Monday, October 3, 2011

Adam vs Hawa 1

Kita akui lelaki dan wanita itu memang berbeza. Namun, tak semua yang mengakui perbezaan itu mampu menerima perbezaan itu.
Aku bukan pakar cinta, bukan juga pakar motivasi, tapi aku ingin berkongsi ilmu yang aku cari dan gali untuk tatapan semua, juga buat peringatan kepada diriku yang seringkali lupa dan alpa.
John Gary kata, "problem are inevitable". Begitu juga dalam sesebuah perhubungan, tak kan lari daripada masalah. Nak tak nak, kena hadapi!

Dalam satu-satu perhubungan, jangan pernah ada paksaan, terpaksa, memaksa mahupun dipaksa. Tak ada siapa pun yang suka dipaksa dan berada dalam keadaan terpaksa.

Cuba buka hati seluas-luasnya, insyaAllah kita akan belajar lebih banyak. Belajar memaafkan itu salah satu kebaikan bilamana kita buka hati kita. Dengan memaafkan, kita akan lebih menghargai dan dihargai, akan lebih menyokong dan disokong serta akan lebih memahami dan difahami.
Cukup dengan memahami, kita akan rasa lebih bermotivasi untuk menjalani sebuah kehidupan dan menjalin suatu perhubungan. Tak kisahlah hubungan dengan mak ayah, adik beradik, suami isteri mahupun kawan-kawan.
Berbalik pada tajuk, "Adam VS Hawa", aku nak berkongsi beberapa tips yang mungkin nampak mudah, tapi sebenarnya banyak manfaatnya dalam kehidupan seharian. Tips yang semua orang tahu, tapi selalu lupa! Tips tentang menjadi Adam dan Hawa dalam menjayakan sesebuah perhubungan.



*R.E.S.P.E.C.T dan A.C.C.E.P.T*

 
Adam vs Hawa 1: adalah mengenai “BANTUAN”

 
 Adam ~ Mereka sangat jarang bercerita tentang masalah, kerana ia adalah salah satu tanda KELEMAHAN mereka.

 Hawa ~ Mereka suka bercerita tentang masalah kerana mereka sangat percaya kepada, "SHARING IS CARING".
 

Adam ~ Bila Hawa bercerita tentang masalahnya, Adam fikir Hawa meminta JALAN PENYELESAIAN daripadanya. Adam akan mula memberi macam-macam nasihat, sebab itu cara Adam menunjukkan kasih sayang dan kesungguhannya untuk membantu. Adam tak tahu, dengan hanya mendengar penuh empati dan perhatian sepenuhnya, Hawa akan rasa Adam betul-betul memahami Hawa.

Hawa ~ Bila Adam tidak bercerita tentang masalahnya, terasa Adam tidak menghargainya sebagai pasangan. Jadi, bila Adam senyap, Hawa akan bertanya macam-macam, dan bila Adam mula bercerita masalahnya, Hawa akan menawarkan PERTOLONGAN DAN BANTUAN tanpa diminta. Hawa akan cuba membantu memperbaiki diri Adam. Sebab, bagi Hawa, menerima bantuan bukanlah tanda kelemahan sang Adam. Hawa tak tahu, dengan berbuat demikian, Adam akan rasa Hawa tak percayakan Adam dalam menyelesaikan masalahnya sendiri.


 
Adam ~ Bila Hawa tak terima penyelesaian yang Adam bagi, Adam akan rasa tak kompeten, dirinya tak boleh dipercayai, rasa tak dihargai dan ini akan menyebabkan Adam mula berhenti untuk mengambil berat soal Hawa.

Hawa ~ Bila Adam tak terima cadangan-cadangan daripadanya, Hawa akan rasa Adam dah tak pedulikan Hawa, Hawa pun akan rasa yang perasaan dan kehadirannya tidak dihargai oleh Adam. Hawa akan rasa Adam tak menyokongnya, dan ini akan membuatkan Hawa berhenti untuk mempercayai Adam.


 
SEHARUSNYA,

Adam ~ Mendengar segala masalah Hawa dengan penuh perhatian dan rasa empati. Dengan ini, Hawa akan rasa mendapat sokongan. BERHENTI bagi JALAN PENYELESAIAN kepada Hawa sebab Hawa hanya ingin bercerita dan bercerita tentang masalahnya.

Hawa ~  PENERIMAAN daripada Hawa lebih Adam hargai berbanding nasihat dan cadangan-cadangan untuk memperbaiki diri Adam. Bila Adam rasa Hawa tidak berusaha untuk memperbaiki Adam dengan cadangan-cadangannya, Adam akan lebih selesa meminta maklumbalas dan nasihat daripada Hawa. 

Ingatlah, jangan hanya mencari persamaan dan cuba mengelakkan perbezaan. Kerna, Adam dan Hawa tak kan pernah sama. Adam dan Hawa dilahirkan dengan penuh perbezaan. Belajarlah memahami Adam jika kamu adalah Hawa dan belajarlah memahami Hawa jika kamu adalah Adam. Belajar menerima perbezaan kerna dengan itu sahaja kita bisa memahami apa itu makna persamaan. =)

No comments: