggil namanya mematikan tingkahnya. Kepala segera dipusingkan ke arah suara tersebut.

“Kak Ima!” jeritnya kegembiraan. Lantas tangan dihulur bersalaman dengan kakak seniornya suatu masa dulu. “Sorry kak, tak dapat nak peluk cium, peluh ni, melekit,”ujarnya dengan sengihan di bibirnya.

“Ala, tak pe. Bukannya busuk pun,”balas Ima terus menarik Fatihah ke dalam pelukannya.
Fatihah hanya tertawa kecil lantas turut memeluk kakak seniornya itu. Baru dia hendak merungkaikan pelukan, matanya tertancap pada seorang lelaki yang memandangnya tanpa kelip. Terasa darah tersimbah ke mukanya memikirkan perangainya yang sedikit keanak-anakan melihat kak Ima tadi.

“Ni Mikhail,” kata-kata kak Ima membuatkan dia sedikit terkejut. Macam mana la dia tak perasan ada orang lain dengan kak Ima tadi. Ish. Lelaki tersebut hanya tersenyum ke arahnya, dan dia membalas seadanya. Perhatiannya kembali kepada kak Ima.

“Ni boyfriend kak Ima ke?”soalnya agak nakal. Senyuman yang terukir di wajah ceria kak Ima membuatkan dia faham jawapan kepada soalannya sebentar tadi.

“Fatihah buat apa kat sini?”

“Fatihah bawak anak-anak beriadah.” Fatihah perasan perubahan muka boyfriend kak Ima mendengar kata-katanya itu.

“Wah, Fatihah kahwin tak jemput akak pun?” Segara kak Ima tayangkan muka marah dan tak puas hati mendengar jawapan Fatihah.
Fatihah hanya tergelak kecil dan menggelengkan kepalanya. “Fatihah tak kahwin lagi la, kak. Sebenarnya, Fatihah…”

“Cikgu, lambat lagi ke? Cikgu Amri dan cikgu Erry dah lama gerak. Kita je yang tinggal sekarang ni.” Kata-kata Fikri yang tiba-tiba muncul di sebelahnya mematikan kata-katanya.

“Oh, cikgu sekolah ke?” terpacul soalan dari bibir lelaki yang sedari tadi senyap di sebelah kak Ima. Fatihah hanya membalas soalan tersebut dengan senyuman manis.

“Ok lah, kak. Orang dah lambat ni. Nanti kita jumpa lagi, ye. Nombor akak berapa ye?” Fatihah malas mahu menerangkan yang sebenarnya kerana nanti dia akan lebih lambat menghantar anak-anaknya itu. Bukan dia tak tau perangai kak Ima yang seringkali bertanya seperti machine-gun itu. Pasti jenuh dia nak menjawap satu-satu soalan yang bakal terlontar kerana dia perasan muka kak Ima yang penuh tanda tanya itu.

“Ok, nanti kita jumpa lagi ye, banyak akak nak borakkan dengan Fatihah. Setahun dah kita tak jumpa.”

“Insyaallah kak.”

Setelah bertukar nombor telefon, Fatihah segera melangkah ke arah keretanya diikuti oleh Fikri. Dia menekan minyak dan mula bergerak dari kawasan tersebut. Tangan dilambaikan ke arah kak Ima dan boyfriendnya yang sedari tadi merenung ke arahnya. Tersenyum dia melihat kak Ima yang menyiku boyfriendnya dari cermin pandang belakang keretanya.

Fatihah terus memandu dengan kelajuan sederhana, kerana dia mahu mereka semua selamat sampai ke Darul Iman. Hanya kedengaran celoteh daripada DJ radio kerana kesemuanya sudah terlelap di dalam keretanya. Mungkin kepenatan membuatkan semuanya terlena, lebih-lebih lagi dengan semuanya tadi kekenyangan dengan juadah makan tengah hari yang disediakan sebelum mereka berkemas untuk balik.

Setelah sampai di Darul Iman, segera dia mengejutkan Fikri dan meminta Fikri mengejutkan yang lain. Dia mengorak langkah ke bangunan pejabat Darul Iman dengan beberapa plastik di tangannya. Setibanya semula di kereta, kelihatan Fikri masih terlelap. “Ni mesti kes tidur balik,”desis hatinya.

“Fikri, bangun Fikri. Kita dah sampai ni.” Dia menggoncangkan sedikit bahu anak muda 13 tahun itu. Kelihatan Fikri membukakan matanya perlahan-lahan.

“Maaf cikgu, saya tertidur balik.”

“Tak pe. Cepat bangun, balik ke dorm, mandi lepas tu solat zohor.”

“Ami, Syafiq, Lan, bangun. Kita dah sampai.” Agak kuat suara Fikri mengejutkan kawan-kawannya yang kelihatan tidur pulas. Goncangan yang kuat daripada Fikri menyebabkan kanak-kanak bertiga itu mengeluh dalam tidur. Perlahan-lahan mata dibukakan. Masing-masing mengeliat dan secara menapak perlahan-lahan ke arah dorm. Fatihah hanya menghantar mereka dengan pandangan dan senyuman di bibirnya.

“Terima kasih cikgu!” jeritan kanak-kanak tersebut membuatkan dia rasa dihargai. Tiba-tiba Syafiq meluru ke arahnya dan memeluknya seperti di Tasik Titiwangsa tadi. Airmata yang terbit daripada mata Syafiq membuatkan dia kehairanan. Fatihah merendahkan badannya menyamai ketinggian Syafiq sambil mengesat airmata yang mengundang walang di hatinya.

“Kenapa ni, Syafiq?” soalnya penuh prihatin.

“Dah lama Syafiq tak rasa seronok macam ni. Syafiq ingat, dulu sebelum duduk sini, Syafiq selalu main dengan abang dekat taman permainan.” Kata-kata Syafiq itu mengundang senyuman hambar di bibirnya.

“Syafiq kena kuat. Lelaki mana boleh menangis macam ni? Cikgu tau Syafiq kuat, sebab tu Syafiq masih diberi peluang untuk berjuang dalam hidup ni,”tuturnya perlahan, penuh keibuan. Kepala Syafiq dibelainya persis seorang ibu yang betul-betul penyayang. Bergenang airmata di penjuru matanya. Seketika dia terkenangkan keluarganya.

Pergerakan Syafiq merungkai pelukannya mematikan lamunannya. “Syafiq nak jadi macam cikgu. Syafiq tau, cikgu pun sorang-sorang kat sini, tapi Syafiq tak pernah nampak cikgu nangis. Apela Syafiq ni kan, lelaki je lelaki tapi nangis depan cikgu perempuan.”

“Tau pun,” sakat Fatihah lagi mengundang sengihan di bibir Syafiq.

“Nanti, kalau Syafiq dah besar, Syafiq nak carik girlfriend macam cikgu.”

Kenyitan di mata Syafiq mengundang ketawa besar mereka berdua. Syafiq segera mencium pipinya dan berlari ke arah dorm dengan laungan terima kasih cikgu yang begitu kuat kedengaran.

Fatihah tersenyum sambil menghalakan kakinya ke arah pejabat Darul Iman. Cikgu-cikgu lain mesti telah lama menunggunya.

No comments: