“I’m back! This time, you’ll be mine!” Status di facebook lelaki itu begitu mengejutkan Fatihah. Hatinya sakit, namun tiada airmata yang mampu ditumpahkannya. Dia sendiri tidak pasti apa makna status tersebut, namun apa-apa sahaja yang melibatkan lelaki itu, pasti akan membuat dia teringat dosa yang terpalit di tubuhnya. Maruah dirinya tercemar sebab lelaki itu. Dan disebabkan lelaki itu jugalah dia menutup terus pintu hatinya untuk insan bergelar lelaki.
“Dik, kenapa kau termenung depan laptop tu?” Sergahan kak Mona mematikan lamunannya. “Eh, bila akak balik? Tak dengar bunyi kereta pun.” “Dah kau termenung, mana nak dengar aku masuk.” “He he. Sorryla kak. Tak perasan. Akak dah makan?” “Dah. Aku makan dengan mamat handsome tadi. Kaya pun kaya.” Kata-kata itu mengundang senyuman kecil di bibir Fatihah. Kak Mona, seorang yang sentiasa memburu lelaki-lelaki kaya untuk memenuhi keperluannya yang sentiasa mahu bermewah.
“Eh! Kau kenal mamat ni?” ternyata kak Mona terkejut melihat gambar lelaki di facebook Fatihah. “Ni senior masa kat U dulu.” “Oh, kau kenal baik ke dengan die ni?” “Tak adalah kak. Biasa-biasa je. Kenapa kak?” “Kalau kau nak tahu, aku lepak ngan geng dia la tadi.” Hampir tersembur air teh madu yang dihirup Fatihah. “La, kenapa kau terkejut? Macamlah kau tak kenal aku kan. Memang kawan-kawan aku semua anak-anak dato’. Hah, kau tahu tak ex-girlfriend mamat tu?”
Terus mati senyuman di bibir Fatihah mendengar soalan kak Mona itu. Mana mungkin dia akan menceritakan semuanya pada kak Mona. “Kau tengok status kat FB dia. Memang sah, dia nak cari ex-girl dia.” “Oh, ye ke?” Kata-kata kak Mona itu mengejutkan Fatihah. Segera dia berdoa agar dia tidak dipertemukan dengan lelaki itu. “Tadi diaorang kata yang ex dia tu cantik tapi tak boleh pakai. Kau tahu, bukan main marah lagi dia bila kawan-kawan dia kutuk perempuan tu. Aku rasa mesti ada kes besar, sebab diaorang kata dia pergi oversea pun sebab that girl.”
“Entahlah kak. Saya tak tahu.” “Erm, ye la. Kau mana kawan dengan golongan bangsawan gitu kan?” “Tu la pasal. Ok lah kak, saya dah ngatuk ni. Saya masuk bilik dulu, ye.” “Ye la. Eh, apa nama mamat tu kat FB?” “Syed Tuah SM.”
* * *
Lagu Disaat Aku Mencintaimu dendangan kumpulan Dadali mengejutkan Fatihah. Tertera nama Mikhail pada gajet hitamnya itu. Terasa rimas pula dia dengan perhatian berlebihan yang diberikan oleh pemuda itu. Kebiasaan hidup bersendirian membuatkan dia tidak selesa dengan Mikhail. Panggilan berlanjutan hingga masuk kali ketiga. Bosan dengan laungan oleh Dadali itu, Fatihah segera menekan butang hijau.
“Assalamualaikum cik abang. Tak penat ke tangan tu?” “Waalaikumsalam Fatihah.” Suara itu! Ya, Fatihah masih cam suara yang suatu masa dulu sering menceriakan hari-harinya. Segera dia mematikan panggilan tersebut. Dia tidak menyangka sama sekali Tuah akan menghubunginya selepas tiga tahun berlalu. Bunyi mesej yang bertalu-talu masuk membuatkan Fatihah mengambil kembali blackberrynya yang dibalingnya ke atas tilam tadi.
+ Selamat malam, Fatihah. Jangan lupa janji kita esok. SMS daripada Mikhail membuatkan dia mengeluh. Geram dia mengenangkan sikap suka memerintah lelaki itu. “Bila masa la aku berjanji dengan mamat perasan ni.” Tangannya segera membuka mesej kedua yang diterimanya. Sedikit berdebar dia melihat nombor yang tidak dikenalinya itu. + Selama mata terbuka, sampai jantung tak berdetak, selama itupun aku mampu untuk mengenangmu. Awak sentiasa di tempat paling istimewa dalam hati saya. –Tuah.
Segera ingatannya kembali pada peristiwa yang membawa beribu sesalan baginya kini. Sungguh dia amat mencintai lelaki itu suatu masa dulu. Itulah cinta pertamanya yang betul-betul membuai perasaannya saat itu. Dia mengenali Tuah pada hari pertama dia mendaftar di Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi. Walaupun dia ditempatkan di UKM kampus Kuala Lumpur, namun pada minggu orientasi mereka ditempatkan di kampus induk. Dia yang datang seorang diri pada hari pendaftaran telah sesat mencari Dewan Gemilang, tempat pendaftarannya. Tuah yang ditemui di tempat bas telah menghantar dia ke dewan tersebut.
Dia ingatkan semuanya akan berakhir di situ. Namun, takdir Allah tiada siapa yang mampu menyangkalnya. Sekali lagi dia bertemu dengan Tuah pada dua hari terakhir minggu orientasi. Tuah rupa-rupanya seorang pendebat universiti dan kebetulan pada masa itu, Fatihah merupakan wakil pendebat kolej kediamannya. Walaupun kalah di tangan pendebat-pendebat kolej Aminuddin Baki, Fatihah tetap mendapat anugerah pendebat terbaik. Dia perasan pada masa itu, Tuah cuba untuk mendekati dirinya.
Bermula dari bertukar-tukar nombor telefon dan berbalas-balas emel, hubungan keduanya semakin akrab. Walaupun berlainan kampus dan sentiasa sibuk dengan pelajaran serta kelab masing-masing, ia bukan penghalang komunikasi mereka. Dan sebulan sekali, Tuah akan ke Kuala Lumpur untuk bertemu Fatihah. Masuk tahun kedua di universiti, Tuah melamar Fatihah menjadi kekasihnya. Dia yang pada masa itu sudah berada dalam tahun terakhir pengajian berjanji untuk menyunting Fatihah sebagai isteri setelah Fatihah tamat pengajiannya nanti.
Ternyata Tuah berasal daripada keluarga berada yang selalu merendah diri. Ini terbukti pada hari pertama Fatihah dijemput dalam kenduri kesyukuran di rumah keluarga Tuah. Masih dia terasa kemesraan ibu dan adik perempuan Tuah terhadapnya. Segala-galanya berjalan lancar sehinggalah pada detik peristiwa hitam itu. Sungguh dia tidak mahu mengingati semula peristiwa itu, namun panggilan dan SMS daripada Tuah membuatkan dia kembali kepada memori yang telah lama dia sembunyikan itu. Setitis airmata jatuh juga ke pipinya yang mulus itu. Segera kaki digerakkan ke bilik air. Dia mahu berwuduk, seterusnya bermunajat kepada Allah S.W.T. Hanya pada Dia selama ini dia mengadu.
* * *
Dia masih merenung bulan penuh dari koridor bilik tidurnya. Terbayang-bayang wajah manis Fatihah di matanya. Sungguh dia rindukan senyuman dan gelak manja gadis itu. Suatu masa dulu, dia selalu mengakhiri malamnya dengan bersembang apa sahaja dengan Fatihah. Namun, sudah tiga tahun peristiwa itu berlaku dan sungguh dia merasa menyesal di atas tindakannya itu.
Dia tidak menyalahkan Fatihah andai gadis itu tidak memaafkannya. Dia tahu, terlalu berat kesalahan yan telah dia lakukan. Hubungan baik antara dia dan adiknya juga terjejas kerana peristiwa itu. Sungguh dia merasa malu apabila terkenangkan betapa jahilnya dia pada ketika itu. Kerana fitnah, dia meragui kejujuran Fatihah. Dan sebab itu jugalah dia telah melakukan satu kesalahan yang tidak pernah dia bayangkan sebelum ini.
Dapat mendengar suara Fatihah sebentar tadi membuatkan rindunya semakin membuak-buak. Dia mahu mencari gadis tersebut esok hari. Bertanyakan kepada adiknya hanya akan mengundang kemarahan gadis berusia 22 tahun itu. Dia sendiri tidak pasti samada adiknya masih berhubungan dengan Fatihah atau tidak.
Perlahan-lahan kaki diaturkan ke meja di sudut biliknya. Diari berwarna hitam diselak dan gambar dia dan Fatihah dikeluarkan. Jarinya menyentuh gambar Fatihah dan senyuman hambar terukir di bibirnya. Tertera di belakang gambar itu tulisan tangan Fatihah, “Seorang sahabat adalah yang dapat mendengarkan lagu di dalam hatimu dan akan menyanyikan kembali tatkala kau lupa akan bait-baitnya.”
Fatihah, seorang gadis yang amat pemalu berbicara soal hati. Walaupun gadis itu tidak pernah meluahkan kata-kata cinta atau rindu buatnya, namun dia yakin gadis itu menyayanginya. Ini dibuktikan melalui perbuatan gadis tersebut yang amat pandai menjaga hatinya. Bahkan, seluruh keluarganya amat menyayangi gadis tersebut, lebih-lebih lagi, adiknya Teja. Senyuman Fatihah di dalam gambar yang berusia empat tahun itu direnungnya lagi. Dia cuba membayangkan wajah gadis itu pada masa sekarang. Pasti sudah makin jelita seiring dengan peningkatan usianya. Dulu wajah itu masih keanak-anakan dan amat comel sekali dengan tahi lalat di dagunya.
Baru kini dia percaya dengan pepatah lama, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Akibat terlalu sayangkan Fatihah, dia jadi terlalu protective dan cemburu. Pantang ada lelaki yang mendekati Fatihah, dia akan mengamuk dan pantang mendengar cerita Fatihah dengan lelaki lain, pasti gadis itu akan menjadi mangsa rajuk dan amarahnya.
Kini dia bertekad akan memenangi semula hati Fatihah. Dia tidak tahu apa status gadis itu, namun mengikut pengamatannya di facebook, nyata gadis itu masih solo. Memang kadang-kadang sakit hatinya melihat komen-komen lelaki di status atau gambar-gambar Fatihah. Tapi, dia lega kerana Fatihah melayan mereka semua sama sahaja. Cuma dia sahaja yang takut untuk menegur gadis tersebut di facebook. Dia yakin Fatihah faham maksud status yang baru diupdatenya dua jam yang lalu. Dia sudah kembali ke kotaraya ini, dan dia mahu memenangi semula hati Fatihah. Dia bertekad untuk menjernihkan semula kekeruhan yang tercipta olehnya.
No comments:
Post a Comment